skip to Main Content
Di Sebalik Trend Low Lighting Dalam Kalangan Gen Z Dan Millennials

Di Sebalik Trend Low Lighting dalam Kalangan Gen Z dan Millennials

Oleh: Siti Zuliana Md Zuki

Pencahayaan dalam reka bentuk dalaman merupakan elemen seni bina dan reka bentuk yang menggabungkan sumber semulajadi dan buatan. Ia boleh dibahagi kepada fungsi praktikal, estetika dan psikologi. Dari segi aspek praktikal, pencahayaan memenuhi keperluan visual untuk memastikan aktiviti boleh dilakukan dengan selamat dan selesa. Dari segi estetika, ia menonjolkan keindahan ruang dan hiasan manakala dari segi psikologi ia mempengaruhi emosi dan mood individu. Fenomena mengenai pencahayaan ini semakin mendapat perhatian apabila ia melibatkan gaya hidup dan citarasa generasi sekarang terutama generasi millennials dan generasi Z (atau lebih dikenali sebagai gen Z).

Bagi generasi terdahulu, setiap ruang digunakan untuk menjalankan aktiviti harian mengikut fungsi ruang tersebut. Pencahayaan yang terang diperlukan untuk memudahkan aktiviti dijalankan dengan selesa. Namun, bagi generasi sekarang terutamanya gen Z yang membesar dalam era digital dan media sosial yang berkembang, pencahayaan memainkan peranan lebih dari sekadar fungsi. Ia memainkan peranan dalam membentuk suasana, identiti dan nilai estetika sesuatu ruang. Tiada lagi ‘big light’ atau lampu utama di sesuatu ruang. Ia digantikan dengan beberapa lampu-lampu kecil yang menjadikan ruang tampak lebih malap (low lighting). Lampu LED dan pencahayaan yang bernada hangat dan ambien mewujudkan suasana yang selesa dan tenang serta menghasilkan kandungan visual yang lebih menarik. Sama ada low lighting atau bright lighting, kedua-duanya memberi impak kepada manusia dari segi kesihatan, emosi dan juga kesejahteraan diri.

Di Sebalik Suasana Warm & Cozy: Apa Jadi Pada Kesihatan Kita?

Menurut Cleary-Gaffney et al. (2022), reka bentuk moden pada masa kini menumpukan perhatian kepada rekaan yang mengambil kira suhu warna cahaya bagi mewujudkan suasana yang dingin atau hangat. Reka bentuk ini juga mempertimbangkan parameter seperti peralihan antara ruang luaran dan dalaman, sistem biologi tubuh manusia dan nilai estetika. Namun, di sebalik keadaan dan ruang yang cantik terdapat satu perkara penting yang mungkin kita terlepas pandang. Apakah kesan pencahayaan yang rendah dan malap ini kepada kesihatan kita? Adakah ia benar-benar baik atau adakah kita hanya mementingkan nilai estetika tetapi mengabaikan aspek kesihatan?

Dari aspek fizikal, pendedahan kepada cahaya yang tidak teratur boleh mempengaruhi penyelarasan sirkadian yang secara langsung akan turut memberi kesan kepada proses fisiologi lain pada tubuh. Penyelarasan sirkadian adalah proses penyeimbangan jam biologi tubuh manusia dengan persekitaran luaran dalam kitaran harian 24 jam terutama kitaran siang dan malam yang melibatkan cahaya yang terang dan kegelapan. Ia bukan sahaja penting untuk pengekalan pola waktu tidur tetapi juga mempengaruhi proses fisiologi tubuh yang dikawal oleh jam biologi termasuk metabolisme, rembesan hormon, pengawalan suhu badan, fungsi kardiovaskular dan proses penuaan (Kondratova & Kondratov, 2012).

Namun, sedarkah anda kesemua proses fisiologi ini dikawal oleh satu organ utama yang sangat penting iaitu mata? Mata memainkan fungsi kritikal menyerap cahaya dan menghantar isyarat waktu kepada otak. Malangnya, trend low lighting ini menyebabkan mata terpaksa berkorban bekerja lebih keras untuk melakukan kerja seperti membaca dan menatap skrin dalam suasana yang kurang pencahayaan. Pernahkah anda merasa dahi mulai tegang dan mata berasa pedih apabila melihat telefon atau membaca dalam keadaan cahaya yang malap? Reaksi ini berlaku kerana dalam suasana malap, anak mata membesar secara automatik untuk menyerap seberapa banyak cahaya yang boleh. Otot mata pula perlu meregang dengan banyak untuk menangkap kejelasan teks dan objek. Kesannya, mata akan menjadi letih, penglihatan akan menjadi kabur dan menyebabkan sakit kepala akibat dipaksa untuk fokus terlalu lama.

Walaupun pencahayaan yang malap tidak merosakkan mata secara kekal, namun keadaan kontra antara skrin yang terang dan cahaya sekeliling yang minimum menyebabkan ketidakseimbangan yang menjurus kepada ketidakselesaan mata. Dalam menjaga kesihatan diri dan mata terutamanya, kualiti dan tahap pencahayaan mestilah sesuai dan seimbang dengan aktiviti yang dilakukan bagi mewujudkan ruang yang menyokong kedua-dua aspek produktiviti dan rehat (Cleary-Gaffney et al. 2022; Saleem & Nazari-Heris, 2024). Sebagai contoh, apabila melakukan aktiviti yang memerlukan fokus dan ketelitian seperti membaca, cahaya yang maksimum diperlukan. Sebaliknya, apabila berehat dan masa untuk menenangkan fikiran, cahaya yang malap amat sesuai digunakan. Ini membantu memberi isyarat kepada otak bahawa mod kerja dihentikan secara perlahan-lahan dan ianya masa untuk tubuh dan mata beristirehat.

Psikologi Pencahayaan: Bila Cahaya Menentukan Mood dan Kesejahteraan Diri

Dari sudut psikologi, pencahayaan memainkan peranan dalam membentuk kesejahteraan psikologi dan regulasi emosi. Kajian oleh Afifi et al. (2024) mengatakan bahawa warna-warna yang sejuk dan pencahayaan yang hangat (warm lighting) meningkatkan mood positif. Selain itu, dapatan kajian ini juga mendapati bahawa pencahayaan bernada sejuk (cool lighting) mewujudkan persekitaran yang merangsang keupayaan intelek dan kreativiti individu berbanding warm lighting. Suhu warna cahaya memainkan peranan asas dalam pengawalan emosi dan kesejahteraan psikologi individu. Cool lighting dengan keamatan tinggi dikaitkan dengan peningkatan tahap kepekaan dan rangsangan emosi manakala cahaya yang lebih hangat ataupun warm lighting menggalakkan keselesaan dan ketenangan (Mostafavi et al. 2024; Saleem & Nazari-Heris 2024).

Selain kesan terhadap emosi dan mood individu, pencahayaan juga memberi kesan kepada prestasi kognitif individu. Dapatan beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa pencahayaan mempengaruhi prestasi mengikut tugasan dan kemahiran yang digunakan (Stone, 2001; Zhu et al, 2019; Lan et al, 2020). Mood boleh mempengaruhi keupayaan dan kreativiti individu seterusnya memberi kesan kepada tingkah laku dan prestasi kerja. Penyesuaian mood melalui suasana persekitaran dan pencahayaan amat membantu dalam meningkatkan prestasi individu. Oleh yang demikian, persekitaran tempat kerja ataupun tempat belajar harus disesuaikan dengan pencahayaan dan keperluan kemahiran yang digunakan.

Gen Z merupakan generasi yang lantang dalam menyuarakan isu kesihatan mental terutama berkaitan dengan work-life balance. Pemilihan lampu yang malap atau warm lighting bukan disebabkan nilai estetika semata-mata. Cahaya yang terang digantikan dengan cahaya yang lebih malap menghasilkan suasana yang tenang dan dapat mengurangkan rasa stress melakukan tugasan seharian yang berat. Transisi perubahan warna lampu mencipta sempadan dalam aktiviti harian bagi individu. Contohnya cahaya yang terang di tempat kerja dan apabila tamat masa kerja, cahaya yang lebih malap terus dibuka menggantikan cahaya terang tersebut. Ia menandakan tamat masa bekerja dan masa untuk beristirehat. Warm lighting menghasilkan ruang yang santai dan tenang untuk merehatkan diri dan minda setelah seharian berdepan dengan beban tugas sama ada sebagai pelajar ataupun pekerja.

Bahaya Pencahayaan Berlebihan Terhadap Tubuh dan Emosi

Dalam kita bercerita tentang kesan cahaya yang malap terhadap tubuh dan minda, cahaya yang terlalu terang juga memberi kesan kepada kesihatan individu. Cahaya yang terlalu terang boleh menyebabkan kesan buruk dari aspek fizikal, emosi dan kestabilan mental. Apabila melihat sesuatu melalui pancaran cahaya yang terlalu terang, anak mata akan mengecil dan otot mata bekerja keras untuk mengehadkan kemasukan cahaya yang berlebihan. Ini menyebabkan otot mata menjadi tegang, mata menjadi pedih, kering dan pandangan menjadi kabur. Keadaan yang berterusan akan menjurus kepada ketidakselesaan visual dan sakit kepala jenis tegang (tension headache).

Cahaya yang terang boleh menyekat hormon melatonin dan merangsang rembesan hormon tekanan seperti hormon kortisol dan adrenalina. Hormon melatonin sangat penting dalam pengawalan kitaran tidur dan bangun serta penyelarasan sirkadian. Pendedahan kepada cahaya yang terang terutamanya pada waktu malam menyekat dan melambatkan penghasilan hormon melatonin yang boleh mengganggu penyelarasan sirkadian dan waktu tidur.

Namun, kesannya tidak hanya berhenti di situ. Pernahkah anda tiba-tiba berasa marah, moody atau gelisah apabila berada dalam suasana persekitaran yang terlampau terang? Kajian biologi menunjukkan reaksi ini berkaitan dengan pengaktifan sistem saraf simpatetik (fight-or-flight). Badan secara automatik akan merembeskan hormon adrenalina yang menyebabkan otot mata mula mengetat, jantung berdegup laju dan tekanan darah mula naik. Seterusnya hormon kortisol akan dirembeskan secara berlebihan jika terdedah kepada cahaya yang terang. Ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Robertson-Dixon et al. (2023). Apabila berada di bawah cahaya yang terang, tubuh akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga. Hormon kortisol akan memaksa otak untuk berada dalam keadaan berwaspada yang melampau ataupun hyper-vigilance. Reaksi ini akan menyebabkan individu menjadi cemas, gelisah dan stress.

Kesimpulan: Keseimbangan pencahayaan

Di sebalik trend gen Z yang lebih memilih low lighting berbanding bright lighting, ia dilihat sebagai mekanisme pertahanan emosi ataupun coping mechanism bagi mereka untuk menjaga kesejahteraan emosi mereka. Sebagai generasi yang hidup dalam dunia yang pesat dengan pembangunan teknologi, mereka berada dalam tekanan untuk bertindak dengan pantas agar tidak ketinggalan. Trend low lighting dalam kalangan generasi kini bertindak sebagai sempadan yang memisahkan antara masa kerja atau belajar dengan masa berehat. Transisi perubahan cahaya ini memberikan isyarat kepada otak untuk memperlahankan aktiviti kognitif, mengurangkan rembesan hormon kortisol dan memberi ruang kepada hormon melatonin untuk mengambil alih fungsi fisiologi tubuh.

Selain itu, penukaran kepada cahaya yang malap merupakan salah satu cara menyahtoksin deria (sensory detoxification). Walaupun ruang yang terang merangsang proses kognitif dan fokus, namun pendedahan terlalu lama boleh menyebabkan burnout secara emosi (emotional burnout). Selepas seharian melakukan tugas di persekitaran yang terang dengan sinaran yang menekan, ruang peribadi dengan cahaya yang menenangkan boleh membantu tubuh dan minda untuk berehat. Kesimpulannya, dalam menjaga kesejahteraan diri menjalani proses kehidupan, tiada wajar diletakkan mana-mana pilihan yang ekstrem sama ada low lighting atau bright lighting. Keseimbangan merupakan kunci utama yang perlu dititikberatkan. Pencahayaan perlu disesuaikan dengan aktiviti yang dilakukan. Cahaya yang terang untuk mengasah pemikiran dan meningkatkan fokus manakala cahaya yang malap untuk memberi ruang kepada diri untuk ‘bernafas’ seketika.

Rujukan

Afifi, N., El-Gohary, H., & Abdel-Salam, H. (2024). The impact of indoor lighting color temperature on psychological well-being and cognitive performance in working environments. Journal of Interior Design and Environmental Psychology, 18(2), 112–129.

Cleary-Gaffney, M., O’Neill, D., & Murphy, S. (2022). Modern architectural lighting: Balancing biological circadian requirements with aesthetic indoor design. Building and Environment, 214, Article 108920. https://doi.org/10.1016/j.buildenv.2022.108920

Kondratova, A. A., & Kondratov, R. V. (2012). The circadian clock and pathology of the aging organism. Nature Reviews Neuroscience, 13(5), 325–335. https://doi.org/10.1038/nrn3208

Lan, L., Xia, L., He, Y., & Lian, Z. (2020). Correlated color temperature of office lighting interacts with ambient temperature to influence human thermal comfort, alertness, and cognitive performance. Building and Environment, 184, Article 107242. https://doi.org/10.1016/j.buildenv.2020.107242

Mostafavi, S., Karimi, M., & Rostami, A. (2024). Psychophysiological responses to indoor color temperature and intensity: Emotional regulation and comfort in residential spaces. Applied Ergonomics, 115, Article 104180. https://doi.org/10.1016/j.apergo.2023.104180

Robertson-Dixon, A., Smith, R., & Patel, K. (2023). Bright light exposure and hypothalamic-pituitary-adrenal axis regulation: A systematic review of cortisol dynamics under artificial illumination. Neuroscience & Biobehavioral Reviews, 148, Article 105120. https://doi.org/10.1016/j.neubiorev.2023.105120

Saleem, M., & Nazari-Heris, M. (2024). Human-centric lighting in indoor environments: Impacts on circadian rhythm, visual comfort, and cognitive fatigue. Energy and Buildings, 305, Article 113890. https://doi.org/10.1016/j.enbuild.2023.113890

Stone, P. T. (2001). Age, lighting condition and task performance in office environments. Lighting Research & Technology, 33(1), 21–38. https://doi.org/10.1177/136578280103300104

Zhu, Y., Meng, Q., & Wang, X. (2019). The effect of lighting color temperature and illuminance on cognitive performance and mood states in learning environments. Building and Environment, 166, Article 106413. https://doi.org/10.1016/j.buildenv.2019.106413

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search