
Senario Krisis Makanan di Malaysia: Kesan Sosioekonomi
Oleh: Dr. Nurul Suhada Ismail
Krisis Makanan Dunia
Fenomena ketidakcukupan makanan dan kebuluran adalah petanda wujudnya krisis makanan. Terdahulu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi laporan yang dikeluarkan pada tahun 2006, menganggarkan terdapat 6 juta orang berdepan kelaparan di dunia pada tahun 1999 sehingga 2005. Belakangan ini, dunia sekali lagi dikejutkan dengan krisis makanan sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat dunia. Walhal, negara-negara dunia baru sahaja berdepan ancaman krisis kesihatan, COVID-19 dan krisis alam sekitar yang turut memberi tekanan kepada pasaran makanan. Ditambah pula, krisis peperangan antara Ukraine dan Russia yang berpanjangan, perubahan iklim dan peningkatan kadar inflasi yang turut memberi kesan terhadap kenaikan harga makanan dunia. Kesannya, kenaikan harga makanan dan eksport bekalan makanan yang tidak menentu daripada kedua-dua negara tersebut. Lebih-lebih lagi, Ukraine dan Rusia merupakan antara penyumbang terbesar minyak bunga matahari serta pengeksport gandum dan barli.
World Food Programme (WFP) dan FAO menganggarkan impak daripada situasi semasa menyebabkan ketidakselamatan makanan meningkat daripada 100 juta orang tahun 2021 kepada 161 juta orang pada tahun 2022. Malah, Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa peperangan antara Ukraine dan Rusia juga telah menyebabkan 60 peratus daripada penduduk dari kawasan yang mengalami ketidakcukupan zat merasai kesan dari konflik ini. Lebih memburukkan lagi apabila India telah melarang eksport gandum yang memberi impak terhadap pasaran gandum dunia. Hal ini berikutan perubahan cuaca panas terik yang menjejaskan hasil tanaman dan harga gandum tempatan mencecah harga tertinggi. Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latif, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), menjelaskan keadaan ini bakal berlarutan kerana bergantung kepada faktor cuaca dan permintaan gandum di pasaran tempatan dan global. Secara asasnya, peningkatan harga komoditi global telah memberi kesan kepada inflasi makanan. Sudah tentu situasi ini akan memberi kesan kepada kemampuan dan perbelanjaan isi rumah.
Realiti Krisis Makanan di Malaysia
Harga barangan makanan di Malaysia terus melonjak naik kesan daripada krisis makanan dunia yang sedang berlaku. Peningkatan harga barangan makanan telah menjejaskan bekalan makanan dan kemampuan rakyat untuk membeli makanan. Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2022 melaporkan, sebanyak 184 item makanan daripada keseluruhan 552 item dalam “bakul” Indeks Harga Pengguna (IHP) telah mencatatkan peningkatan. Begitu juga dengan Indeks Harga Makanan telah mencecah 159.7 pada bulan Mac, iaitu kenaikan sebanyak 17.7% berbanding dengan bulan Januari. Kadar kenaikan indeks tersebut adalah paling mendadak sejak wujudnya indeks tersebut pada tahun 1990. Lebih menggusarkan lagi, IHP April 2022 telah meningkat 2.3 peratus daripada 123.1 kepada 125.9 sehingga menjadikan inflasi makanan pada April 2022 89.1% item makanan dan minuman mengalami kenaikan.
Senario yang berlaku ini membebankan orang ramai apabila harga barang makanan mentah terus meningkat naik sehingga menjejaskan kemampuan mereka untuk membeli. Buktinya, Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2022 melaporkan, inflasi makanan mengalami peningkatan bagi sayur-sayuran, daging dan ikan yang berpunca daripada kekurangan bekalan makanan serta kenaikan harga makanan ternakan. Laporan tersebut menunjukkan indeks ini meningkat bagi bahan mentah untuk memasak (4.1%); daging (7.8%); sayur-sayuran (5%); susu, keju dan telur (4.7%); minyak dan lemak (4.6%) serta ikan dan makanan laut (4.2%). Antara jenis makanan yang mengalami kenaikan harga pada April 2022 berbanding Mac 2022 ialah harga daging daripada RM 35.93/kg menjadi RM 36.26/kg; terung naik kepada RM 8.92/kg daripada RM 8.10/kg dan harga tembikai meningkat kepada RM 3.43/kg daripada RM 2.85/kg. Berita Harian pada Mei 2022 juga melaporkan harga sayuran dan hidupan laut meningkat secara mendadak sehingga kadar 50%. Rententan itu, masyarakat merasai perubahan nilai duit yang semakin mengecil dan kuantiti barang makanan yang semakin sedikit walaupun dengan kadar duit yang sama sebelum ini.
Peningkatan harga bahan mentah secara tidak langsung menyebabkan harga makanan yang siap dimasak turut meningkat. Jabatan Perangkaan Malaysia, 2022 turut melaporkan peningkatan sebanyak 3.1% dan antara makanan tersebut ialah masakan berasaskan daging (6.3%), masakan berasaskan sayur-sayuran (4.7%), nasi berlauk (4.5%) serta sate (3.9%). Kesan daripada kenaikan harga bahan makanan, sudah pasti memberi impak kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah. Apatah lagi, terdahulu kita melalui krisis pandemik COVID-19 yang menjejaskan ramai orang. Kini, krisis makanan dan kenaikan harga pula menghambat golongan yang sedia terkesan. Golongan ini diibaratkan sebagai sudah jatuh ditimpa tangga.
Berdasarkan indeks harga pengguna menunjukkan kenaikan harga barang makanan berlaku terhadap item makanan utama bagi rakyat Malaysia. Jika harga barang makanan berterusan meningkat pastinya akan mengurangkan kuasa beli, mengehadkan perbelanjaan dan meningkatkan kos sara hidup rakyat. Keadaan ini pastinya membawa kepada situasi yang lebih teruk seperti kelaparan dan kebuluran. Menurut Global Hunger Index (2021), Malaysia berada di tangga ke-58 daripada 116 buah negara dengan skor 12.8. Justeru, ini menggambarkan tahap situasi kelaparan di Malaysia berada di tahap yang sederhana.
(Global Hunger Index, 2022)
Walaupun situasi ini tidak ketara berlaku di Malaysia, namun masih ada lagi kes terpencil yang direkodkan berlaku. Namun, tidak dinafikan jika krisis makanan dan kenaikan harga barang makanan semakin berlarutan menyebabkan golongan T20 berubah kepada M40, M40 berubah kepada B40 serta golongan B40 akan menjadi semakin susah. Keadaan ini diperkukuh dengan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, iaitu sebanyak 12.8% daripada kelompok T20 yang beralih kepada kelompok M40. Bahkan, agihan pendapatan untuk kelompok B40 juga telah menurun daripada 16% kepada 15.9% dan M40 semakin menurun daripada 37.2% kepada 36.9%. Akibatnya, rakyat merasai kesan yang lebih teruk apabila berlakunya kenaikan harga barang makanan kerana mereka tidak mampu untuk membeli makanan atau terpaksa mengurangkan pembelian makanan.
Krisis makanan dunia ini pastinya memberi impak kepada negara, khususnya masyarakat Malaysia yang masih lagi bergantung kepada makanan import. Pakar Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia, Prof Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad menegaskan, sektor pengeluaran makanan masih lagi rendah sehingga menjadikan bekalan makanan sering tidak stabil. Beliau juga menjelaskan bahawa pasaran makanan di Malaysia tidak memiliki kapasiti bertahan terhadap perubahan pasaran dan perubahan iklim. Hal ini pastinya membawa kepada ketidakstabilan bekalan dan stok makanan negara. Setiap tahun, Malaysia memperuntukkan RM 50 bilion bagi import bahan makanan asas termasuklah beras (30%), daging lembu (78%), daging kambing (90%) dan sayur kobis bulat (60%). Malaysia juga bergantung terhadap komoditi import seperti daging kambing, mangga, kelapa dan daging lembu untuk memenuhi keperluan tempatan. Import makanan ini khususnya daging kambing, 70% diimport dari Australia manakala mangga, kelapa dan daging lembu kebanyakkan dari Thailand, Indonesia dan India. Laporan Bernama tahun 2022 juga, pada tahun 2021, Malaysia mengalami defisit RM 25 bilion kerana import agromakanan mencecah RM 64 bilion berbanding eksport RM 39 bilion. Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai bahawa berlaku peningkatan import barangan keperluan terutama produk makanan melebihi kadar 80%. Tuntasnya, kebergantungan negara terhadap bekalan makanan import menyebabkan sebarang perubahan harga import akan menjejaskan harga bahan makanan dalam negara. Akibatnya, harga barang makanan akan meningkat serta menjejaskan kemampuan rakyat untuk membeli.
Saranan Menghadapi Krisis Harga Makanan
Menurut penelitian pakar ekonomi, keadaan kenaikan harga barang dijangka akan terus melonjak naik berdasarkan situasi semasa. Laporan World Bank pada tahun 2022, harga makanan dijangka terus meningkat kira-kira 20% bagi tahun 2022 sebelum susut pada tahun 2023. Puncanya, gangguan bekalan makanan, peningkatan kos input makanan dan sekatan dasar di sesebuah negara. Hal ini menjadi suatu amaran dan penanda aras untuk negara serta rakyat khususnya untuk menghadapi situasi genting. Semua orang tidak terkecuali menerima tempias dan kesan langsung kenaikan harga makanan. Oleh yang demikian, tindakan atau inisiatif yang dilaksanakan seharusnya bersifat strategik dan proaktif bagi memastikan kestabilan sekuriti makanan kepada semua rakyat terjamin.
Dari sudut skala makro, pengukuhan bekalan makanan dan kecukupan stok makanan sewajarnya menjadi keutamaan negara. Utilisasi tanah seharusnya digunakan secara optimum memandangkan Malaysia memiliki sumber alam yang subur. Aktiviti pertanian dan perternakan perlu dipergiatkan bagi menampung keperluan makanan domestik sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada makanan import. Suntikan teknologi moden wajar diperluaskan kepada kelompok petani dan pengusaha kecil-kecilan agar mereka juga dapat menyumbang dalam kapasiti yang besar kepada bekalan makanan. Prof. Dr. Fatimah Kari, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya mengusulkan agar para petani kecil untuk membangunkan sektor pengeluaran makanan domestik dengan menggalakkan mereka untuk membuka aktiviti hiliran dan huluan dalam bidang perniagaan tani.
Selain aspek bekalan makanan, aksesibiliti makanan merupakan salah satu faktor untuk menjamin sekuriti makanan. Mekanisme harga makanan seharusnya dikawal dan dipantau oleh kerajaan secara konsisten bagi memastikan semua kategori masyarakat mampu membeli makanan. Hal ini kerana aksesibiliti masyarakat kepada makanan dapat mengatasi masalah kebuluran dan kelaparan. Malah, trend penggunaan makanan dalam kalangan masyarakat juga sewajarnya perlu bersederhana untuk mengelak pembaziran makanan.
Kesimpulannya, jaminan kestabilan sekuriti makanan sewajarnya dipandang serius dan ditangani bersama-sama oleh semua pihak di peringkat negara, pembuat dasar, pengeluar, pengilang dan pengguna. Sinergi antara kesemua pihak ini penting bagi memastikan kelestarian kecukupan bekalan makanan, aksesibiliti makanan dan kualiti makanan. Hal ini secara tidak langsung mengelakkan situasi kelaparan dan kekurangan zat berlaku di Malaysia.