skip to Main Content
Trend Puasa Ramadan Dalam Kalangan Bukan Muslim

Trend Puasa Ramadan dalam Kalangan Bukan Muslim

Oleh: Siti Amirah Shaheera Shalihin

Bulan Ramadan merupakan bulan istimewa yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Kemuliaan bulan Ramadan boleh dilihat melalui ayat 185 surah Al-Baqarah, Allah memuliakan bulan Ramadan kerana memilihnya untuk diturunkan Alquran dan kitab-kitabNya yang lain. Malahan, bulan Ramadan juga diwajibkan bagi seluruh muslim untuk memenuhi tuntutan rukun Islam yang ke-tiga dengan melaksanakan ibadah puasa. Amalan di bulan Ramadan, tidak terhad kepada berpuasa semata-mata.  Antara amal ibadah lain yang khusus di bulan Ramadan termasuklah solat sunat tarawih, membayar zakat fitrah dan beri’tikaf di masjid pada 10 hari terakhir di bulan Ramadan. Selain itu, seluruh umat Islam sangat dianjurkan untuk menambahkan amal ibadah terutamanya membaca dan tadabbur alquran, bersedekah, berzikir, memohon taubat, mendirikan solat malam serta penekanan terhadap akhlak yang lebih baik. Bagi setiap muslim yang benar-benar beriman, bulan Ramadan merupakan bulan bonus untuk meningkatkan amalan ibadah kerana ganjarannya yang tidak ternilai. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang disebut Ar-Rayyan. Pada hari kiamat, orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya, dan tidak ada seorang pun selain mereka yang akan masuk darinya. Dikatakan, ‘Di manakah orang-orang yang berpuasa?’ Maka mereka pun berdiri dan masuk melalui pintu itu. Setelah mereka semua masuk, pintu itu pun ditutup, sehingga tidak ada lagi yang masuk melaluinya.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 1896 & Muslim, No. 1152)

Ganjaran ibadah di bulan Ramadan yang tidak terkira nilainya inilah yang menjadi motivasi utama bagi seluruh umat Islam untuk menahan lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari selama sebulan lamanya. Namun, belakangan ini amalan berpuasa di bulan Ramadan turut menjadi sebahagian daripada amalan dan gaya hidup tanpa mengira agama, bangsa mahupun negara! Berbeza dengan suatu masa dahulu berpuasa Ramadan hanya sinonim dengan amalan keagamaan umat Islam. Kini dapat dilihat trend berpuasa dalam kalangan bukan Islam semakin ramai sama ada diperingkat lokal mahupun global. Apakah faktor yang mempengaruhi trend ini?

 

Faktor Pengaruh Puasa Ramadan dalam Kalangan Bukan Islam

Masyarakat Majmuk: Puasa Ramadan Pupuk Nilai Perpaduan

Malaysia merupakan sebuah negara yang majmuk terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Secara amnya, menurut bancian kerajaan Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, agama majoriti yang dianuti termasuklah Islam (63.5%), Buddha (18.7%), Kristian (9.1%) diikuti dengan agama Hindu (6.1%).  Maka, dapat dilihat di sini pengaruh masyarakat majmuk dan asimilasi antara kaum menjadi salah satu pendorong kepada perubahan trend ini terutama dengan peningkatan penggunaan sosial media yang tidak asing lagi bagi semua.

Malaysia menyaksikan Ceddy Ang, seorang pempengaruh dan pengacara berbangsa Cina sebagai salah seorang yang bersama-sama meraikan amalan berpuasa. Menurut beliau, cadangan spontan daripada salah seorang pengikut di sosial medianya pada tahun 2023 merupakan pencetus utama kepada amalan ini. Tahun ini merupakan tahun ketiga beliau berpuasa di bulan Ramadan terutama apabila berpuasa berjaya merubah perspektif disiplin diri, kesabaran dan rasa syukur. Beliau gemar berkongsi pengalamannya termasuk bersahur kepada pengikut laman sosialnya.

Tambahan pula, di laman sosial media Tik Tok, video-video memaparkan suasana rakan sekerja bukan islam berpuasa dan berbuka puasa bersama-sama warga muslim sudah menjadi kebiasaan. Video-video begini memaparkan semangat toleransi dan kebersamaan yang mampu diterapkan secara tidak langsung melalui amalan berpuasa meskipun bukanlah penganut agama Islam. Tular juga video seorang wanita bukan muslim berbuka puasa di Masjid untuk lebih memahami rutin dan suasana berpuasa umat Islam di Malaysia. Suasana begini seringkali bermula dengan cabaran sukarela di tempat kerja yang membawa kepada jalinan persahabatan yang lebih baik. Lebih menarik lagi, terdapat video resipi persediaan menu sahur yang dihasilkan oleh bukan muslim untuk rakan-rakan bukan muslim yang mahu mencuba berpuasa untuk pertama kali! Sambutan perkongsian video seperti ini menunjukkan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Budaya ini semakin tidak asing terutama dalam kalangan generasi muda yang sangat terbuka untuk mencuba perkara baharu.

Bukan sahaja di Malaysia, budaya berpuasa dalam kalangan bukan Islam ini juga telah lama diperhatikan di negara-negara Islam lain yang mempunyai masyarakat berbilang agama seperti di Timur Tengah. Menurut Kholoud Khardoum, seorang penulis dari Baghdad, Ramadan bukan sekadar mengenai agama, tetapi juga tentang suasana dan tradisi yang menyatukan masyarakat. “Kadang-kadang penganut Kristian menyediakan pencuci mulut dan menghantarnya kepada jiran Muslim, dan sebaliknya,” katanya. Fenomena serupa turut berlaku di Mesir dan Lubnan, di mana rakan-rakan bukan Muslim memilih untuk berpuasa sebagai tanda kebersamaan.

Manfaat Kesihatan kepada Tubuh Badan

Manfaat puasa kepada tubuh badan semakin diketahui umum. Antara amalan berpuasa untuk kesihatan yang biasa diamalkan adalah puasa berselang ataupun Intermittent Fasting (IF). Sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu mengamalkan IF untuk mendapatkan manfaatnya. Maka tidak aneh, untuk bukan muslim mencuba berpuasa penuh di bulan Ramadan terutama bagi mereka yang sudah biasa mengamalkan IF di luar waktu Ramadan. Beribu-ribu kajian mengenai amalan IF juga puasa Ramadan dan manfaatnya kepada tubuh badan telah dijalankan dan dibincangkan oleh ahli akademi dan pakar kesihatan di seluruh dunia.

Kajian terkini pada tahun 2025 yang menggabungkan analisis sebelas kajian sistematik dan meta-analisis menunjukkan bahawa amalan berpuasa selama 29 hingga 30 hari ini dapat membantu mengurangkan ukuran pinggang, menurunkan berat badan, serta memperbaiki paras kolesterol dan tekanan darah. Hasil dapatan kajian juga menunjukkan paras lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL)—iaitu kolesterol baik—juga meningkat, sekali gus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (Jehrami et. al. 2025).

Secara ringkasnya, fisiologi di sebalik manfaat berpuasa dari sudut kesihatan adalah dapat mengurangkan pengambilan kalori, iaitu tenaga yang diperoleh daripada karbohidrat, protein, dan lemak. Hal ini dapat dilihat selepas beberapa hari berpuasa, badan akan mula beradaptasi apabila tenaga yang diambil kurang daripada keperluan tubuh badan. Daripada penggantungan kepada gula dalam hati sebagai sumber tenaga utama melalui proses glukoneogenesis, badan akan mula beralih kepada pembakaran lemak sebagai tenaga alternatif. Proses inilah yang membantu dalam penurunan berat badan, pengurangan peratus lemak, dan kawalan paras gula dalam darah serta perubahan hormon-hormon tertentu yang berkait secara tidak langsung. Maka, tidak menghairankan jika ramai yang merasakan tubuh lebih cergas ketika berpuasa, kerana badan sedang beradaptasi dengan penggunaan tenaga yang lebih efisien sesuai untuk jangka masa pendek.

Perkongsian temubual Radio Kool FM bersama Prof. Madya Dr. Soo Winci, yang juga merupakan bekas Ratu Cantik Malaysia, menunjukkan salah satu contoh tujuan berpuasa Ramadan kerana manfaat kesihatan. Beliau berkongsi, nikmat kesihatan dan awet muda antara faktor beliau berpuasa selain untuk meraikan amalan rakyat majoriti di Malaysia. Malahan, beliau turut sama-sama mengamalkan sahur dan juga puasa sunat 6. Tahun ini mencatatkan amalan berpuasa Ramadannya yang ke 14 tahun dan lebih istimewa apabila lebih ramai dalam kalangan rakan-rakannya mula bersama-sama mahu berpuasa bersamanya.

Solidariti Rakyat Gaza

Satu cicipan di laman sosial Thread oleh @therizzy meluahkan rasa hairan beliau terhadap trend bukan muslim yang semakin ramai mencuba untuk berpuasa. Persoalan beliau mendapat sambutan komen dari pelbagai individu yang berkongsi apakah tujuan mereka sama-sama menyambut dan meraikan Ramadan. Antara komen yang menarik perhatian adalah berpuasa kerana ingin menunjukkan solidariti terhadap Rakyat Palestin yang ditekan dan masih menderita angkara kerakusan Zionis. Puasa juga mampu menyemai empati terhadap mereka yang berlapar dan dahaga terutama dalam kalangan golongan yang tidak berkemampuan. Jawapan pemilik laman @drufino24 menekankan, sewajarnya semua individu wajar berpuasa untuk memupuk semula sifat empati yang memaknakan definisi insani yang kian terhakis.

Kisah Inspirasi Buat Anda yang Pertama Kali Berpuasa!

Dalam dunia bola sepak profesional yang memerlukan kecergasan tinggi, keputusan Kolo Touré, bekas bintang kelab bola sepak terkemuka Arsenal untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadan sambil bermain adalah sesuatu yang luar biasa. Bukan sahaja mampu bertahan tanpa makanan dan minuman sepanjang perlawanan, Touré mendapati bahawa puasa menjadikannya lebih kuat secara mental dan fizikal, sesuatu yang mengejutkan ramai pihak dalam dunia sukan.

Sepanjang kariernya yang cemerlang bersama Arsenal, Manchester City, dan Liverpool, Touré tidak pernah meninggalkan ibadah puasanya, walaupun terpaksa beraksi dalam perlawanan yang menuntut stamina tinggi. Beliau berkongsi bahawa puasa memberikan kekuatan psikologi yang luar biasa dan, lebih mengejutkan, beliau merasakan dirinya menjadi lebih cergas sepanjang bulan Ramadan.

“Ia adalah sesuatu yang sukar dijelaskan, tetapi saya merasa lebih kuat secara mental. Malah, semakin lama saya berpuasa, semakin cergas badan saya,” kata Touré dalam wawancara bersama The Sun UK. Touré menegaskan bahawa sokongan daripada kelab dan pasukan perubatan sangat penting dalam memastikan pemain Muslim dapat menjalani ibadah ini tanpa menjejaskan prestasi mereka. Berbeza dengan masa lalu di mana kesedaran mengenai Ramadan agak terhad, kini semakin ramai kelab Eropah menghormati pemain Muslim yang berpuasa dan menyediakan sokongan khas, seperti mengatur waktu rehat khas ketika perlawanan bagi membolehkan pemain berbuka puasa.

Pengalaman Touré membuktikan bahawa puasa bukan sekadar amalan agama, tetapi juga memberikan manfaat kesihatan dan mental yang besar. Sebagai seorang atlet profesional, keupayaannya untuk beraksi pada tahap tertinggi tanpa makanan dan minuman sepanjang hari menunjukkan bahawa puasa boleh meningkatkan daya tahan badan, menguatkan minda, dan membina disiplin yang lebih baik.

Bagi bukan Muslim, kisah Kolo Touré ini menjadi bukti bahawa berpuasa bukan satu sekatan dalam mencapai prestasi tinggi, tetapi boleh menjadi cabaran positif untuk meningkatkan daya tahan fizikal dan mental. Fenomena ini semakin diakui di peringkat antarabangsa, di mana ramai atlet dan pengamal kecergasan mula mencuba puasa sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan dan disiplin diri.

Sebuah kajian yang diterbitkan dalam Asian Journal of Sports Medicine menyiarkan dapatan kajian kesan berpuasa pada bulan Ramadan terhadap fungsi kognitif yang dijalankan ke atas 18 atlet Muslim lelaki. Prestasi neuropsikologi untuk menilai keupayaan pemprosesan maklumat, tumpuan visual, daya ingatan, dan fungsi eksekutif dibandingkan ketika berpuasa Ramadan dan tidak berpuasa. Hasil kajian mendapati bahawa prestasi dalam fungsi kognitif yang memerlukan respons pantas dan berterusan adalah lebih baik pada waktu pagi semasa berpuasa, tetapi menurun pada lewat petang. Sebaliknya, prestasi dalam ukuran ketepatan yang tidak bergantung kepada kelajuan didapati lebih stabil dan kurang terjejas oleh puasa. Secara amnya, kajian ini membuktikan berpuasa tidak memberi kesan negatif kepada kebanyakan fungsi kognitif atlet, malah meningkatkan prestasi dalam kalangan atlet (Tian et. al, 2011).

Cabaran Berpuasa Ramadan dalam Kalangan Bukan Islam di Malaysia

Meskipun demikian, berpuasa bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan terutama untuk mereka yang belum pernah menahan lapar dan dahaga untuk lebih 13 jam lamanya. Antara cabaran yang biasa adalah kurangnya motivasi untuk kekal bertahan fizikal dan mental sebagaimana muslimin lain yang mempunyai motivasi ganjaran akhirat yang dinantikan. Sekiranya niat berpuasa hanyalah sekadar untuk merasai atau terpengaruh dengan trend di sosial media, agak sukar untuk kekal bersabar menghabiskan puasa sehari apatah lagi untuk sebulan lamanya.

Selain itu, penyesuaian dengan jadual baru juga menjadi cabaran, terutamanya bagi mereka yang tidak biasa meninggalkan waktu makan utama seperti sarapan dan makan tengah hari. Perubahan mendadak dalam corak pemakanan boleh menyebabkan rasa lapar yang ketara, keletihan, atau kesukaran untuk fokus sepanjang hari. Hari-hari awal berpuasa mungkin terasa lebih mencabar apabila badan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pola pemakanan yang berbeza. Hal ini akan semakin ketara bagi sesetengah individu apabila berpuasa sedikit sebanyak mengganggu prestasi dan produktiviti kerja apatah lagi dalam tuntutan pekerjaan yang melibatkan aktiviti fizikal berat.

Hakikatnya, cabaran-cabaran ini bukanlah penghalang. Perancangan menu bersahur dan berbuka yang rapi serta benar-benar meyakini manfaat berpuasa serta nilai-nilai murni yang bakal diperoleh melalui pengalaman ini, pastinya akan membantu bukan muslim untuk melengkapkan usaha berpuasa. Melalui pendekatan yang positif, puasa bukanlah hanya satu pengalaman hidup unik dalam kalangan bukan muslim, tetapi juga peluang untuk memperbaiki gaya hidup dan membentuk ketahanan diri bagi sesiapa yang melaluinya dengan penuh penghayatan.

Kesimpulan

Trend bukan Muslim mencuba puasa Ramadan bukanlah sekadar fenomena sosial, tetapi satu peluang besar untuk membina kefahaman serta menghapuskan salah faham terhadap Islam. Penglibatan mereka dalam ibadah ini membuktikan bahawa nilai-nilai Ramadan seperti kesabaran, kawalan diri, dan empati adalah bersifat universal, merentasi perbezaan kepercayaan agama dan budaya.

Bagi orang Islam, keterbukaan bukan Muslim dalam mencuba puasa seharusnya disambut dengan sokongan dan bimbingan, bukan dengan skeptisisme apatah lagi kecaman. Ini adalah peluang terbaik untuk menjadikan amalan puasa Ramadan sebagai medium dakwah melalui akhlak yang baik seperti sokongan dan kesediaan untuk berkongsi ilmu tentang amalan berpuasa dengan penuh hikmah dan toleransi. Sedar atau tidak, seringkali nilai Islam yang sebenar sering kali tercemar oleh perlakuan segelintir individu yang tidak mencerminkan keindahan agama. Maka, inilah ruang untuk menunjukkan Islam melalui contoh dan tindakan.

Jika ada satu perkara yang boleh dipelajari daripada trend ini, ia adalah hakikat bahawa kebaikan yang dibawa oleh Ramadan tidak inklusif dan terbatas kepada umat Islam semata-mata, tetapi boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja yang ingin mencuba.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search