Di Sebalik Pintu Kelas Pendidikan Khas: Antara Teori, Terapi dan Realiti Bilik Darjah
Oleh: Fairuz Liyana binti Mohamed Fuad
Apabila pendidikan khas dibicarakan, masih ada yang membayangkan sebuah kelas kecil dengan bilangan murid yang sedikit, suasana yang lebih tenang dan proses pengajaran yang lebih mudah dikendalikan berbanding kelas arus perdana. Namun, realiti di sebalik pintu kelas pendidikan khas jauh lebih kompleks daripada gambaran tersebut. Bagi kelas yang menempatkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dengan kefungsian rendah, khususnya murid tahap satu, sebahagian daripada waktu pembelajaran mungkin perlu digunakan terlebih dahulu untuk membantu murid menyesuaikan emosi dan tingkah laku. Ada murid yang menjerit dan menolak arahan berulang kali, ada yang merebahkan badan ke lantai dan tidak mahu bergerak, manakala sebahagian yang lain mungkin berlari mengelilingi kelas tanpa henti. Dalam situasi tertentu, hampir sepuluh minit pertama waktu pembelajaran digunakan semata-mata untuk membantu murid bertenang dan bersedia mengikuti aktiviti.
Apabila keadaan kembali terkawal, kelas mungkin kelihatan seperti biasa kepada orang luar. Namun, bagi guru pendidikan khas, proses sebenar baru sahaja bermula. Pengajaran MBPK kefungsian rendah tidak boleh dilaksanakan menggunakan pendekatan yang seragam. Walaupun berada dalam kelas yang sama, setiap murid mempunyai tahap kebolehan, gaya pembelajaran, corak tingkah laku serta keperluan sokongan yang berbeza. Kebanyakan mereka memerlukan bimbingan secara individu, menyebabkan seorang guru mungkin hanya sempat memberikan perhatian sepenuhnya kepada beberapa orang murid dalam satu-satu sesi. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila sesebuah kelas pendidikan khas menempatkan sehingga 14 orang murid dengan hanya seorang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Dalam satu-satu masa, bukan seorang atau dua murid sahaja yang mungkin memerlukan perhatian, tetapi lima atau enam orang serentak dengan keperluan yang sama sekali berbeza.

Profil Murid yang Semakin Kompleks
Cabaran di bilik darjah pendidikan khas turut berubah seiring perubahan profil murid yang memasuki Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Sejak beberapa tahun belakangan ini, semakin ramai murid autisme memasuki sistem persekolahan, termasuk murid yang mempunyai cabaran komunikasi yang kompleks dan tidak menggunakan pertuturan sebagai medium komunikasi utama. Kemasukan murid Tahun 1 khususnya memerlukan proses penyesuaian yang teliti. Sebahagian murid memerlukan masa untuk memahami suasana sekolah, rutin harian, peraturan kelas serta individu baharu di sekeliling mereka. Bagi murid nonverbal, komunikasi dua hala juga tidak semestinya dapat dibina dengan segera. Sebelum pembelajaran dapat berlangsung dengan berkesan, guru perlu terlebih dahulu membina hubungan, memperoleh kepercayaan murid dan mewujudkan rasa selamat dalam persekitaran sekolah. Proses ini mungkin mengambil masa dan tidak boleh dipercepatkan hanya kerana sukatan pembelajaran perlu diselesaikan.
Dalam kelas yang sama, terdapat juga murid dengan profil pembelajaran yang sangat berbeza. Ada yang mampu memahami arahan dalam bahasa Inggeris dan berkomunikasi dengan baik tetapi masih menghadapi kesukaran untuk menulis atau memegang pensel. Ada pula yang mempunyai kemampuan akademik tertentu tetapi memerlukan sokongan tinggi dari aspek pengurusan emosi, tingkah laku atau kemahiran kendiri. Justeru, cabaran guru pendidikan khas pada hari ini bukan sekadar menyampaikan isi pembelajaran, malah mereka perlu sentiasa menyesuaikan pendekatan pengajaran kepada tahap keupayaan dan keperluan murid yang semakin pelbagai dan kompleks.
Apabila Cabaran Berubah Mengikut Usia
Realiti pendidikan khas juga menunjukkan bahawa keperluan seseorang murid tidak kekal sama sepanjang tempoh persekolahan. Seorang murid autisme nonverbal, misalnya, mungkin memerlukan bantuan yang sangat tinggi dalam aspek komunikasi, tingkah laku dan pengurusan diri ketika berusia lapan tahun. Apabila memasuki sekolah menengah, cabaran yang sama boleh berubah bentuk. Pertambahan usia, saiz tubuh dan kekuatan fizikal menjadikan aspek keselamatan, pengurusan diri dan kawalan tingkah laku semakin penting. Terdapat murid yang mengalami kesukaran sehingga mencederakan diri sendiri, menolak rutin pengurusan diri atau menunjukkan tingkah laku yang sukar difahami oleh masyarakat umum. Dalam keadaan seperti ini, guru dan PPM perlu menggunakan pelbagai pendekatan seperti memujuk, memberikan galakan, mengubah persekitaran serta membantu murid mengawal emosi. Namun, tidak setiap pendekatan memberikan hasil yang sama.
Ada waktunya keputusan perlu dibuat dengan segera demi menjaga keselamatan, maruah dan kebajikan murid. Situasi seperti ini memperlihatkan bahawa pendidikan khas tidak hanya berkisar tentang keupayaan membaca, menulis dan mengira. Bagi sesetengah MBPK, pencapaian paling asas mungkin bermula dengan kemampuan berkomunikasi, mengurus diri, memahami rutin harian, mengikuti arahan mudah atau mengawal emosi. Kemajuan mereka juga tidak boleh diukur menggunakan garis masa perkembangan yang sama seperti murid lain. Setiap kemajuan perlu dilihat berdasarkan keupayaan dan perkembangan individu.

Guru, Ibu Bapa dan Harapan yang Sama
Dalam perjalanan pendidikan MBPK, ibu bapa dan guru sebenarnya berkongsi matlamat yang sama iaitu memastikan murid mendapat peluang terbaik untuk berkembang. Ibu bapa secara semula jadi mempunyai harapan yang tinggi terhadap perkembangan anak. Mereka biasanya sangat peka terhadap perubahan yang berlaku dan sentiasa mencari pendekatan terbaik, termasuk terapi dan intervensi tertentu, untuk membantu perkembangan anak. Namun, peranan guru pendidikan khas dan ahli terapi perlu difahami dalam konteks yang berbeza. Ahli terapi lazimnya menjalankan intervensi dengan objektif tertentu, sama ada secara individu atau dalam kumpulan yang lebih kecil. Sebaliknya, guru pendidikan khas perlu mengurus sekumpulan murid dengan pelbagai tahap kebolehan dan keperluan dalam satu-satu masa. Guru bukan sahaja perlu menyampaikan pembelajaran, tetapi turut membina hubungan dengan murid, memahami corak tingkah laku mereka dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan rutin serta persekitaran sekolah.
Perkara ini amat ketara bagi guru yang mengendalikan murid Tahun 1. Pada peringkat awal persekolahan, banyak masa dan tenaga digunakan untuk membantu murid menyesuaikan diri dengan sistem sekolah. Ada waktunya waktu rehat guru turut digunakan untuk mengurus keperluan murid atau berkomunikasi dengan ibu bapa yang memerlukan penjelasan dan keyakinan berhubung perkembangan anak. Di sebalik proses pengajaran yang dapat dilihat, terdapat juga pelbagai tanggungjawab lain yang perlu dipikul. Guru pendidikan khas perlu mengurus tingkah laku dan emosi murid, memastikan keselamatan mereka, melaksanakan program pendidikan khas, menyediakan dokumentasi, menghadiri mesyuarat serta berurusan dengan ibu bapa dan pelbagai pihak berkaitan. Realiti inilah yang menjadikan pendidikan khas sebuah ekosistem yang jauh lebih kompleks daripada sekadar proses pengajaran di dalam bilik darjah.
Antara Terapi dan Realiti Bilik Darjah
Keperluan untuk membantu murid mengawal emosi dan rangsangan sensori turut mendorong sesetengah sekolah mewujudkan ruang intervensi seperti bilik Snoezelen. Ruang seperti ini boleh digunakan untuk membantu murid menenangkan diri, mengawal rangsangan sensori dan menyediakan mereka untuk kembali mengikuti sesi pembelajaran. Bilik sedemikian tidak semestinya menyelesaikan semua isu tingkah laku. Namun, bagi sesetengah murid, ruang yang terkawal dapat membantu mereka mencapai keadaan emosi yang lebih stabil sebelum kembali ke dalam kelas. Pendekatan ini turut memperlihatkan satu prinsip penting dalam pendidikan khas: setiap tingkah laku mempunyai sebab dan setiap murid mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza.
Kerjasama dengan pihak luar turut memainkan peranan penting. Sebagai contoh, lawatan pegawai Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK), doktor dan jururawat dari institusi kesihatan boleh memberikan pendedahan tambahan kepada guru tentang tingkah laku murid serta pendekatan intervensi yang bersesuaian. Kerjasama sebegini wajar diperluaskan. Namun, dalam membincangkan penggunaan pendekatan terapi di sekolah, satu realiti perlu difahami dimana sesuatu teknik yang berkesan dalam sesi terapi individu atau kumpulan kecil tidak semestinya mudah dilaksanakan dalam bilik darjah yang mempunyai ramai murid dengan pelbagai ketidakupayaan dan keperluan. Dalam situasi sebenar, seorang guru dan PPM mungkin perlu mengurus beberapa perkara secara serentak seperti menjalankan pembelajaran, memastikan keselamatan murid, mengawal tingkah laku, membantu pengurusan diri dan menenangkan emosi. Di sinilah wujud jurang antara teori, terapi dan realiti bilik darjah.
Guru pendidikan khas juga bukan ahli terapi bertauliah. Walaupun ada yang mengambil inisiatif mempelajari asas terapi atau strategi intervensi bagi memahami murid dengan lebih baik, fungsi utama mereka tetap sebagai pendidik. Oleh itu, harapan terhadap guru perlu diletakkan dalam konteks kemampuan, latihan serta sumber yang tersedia dalam sistem pendidikan.

Pendidikan Khas Memerlukan Sokongan yang Lebih Holistik
Memperkukuh pendidikan khas tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu sekolah atau guru. Perkembangan MBPK memerlukan kerjasama yang konsisten antara guru, ibu bapa, pakar kesihatan, ahli terapi serta agensi kerajaan. Setiap pihak mempunyai fungsi yang berbeza tetapi saling melengkapi. Pada masa yang sama, kesedaran mengenai kepentingan intervensi awal, terapi yang berterusan dan pemantauan perubatan juga perlu terus diperkukuh dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat. Bagi sesetengah murid, sokongan yang konsisten di luar sekolah memainkan peranan penting dalam membantu mereka bersedia menerima pembelajaran apabila berada di bilik darjah.
Kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi berkaitan juga perlu diperkasakan supaya sokongan terhadap MBPK tidak bergerak secara terpisah. Sistem yang lebih bersepadu membolehkan keperluan pendidikan, kesihatan, terapi, sosial dan kebajikan seseorang murid dilihat secara menyeluruh. Pendekatan holistik ini penting kerana pendidikan khas bukan semata-mata persoalan tentang apa yang berlaku ketika seorang murid berada di sekolah. Ia berkaitan keseluruhan ekosistem yang menyokong perkembangan seorang anak.
Kejayaan yang Tidak Selalu Diukur dengan Gred
Dunia pendidikan khas mempunyai terlalu banyak cerita yang jarang diketahui masyarakat iaitu daripada cabaran harian yang tidak kelihatan hinggalah kepada kejayaan kecil yang membawa makna besar. Dalam pendidikan khas, kejayaan tidak semestinya hadir dalam bentuk keputusan peperiksaan atau pencapaian akademik yang tinggi. Kadangkala, kejayaan berlaku apabila seorang murid yang sebelum ini sukar duduk diam akhirnya mampu berada di tempatnya selama beberapa minit. Ada kalanya kejayaan hadir apabila seorang murid mula memberikan kontak mata, memahami arahan mudah, mengurus keperluan dirinya atau menyebut satu perkataan selepas melalui proses pembelajaran yang panjang.
Perkara yang kelihatan kecil kepada masyarakat mungkin merupakan pencapaian besar dalam kehidupan seseorang MBPK. Atas sebab itu, persoalan tentang pendidikan khas tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada sama ada seseorang guru telah melakukan yang terbaik. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada sistem di sekeliling guru dan murid telah menyediakan sokongan, sumber dan kepakaran yang mencukupi untuk membantu setiap MBPK mencapai potensi mereka. Di sebalik tingkah laku yang mencabar, terdapat seorang anak yang sedang berusaha untuk difahami. Dan di sebalik setiap pintu kelas pendidikan khas, terdapat guru, ibu bapa, PPM, ahli terapi dan pakar kesihatan yang berkongsi satu matlamat yang sama dengan memberikan peluang kepada setiap anak untuk berkembang sejauh yang mampu dicapainya.
