Kemenjadian Pelajar dalam Era AI: Antara Teknologi, Ilmu dan Nilai
Oleh: Dr Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz, Dr Mohd Rizal Abu Bakar, Yayanee Ratulmaknu Yazmi
Sistem pendidikan di Malaysia sedang berhadapan dengan satu perubahan besar yang tidak dapat dielakkan, iaitu kemunculan dan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI). Dalam tempoh yang singkat, AI telah berkembang daripada sekadar teknologi yang bersifat futuristik kepada satu alat yang semakin dekat dengan kehidupan seharian, termasuk dalam dunia pendidikan. Penggunaannya kini semakin meluas di sekolah dan institusi pengajian tinggi. AI bukan sahaja sebagai alat sokongan pembelajaran, malah turut mempengaruhi cara guru menyampaikan ilmu serta cara pelajar mencari, memahami dan mengolah maklumat. Perkembangan ini membawa satu persoalan, iaitu sejauh manakah AI dapat dimanfaatkan untuk memperkasa pembelajaran tanpa menghakis keupayaan pelajar untuk berfikir, menilai dan membuat pertimbangan secara kendiri? Dalam konteks kemenjadian pelajar, penguasaan teknologi semata-mata tidak memadai. Teknologi perlu bergerak seiring dengan ilmu, kemahiran, nilai, etika dan keupayaan manusia untuk membuat keputusan yang bertanggungjawab.

AI Sebagai Pemangkin Pembelajaran yang Lebih Fleksibel dan Pemikiran Kritis
Dalam aspek pembelajaran, AI membuka ruang yang luas kepada pendidik dan pelajar untuk meneroka pendekatan yang lebih fleksibel, responsif dan sesuai dengan keperluan individu. Teknologi AI berupaya membantu menyediakan bahan pembelajaran berdasarkan tahap penguasaan, keupayaan dan keperluan seseorang pelajar. Sebagai contoh, sistem pembelajaran adaptif dapat mengenal pasti topik yang masih belum dikuasai oleh seseorang pelajar berdasarkan prestasi pembelajaran mereka. Berdasarkan maklumat tersebut, sistem kemudiannya boleh mencadangkan latihan tambahan, aktiviti pengukuhan atau bahan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan dan tahap penguasaan pelajar. Pendekatan sedemikian membolehkan pelajar belajar mengikut kadar dan kemampuan masing-masing. Keadaan ini menunjukkan bahawa AI mempunyai potensi untuk menjadikan pengalaman pembelajaran lebih bersifat peribadi dan berpusatkan pelajar.
AI turut menyokong pembelajaran kendiri dengan mencadangkan bahan bacaan, kursus dan latihan berdasarkan keperluan seseorang pelajar. Aplikasi seperti Grammarly dan Turnitin juga dapat membantu meningkatkan kualiti penulisan serta membina kesedaran tentang kepentingan integriti akademik. Pada masa yang sama, teknologi AI mampu membuka ruang untuk pembelajaran kolaboratif melalui perkongsian idea dan bahan dalam persekitaran digital. Potensinya tidak terhad kepada pencapaian akademik semata-mata. AI juga boleh menyokong aspek kesejahteraan pelajar melalui penggunaan chatbot dan perkhidmatan maya yang menyediakan bantuan asas ketika berhadapan dengan tekanan. Menurut OECD (2026), 56% pelajar Malaysia yang terlibat dalam PISA 2025 menggunakan chatbot AI sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk menyokong pembelajaran, berbanding purata 46% bagi negara-negara OECD. AI kebiasaannya digunakan untuk mendapatkan maklumat awal berkaitan topik baharu, meringkaskan bahan bacaan dan membantu menyediakan draf penulisan.
Penggunaan AI secara terkawal dan beretika boleh membantu pelajar membina keupayaan untuk berfikir secara kritis serta membuat penilaian terhadap sesuatu maklumat. Apabila pelajar tidak bergantung sepenuhnya pada AI, mereka masih terdorong untuk mencari jawapan, membina idea dan menyelesaikan tugasan menggunakan pemikiran sendiri. Proses tersebut bukan sahaja meningkatkan kefahaman, malah dapat membina keyakinan diri. Apabila seseorang pelajar menghasilkan tugasan melalui usaha sendiri, mereka berpeluang memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam dan menghargai pencapaian yang diperoleh melalui proses pembelajaran tersebut. Lebih penting lagi, proses ini membantu membentuk sikap jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan akademik. Kemahiran berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang terbina sepanjang tempoh pengajian juga menjadi bekalan penting untuk menghadapi dunia pekerjaan. Justeru, pelajar masa kini bukan sekadar perlu tahu cara menggunakan AI, tetapi perlu mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan bila, mengapa dan bagaimana AI wajar digunakan.
Peranan Pendidik dalam Mengoptimumkan Potensi AI
Kemunculan AI tidak mengurangkan kepentingan pendidik. Sebaliknya, perkembangan teknologi menjadikan peranan guru semakin kompleks dan mencabar. Pada masa lalu, guru atau pensyarah banyak berperanan sebagai penyampai maklumat. Namun dalam era digital, pelajar boleh mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber dengan begitu pantas. Oleh itu, peranan pendidik semakin berkembang menjadi pembimbing, pemudah cara, pembentuk nilai dan individu yang membantu pelajar menilai kesahihan maklumat serta menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.
Para pendidik juga mempunyai peranan penting dalam membentuk budaya semakan fakta. Pelajar boleh dibimbing untuk membandingkan jawapan yang dihasilkan oleh AI dengan buku teks, jurnal akademik, laman rasmi atau sumber primer. Pendekatan ini menjadikan AI sebagai bahan yang perlu dianalisis, bukannya dianggap sebagai autoriti mutlak. OECD (2026) turut menegaskan bahawa AI dalam pendidikan seharusnya memperkukuh kapasiti guru dan bukannya menggantikan pertimbangan profesional mereka. Dalam konteks ini, guru atau pensyarah berperanan sebagai perantara yang membantu pelajar membina hubungan yang sihat dan bertanggungjawab dengan teknologi. Dalam dunia yang membolehkan maklumat dijana dalam beberapa saat, nilai seorang pendidik tidak lagi terletak semata-mata pada jumlah fakta yang dapat disampaikan. Sebaliknya, nilai tersebut semakin terserlah melalui keupayaan guru mengajar pelajar cara berfikir tentang fakta, menilai kebenarannya dan menggunakannya secara bertanggungjawab.

Cabaran AI terhadap Kemenjadian Pelajar
Di sebalik pelbagai manfaat yang ditawarkan, penggunaan AI turut membawa cabaran yang perlu diberi perhatian serius. Antara cabaran utama ialah risiko kebergantungan yang berlebihan terhadap teknologi. Kemudahan memperoleh jawapan dalam beberapa saat boleh menyebabkan sebahagian pelajar menyerahkan proses mencari, menganalisis dan membina jawapan sepenuhnya kepada AI. Sedangkan dalam pendidikan, kejayaan pembelajaran bukan sekadar diukur berdasarkan jawapan yang dihasilkan. Yang lebih penting ialah proses pemikiran yang membawa seseorang pelajar kepada jawapan tersebut. OECD (2026) memberi peringatan bahawa kejayaan menyiapkan tugasan dengan bantuan AI generatif tidak semestinya membuktikan bahawa pembelajaran sebenar telah berlaku. Bukti yang dirumuskan menunjukkan bahawa AI tujuan umum boleh meningkatkan mutu hasil tugasan, tetapi kelebihan tersebut boleh hilang apabila pelajar perlu menunjukkan penguasaan tanpa bantuan teknologi. Situasi ini memperlihatkan perbezaan yang penting antara prestasi dan pembelajaran. Seorang pelajar mungkin mampu menghasilkan esei yang lebih kemas dengan bantuan AI, tetapi belum tentu mampu menghuraikan idea yang sama secara bebas. Oleh itu, AI tidak seharusnya menjadi jalan pintas yang menghapuskan proses membaca, berfikir, melakukan kesilapan, membetulkan kesilapan dan membina kefahaman. Kesemua proses tersebut merupakan sebahagian daripada perjalanan intelektual yang penting dalam membentuk daya tahan intelektual serta kemahiran berfikir aras tinggi.
Selain kebergantungan terhadap teknologi, penggunaan AI turut menimbulkan persoalan berkaitan plagiarisme dan integriti akademik. Pelajar kini mempunyai keupayaan menghasilkan esei, laporan dan jawapan tugasan dengan pantas tanpa melalui keseluruhan proses pembelajaran. Sekiranya hasil yang dijana tersebut diserahkan sebagai hasil kerja sendiri tanpa pengakuan penggunaan AI atau tanpa melalui proses pemikiran yang sebenar, guru atau pensyarah akan menghadapi kesukaran untuk menentukan tahap penguasaan sebenar pelajar. Dalam masa yang sama, penggunaan AI perlu dilihat daripada perspektif privasi dan keselamatan data. Pelajar mungkin memasukkan maklumat peribadi, gambar, tugasan atau data tertentu ke dalam platform AI tanpa memahami sepenuhnya bagaimana data tersebut disimpan dan digunakan.
UNESCO (2023a) menegaskan bahawa perkembangan pesat AI generatif berlaku lebih pantas daripada pembentukan kerangka kawal selia di banyak negara. Keadaan ini mewujudkan risiko terhadap perlindungan data. UNESCO turut mengesyorkan pendekatan yang berpusatkan manusia, perlindungan privasi dan penggunaan teknologi yang bersesuaian dengan umur pelajar. Tinjauan UNESCO yang melibatkan lebih daripada 450 sekolah dan universiti pula mendapati bahawa kurang daripada 10 peratus institusi mempunyai dasar atau panduan formal mengenai penggunaan aplikasi AI generatif pada tahun 2023 (UNESCO, 2023b). Walaupun landskap dasar terus berkembang, dapatan tersebut memberikan gambaran bahawa teknologi berkembang dengan begitu pantas sehingga kadangkala mendahului kemampuan institusi pendidikan untuk menyediakan panduan penggunaannya secara menyeluruh.

Hala Tuju Literasi AI dalam Pendidikan
Dalam menghadapi perubahan ini, pembangunan literasi AI perlu menjadi sebahagian daripada agenda pendidikan. Literasi AI bukan sekadar keupayaan membuka dan menggunakan aplikasi AI, tetapi juga melibatkan keupayaan untuk memahami, menilai, menggunakan, dan mengawal teknologi secara bijaksana. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tumpuan kepada pembangunan literasi AI dalam pendidikan sekolah melalui Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) Kementerian Pendidikan yang diterbitkan pada tahun 2026. Panduan tersebut menekankan penggunaan AI secara bermakna dalam pembelajaran, di samping memperkukuh kemahiran seperti pemikiran kritis, kreativiti, pemikiran komputasional, dan penyelesaian masalah. Guru pula berperanan sebagai pembimbing yang membantu murid menilai maklumat dan menggunakan AI berdasarkan prinsip etika. Hala tuju ini selari dengan usaha KPM untuk membangunkan pendidikan yang lebih responsif terhadap perkembangan teknologi, di samping membentuk murid yang berdaya tahan, berkemahiran dan bertanggungjawab.
Di peringkat pendidikan tinggi pula, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi penekanan kepada penggunaan AI dalam pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan tinggi. KPT telah menyediakan Garis Panduan Penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan Generatif (KBG) dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Tinggi sebagai panduan kepada institusi dan warga akademik. Selain pengajaran dan pembelajaran, AI turut diberi perhatian dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat. Oleh itu, perkembangan teknologi dalam pendidikan tinggi perlu berjalan seiring dengan nilai moral, etika, integriti dan adab keilmuan. Secara keseluruhannya, hala tuju literasi AI oleh KPM dan KPT menunjukkan bahawa penguasaan AI tidak boleh ditafsirkan semata-mata sebagai kemahiran menggunakan teknologi. Lebih daripada itu, ia merangkumi keupayaan untuk berfikir secara kritis, menilai maklumat, mencipta, berkomunikasi dan menggunakan teknologi secara beretika.
Kesinambungan antara pendidikan sekolah dan pendidikan tinggi juga amat penting untuk memastikan pelajar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi tanpa kehilangan asas ilmu, nilai dan tanggungjawab. Kerjasama KPM dan KPT melalui inisiatif seperti AI Education Hub turut memperlihatkan usaha membangunkan ekosistem pendidikan AI yang lebih menyeluruh, merangkumi pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi serta laluan pembangunan bakat AI daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Kesimpulan
Kecerdasan buatan merupakan satu teknologi yang mempunyai potensi besar untuk memperkaya pengalaman pendidikan. Namun, manfaat tersebut hanya dapat direalisasikan apabila penggunaannya disertai kawalan, bimbingan dan nilai yang tepat. Pelajar perlu menguasai AI tanpa kehilangan keupayaan untuk berfikir, menilai, mencipta dan membuat keputusan sendiri. AI sewajarnya menjadi alat yang memperluas keupayaan manusia untuk belajar dan berkarya, bukannya menggantikan proses pemikiran yang menjadi asas kepada pembentukan insan berilmu. Dalam konteks ini, pendidik pula memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan AI digunakan sebagai alat sokongan pembelajaran, bukannya sebagai pengganti kepada usaha dan proses pemikiran pelajar. Akhirnya, kemenjadian pelajar dalam era AI bukanlah tentang siapa yang paling pantas menggunakan teknologi, tetapi tentang siapa yang mampu menggunakan teknologi dengan ilmu, pertimbangan, nilai dan tanggungjawab. Pendidikan di era AI perlu mengimbangi teknologi dengan nilai-nilai kemanusiaan. Keseimbangan antara teknologi, ilmu, kemahiran dan nilai penting untuk melahirkan pelajar yang celik teknologi, kritis, kreatif, berintegriti dan bertanggungjawab.
