
Pembudayaan Literasi Media Mengangkat Masyarakat Matang
Oleh: Dr Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz, Dr Mohd Rizal Abu Bakar & Dr Nooramira Ghazali
Kuasa Media Sosial Mempengaruhi Pengguna
Perkembangan pesat sains dan teknologi dalam kehidupan moden kini membawa masyarakat untuk menjadikan media sosial sebagai platform utama bagi berkongsi maklumat, berkomunikasi dan mempengaruhi masyarakat. Media sosial memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan seharian sehingga masyarakat umum tidak terhalang daripada pengaruhnya. Meskipun media sosial dapat memberikan informasi dengan pantas, namun pengaruh dan kesannya ke atas masyarakat amat membimbangkan. Penggunaan media sosial yang berterusan menyebabkan seseorang menerima maklumat secara tidak terkawal. Kecanggihan teknologi menjadikan interaksi secara alam maya bertambah pesat dengan adanya media sosial seperti Tiktok, Facebook, Instagram, Twitter atau aplikasi X dan sebagainya.
Pandemik COVID-19 membawa amalan baharu secara dalam talian bagi kehidupan dan aktiviti masyakarat. Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini. Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata statistik tersebut menunjukkan rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak 2 juta atau 7% dalam tempoh setahun dari tahun 2020. Menurut laporan berita Wion News, kajian mendapati Malaysia berada di tempat kedua bagi negara yang paling banyak menggunakan platform media sosial di dunia. Perkara ini dapat dibuktikan apabila rakyat Malaysia memperuntukkan kira-kira 8 jam sehari untuk menggunakan internet (Kosmo Online, 11 Mei 2023). Tempoh penggunaan aplikasi media sosial ini bukan faktor utama menyumbang kepada kemahiran seseorang individu menggunakannya secara efektif dan berhemah, namun sebenarnya tertakluk kepada kesediaan pengguna untuk menerapkan literasi atau celik ilmu guna media sosial.
Tahap literasi media yang rendah membawa kepada kebimbangan penerimaan sesuatu maklumat kepada pengguna. Lebih-lebih lagi dengan kewujudan pelbagai saluran media sosial yang membolehkan golongan yang digelar sebagai pencipta kandungan (content creator) atau pempengaruh (influencer) memuat naik kandungan mereka untuk berkongsi pelbagai maklumat. Tahap kepercayaan pengguna media sosial atau dikenali sebagai ‘netizen’ terhadap maklumat di media sosial kini bergantung kepada ketularan (virality). Semakin kerap maklumat disebar atau diulang siar, maka semakin popular kandungan tersebut. Kelemahan dalam literasi media menyebabkan ramai pengguna menggunakan media sosial sekadar melepaskan stres dan menghabiskan waktu terluang. Kebanyakan pempengaruh memuat naik kandungan sekadar untuk meraih sebanyak mungkin pengikut (follower) sehingga boleh mencecah ratusan ribu malah jutaan pengikut di saluran media sosial masing-masing. Terdapat juga beberapa pempengaruh yang hanya mengejar kemasyhuran atau populariti terhadap isu yang dimuat naik di laman sosial mereka.
Selain itu, pempengaruh kebiasaanya mempunyai sasaran mereka untuk dicapai dan keutamaannya lebih kepada mendapat like, follow dan share yang tinggi. Sebilangan mereka sanggup menyediakan kandungan yang menjengkelkan dan bertujuan hanya untuk mencuri perhatian orang awam. Situasi ini akan menyebabkan hantaran yang dibuat mendapat kecaman dan kutukan ramai. Kebanyakan pengguna media sengaja menyebarkan isu atau berita yang tidak benar dan sengaja menimbulkan kontroversi untuk menarik perhatian orang ramai. Justeru, kandungan yang disebarkan di media sosial sekali gus memberikan impak yang besar khususnya kepada sistem masyarakat. Isu ini akan menjadi semakin parah apabila seseorang pempengaruh mungkin mengeluarkan kenyataan yang tidak bermanfaat disebabkan mereka tidak memikirkan kesan atau faedah kenyataan tersebut. Sebenarnya perkara utama yang harus ditekankan oleh setiap pempengaruh media sosial ialah memahami secara mendalam berkaitan etika bersosial di media sosial. Dalam erti kata lain, mereka harus sentiasa memikirkan impak moral dan sosial daripada kandungan mereka kepada penerima mesej tersebut. Terdapat hadis yang menyatakan kepentingan menyebarkan perkara bermanfaat iaitu daripada Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sebahagian daripada tanda baiknya (kualiti) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi no. 2318, 2319). Sebagai seorang Muslim, semua adab yang baik wajib dipelihara supaya maruah tidak tercemar dan kualiti diri sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Masyarakat pula perlulah menghindarkan diri daripada tindakan menormalisasikan segala amalan buruk yang bertentangan dengan akhlak Islam.
Jika perkara yang dilakukan oleh seseorang individu itu merupakan amalan yang baik dan diikuti oleh orang lain, maka individu tersebut akan memperolehi saham pahala sehingga hari kiamat selagi mana perkara baik itu dibuat secara berterusan oleh orang lain. Pempengaruh sepatutnya diberikan pujian atau boleh diikuti sekiranya input-input yang diberikan berunsur positif serta dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat. Pada amnya, para pengikut sentiasa mencari kandungan yang baru dan menarik. Oleh yang demikian, pempengaruh perlu mempunyai rasa tanggungjawab kepada pengikut mereka supaya boleh dijadikan contoh dan ikutan yang baik. Hal ini penting supaya masyarakat tidak menormalisasikan perkara yang menjengkelkan atau sia-sia dalam kehidupan seharian mereka. Masyarakat memainkan peranan yang besar kerana bukan sahaja pempengaruh yang berperanan untuk mempengaruhi, malah pengikut atau follower juga harus bijak memilih pempengaruh yang sesuai untuk diikuti dan dijadikan sebagai inspirasi.
Signifikan Pembudayaan Literasi Media
Penggunaan media secara jelasnya memerlukan kemahiran literasi media dalam diri setiap individu pengguna. Tahap literasi media dalam kalangan masyarakat perlu diberi perhatian disebabkan oleh limpahan maklumat yang terlalu banyak akibat perkembangan teknologi canggih. Literasi media adalah merujuk kepada keupayaan seseorang untuk menentukan kesesuaian kandungan media yang digunakan serta mengelakkan penggunaan kandungan media yang tidak diperlukan (Rianto, 2016). Literasi media turut melibatkan keupayaan pengguna media sosial dalam mengakses, memahami, menganalisis dan menilai sesuatu kandungan mesej atau maklumat di samping turut berkait rapat dengan kematangan mereka dalam mengendalikan teknologi komunikasi siber.
Dalam konteks lebih khusus, literasi media merujuk penggunaan aplikasi media sosial yang lebih berhemah dan beretika serta mengurangkan kesan negatif. Literasi media sosial juga boleh diterjemahkan sebagai peraturan dan kawalan kendiri dalam memastikan setiap maklumat dikongsi di media sosial bebas risiko dan memberikan manfaat kepada pengguna lain. Sehubungan itu, penerima maklumat perlu membuat pertimbangan wajar, sama ada sesuatu maklumat boleh disebarkan untuk memberi faedah kepada orang ramai atau segera memutuskan rantaian komunikasi jika mempunyai unsur tidak baik. Sekiranya terdapat kegagalan kedua-dua pihak iaitu pemula (pempengaruh) dan penerima komunikasi (pengguna media sosial) menilai impak penyebaran sesuatu maklumat di media sosial, maka situasi ini boleh membawa kemudaratan dalam kalangan warganet. Kebanyakan pengguna media sosial pada masa ini tidak menganalisis dan menilai setiap kandungan sebelum menyebarkannya kepada umum. Kemungkinan ramai pengikut atau pengguna media sosial beranggapan sebarang kenyataan yang ditulis atau dimuat naik ‘tidak serius’, namun sebaliknya ramai terkesan terutamanya dari segi emosi akibat perlakuan tersebut. Elemen literasi ini bukan sahaja membabitkan kemahiran menggunakan media sosial semata-mata, malah merangkumi pengetahuan dan kesedaran kesan serta akibat penggunaannya kepada diri, pengguna lain serta institusi berkepentingan lain.
Kewajaran Kawalan Ke Atas Penggunaan Media Sosial
Kesedaran dalam literasi media penting untuk mengelakkan pengaruh buruk yang berleluasa disebabkan oleh media sosial. Usaha dan peranan oleh institusi kekeluargaan memainkan peranan yang cukup besar dalam membendung masalah ini daripada terus berleluasa terutama peranan ibu bapa. Pemantauan oleh ibu bapa seharusnya ditingkatkan agar anak-anak sentiasa terkawal daripada perbuatan yang melalaikan. Ibu bapa perlu mengawasi masa yang dihabiskan dan membataskan waktu akses dari segi penggunaan media sosial oleh anak-anak daripada melayari sesuatu konten yang tidak sesuai. Peranan ibu bapa sangat penting dengan membudayakan perkara yang bermanfaat kepada anak-anak dengan memberikan pendidikan media. Contohnya, dari segi memilih sumber informasi yang betul, memahami dan memanfaatkan media ke arah perkara yang positif. Menurut Syed Mohamad Syed Abdullah Pensyarah Kanan, Bimbingan dan Kaunseling Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Harian Metro 24 Februari 2024, pembudayaan literasi media perlu dilakukan dalam acuan pendidikan dan budaya Malaysia sendiri. Oleh yang demikian, usaha ini dilaksanakan dari peringkat awal oleh ibu bapa dengan memberikan pendidikan media, pemantauan dan pengawasan yang berkesan dalam mengatasi masalah ini dari terus berleluasa.
Usaha dari sudut masyarakat boleh diperluas dengan meningkatkan kesedaran pendidikan tentang pentingnya literasi media. Pelbagai program yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat seperti program pendidikan, seminar dan kempen kesedaran. Usaha mengadakan satu kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat Malaysia menjadi pengguna media sosial yang bijak perlu dilaksanakan. Perkara ini penting dilaksanakan agar semua lapisan masyarakat lebih telus dan bertanggungjawab dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Melalui kempen ini, masyarakat juga boleh mempromosikan etika bermedia yang baik dengan menghormati kebebasan bersuara dan menghargai pelbagai sudut pandangan serta mengelak daripada penyebaran maklumat yang merosakkan. Selain itu, pihak kerajaan ataupun swasta juga perlu menggerakkan agenda pemupukan kesejahteraan siber. Antaranya, minggu kesejahteraan siber dan anugerah tokoh kesejahteraan siber. Agenda ini bertujuan untuk menggalakkan amalan dan tatacara untuk mengendalikan media sosial dengan baik dan berhemat. Usaha kerajaan juga dapat dilaksanakan dengan mengambil langkah segera dengan menubuhkan Majlis Literasi Media. Menurut Mohd Khairie Ahmad, Pensyarah Kanan dan Penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), dalam Sinar Harian 24 Februari 2024, Majlis Literasi Media perlu ditubuhkan sebagai peneraju dalam usaha pendidikan awam yang berkaitan celik media dan kesejahteraan siber serta berperanan dalam menasihati kerajaan dalam hal-hal berkaitan. Penubuhan majlis ini sebagai satu inisiatif dan langkah yang lebih tersusun dan menyeluruh dapat dirangka dengan mengembleng kepakaran ahli akademik dan golongan profesional, agar literasi media di Malaysia lebih cekap dan bersistematik.
Sebagai pengguna media, pendidikan dan kefahaman yang jelas perlu ditekankan agar tiada salah faham dalam menafsirkan berita-berita yang tersebar di media sosial. Golongan netizen juga memainkan peranan yang penting dalam penyebaran unsur pembohongan atau unsur negatif yang menyebabkan berlakunya kontroversi. Walhal, sebagai seorang Muslim, semua adab yang baik wajib dipelihara supaya maruah tidak tercemar dan kualiti diri sentiasa dipertingkatkan. Rakyat Malaysia juga berperanan penting untuk menggunakan aplikasi media sosial dengan lebih berhemah, beretika dan efektif, sekali gus mengurangkan kesan negatif. Perkara ini selaras mendukung prinsip Rukun Negara, khususnya yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dalam berinteraksi menerusi dunia maya bagi memelihara perpaduan masyarakat dan keharmonian negara.
Pembudayaan literasi media sebenarnya mampu mengangkat masyarakat yang matang. Istilah “matang” dalam konteks ini boleh diertikan sebagai masyarakat yang memiliki pemahaman yang mendalam tentang informasi yang mereka terima, mampu melakukan analisis yang kritis terhadap kandungan media dan memiliki kemampuan untuk membezakan antara informasi sesuai atau sebaliknya. Di samping itu, masyarakat yang matang juga cenderung memiliki kesedaran diri yang tinggi tentang tanggungjawab mereka dalam menyebarkan informasi, baik secara langsung mahupun melalui media sosial. Dalam menjadi seorang pempengaruh bukanlah hanya semata-mata untuk menjadi terkenal sebaliknya memikul tanggungjawab besar. Oleh itu, untuk kekal relevan, popular dan berkredibiliti, maka pempengaruh mahupun pengguna media sosial perlu mempunyai pemikiran yang analitik dan kritikal. Mereka seharusnya mampu memilih informasi sebelum menyebarkannya, serta mempertimbangkan impak daripada informasi yang bakal mereka sebarkan kepada orang lain.