skip to Main Content
Fenomena Restoran Di Malaysia: Kefahaman Dan Kekeliruan Antara Halal, ‘No Pork’, ‘No Lard’ Dan ‘No Alcohol’

Fenomena Restoran Di Malaysia: Kefahaman Dan Kekeliruan Antara Halal, ‘No Pork’, ‘No Lard’ Dan ‘No Alcohol’

Oleh: Norhafizah Abdul Halim, Ahmad Aiman Harum & Siti Norhamimah Abdul Halim

Pengenalan

Dalam konteks Malaysia kini, restoran bukan lagi berfungsi sebagai sekadar tempat untuk memenuhi keperluan pemakanan, tetapi turut mencerminkan fenomena sosial serta perubahan budaya yang sedang berlaku dalam masyarakat. Seiring dengan perkembangan semasa, semakin banyak restoran yang muncul dengan menawarkan suasana moden serta hidangan yang menarik, berkonsepkan antarabangsa dan menampilkan tema-tema yang unik. Dari kafe ais krim berkonsepkan Korea sehingga restoran francais mewah antarabangsa. Semua ini bukan sekadar pilihan makanan, tetapi simbol gaya hidup moden dan urbanisasi. Fenomena pertumbuhan restoran ini tidak berlaku secara kebetulan tetapi berkait rapat dengan permintaan yang tinggi serta sambutan yang sangat menggalakkan terhadap gaya hidup makan di luar. Statistik menunjukkan bahawa perbelanjaan rakyat Malaysia untuk makan di luar meningkat secara konsisten, di mana perbelanjaan untuk kategori restoran dan penginapan mencatat peningkatan ketara dan menyumbang kira-kira 17 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah pada 2024, menurut laporan rasmi Household Income and Expenditure Survey (HIES) Malaysia. Malah, Malaysia sendiri diiktiraf sebagai antara destinasi utama pencinta makanan di Asia.

Hakikatnya, Malaysia kini mengalami kemasukan jenama makanan dari luar negara yang sangat tinggi. Kemasukan makanan dari negara seperti Korea, Jepun dan China telah memperkenalkan konsep dan corak makanan fusion yang menggabungkan unsur tradisional dan moden. Makanan antarabangsa seperti Itali dan Timur Tengah juga semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Populariti restoran berkonsepkan antarabangsa serta gaya hidup urban yang eksklusif ini bagaimanapun, dilihat mengundang persoalan apabila semakin banyak restoran di Malaysia yang menggunakan papan tanda tertulis “No Pork, No Lard, No Alcohol”. Ironinya, ramai pelanggan Muslim yang sering berkunjung ke restoran yang mempamerkan label sedemikian tanpa ada sedikitpun perasaan ragu-ragu. Maka, timbul persoalan: Cukupkah sekadar tiada babi dan arak untuk menjadikan sesuatu makanan itu halal? Bagi sebahagian mereka, label ini sudah memadai untuk memberi keyakinan bahawa makanan yang disajikan itu adalah halal dan selamat untuk dimakan. Tetapi benarkah sebegitu? Adakah “tiada babi” bermakna ianya “halal”?

Persoalan Halal: Cukupkah Sekadar Label?

Penggunaan label ini bukanlah sesuatu yang asing. Restoran yang tidak dimiliki oleh Muslim, terutamanya francais antarabangsa atau restoran bukan Islam di Malaysia, sering menggunakan frasa tersebut bagi menarik pelanggan Muslim. Pendekatan ini dilihat sebagai satu bentuk penyesuaian pasaran terhadap permintaan pengguna Muslim. Ia memberi isyarat bahawa restoran tersebut tidak menggunakan bahan yang jelas diharamkan seperti daging dan lemak babi atau minuman beralkohol. Fenomena ini semakin popular kerana ia memberikan rasa selesa kepada pelanggan Muslim untuk singgah tanpa perlu banyak bertanya. Tambahan pula, restoran jenis ini biasanya terletak di lokasi strategik seperti di kawasan bandar dan pusat membeli-belah yang menawarkan menu yang moden dan sesuai dengan cita rasa urban serta harga yang berpatutan. Gabungan faktor inilah yang menjadikan restoran dengan label sedemikian semakin mendapat sambutan yang tinggi.

Realitinya isu ini jauh lebih kompleks. Peningkatan bilangan restoran yang menggunakan label sedemikian tanpa pensijilan halal rasmi telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Muslim. Persoalan yang wajar dibangkitkan ialah sama ada ketiadaan babi dan arak sudah mencukupi untuk menjamin status halal sesuatu makanan, atau adakah kefahaman ini mencerminkan satu kelonggaran dalam memahami konsep halal yang sebenar. Dalam Islam, konsep halal tidak terbatas kepada pengharaman babi dan arak semata-mata. Halal merangkumi keseluruhan rantaian penghasilan makanan, bermula daripada sumber bahan mentah, proses penyediaan, pengendalian, penyimpanan sehinggalah kepada penyajian. Al-Qur’an dengan jelas menggariskan kewajipan seorang Muslim untuk mencari makanan dari sumber yang halal sebagai asas kehidupan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah yang bermaksud

“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.

Pemilihan makanan halal tidak hanya terhenti kepada faktor pemilihan dari sumber yang halal semata-mata bahkan mencakupi keseluruhan proses penyediaan makanan tersebut sehinggalah kepada peringkat sedia untuk dimakan. Oleh itu, halal dalam pemakanan tidak hanya mengenai mengelakkan makan babi atau arak tetapi termasuklah aspek-aspek penting yang lainnya. Aspek penyembelihan haiwan, misalnya, merupakan syarat utama yang menentukan kehalalan daging. Haiwan yang disembelih hendaklah haiwan yang dibenarkan oleh syarak untuk dimakan. Haiwan tersebut pula mestilah disembelih mengikut rukun sembelihan yang telah ditetapkan oleh Islam seperti memutuskan urat halkum dan mari’. Haiwan yang dibenarkan syarak tetap menjadi haram sekiranya tidak disembelih mengikut rukun dan kaedah yang ditetapkan kerana ia akan menjadi bangkai yang haram untuk dimakan.

Penggunaan bahan tambahan seperti sos, perisa, gelatin, cuka dan minyak masak juga perlu diteliti kerana sebahagiannya mungkin berasal daripada sumber yang tidak halal. Memasukkan arak walaupun dalam kuantiti yang sedikit boleh menjejaskan status halal makanan tersebut kepada haram. Selain itu, aspek pengendalian makanan juga berisiko kepada pencemaran silang (cross-contamination) yang boleh berlaku sekiranya dapur yang sama digunakan bagi memasak hidangan tidak halal. Pengasingan bahan mentah dan alatan memasak untuk mengelakkan berlakunya cross-contimination ini perlu diteliti secara jelas tanpa adanya unsur was-was. Justeru, peranan pensijilan halal rasmi seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) amat signifikan kerana ia memastikan keseluruhan proses ini dipantau dan mematuhi piawaian yang ketat. Tanpa pengiktirafan sedemikian, status makanan yang hanya berlabel “No Pork, No Lard, No Alcohol” kekal dalam keadaan yang meragukan dan hanyalah sebahagian kecil daripada syarat halal.

Perspektif Islam: Prinsip Tinggalkan Perkara Syubhah

Islam mengajarkan umatnya supaya berhati-hati dalam soal pemilihan makanan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas. Namun diantara keduanya ada perkara syubhah (samar) yang tidak diketahui oleh banyak orang. Maka barangsiapa yang menjauhi diri dari yang syubhah berarti telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang sampai jatuh (mengerjakan) pada perkara-perkara syubhah, sungguh dia seperti seorang pengembala yang mengembalakan ternaknya di pinggir jurang yang dikhawatirkan akan jatuh ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki batasan, dan ketahuilah bahawa batasan larangan Allah di bumi-Nya adalah apa-apa yang diharamkan-Nya” (Al-Bukhari: 50).

Syubhah ditakrifkan sebagai sesuatu yang tidak dapat dikenal pasti hukumnya sama ada halal atau haram (Rusli, 2024). Inilah konsep asas syubhah yang merujuk kepada perkara yang samar, tidak jelas halal atau haramnya. Islam menekankan prinsip berhati-hati dalam soal pemakanan. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa di antara perkara halal dan haram terdapat perkara syubhah yang tidak jelas hukumnya. Prinsip ini mengajar umat Islam agar menjauhi perkara yang meragukan demi memelihara agama dan maruah diri.

Dalam konteks pemakanan, sikap berhati-hati ini membawa implikasi besar terhadap kesejahteraan rohani dan jasmani. Makanan bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi turut mempengaruhi pembentukan jiwa, akhlak dan keberkatan hidup. Oleh itu, meninggalkan perkara syubhah bukanlah satu bentuk keterlaluan, sebaliknya cerminan ketaatan dan kesedaran terhadap tuntutan agama.

Dari aspek pemakanan, menjadi kewajipan kepada Muslim untuk meninggalkan makanan yang diragui status halal dan haramnya. Sekiranya tidak pasti status makanan tersebut, eloklah ditinggalkan agar terselamat dari memakan yang haram. Makanan bukan sekadar mengenyangkan, tetapi membentuk hati, jiwa dan amal seorang Muslim. Justeru itu, amatlah penting bagi seseorang Muslim mencari yang halal dan mengelakkan yang syubhah bagi menjaga diri dari yang haram.

Isu Sosial & Budaya Konsumerisme

Meskipun majoriti masyarakat Muslim sedar akan kepentingan pemakanan halal, realitinya faktor sosial dan budaya konsumerisme sering mempengaruhi keputusan dalam pemilihan restoran. Dalam konteks kehidupan urban masa kini, restoran berkonsepkan “No Pork” terus mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan generasi muda Muslim. Fenomena terjadi disebabkan oleh beberapa faktor sosial yang saling berkait.

Pertama, sikap tidak mahu ketinggalan dengan gaya hidup urban sekarang yang memfokuskan elemen moden, selesa dan eksklusif menjadikan pengalaman menjamu selera bukan sekadar memenuhi keperluan asas, tetapi sebagai satu bentuk gaya hidup. Ini menunjukkan pemilihan makanan adalah berdasarkan pengaruh budaya luar dan tidak berdasarkan kewujudan logo halal (Kamarudin et al., 2020) Oleh itu, tidak hairanlah, restoran yang menampilkan konsep antarabangsa, dekorasi kontemporari dan suasana mewah sering menjadi pilihan dan dianggap lebih menarik berbanding premis makanan tradisional, walaupun status kehalalannya tidak diperakui secara rasmi. Ini menunjukkan pertimbangan terhadap status halal tidak lagi menjadi keutamaan, sebaliknya bergantung kepada persepsi dan andaian pengguna terhadap keselamatan makanan yang disediakan.

Di samping itu, fenomena Fear of Missing Out (FOMO) turut mempengaruhi pilihan pengguna. Tekanan daripada rakan sebaya dan trend semasa menyebabkan seseorang berasa perlu mengikut pilihan serta keputusan kumpulan. Hal ini supaya seseorang itu tidak tersisih dan kekal diterima dalam kumpulan tersebut (penerimaan sosial). Sebagai contoh, apabila rakan-rakan memilih untuk makan di restoran tertentu, seseorang individu Muslim itu mungkin berasa serba salah untuk menolak, walaupun timbul keraguan terhadap status halal makanan yang disediakan. Jadi situasi ini menunjukkan tekanan sosial boleh melemahkan prinsip pemilihan makanan berasaskan nilai agama.

Faktor seterusnya ialah tarikan suasana trendy dan bersifat Instagrammable. Dalam konteks kehidupan digital masa kini, media sosial menjadi antara platform utama untuk penghasilan kandungan digital melalui rakaman video dan gambar yang menarik. Oleh itu, restoran bukan sahaja dilihat sebagai tempat menjamu selera, tetapi juga sebagai ruang untuk menghasilkan kandungan media sosial serta mengekspresikan gaya hidup dan identiti diri. Elemen estetik seperti dekorasi unik, penyajian menarik dan populariti di platform seperti Instagram dan TikTok menjadikan sesebuah restoran lebih mendapat perhatian. Hal ini menunjukkan aspek visual dan pengalaman pelanggan kadangkala mengatasi pertimbangan agama.

Walau bagaimanapun, trend ini membawa implikasi jangka panjang yang membimbangkan apabila amalan makan di restoran tanpa pensijilan halal mula dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat Muslim. Keadaan ini berpotensi membentuk sikap sambil lewa terhadap konsep halal, khususnya dalam kalangan generasi muda yang mungkin menganggap ketiadaan daging babi sudah mencukupi untuk menentukan kehalalan sesuatu makanan. Kefahaman yang sempit ini secara tidak langsung menghakis kepekaan terhadap prinsip halal yang menyeluruh, merangkumi sumber bahan mentah, kaedah penyediaan, kebersihan dan pengendalian makanan. Oleh itu, isu ini perlu dilihat sebagai cabaran sosial dan budaya yang serius, dan tanpa pendidikan serta kesedaran berterusan, budaya konsumerisme boleh melemahkan kefahaman sebenar tentang halal dalam kalangan masyarakat Muslim.

Implikasi Ekonomi & Reputasi Halal Malaysia

Malaysia dikenali sebagai peneraju industri halal dunia, dengan nilai pasaran yang mencecah berbilion ringgit. Industri halal tidak hanya terhad kepada pemakanan, juga merangkumi sektor farmaseutikal, logistik dan pelancongan. Kesemua sektor ini memberikan sumbangan dari aspek ekonomi melalui pasaran domestik dan antarabangsa. Sokongan kerajaan terhadap industri halal menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dicontohi dalam bidang ini.

Pensijilan halal JAKIM menjadi rujukan global dan memberi imej baik kepada negara. Piawaian yang ketat, proses audit yang sistematik dan mematuhi prinsip syariah menjadikan persijilan Halal JAKIM menjadi rujukan global oleh pemain industri. Hal ini meningkatkan kesedaran dan keyakinan kepada masyarakat Muslim unutk mencari produk yang diiktiraf Halal oleh JAKIM kerana percaya akan aspek kebersihan, kualiti dan keselamatan produk.

Sekiranya masyarakat Muslim mengabaikan pemilihan restoran yang mempunyai logo halal, perkara ini boleh memberikan implikasi kepada ekonomi negara. Permintaan terhadap restoran yang mematuhi dan mendapatkan sijil Halal JAKIM akan berkurangan, menyebabkan kekurangan insentif pengusaha restoran untuk mengekalkan logo Halal dalam restoran mereka. Perusahaan kecil dan sederhana yang telah melabur kos untuk memenuhi keperluan sijil halal, tidak lagi menjadi keutamaan. Seterusnya, ini akan memberikan isyarat negatif kepada pasaran dunia sekiranya dalam kalangan masyarakat Muslim sendiri tidak menyokong industri ini. Justeru, implementasi halal dan haram memerlukan sokongan semua pihak, bukan sahaja peniaga, bahkan masyarakat serta pihak yang lebih berkuasa.

Tips & Panduan Buat Muslim

Terdapat beberapa tips dan panduan yang boleh diamalkan oleh pengguna Muslim dalam memastikan makanan yang dipilih selari dengan prinsip halal dan toyyiban. Hal ini juga dapat memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai halal secara menyeluruh disamping membantu mengurangkan kekeliruan yang timbul akibat penggunaan label sedekimikan.

Pertama, pengguna Muslim hendaklah mengutamakan premis atau produk yang memaparkan logo halal rasmi yang diiktiraf JAKIM. JAKIM merupakan badan berautoriti di Malaysia yang berperanan penting dalam mengkaji, mengesahkan serta mengawasi pematuhan produk makanan dan barangan kegunaan umat Islam agar status halal dan kesuciannya terjamin. Dengan adanya logo halal rasmi, ia membawa maksud bahawa premis tersebut telah melalui proses audit, pemeriksaan bahan mentah, rantaian bekalan, kebersihan, prosedur penyembelihan, serta pengendalian makanan mengikut piawaian yang ketat (Department of Islamic Development Malaysia, 2020). Ini jauh lebih komprehensif berbanding sekadar label “No Pork” atau “No Lard” yang tidak memberi jaminan terhadap komponen lain yang mungkin digunakan dalam penyediaan makanan.

Kedua, usah malu bertanya demi mendapatkan kepastian agar makanan yang dipilih benar-benar diyakini halal bak kata pepatah Melayu “malu bertanya sesat jalan”. Oleh itu, amalan bertanya kepada pihak pengusaha atau pekerja restoran perlu dilihat sebagai satu langkah wajar bagi mengelakkan kekeliruan terhadap status halal sesuatu makanan. Persoalan-persoalan seperti sumber ayam dan daging diambil daripada siapa, adakah disembelih ikut syarak, penggunaan cooking wine/mirin/pork-based stock dalam masakan atau tidak, pes sos ada logo halal atau tidak dan lain-lain persoalan boleh disuarakan. Perkara-perkara ini dianggap remeh dan ramai pengguna mengambil mudah hal ini, sedangkan banyak restoran bukan Muslim menggunakan ramuan komersial yang mengandungi unsur tidak halal seperti mirin, cooking wine, animal shortening, gelatin tidak halal, dan sebagainya. Pengguna perlu bertanya dengan beradab dan bukannya ingin menfitnah tetapi untuk mendapat kesahihan berkaitan status halal sekaligus meningkatkan kesedaran restoran untuk lebih telus tentang bahan yang digunakan.

Ketiga, jauhi unsur syubhah. Dalam Islam apabila timbul keraguan, lebih baik ditinggalkan dengan mencari alternatif lain yang lebih diyakini. Jika status halal meragukan, tiada kepastian atau tidak dijamin halal, maka sikap berhati-hati harus diutamakan. Pengguna boleh memilih untuk tidak membeli makanan yang statusnya meragukan, terutamanya jika tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf, menggunakan bahan yang tidak jelas atau dikendalikan secara bercampur dengan bahan tidak halal (cross-contamination). Pendekatan ini selari dengan prinsip “meninggalkan perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan” demi menjaga kesucian makanan harian.

Terakhir dari sudut kesedaran dan pendidikan awal kepada anak-anak mengenai konsep halal. Hal ini penting bagi melahirkan pengguna yang berpengetahuan, tetapi turut membina identiti Muslim yang memahami keperluan agamanya. Perkara ini selaras dengan prinsip menjadikan halal sebagai benteng keutuhan akidah. Ibu bapa haruslah menerangkan perbezaan asas antara halal, haram dan syubhah, menunjukkan bagaimana memeriksa logo halal, serta mengajar anak-anak untuk bersikap berhati-hati ketika membeli makanan sendiri di sekolah atau di mana sahaja mereka berada.

Penutup

Fenomena restoran berlabel “No Pork, No Lard, No Alcohol” mencerminkan realiti masyarakat Malaysia yang majmuk dan dinamik. Walaupun label ini memberi pilihan kepada pengguna Muslim, ia tidak boleh dijadikan sandaran mutlak dalam menentukan status halal. Suatu perkara yang penting juga ialah fakta bahawa istilah “No Pork, No Lard, No Alcohol” tidak semestinya mencerminkan keseluruhan proses penyediaan makanan itu patuh syarak. Kenyataan rasmi pihak berkuasa agama di Malaysia, istilah seperti “tiada babi” atau “muslim-friendly” tidaklah mencukupi untuk menyimpulkan sesuatu premis adalah halal jika ia tidak mempunyai sijil pengesahan halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Oleh itu, walaupun label seperti “No Pork” “No Lard” dan “No Alcohol” memberi keselesaan awal kepada pengguna Muslim, kefahaman yang tepat harus berpandukan definisi halal yang sebenar iaitu status halal yang disahkan secara rasmi oleh badan berautoriti. Dengan cara ini, pengguna dapat membuat keputusan yang bijak dan berinformasi ketika memilih tempat makan, sementara pengusaha restoran juga didorong untuk meningkatkan standard mereka agar memenuhi jangkaan pengguna Muslim yang semakin sensitif terhadap isu halal.

Sebagai masyarakat Islam, kefahaman yang tepat tentang konsep halal perlu diperkukuh agar selari dengan tuntutan agama dan aspirasi Malaysia sebagai hab halal global. Halal bukan sekadar label, tetapi prinsip hidup yang menjamin keberkatan, kesejahteraan dan keyakinan pengguna.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search