
Program Jualan Rahmah dan Program Menu Rahmah: Adakah Adil untuk Semua?
Oleh: Dr. Siti ‘Aisyah Baharudin
Dalam dua dekad terakhir, dari tahun 2000 hingga 2019, inflasi makanan global telah mencapai kadar purata tahunan sekitar 2.8%. Mengikut laporan CNBC, Malaysia turut terjejas, dengan inflasi meroket sebanyak 3.2% pada Disember 2021 berbanding tahun sebelumnya. Penyebab utamanya adalah kerana kenaikan drastik harga makanan dan petrol. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga menjejaskan seluruh dunia.
Hal ini terjadi kerana faktor 4C – COVID-19 (dengan gangguan besar dalam rantai bekalan), Conflict (konflik Russia-Ukraine), Climate (perubahan iklim yang mengakibatkan kenaikan suhu), dan Currency (ketidakstabilan mata wang). Semua ini menyumbang kepada lonjakan harga makanan secara global.
Namun, kesannya di Malaysia jauh lebih besar. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia, apabila harga barangan makanan melonjak, tekanan kos hidup tidak setara ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengambil kira pendapatan atau pekerjaan mereka. Bagi keluarga berpendapatan rendah, impaknya terasa lebih hebat. Kuasa beli merudum dan makanan yang dulu dianggap biasa-biasa sahaja kini menjadi mewah.
Bagi menangani masalah ini, kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan Inisiatif RAHMAH. Program Jualan Rahmah dan Program Menu Rahmah adalah sebahagian daripada usaha mereka. Harapannya, inisiatif-inisiatif ini dapat membantu mengurangkan beban rakyat yang berada dalam ketidakpastian ekonomi yang melanda.
Program Jualan Rahmah
Pada Mac 2023, Parlimen Malaysia telah meluluskan dana sebanyak RM100 juta untuk melaksanakan Program Jualan Rahmah (PJR) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Inisiatif ini melibatkan kerjasama dengan pemain industri sektor peruncitan seperti kedai dan pasaraya yang boleh ditemui di laman web KPDN.
Dibawah Inisiatif Payung RAHMAH, matlamat utama PJR adalah menyediakan barangan keperluan harian kepada rakyat dengan harga yang berpatutan. Selain memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor peruncitan tempatan, program ini juga bertujuan untuk meringankan beban kewangan rakyat dalam menanggung kos sara hidup.
Jualan Rahmah mengusung konsep jualan murah yang mencakupi sekurang-kurangnya 27 jenis barangan asas seperti produk basah dan kering, dijual dalam tempoh 2 hari berturut-turut di lokasi-lokasi bergerak. Di samping itu, penawaran barangan murah di pasaraya besar seperti Tesco dan Mydin tidak terhad kepada barangan asas sahaja; ia juga termasuk kombinasi promosi istimewa seperti pakej persediaan sekolah, merdeka, dan pelbagai sambutan perayaan sepanjang tahun di semua cawangan pasaraya tersebut. Program ini menawarkan potongan harga sekitar 10% hingga 30% bagi barangan keperluan harian berbanding dengan harga pasaran biasa.
Dengan konsep ‘Kedai Cari Rakyat’, program ini juga disasar untuk mengadakan jualan dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri. Ini bertujuan memastikan bahawa lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat daripada program PJR ini, menjadikannya lebih mudah dan lebih berpatutan untuk membeli barangan keperluan harian.
Program Menu Rahmah
Pada 31 Januari 2023, KPDN telah melancarkan Program Menu Rahmah (PMR) dengan kerjasama daripada rakan strategik, termasuk Pengusaha Kedai Makanan (Bermasak) dan Persatuan Pengusaha Restoran dan Gerai Makanan. Inisiatif ini adalah usaha sukarela mereka untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Tujuan utama PMR adalah menyediakan pilihan makanan tengah hari atau makan malam yang seimbang. Selain daripada meningkatkan hasil jualan para pengusaha makanan, program ini juga bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup masyarakat. Dengan menyediakan hidangan lengkap pada harga yang berpatutan, PMR membolehkan rakyat menikmati makanan seimbang tanpa perlu membebankan bajet mereka.
Menu Rahmah terdiri daripada nasi, pilihan protein seperti ayam atau ikan, dan sayuran. Walau bagaimanapun, hidangan yang ditawarkan tidak terhad kepada senarai yang tetap; pengusaha makanan boleh menyediakan hidangan lazim seperti nasi berlauk atau mi, serta minuman ringkas seperti air kosong. Program ini menawarkan hidangan berkhasiat dengan harga serendah RM5 sahaja.
PMR dijalankan dengan konsep ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’, yang bermaksud program ini tidak mempunyai sasaran penjualan yang tetap. Sebaliknya, ia bergantung kepada penyertaan dan kerjasama sukarela dari pengusaha kedai makan dan persatuan restoran di seluruh negeri untuk menjayakan misi meringankan beban kewangan masyarakat.
Kesan Inisiatif Program Jualan dan Menu Rahmah kepada Pengusaha
Econsave, rangkaian pasar raya popular di Malaysia, mencatatkan lonjakan jualan sebanyak 30% setelah memperkenalkan Program Jualan Rahmah. Walaupun tidak secara langsung berkait dengan strategi pengusaha, perkembangan ini menunjukkan kesan positif kepada perniagaan secara keseluruhan melalui pendekatan tarikan pelanggan (crowd puller) ke premis mereka dan kesan pengganda (multiply effect).
Walau bagaimanapun, pengusaha kedai kecil dan sederhana mendapati diri mereka tidak mampu bertahan lama dengan pendekatan ini. Contohnya, konflik antara Russia dan Ukraine menyebabkan peningkatan ketara sebanyak 17% dalam harga ayam. Isu ini menyebabkan pengusaha perlu mengekalkan harga ayam pada kadar biasa atau bahkan lebih tinggi. Akibatnya, secara beransur-ansur, pelanggan mereka beralih kepada pasaraya besar yang menawarkan lebih banyak pilihan dan lebih murah. Situasi ini telah mengakibatkan penurunan daya saing bagi pengusaha kedai kecil dan sederhana dalam pasaran.
Menurut kenyataan Menteri KPDN, Program Menu Rahmah tidak akan mengabaikan usahawan kecil dan sederhana. Hal ini dibuktikan dengan penyertaan 12,000 premis makanan di seluruh negara dalam program ini. Selain daripada itu, Menu Rahmah turut membantu pengusaha membina hubungan yang kukuh dengan pelanggan mereka sambil meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap perniagaan mereka.
Walau bagaimanapun, pemilik kedai makan dan restoran yang mempunyai perniagaan yang lebih stabil mendapat kelebihan sepenuhnya berbanding peniaga gerai makanan. Menurut laporan berita, pengusaha ini mendapat pulangan yang tinggi dengan menawarkan pelbagai set hidangan menu pada harga RM5. Lokasi perniagaan mereka juga menjadi tumpuan utama, terutamanya di kalangan pelajar universiti. Bagaimanapun, terdapat laporan yang menunjukkan bahawa beberapa kedai terpaksa menutup kedai mereka kerana mereka tidak mampu menanggung kos operasi Menu Rahmah dan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Walaupun ini tidak dapat diatributkan sepenuhnya kepada program ini semata-mata, namun ia turut menyumbang kepada kerugian yang dialami oleh pengusaha-pengusaha kecil.
Kesan Inisiatif Program Jualan dan Menu Rahmah kepada Pengguna
Kajian oleh KPDN mengenai 12 jenis barangan di bawah Program Jualan Rahmah telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dapat melakukan penjimatan sehingga RM24 setiap kali perlanjaan atau sehingga RM100 sebulan. Sebagai contoh, harga beras tempatan seberat 10 kilogram di pasaran biasa adalah RM40, tetapi melalui Program Jualan Rahmah, harganya adalah RM36. Walau bagaimanapun, terdapat juga aduan daripada mereka yang tidak mendapat manfaat daripada program ini kerana barangan murah dalam program ini sering kehabisan, berlaku akibat persaingan yang sengit. Untuk masa ini, kerajaan belum menetapkan kriteria kelayakan berdasarkan pendapatan isi rumah bagi penerima manfaat ini.
Selain itu, istilah ‘Menu B40’ atau ‘Menu Orang Miskin’ telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai standard kebersihan dan kualiti makanan yang disajikan dalam Menu Rahmah. Hal ini disebabkan penghasilan hidangan yang bersih dan berkualiti memerlukan kos yang tinggi. Walau bagaimanapun, kebimbangan ini telah dileraikan oleh kenyataan pakar dietetik yang mengesahkan bahawa Menu Rahmah menyediakan nutrisi yang mencukupi kerana mengandungi kombinasi hidangan berasaskan sumber karbohidrat, protein, serat, serta vitamin dan mineral yang diperlukan dalam diet harian. Tambahan pula, penyertaan Menu Rahmah dalam menu restoran terkenal mengesahkan bahawa hidangan ini bukan sahaja dapat dinikmati oleh semua golongan, malah boleh dijadikan sebagai hidangan premium.
Kesan Inisiatif Program Jualan dan Menu Rahmah kepada Ekonomi
Inisiatif Rahmah merupakan suatu langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu kenaikan kos kehidupan yang melibatkan keluarga berpendapatan rendah. Inisiatif ini ternyata berjaya membantu lebih sejuta individu dalam masyarakat. Kerajaan percaya bahawa Program Jualan dan Menu Rahmah dapat terus berkembang dan tidak menjangkakan peningkatan harga barangan makanan secara drastik dalam tempoh tiga bulan akan datang. Namun demikian, terdapat pandangan dari beberapa pakar yang meragukan keberkesanan jangka panjang kedua-dua program ini. Mereka berpendapat bahawa walaupun inisiatif ini memberikan bantuan segera kepada golongan berpendapatan rendah, ia tidak mengatasi akar umbi masalah ekonomi yang dihadapi oleh mereka.
Contohnya, Program Menu Rahmah telah memperoleh kejayaan dalam menyajikan hidangan seimbang kepada golongan yang memerlukan, serta diterima dengan baik oleh masyarakat. Usaha ini sejajar dengan objektif program jangka pendek yang lebih luas, yang bertujuan untuk memberikan bantuan kepada individu yang menghadapi kesulitan ekonomi. Walaubagaimanapun, adalah penting bagi kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan insentif yang bersifat berfokus kepada pengusaha makanan terpilih yang menyediakan Menu Rahmah. Contohnya, langkah-langkah seperti pengurangan kadar sewa dan harga bahan mentah boleh memberi dorongan kepada mereka untuk terus menyokong inisiatif ini.
Meskipun begitu, adalah penting untuk menghargai dan meneruskan Program Jualan dan Menu Rahmah dalam konteks pembangunan Malaysia. Menghentikan inisiatif sedemikian boleh memberi kesan buruk yang serius, merosakkan matlamat ekonomi negara dan menghalang ramai keluarga berpendapatan rendah daripada mendapat bantuan yang sangat diperlukan. Inisiatif ini telah membuktikan keberkesanannya dalam menggalakkan peningkatan pendapatan pengusaha melalui peningkatan kuantiti jualan, sekaligus meredakan tekanan pengurangan margin. Ia turut memberi peluang kepada mereka untuk memberikan sumbangan kebajikan kepada golongan yang memerlukan dan menjalin hubungan simbiotik yang memberangsangkan dalam ekosistem ekonomi tempatan. Oleh itu, meskipun kesan tepat Program Jualan dan Menu Rahmah terhadap ekonomi Malaysia dan manfaat semua golongan sukar untuk ditentukan, ia dengan pastinya telah memberikan bantuan yang signifikan kepada ramai keluarga berpendapatan rendah samada mereka merupakan pengusaha perniagaan atau pengguna.