Bukan Soal Bijak atau Tidak: Sesiapa Sahaja Berisiko Menjadi Mangsa Scam
Oleh: Dr. Siti ‘Aisyah Baharudin
Bayangkan telefon bimbit anda tiba-tiba bergetar di atas meja. Pada skrin tertera nombor yang kelihatan seolah-olah daripada pihak polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau institusi perbankan. Suara di hujung talian kedengaran tenang tetapi tegas, mendakwa bahawa akaun bank anda terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram atau transaksi mencurigakan. Anda kemudian didesak untuk mengambil tindakan segera. Dalam keadaan panik dan tertekan, satu keputusan yang dibuat secara terburu-buru boleh menyebabkan wang simpanan lesap dalam sekelip mata. Situasi sebegini bukan lagi sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat hari ini. Kes penipuan dalam talian atau scam bukan sekadar kisah terpencil yang dilaporkan di dada akhbar, sebaliknya menjadi ancaman yang merentasi usia, tahap pendidikan dan latar belakang ekonomi. Sindiket penipuan bukan sahaja memanfaatkan kecanggihan teknologi, malah bijak mengeksploitasi emosi, kepercayaan dan keperluan manusia untuk menjadikan helah mereka kelihatan meyakinkan.

Senjata Scammer: Apabila Psikologi Manusia Menjadi Sasaran
Menurut laporan jenayah komersial, sebanyak 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2025, meningkat 87% berbanding 35,368 kes pada 2024. Kerugian kewangan turut meningkat daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025 iaitu pertambahan lebih RM1.4 bilion dalam setahun. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak 29,434 kes direkodkan dengan kerugian melebihi RM827.73 juta. Angka ini bukan sekadar rekod statistik. Di sebaliknya ada keluarga yang kehilangan simpanan, individu yang terpaksa menanggung hutang dan mangsa yang perlu membina semula emosi dan kewangan mereka. Penipu tidak semestinya perlu menembusi sistem keselamatan bank untuk menguras wang mangsa. Mereka boleh mencetuskan ketakutan, menjanjikan kekayaan atau menyamar sebagai individu yang dipercayai. Taktik yang berbeza ini mempunyai satu persamaan iaitu mangsa didorong untuk bertindak sebelum sempat membuat pengesahan.
Modus operandi pertama ialah melalui phone scam atau Macau scam yang memerangkap mangsa dengan ketakutan. Dengan 28,388 kes direkodkan pada 2025, phone scam merupakan kategori penipuan dengan jumlah kes tertinggi. Sindiket menyamar sebagai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak mahkamah atau institusi kewangan, kemudian mendakwa mangsa terlibat dalam jenayah atau mempunyai masalah akaun. Mangsa ditekan supaya bertindak segera, termasuk memindahkan wang ke akaun yang kononnya diperlukan untuk siasatan atau “keselamatan”. Apabila ketakutan menguasai fikiran, arahan yang mencurigakan boleh kelihatan seolah-olah sah.
Taktik kedua ialah melalui pelaburan palsu dengan memerangkap mangsa dengan janji kekayaan. Jika phone scam bermain dengan ketakutan, pelaburan palsu pula memancing harapan untuk menjadi kaya. Sindiket mempromosikan peluang pelaburan melalui Facebook, Instagram dan Telegram dengan menjanjikan pulangan tinggi, keuntungan konsisten atau risiko yang kononnya minimum. Terdapat mangsa yang mungkin menerima keuntungan kecil pada peringkat awal bagi membina kepercayaan, sebelum didesak memasukkan wang yang lebih besar. Apabila wang sukar dikeluarkan, mangsa mungkin terus membayar kerana enggan kehilangan modal terdahulu iaitu perangkap psikologi yang dikenali sebagai sunk cost fallacy.
Seterusnya ialah penyamaran digital. Taktik memerangkap mangsa dengan identiti palsu ini melangkaui panggilan dan mesej biasa. Kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) boleh digunakan untuk menghasilkan suara atau wajah tiruan melalui teknologi deepfake, lalu membolehkan penipu menyamar sebagai ahli keluarga, pegawai atau rakan perniagaan. Panggilan yang kedengaran seperti suara orang dipercayai boleh mendorong mangsa bertindak sebelum identiti pemanggil disahkan melalui saluran lain. Sindiket ini juga menggunakan akaun keldai (mule accounts) untuk menerima dan memindahkan wang hasil penipuan. Akaun bank atau e-dompet yang disewakan, dijual atau dipinjamkan boleh menjadi perantara transaksi dan menyukarkan pengesanan aliran wang. Pusat Anti-Jenayah Kewangan Kebangsaan (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC) mendedahkan bahawa sindiket sanggup membayar sekitar RM500 bagi setiap akaun bank atau e-dompet orang awam yang disewa atau dibeli untuk dijadikan saluran pencucian wang haram.

Siapa Sebenarnya Mudah Terperangkap?
Terdapat anggapan umum dalam masyarakat bahawa mangsa penipuan dalam talian hanyalah golongan warga emas, pesara, atau mereka yang kurang berpendidikan dan tidak celik teknologi. Namun, berdasarkan laporan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), profil pemangsa membongkar mitos tersebut secara menyeluruh. Tiada profil tunggal bagi mangsa penipuan. Pelajar dan belia, golongan profesional dan individu yang berdepan kesempitan hidup boleh menjadi sasaran, tetapi melalui pendekatan yang berbeza.
Untuk golongan pelajar dan belia celik digital, mereka mudah terpedaya dengan ganjaran segera. Mahir menggunakan telefon pintar tidak semestinya mahir menilai risiko penipuan. Jumlah pelajar yang menjadi mangsa meningkat daripada 2,401 orang pada 2024 kepada 5,293 orang pada 2025. Golongan berusia 21 hingga 30 tahun pula merekodkan 3,006 mangsa tawaran kerja sambilan palsu, termasuk tugasan like & share, pada 2025. Bagi kes job scam dalam talian, 6,734 mangsa ialah wanita berbanding 2,194 lelaki pada tahun yang sama. Keinginan mendapatkan pendapatan sendiri, pengaruh media sosial dan tarikan komisen segera boleh membuatkan tawaran yang kelihatan mudah dilakukan dari rumah terasa sukar ditolak. Sindiket memanfaatkan sikap ingin mencuba serta harapan untuk memperoleh wang dengan cepat.
Selain itu, golongan berpendidikan tinggi dan profesional juga terperangkap dalam keyakinan sendiri. Pendidikan dan pengalaman profesional seperti doktor, peguam, jurutera, ahli akademik, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan tidak semestinya menjadikan seseorang kebal terhadap manipulasi psikologi. Laporan State of Scams in Malaysia 2025 oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA) menyatakan sekitar 82% mangsa yang dilaporkan mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan sekitar 78% terdiri daripada golongan milenial menunjukkan bahawa individu dalam usia produktif juga tidak terkecuali daripada ancaman penipuan digital. Perasaan terlalu yakin bahawa diri mampu mengesan penipuan boleh menyebabkan pemeriksaan keselamatan diabaikan. Kesibukan kerja juga mendorong keputusan dibuat secara tergesa-gesa, manakala simpanan yang lebih besar boleh menjadikan seseorang sasaran bernilai tinggi. Dalam skim pelaburan palsu, mangsa diperangkap secara psikologi dengan terus menambah wang kerana enggan menerima kerugian awal.
Seterusnya ialah golongan rentan sosioekonomi dan akses digital yang terdesak mencari peluang. Penduduk luar bandar, golongan miskin bandar (B40) dan suri rumah turut berdepan risiko tambahan apabila akses kepada program kesedaran digital atau maklumat pencegahan terhad. Berdasarkan Laporan Statistik Kemiskinan Nasional, 142,605 individu miskin (49.3%) berada di luar bandar, manakala 146,380 individu (50.7%) berada di bandar. Taburan ini menunjukkan bahawa kemiskinan merentasi kawasan geografi dan dalam keadaan tertentu, tekanan kewangan serta keterbatasan akses kepada maklumat dan literasi digital boleh meningkatkan kerentanan sesetengah individu terhadap taktik penipuan dalam talian. Menurut laporan Malay Mail (2 Oktober 2025), rakyat Malaysia berdepan purata 140 percubaan scam setiap tahun, manakala laporan yang dibentangkan di Parlimen menyatakan bahawa 73% rakyat Malaysia pernah menjadi mangsa atau hampir terjerat dengan penipuan, dengan purata kerugian sebanyak RM4,844.70 seorang. Angka ini menggambarkan betapa meluasnya ancaman scam dalam kehidupan seharian khususnya bagi golongan yang mempunyai akses terhad kepada maklumat keselamatan digital.
Tekanan memenuhi keperluan harian boleh menjadikan tawaran kerja dari rumah, pinjaman mudah lulus dan pelaburan cepat kaya kelihatan menarik. Dalam keadaan ini, penipu mengambil kesempatan terhadap keperluan kewangan mangsa dengan menjanjikan pulangan yang tidak munasabah atau meminta bayaran pendahuluan. Penduduk yang kurang terdedah kepada latihan keselamatan siber mungkin menghadapi kesukaran mengenal pasti pautan palsu, laman web tiruan dan penyamaran pegawai kerajaan.

Realiti Pahit: Perjuangan Pemulihan Dana
Kesan pemangsaan siber tidak berhenti pada kehilangan angka dalam akaun bank. Ia meninggalkan trauma emosi berpanjangan, perasaan bersalah, keretakan hubungan kekeluargaan, dan hakikat pahit mengenai kesukaran mendapatkan semula wang yang telah dipindahkan. Tragedi Golden Hour menunjukkan kelewatan melaporkan kejadian menyebabkan kebarangkalian pemulihan wang menjadi sangat tipis. Statistik pemulihan dana menunjukkan walaupun pihak berkuasa berjaya menyita RM17.49 juta pada tahun 2025, hanya 38% berjaya dikembalikan kepada mangsa. Manakala, bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, kadar pemulihan meningkat kepada 49%, berjaya dipulangkan daripada RM7.25 juta yang disita, menunjukkan perkembangan positif tetapi masih memerlukan usaha berterusan. Kadar pemulihan yang terhad ini menegaskan bahawa pertahanan terbaik bukanlah bergantung kepada usaha pemulihan selepas kejadian, sebaliknya bergantung kepada tindakan segera dan pencegahan awal. Kesedaran sahaja tidak mencukupi jika orang ramai tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika berdepan tawaran mencurigakan atau selepas wang dipindahkan. Berikut ialah beberapa saluran dan langkah bagi membendung krisis ini;
1. Hubungi NSRC 997 jika Menjadi Mangsa
Jika menyedari wang telah dipindahkan kepada penipu, hubungi bank dengan segera dan rujuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) melalui talian 997 yang beroperasi 24 jam. Simpan bukti transaksi, nombor akaun, mesej dan rekod komunikasi. Tindakan pantas sekurang-kurangnya boleh membantu pihak berkaitan menilai transaksi dan mengambil langkah yang tersedia, walaupun pemulihan wang tidak dijamin.
2. Semak Nombor melalui Portal Semak Mule PDRM
Sebelum memindahkan wang kepada individu atau entiti yang tidak dikenali, semak nombor akaun bank atau nombor telefon melalui portal rasmi Semak Mule yang disediakan oleh JSJK, PDRM. Keputusan semakan bukan jaminan mutlak bahawa sesuatu urus niaga selamat, namun pengesahan perlu diteruskan melalui saluran rasmi dan berhati-hati jika terdapat tanda amaran.
3. Gunakan Ciri Keselamatan Perbankan
Ciri seperti tempoh bertenang (cooling-off period) bagi pendaftaran peranti baharu, pengikatan peranti (device binding) dan suis kecemasan (kill switch) boleh membantu pengguna mengawal akses atau menyekat penggunaan akaun apabila mengesyaki aktiviti mencurigakan. Semak dengan bank masing-masing tentang ciri yang tersedia dan cara mengaktifkannya. Bank Negara Malaysia telah mengoperasikan National Fraud Portal (NFP) yang mengendalikan secara automatik proses penjejakan dana dan menyekat akaun keldai secara berpusat.
4. Fahami Perlindungan Pengguna E-dompet
Bermula 1 Julai 2026, dasar baharu menetapkan bahawa penyedia perkhidmatan e-dompet (e-wallet) yang didapati lalai dalam kawalan keselamatan diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa penipuan dalam tempoh 7 hari bekerja. Langkah ini memastikan tanggungjawab bersama merentas ekosistem kewangan digital.
5.Amalkan 3S: Stop, Semak, Selamat
Apabila panggilan mencemaskan atau tawaran lumayan muncul di skrin, ingat tiga langkah mudah ini:
Stop — berhenti seketika, bertenang dan jangan ikut desakan untuk bertindak segera.
Semak — sahkan identiti dan maklumat melalui saluran rasmi; semak nombor akaun atau telefon melalui Semak Mule sebelum membuat transaksi.
Selamat — lindungi maklumat peribadi, kata laluan, kod OTP dan maklumat perbankan. Jangan serahkan maklumat ini kepada pihak yang tidak dapat disahkan.
6. Jadikan Belia Penjaga Digital Keluarga
Pencegahan jenayah penipuan dalam talian tidak akan berjaya sekiranya masyarakat hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang dan sistem keselamatan teknologi semata-mata. Fokus nasional perlu beralih daripada sekadar mewujudkan kesedaran digital kepada membina daya tahan digital iaitu keupayaan menilai, menyaring, dan menahan manipulasi psikologi dalam persekitaran siber. Generasi belia yang mahir teknologi memikul tanggungjawab sosial yang amat besar sebagai Penjaga Digital dalam keluarga masing-masing:
- Bimbing warga emas: Mengajar ibu bapa serta datuk nenek mengenai bahaya panggilan Macau Scam, menyemak mesej WhatsApp yang meragukan, serta membantu mereka mengendalikan perbankan dalam talian secara selamat.
- Semak sebelum sebarang transaksi: Membantu menyemak akaun bank atau nombor telefon melalui portal Semak Mule sebelum ahli keluarga membuat sebarang pembelian atau pindahan wang.
- Menjadi ejen respons pantas: Memastikan setiap ahli keluarga menyimpan nombor talian NSRC 997 dalam telefon bimbit masing-masing supaya tindakan pantas dapat diambil jika berlaku kecemasan.
- Mewujudkan suasana keluarga yang tidak menyalahkan mangsa: Apabila seseorang berani menceritakan apa yang berlaku, keluarga boleh bertindak lebih cepat untuk mengehadkan kerugian.
Akhirnya, dalam dunia yang semakin canggih, penipuan bukan lagi sekadar permainan kata-kata, tetapi perangkap yang mampu menyamar sebagai peluang, menyentuh emosi dan memperdaya kepercayaan. Scammer mungkin semakin bijak menggunakan teknologi, tetapi kita tidak harus menjadi mangsa yang mudah diperdaya. Ingat, jangan biarkan satu klik memusnahkan segala yang dibina bertahun-tahun. Berhenti seketika, semak sebelum percaya, dan bertindak dengan bijaksana kerana dalam dunia digital, kewaspadaan ialah benteng terbaik untuk melindungi diri, keluarga dan wang kita.
**Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
