skip to Main Content
Cabaran Kepimpinan Dalam Peradaban Islam Masa Kini

Cabaran Kepimpinan dalam Peradaban Islam Masa Kini

Oleh: Dr Yusma Fariza Yasin & Dr Junaidah Yusof.

Secara umumnya, terdapat lebih daripada 50 buah negara yang majoriti penduduknya memeluk agama Islam dengan budaya, konsep, dan sistem pentadbiran yang berbeza-beza. Bilangan negara Islam ini kadang-kala berubah akibat konflik atau penggabungan politik. Sungguh pun begitu, negara-negara ini dianggap sebagai negara Islam jika majoriti penduduknya mengamalkan ajaran Islam meskipun sistem pemerintahan dan ideologi politiknya adalah berbeza. “Dunia Islam” merujuk kepada orang Islam, tamadun Islam, dan negara yang memiliki majoriti penduduknya memeluk agama Islam. Bilangan penduduk Islam lebih dominan di kawasan seperti Timur Tengah, Afrika Utara, dan Asia Tengah, serta mempunyai pengikut yang banyak di negara-negara seperti China, Rusia, India, dan Balkan.

Negara Islam merupakan kawasan sempadan politik yang kebiasaannya menggunakan Hukum Syariah sebagai asas untuk pemerintahan, undang-undang, politik dan sosial. Terdapat beberapa negara Islam pada hari ini dilihat telah mengadaptasi tradisi konservatif dengan politik moden dengan mewujudkan sistem berparlimen atau menjadi negara Republik Islam. Walau bagaimanapun, masih ada negara-negara yang mengikut acuan dan dasar Islam sebenar. Sejumlah tujuh negara yang ditubuhkan atau berkembang melalui gerakan pembebasan Islam iaitu Arab Saudi, Iran, Afghanistan, Mauritania, Oman, Sudan dan Yemen. Arab Saudi dan Republik Islam Iran merupakan dua negara yang masing-masing mempunyai asal usul dan latar belakang yang berbeza. Arab Saudi ditubuhkan melalui gerakan nasionalis, sementara Iran mengalami proses penubuhan yang dicetuskan oleh konsep “campuran” antara liberalis dan jihad.

Walaupun Islam menjadi agama rasmi secara politik di beberapa negara, namun negara-negara tersebut tidak dianggap sebagai negara Islam sepenuhnya. Sebanyak 21 negara ini mempunyai populasi majoriti Muslim, tetapi turut mengiktiraf agama-agama lain sebagai agama rasmi. Ini menjadikan Libya sebagai negara yang paling diversiti dalam Dunia Islam. Manakala negara-negara seperti Malaysia dan Brunei, walaupun menetapkan Islam sebagai agama rasmi dan memberikan kedudukan istimewa dalam perlembagaan, mereka biasanya merupakan negara monarki atau kesultanan. Sultan dianggap sebagai ketua agama Islam di Malaysia, sementara Brunei mengamalkan sistem beraja mutlak berdasarkan prinsip tradisi “Melayu Islam Beraja”. Walaupun kedua-dua negara ini menggunakan undang-undang sivil dan common law, undang-undang syariah juga dilaksanakan dalam bidang-bidang tertentu.

Terdapat sejumlah 22 negara yang majoriti penduduknya adalah terdiri daripada Muslim, namun mereka mengamalkan sekularisme sebagai asas pentadbiran. Azerbaijan merupakan negara Islam sekular yang pertama dan diikuti oleh Republik Turki yang merupakan negara besar dalam sejarah Daulah Uthmaniyyah. Negara-negara ini kebanyakannya terletak di kawasan bangsa Turk, Afrika, dan bekas jajahan Soviet. Mereka biasanya mengadaptasi pengaruh Barat, seperti sistem penulisan Rumi, dan mengamalkan kebebasan bersuara serta komunikasi. Walaupun terdapat Kementerian atau Jabatan Agama Islam, namun urusan keagamaan tidak dicampur aduk dengan perkhidmatan awam dan urusan rasmi kerajaan.

Negara majoriti Muslim yang bersifat neutral memberikan kebebasan beragama sepenuhnya dan menganggap agama Islam setara dengan agama lain. Walaupun penduduknya kebanyakannya Muslim, sistem pemerintahan mereka tidak memberi keistimewaan kepada agama Islam atau agama lain dalam perlembagaan atau undang-undang dasar. Mereka tidak mempunyai pendirian yang jelas tentang pengiktirafan agama dalam sistem pentadbiran, tetapi memberikan kebebasan beragama kepada rakyatnya. Dua contoh negara yang termasuk dalam kategori ini adalah Republik Indonesia, yang memiliki populasi Muslim terbesar di dunia, dan Republik Arab Syria, di mana pendirian mereka tentang amalan beragama tidak dapat dipastikan. Indonesia sering dirujuk sebagai negara republik demokratik yang mengamalkan sekularisme melalui prinsip Pancasila, sementara memberikan kebebasan kepada organisasi Islam untuk beroperasi sebagai gerakan politik dan sosial.

Walaupun terdapat unsur Islam dalam pemerintahan beberapa negara, namun asas pemerintahan mereka tidak sepenuhnya berpandukan Islam, seperti yang terdapat dalam al-Qur’an dan Sunnah. Kebanyakan negara menggunakan sistem pemerintahan yang tidak bersandar pada nilai-nilai Islam secara menyeluruh. Dalam konteks Malaysia, situasinya tidak jauh berbeza. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh tidak ada pemimpin di dunia Islam yang mampu menyatukan negara-negara Islam. Penggunaan sistem pemerintahan yang sedia ada dianggap tidak sesuai dan tidak mematuhi landasan Islam yang sebenarnya. Masalah ini terjadi disebabkan oleh tiga faktor utama iaitu ekonomi, politik, dan sosial.

Kepimpinan Islam merupakan institusi yang penting dalam sistem politik Islam. Kewujudan kepimpinan Islam tidak hanya bertujuan menjalankan agenda pembangunan umat dengan berkesan, malah ia juga bertanggungjawab untuk membentuk sistem politik yang selaras dengan prinsip-prinsip Islam dan berpaksikan Allah SWT. Secara umumnya, kepimpinan Islam bermaksud mengurus dan mentadbir Negara mengikut landasan Islam iaitu berlandaskan al-Qur’an dan al- Sunnah serta ijtihad. Dalam kepimpinan Islam, pengabdian diri kepada Allah SWT hendaklah dilaksanakan secara sepenuhnya yang meliputi tugas-tugas keagamaan dan keduniaan. Menurut Ibnu Khaldun, pemimpin seharusnya membawa manusia berada di landasan syariah dan menjalankan urusan dunia yang menguntungkan akhirat. Bukan itu sahaja, pemimpin juga berperanan dalam mengawal urusan agama dan urusan dunia. Oleh yang demikian, setiap pemimpin negara seharusnya mentadbir negara mengikut landasan dan acuan Islam yang sebenarnya.

Sebarang bentuk pelaksanaan undang-undang, peraturan, program atau aktiviti yang dilaksanakan perlu merujuk kepada ketetapan Islam dari aspek halal ataupun haram. Hal ini bermaksud, pemimpin Islam tidak hanya menguruskan negara mengikut selera atau pandangan mereka semata-mata, malah mereka perlu merujuk kembali panduan yang telah ditetapkan dalam agama. Kepimpinan Islam merupakan institusi yang paling diperlukan dalam struktur politik Islam. Hal ini demikian kerana, kepimpinan Islam bukan sekadar tentang pengaturan urusan politik, tetapi juga tanggungjawabnya yang amat besar untuk memastikan sistem politik yang dijalankan selaras dengan nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam. Institusi ini juga bukan sekadar bertanggungjawab terhadap aspek dasar politik semata-mata, bahkan turut mengambil pendekatan terhadap proses pembangunan umat.

Dalam memilih seseorang pemimpin, para ulama telah menyepakati syarat-syarat penting bagi jawatan kepimpinan tertinggi, yang bertanggungjawab dalam menentukan dasar-dasar. Ia dikenali sebagai “al-Wilayah al-Ammar”. Terdapat firman Allah SWT yang mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan orang kafir sebagai pemimpin dan menegaskan bahawa Islam tidak membenarkan penguasaan orang bukan Islam terhadap orang Islam.

Para ulama juga merujuk firman Allah SWT yang menyebutkan untuk taat kepada Allah, Rasul-Nya, dan para pemimpin dalam kalangan umat. Oleh yang demikian, orang yang memegang amanah kepimpinan hendaklah dari kalangan umat Islam. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai soal pelaksanaan arahan, misalnya, Al-Mawardi berpendapat orang bukan Islam boleh memegang jawatan tersebut, namun pendapat ini dikritik oleh al-Juwayni dan Khalifah Umar al-Khattab juga menolak pemilihan orang bukan Islam sebagai pegawai kerja. Syarat keagamaan tersebut telah menjadi asas dalam kerajaan Islam silam, yang memastikan kepimpinan bersedia untuk melaksanakan syariat Islam tanpa ragu-ragu. Ini kerana keyakinan agama akan mendorong kepimpinan untuk bertanggungjawab di hadapan Allah dan rakyat. Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa ketua negara bertanggungjawab kepada rakyatnya sebagai pengawas yang memelihara kepentingan mereka.

Apabila dilihat dari perspektif ekonomi, sesebuah negara itu dilihat sebagai makmur, maju dan digeruni apabila mempunyai ekonomi yang stabil. Negara maju sering dikaitkan dengan taraf hidup yang sempurna dan mempunyai kuasa membeli yang tinggi dalam kalangan rakyatnya. Manakala bagi negara yang miskin, secara tidak sedar penjajahan secara senyap dari segi ekonomi telah berlaku kerana negara yang kuat ekonominya mampu memanipulasi dan menggunakan kekuatan ekonomi yang dimiliki untuk menindas negara-negara miskin. Syarikat-syarikat multi-nasional seperti Amerika Syarikat, Britain, German dan China telah menguasai kegiatan perdagangan antarabangsa. Ini telah menjadikan sistem kewangan dunia dikawal oleh negara-negara membangun dan gergasi ini. Kesannya, negara-negara lain terbelenggu dengan sistem ekonomi kapitalisme. Kebergantungan kita kepada negara luar telah menyebabkan negara miskin akan sentiasa berada dibawah kepompong yang sama walaupun mempunyai hasil bumi yang banyak. Hakikatnya, masih banyak negara Islam yang bergantung terhadap negara-negara maju seperti Amerika Syarikat khususnya yang melibatkan teknologi dan kepakaran. Ekonomi dunia telah mencengkam negara-negara Islam yang miskin dengan hutang melalui pinjaman-pinjaman, bantuan kemanusiaan dan kewangan yang dibuat dengan kuasa-kuasa ekonomi dunia.

Jika dilihat kedaan yang berlaku di Palestin sudah cukup membuka mata kita apabila kebanyakan negara Islam lain seolah-olah menutup mata dengan apa yang berlaku. Setiap hari, kita disajikan dengan berita yang meruntun hati apabila melihat kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, termasuklah membunuh orang awam, bayi, wanita dan orang tua yang tidak bersalah. Lantaran itu, pasti bermain-main difikiran kita mengapa negara sebangsa dan seagama tidak membantu rakyat Palestin yang dibunuh secara kejam oleh Israel laknatullah itu. Inilah yang menjadi kelemahan bagi negara-negara Arab yang seolah-olah hanya menjaga periuk nasi sendiri dan mengamalkan prinsip tidak menjaga tepi kain orang.

Tindakan ini diambil kerana sebahagian daripada negara besar Islam mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Natijahnya, kita sedia maklum, banyak negara besar seperti Amerika Syarikat sendiri terang-terangan menyokong Israel. Apabila ini berlaku, negara-negara Islam takut untuk menyuarakan sokongan mereka terhadap Palestin demi menjaga kestabilan ekonomi negara mereka sendiri. Perkara ini dilihat sebagai satu tindakan yang mementingkan diri sendiri. Namun begitu, tindakan yang dilakukan oleh Yaman dan Afrika Selatan yang menyokong Palestin haruslah menjadi contoh kepada negara lain membuka mata terhadap genosid yang sedang berlaku dalam kalangan rakyat Palestin. Walaupun Amerika Syarikat yang memegang ekonomi terbesar dunia itu memilih untuk bersengkokol dengan Israel, tetapi sekiranya semua negara-negara Islam ini bersatu hati melawan tindakan tidak berperikemanusiaan di Palestin, sedikit sebanyak tindakan tersebut akan memberi kesan kepada Israel dan sekutunya.

Namun demikian, hal ini tidak berlaku kerana Resolusi Sidang Kemuncak Negara-negara Arab-Islam pada November 2023 lalu gagal mencadangkan langkah atau strategik untuk mendesak Israel menghentikan serangan terhadap Palestin. Pemimpin-pemimpin Islam di sidang kemuncak tersebut hanya sekadar mengecam tindakan Israel tetapi tidak mengenakan sekatan ekonomi terhadap Israel malahan tindakan mereka kelihatan seperti hanya memeluk tubuh kerana masing-masing mempunyai kepentingan ekonomi sendiri yang perlu dijaga.

Musibah kekacauan ekonomi yang berlaku pada masa kini adalah berpunca daripada tangan manusia itu sendiri. Apabila berlakunya kezaliman dalam pengagihan kekayaan, riba, penipuan dan penindasan yang berleluasa, Allah SWT menurunkan balasan di dunia supaya manusia kembali sedar dan bertaubat atas perkara buruk yang telah dilakukan. Nilai-nilai kemanusiaan yang semakin lenyap dan sifat yang hanya mementingkan materialistik (kebendaan) sehingga meruntuhkan akhlak manusia seharusnya menjadi peringatan kepada kita semua. Allah SWT berfirman di dalam surah ar-Rum, ayat 41: Bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Oleh itu, manusia itu sendiri perlu sedar bahawa segala kemudaratan yang telah berlaku pada masa kini adalah berpunca daripada tangan manusia itu sendiri, iaitu kita.

Daripada sudut sosial, agenda globalisasi telah menjadikan dunia ini kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Melalui proses ini, dunia ini seolah-olah tidak lagi dibatasi dengan pemisahan geografi sesebuah negara mahupun tempat. Manusia saling berhubungan dan pelbagai maklumat sedia dihidangkan kepada masyarakat menerusi perantaraan media komunikasi secara alam maya melalui pelbagai aplikasi teknologi seperti media sosial, internet dan televisyen. Perkembangan yang berlaku ini telah memungkinkan hubungan antara satu negara dengan satu negara yang lain berlaku dengan begitu pantas. Ini telah menyebabkan risiko penyebaran pelbagai maklumat yang tidak ditapis sampai kepada masyarakat.

Natijahnya, dunia Barat telah mengambil perkara ini sebagai satu kesempatan yang dianggap seperti ‘mengejar ambulans’ di mana pihak Barat telah mengeksploitasi cara hidup sosial mereka yang bebas dan lepas daripada pegangan agama sebagai satu kehidupan yang patut dikecapi oleh semua orang. Ini telah menjadikan anak muda mudah terbabas dalam landasan hidup dengan mengamalkan hedonistik, penyebaran akses pornografi secara berleluasa dan remaja mula mencari kehidupan yang bebas tanpa batas. Tambahan lagi, masyarakat kita sering dimomokkan dengan kehidupan budaya Barat yang mempamerkan keseronokan membudayakan media sosial yang berkonsepkan 3F (Food, Fashion, Fun). Hasil daripada menifestasi ini telah menyebabkan pelbagai parodi dan video-video yang memaparkan aktiviti ‘food hunting’, ‘challenge’ tarian yang menghayalkan, ikutan pemakaian yang tidak berlandaskan agama Islam dan sebagainya di media sosial.

Apabila masyarakat Islam tidak lagi mengambil ibrah daripada sirah Islam, meninggalkan al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan, pelbagai masalah sosial berlaku dalam kalangan masyarakat. Fenomena ini sudah menjadi seperti barah dalam kehidupan manusia kini. Selain itu, penyebaran aliran liberal juga tidak boleh dipandang enteng dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Hasil daripada aliran liberal ini telah melahirkan ramai golongan liberal dalam kalangan umat Islam.

Selain itu, pegangan Barat yang menggalakkan pemisahan antara agama dan sains juga telah menjadi punca wujudnya pemikiran sekularisme, modenisme, rasionalisme dan individualisme. Begitu juga dengan serangan pemikiran yang mengangkat budaya hiburan dan hedonisme. Perkara yang paling menyedihkan adalah apabila melihat manifestasi pengaruh budaya sosial barat terhadap isu perkahwinan sesama jantina seperti Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender (LGBT). Pengaruh budaya ini dilihat semakin merebak dalam kalangan masyarakat kita melalui pelbagai platfom seperti filem, video muzik, nanyian, kartun dan juga komik. Masyarakat Islam kini dilihat seperti hilang jati diri dan sesat dalam dunia yang fana. Virus mencintai kebendaan dan dunia yang berlebihan telah merebak secara berleluasa seolah-olah tiada noktah dalam kehidupan umat Islam. Umat yang digelar sebagai ‘Khairu Ummah’ disamakan seolah-olah seperti alat mainan ditangan musuh-musuh Islam.

Kita tidak lagi digeruni malahan kehidupan sosial umat Islam telah dijajah. Manifestasi terhadap Islamofobia telah banyak mengancam kehidupan sosial umat Islam dalam berhadapan dengan negara luar. Ketakutan, kebencian dan diskriminasi terhadap penganut agama Islam telah banyak berlaku dan tersebar luas di negara-negara bukan Islam. Serangan terhadap masjid di New Zealand dan larangan pemakaian purdah di beberapa negara adalah bukti yang menguatkan fakta bahawa Islamofobia masih berterusan. Hal Ini demikian kerana, kegiatan mereka mendapat sokongan dan didokong oleh pihak-pihak tertentu demi menjatuhkan agama Islam di mata dunia.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh pemimpin Islam masa kini yang meliputi hal ehwal politik, ekonomi dan sosial. Seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam seharusnya memainkan peranan untuk sentiasa mengingatkan masyarakat Islam agar sentiasa mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya sebagai sebahagian daripada usaha dakwah mereka sebagai seorang pemimpin. Allah SWT berfirman dalam surah al-Imran ayat 104: Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. Contoh kepimpinan Islam yang baik dapat dilihat semasa pemerintahan Nabi Muhammad (SAW) dan diteruskan oleh para sahabat Khulafa al-Rasyidin selepas kewafatan baginda. Walaupun pelbagai cabaran dan konflik yang timbul, tetapi sifat kepimpinan yang baik secara jelas dipamerkan oleh baginda dan para sahabat dengan menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Akhirnya, agama Islam dapat disebarkan secara meluas dan diterima oleh pelbagai susur galur masyarakat. Pemimpin masa kini perlu memperlihatkan kredibiliti, kecekapan, dan akhlak yang baik kepada pengikut-pengikut mereka agar sejajar dengan nilai-nilai yang terkandung dalam agama Islam.

Selain itu, pemimpin-pemimpin Islam seharusnya membina satu barisan yang sama dan saling melengkapi dalam menentang dominasi barat dalam kehidupan masa kini. Jati diri sebagai seorang yang beragama Islam harus dikekalkan demi menjaga reputasi agama Islam itu sendiri dan tidak dipandang enteng oleh masyarakat luar. Daripada segi ekonomi pula, sebagai pemimpin Islam, kita tidak seharusnya lagi terlalu bergantung harap kepada negara-negara luar. Malahan, kita perlulah membina kekuatan ekonomi sendiri seperti mempergiatkan penggunaan hasil bumi secara efisien dan mengurangkan kadar import. Dengan ini, ekonomi negara Islam dapat diperkasakan dan mengukuhkan lagi kewangan negara-negara Islam.

Walau bagaimanapun, cabaran sosial yang dihadapi masa kini juga tidak seharusnya dipandang sebelah mata. Pemimpin Islam itu sendiri perlu memandu masyarakatnya supaya memperteguhkan jati diri dan institusi kekeluargaan selari sebagai seorang yang beragama Islam. Dengan adanya langkah-langkah ini, Islam itu akan dipandang tinggi oleh masyarakat luar dan dapat mengembalikan zaman kegemilangan Islam seperti suatu masa dahulu.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search