
Mitos vs Realiti: Nilai Pendidikan Tertiari dalam kalangan Belia di Malaysia
Oleh: Dr. Siti ‘Aisyah Baharudin
Mutakhir ini, persoalan mengenai kurangnya minat belia terhadap pengajian tinggi semakin menjadi tanda tanya besar. Fenomena ini dipicu oleh suara-suara pempengaruh di media sosial yang mengutarakan keraguan mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran. Mereka mempromosikan pekerjaan segera mungkin lebih menguntungkan secara kewangan daripada melabur dalam pendidikan tinggi. Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2023, terdapat penurunan sebanyak 10% dalam pendaftaran pelajar ke program-program pengajian tinggi secara keseluruhan berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, semakin ramai generasi muda memilih untuk meninggalkan alam pengajian tinggi dan melompat masuk ke dalam gelombang ekonomi gig. Menurut kajian oleh Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Malaysia, hampir 30% daripada responden yang terdiri daripada belia berusia antara 18 hingga 25 tahun menyatakan bahawa mereka memilih ekonomi gig kerana dianggap sebagai cara yang lebih cepat untuk mendapatkan pendapatan berbanding melanjutkan pengajian tinggi. Sebagai contoh, ada yang memilih untuk menjadi pemandu Grab atau menyertai platform jualan dalam talian seperti Shopee atau TikTok. Justifikasi lain adalah pekerjaan ini tidak memerlukan kelayakan akademik yang tinggi tetapi mampu memberikan pulangan kewangan yang memuaskan dalam tempoh yang singkat.
Sikap mentaliti yang meremehkan nilai pengajian tinggi adalah satu isu yang memerlukan perhatian serius di Malaysia. Ramai individu, terutama dalam kalangan belia, meyakini bahawa kejayaan dan pendapatan tinggi boleh dicapai tanpa perlu melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, realitinya adalah pendidikan lanjutan atau tertiari memberikan pelbagai peluang dan kelebihan yang tidak boleh diabaikan.
Pendidikan Tertiari di Malaysia
Pendidikan tertiari di Malaysia meliputi peringkat pendidikan selepas sekolah rendah dan menengah. Ia melibatkan pelbagai institusi seperti universiti awam dan swasta, kolej, dan universiti kolej. Pelbagai pilihan pendidikan turut ditawarkan termasuk sijil kemahiran khas, diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana, dan ijazah doktor falsafah.
Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memainkan peranan penting dalam menjamin kualiti pendidikan tinggi di kedua-dua sektor awam dan swasta yang telah berdaftar. Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi bertanggungjawab untuk mengawal dan memantau keperluan kualiti, dengan memberi tumpuan kepada meritokrasi dan mengurangkan kebergantungan pada kuota kaum. Kementerian ini juga terlibat dalam merancang dasar-dasar pendidikan tinggi negara serta melaksanakan program-program untuk memajukan sistem pengurusan dan memastikan kemudahan prasarana yang mencukupi bagi perkembangan pendidikan tinggi di Malaysia.
Nilai Pendidikan Tertiari menurut Ekonomi dan Sosial
Pendidikan tertiari memegang peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi dan struktur sosial masyarakat kerana manfaatnya yang pelbagai. Nilai pendidikan tertiari dalam ekonomi dan sosial telah menjadi fokus kajian penyelidik di pelusuk negara. Mereka menggariskan bahawa:
- Pendidikan tertiari memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, seperti yang dibuktikan dalam kajian kes dari Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), seperti Finland dan Korea Selatan. Hasil kajian menunjukkan pendidikan tertiari berkait rapat dengan kemajuan wilayah, inovasi, dan pasaran buruh.
- Pendidikan tertiari dikaitkan dengan pemilikan perniagaan dan produktiviti makroekonomi yang lebih tinggi, menunjukkan hubungan langsung yang signifikan dengan pertumbuhan ekonomi.
- Pendidikan tertiari dianggap sebagai barang awam yang diperlukan untuk mengukuhkan dan memulihkan negara yang kurang membangun.
- Pendidikan tertiari meningkatkan kapasiti penyertaan dalam ekonomi global berdasarkan pengetahuan, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan.
- Pendidikan tertiari dilihat sebagai pendorong utama dalam daya saing ekonomi di era globalisasi, yang menekankan kepentingan kemahiran pekerjaan peringkat tinggi dan penyelidikan yang kompetitif.
- Peranan pendidikan tertiari melangkaui produktiviti buruh, mempengaruhi pembangunan sosial dan ekonomi melalui penciptaan tenaga buruh yang bersemangat untuk memperoleh pengetahuan dan pembelajaran sepanjang hayat.
- Pendidikan tertiari yang berkualiti diakui sebagai penentu utama pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan, dengan faktor-faktor seperti kualiti pensyarah, sokongan pentadbiran, dan prosedur akademik.
Membangun Malaysia melalui Universiti
Komitmen kerajaan terhadap pendidikan sebagai tonggak keutamaan negara direalisasikan melalui pelaburan besar dan peruntukan fiskal yang tinggi untuk bidang pendidikan, khususnya pendidikan tertier. Kementerian Pendidikan Tinggi menerima suntikan dana dengan kenaikan sebanyak 5.7 peratus melalui Belanjawan 2023 berbanding tahun-tahun sebelumnya. Antara penumpuan utama adalah usaha pendigitalan yang diharapkan dapat mengembangkan akses kepada pembelajaran yang berkualiti, inovatif, fleksibel, dan berskala global kepada semua individu tanpa mengira lokasi geografi mereka. Pelaburan dalam pendidikan tinggi menjadi kritikal kerana ia tidak hanya menyediakan landasan yang diperlukan untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya secara menyeluruh.
Selain itu, inisiatif untuk menarik lebih ramai belia menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi adalah termasuk memperkenalkan kursus pengajian yang fleksibel, memendekkan tempoh pengajian, menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran berasaskan industri dan kerja, memperkenalkan program asas pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), meningkatkan program latihan industri dan pembelajaran berasaskan kerja serta mendapatkan dana yang berorientasikan industri dan keusahawanan. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menangani kebimbangan seperti pasaran kerja, pengangguran, gaji rendah walaupun berpendidikan tinggi, dan untuk menjadikan pembelajaran di peringkat pengajian tinggi lebih menarik dan mudah diakses.
Kajian pengesanan graduan bagi tahun 2022 telah menunjukkan bahawa hanya 9.2 peratus daripada seramai 295,962 graduan yang belum mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian mereka. Data ini memberikan keyakinan kepada golongan belia untuk terus menyambung pengajian selepas SPM dan meruntuhkan mitos yang mengatakan tiada pekerjaan selepas menyambung pelajaran.
Universiti adalah landasan penting bagi pembangunan diri belia, bukan sekadar untuk mendapatkan pengetahuan dan kelayakan sahaja. Ia membuka pintu kepada pelbagai peluang dan mengasah kemahiran interpersonal yang penting dalam kehidupan melalui aktiviti kokurikulum seperti memegang jawatan wakil pelajar, melibatkan diri secara aktif dalam sukan dan kelab serta program kemasyarakatan. Di samping memperoleh ijazah, para belia dapat belajar bagaimana menerima dan memberi pendapat dengan hormat, berketerampilan dengan yakin dan memperkukuhkan jati diri.
Kesimpulannya, pendidikan tertiari diiktiraf sebagai penggerak utama dalam meningkatkan daya saing ekonomi serta mengukuhkan pembangunan sosial. Selain itu, ia menyumbang kepada perkembangan modal insan, memperkaya pangkalan ilmu pengetahuan, menggalakkan penyebaran serta penggunaan pengetahuan, dan menjaga kelestarian warisan ilmiah merentasi generasi. Mitos yang beredar menyebutkan bahawa melanjutkan pendidikan merupakan satu pembaziran masa dan wang harus dielakkan. Sebaliknya, galakan dan promosi untuk meneruskan pengajian seharusnya diperluaskan, terutamanya dalam kalangan belia. Golongan belia berperanan sebagai pelapis generasi masa hadapan yang menghargai ilmu pengetahuan. Pendidikan Tertiari melalui universiti membentuk belia untuk menjadi profesional dalam bidang masing-masing seperti jurutera, doktor, peguam, guru, saintis, dan banyak lagi. Dengan melanjutkan pelajaran, golongan belia di Malaysia boleh menjadi lebih berdaya saing di pasaran kerja yang semakin mencabar. Ini memberi kelebihan untuk membangunkan masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhannya.
Mitos menghambat, dicungkil realiti,
Belia terpelajar, negara bermaya,
Dengan ilmu, mereka berjaya berdiri,
Pendidikan tertiari membawa cahaya.