skip to Main Content
Menghapuskan Buli Di Sekolah: Peranan Undang-undang Dalam Melindungi Pelajar

Menghapuskan Buli di Sekolah: Peranan Undang-undang dalam Melindungi Pelajar

Oleh: Dr. Shereeza Mohamed Saniff

Buli dalam kalangan pelajar merupakan masalah yang serius yang tidak boleh diambil mudah. Salah laku buli harus dibendung pada peringkat awal. Dahulu insiden buli sering berlaku dalam kalangan pelajar sekolah menengah yang tinggal di asrama tetapi kebelakangan ini kes buli juga melibatkan pelajar sekolah rendah. Buli di sekolah merupakan tanggungjawab semua pihak yang memerlukan usaha secara bersama untuk mengatasinya.

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), terdapat peningkatan pada kes buli yang dilaporkan di sekolah saban tahun. Jumlah kes buli yang melibatkan fizikal, lisan, dan manipulasi sosial juga tinggi. Kebanyakan kes buli berlaku di sekolah, atau di dalam bilik asrama. Statistik kes buli menunjukkan pada tahun 2015, sebanyak 3011 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah. Pada tahun 2016 sebanyak 3488 kes buli dilaporkan. Pada tahun 2023, kes buli yang telah direkodkan melonjak kepada 5,319. Daripada data 2023 ini, dinyatakan 4,787 (atau hampir 90% kes buli yang direkodkan) terlibat dengan salah laku. Permasalahan timbul kerana pembuli menganggap perilaku tersebut sebagai satu gurauan manakala mangsa buli akan berasa kurang senang dan tertekan. Sekiranya salah laku buli tersebut telah menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa buli atau telah menyebabkan kematian, tindakan undang-undang boleh diambil.

Tujuan artikel ini adalah untuk mengupas secara ringkas hubungan buli di sekolah dengan beberapa peruntukan undang-undang yang terdapat di Malaysia. Terdapat tiga bahagian utama pada artikel ini. Bahagian pertama membincangkan tentang permasalahan salah laku buli di sekolah sama ada patut dianggap sebagai satu perlakuan jenayah atau sebaliknya. Timbul persoalan sebegini kerana pembuli dan mangsa buli adalah pelajar sekolah dan berada di bawah umur untuk disabitkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman. Perbincangan tentang hukuman jenayah untuk pembuli di sekolah juga diselitkan. Bahagian kedua membincangkan tentang buli dan jenis buli sambil mengetengahkan beberapa peruntukan undang-undang yang terdapat di negara ini yang boleh dikaitkan dengan salah laku buli. Bahagian terakhir merupakan penutup dengan mengemukakan saranan bagaimana salah laku buli ini boleh dibendung secara lebih efektif.

Perihal Perlakuan Buli dan Permasalahannya

Buli adalah satu bentuk interaksi sosial. Perlakuan buli boleh ditunjukkan dalam pelbagai bentuk dan cara tanpa mengira jantina. Buli pada asasnya adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang menunjukkan terdapat ketidakimbangan kuasa antara dua pihak – pembuli dan mangsa. Pembuli lebih berkuasa daripada mangsa. Pembuli merupakan individu atau kumpulan yang lebih dominan yang menunjukkan tingkah laku agresif dan cenderung menyebabkan ketidakselesaan kepada individu (mangsa buli) yang lemah, kurang berkuasa dan tidak mampu mempertahankan dirinya. Ia merupakan satu perbuatan negatif oleh pembuli secara berulang kali. Mangsa buli pula tidak bertindak balas semasa berlaku kejadian buli dan tidak berupaya. Perlakuan buli sama ada dalam bentuk psikologikal atau fizikal, dilakukan berulang kali secara sedar oleh pembuli sebagai pihak “yang lebih berkuasa” untuk menyakiti, mengancam, menakutkan atau meletakkan mangsa buli sebagai pihak lagi satu, di bawah tekanan atau dalam situasi yang tertekan.

Buli membawa maksud perbuatan oleh individu atau kumpulan yang menggunakan kekuatan atau kekerasan untuk menakutkan, mengganggu, menghina atau menyakitkan orang lain melalui pelbagai kaedah, sama ada secara fizikal, mental atau emosi yang mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa. KPM telah menggariskan empat jenis salah laku buli iaitu buli fizikal, buli lisan, buli bukan lisan dan buli siber. Buli bukan lisan dan buli siber terangkum dalam jenis buli manipulasi sosial.

Secara ringkasnya, buli fizikal melibatkan kekerasan atau keganasan fizikal ke atas tubuh badan dan harta benda mangsa atau memaksa mangsa melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Buli lisan pula melibatkan percakapan seperti bodyshaming iaitu mengejek saiz badan orang lain termasuk pernyataan-pernyataan lisan yang lain seperti panggilan atau gelaran yang mengaibkan, memfitnah, mencarut, memaki, menghina, mengherdik dan mempersenda mangsa buli. Buli lisan boleh menyebabkan kemudaratan kepada kadar penghargaan kendiri mangsa buli. Perlakuan buli sosial pula merupakan jenis buli yang berbentuk serangan psikologi bertujuan untuk mendatangkan kemudaratan penerimaan seseorang oleh kumpulan atau rakan – rakan. Salah laku buli jenis ini dibuat menerusi perbuatan seperti pemulauan dan pengasingan. Buli siber boleh juga diklasifikasikan sebagai sejenis buli sosial yang menggunakan medium kemudahan komunikasi menerusi teknologi seperti teks, chatting, laman web sosial, permainan atas talian dan telefon bimbit. Pembuli kebiasaannya memalukan mangsa buli berulang kali.

Hukuman untuk Pembuli di Sekolah dan Perlakuan Jenayah

Salah laku buli di sekolah perlu dinoktahkan. Pada asasnya semua pihak secara serius perlu memikirkan cara yang paling efektif untuk menghentikan kes buli. Hukuman sahaja tidak mencukupi. Menurut satu kajian, belum ada bukti yang menunjukkan bahawa hukuman yang dikenakan terhadap pembuli dapat membuatkan persekitaran sekolah lebih selamat atau membawa pembuli tersebut kepada tingkah laku yang lebih baik.

Kajian di Amerika Syarikat tersebut telah membuktikan hukuman gantung persekolahan yang dilaksanakan di beberapa buah sekolah di sana, tidak dapat membantu mengurangkan kesalahan kes buli. Malah didapati hukuman gantung sekolah tidak memberikan kebaikan kepada pembuli dan mangsa buli. Ada juga pendapat yang menyatakan pembuli di sekolah tidak seharusnya dilayan sebagai penjenayah. Terdapat juga pemikiran yang melihat dari perspektif hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan. Golongan ini pula berpendapat bahawa hukuman yang tidak membenarkan seorang kanak-kanak ke sekolah kerana membuli merupakan pencerobohan terhadap hak kanak-kanak tersebut. Membenarkan pembuli berada di rumah, tidak perlu ke sekolah, juga menyebabkan ketidakadilan berlaku kerana berdasarkan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa antara faktor berlakunya kejadian buli berpunca daripada rumah terutama jika pembuli tersebut sendiri merupakan mangsa  keganasan rumahtangga, dan tidak mendapat pengawasan sewajarnya daripada ibubapa.

Secara umumnya, untuk salah laku buli di sekolah, undang-undang di Malaysia membenarkan pihak sekolah menghukum pelajar bagi tujuan disiplin. Garis panduan dan polisi tertentu telah dibangunkan supaya pihak sekolah boleh mengambil tindakan disiplin terhadap pembuli. Menurut Darussalam et al. (2011) berdasarkan kajian yang dijalankan bertajuk “Polisi Antibuli dan Pelaksanaannya di Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur” yang diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan menyatakan pihak sekolah telah menggariskan prosedur (atau SOP) bagi menangani salah laku buli.  Untuk kesalahan yang pertama, pembuli diberikan nasihat dan amaran. Pembuli diminta buat aku janji dengan waris mangsa buli untuk tidak mengulangi kelakuan buli tersebut. Selain aku janji, terdapat pihak sekolah yang memberikan nasihat kepada pembuli dan merujuk pembuli tersebut kepada guru kaunseling serta mengaturkan sesi perbincangan dengan ibu bapa. Untuk kesalahan buli yang berulang pula, antara tindakan yang diambil pihak sekolah adalah dengan merujuk kepada guru disiplin atau pembuli dibuang sekolah atau pembuli diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sekiranya kelakuan buli menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa buli.

Beberapa pandangan telah diberikan berkenaan hukuman bagi menangani kes buli yang khususnya berlaku di sekolah. Ada yang menyokong pembuli dihukum bagi mendisiplinkan pembuli. Terdapat juga cadangan supaya hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pembuli sebagai hukuman yang berbentuk pencegahan (deterrence) untuk pelajar yang lain. Untuk salah laku buli yang tidak mendatangkan kecederaan serius kepada mangsa buli, seharusnya dilaporkan kepada pihak sekolah, tanpa melibatkan pihak berkuasa. Pada amnya, kesalahan buli selesai di peringkat sekolah apabila pembuli dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahannya.

Konvensyen   Undang-undang Antarabangsa Hak Kanak-kanak telah meletakkan apa-apa jua tindakan yang melibatkan kanak-kanak, termasuk yang diambil oleh mahkamah, mahupun pihak berkuasa, kebajikan kanak-kanak tersebut hendaklah diutamakan. Walaupun Konvensyen tersebut tidak mempunyai peruntukan tertentu dalam mentadbir isu berkaitan salah laku buli dalam kalangan kanak-kanak atau pelajar di sekolah, namun menurut Perkara 37 dalam Konvensyen tersebut menyatakan tiada kanak-kanak yang boleh dikenakan hukuman yang berat.

Terdapat beberapa usaha yang telah diambil oleh KPM bagi memastikan gejala buli ditangani. Antara usaha-usaha yang telah dibuat seawal tahun 2000 adalah dengan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 6 Tahun 2000: Menangani Masalah Keselamatan, Dadah dan Gengster. Kemudian daripada itu Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2002: Pelaksanaan Program Sekolah Selamat. Terbaharu Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Di Institusi Pendidikan Bawah KPM. Berdasarkan pekeliling-pekeliling tersebut, sekolah dikehendaki mengadakan peti aduan di sekolah dan asrama, mengukuhkan Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama serta mengambil tindakan dan menghukum murid melakukan perbuatan buli di sekolah atau asrama. Jawatankuasa anti buli telah diwujudkan di setiap Jabatan Pendidikan Negeri melalui Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin Negeri. Tambahan, melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dapat mewujudkan kerjasama erat dengan PDRM. Setiap sekolah menengah dan sekolah rendah mempunyai seorang PPS yang sentiasa mendampingi dan bekerjasama dengan pihak sekolah. Terdapat juga empat saluran utama Portal Aduan Buli seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, e-mel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp bagi membolehkan warga sekolah termasuk murid dan ibu bapa serta orang awam membuat aduan terus.

Oleh kerana KPM telah mengambil langkah-langkah untuk menangani salah laku buli di institusi pendidikan di bawah kementeriannya dan kebajikan pembuli pula menjadi keutamaan, adakah ini bermaksud undang-undang tidak relevan untuk pembuli di sekolah?

Tindakan undang-undang boleh diambil apabila terdapat kecederaan serius kepada mangsa buli atau kematian mangsa buli disebabkan salah laku buli di sekolah.  Salah satu cara untuk pembuli dikenakan hukuman adalah menerusi peruntukan undang-undang. Namun untuk mensabitkan salah laku buli sebagai satu kesalahan jenayah bukannya suatu perkara yang mudah apatah lagi apabila pembuli merupakan seorang kanak-kanak di bawah Akta Kanak-kanak 2001. Setiap jenayah mempunyai definisinya yang tersendiri. Secara asas, kesalahan jenayah merujuk kepada satu perbuatan (“commission”) yang dilarang oleh undang-undang ataupun meninggalkan daripada membuat sesuatu perbuatan (“omission”) yang dikehendaki oleh undang-undang. Hukuman, sebagaimana digariskan dalam peruntukan untuk kesalahan jenayah tersebut, akan dijatuhkan kepada seseorang apabila pihak pendakwa raya berjaya membuktikan pembuli telah melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang atau mempunyai niat untuk melakukan kesalahan.

Terdapat juga istilah actus non facit reum nisi mens sit rea yang bermaksud sesuatu perbuatan salah laku itu tidak akan membuat seseorang itu benar-benar bersalah kecuali di dalam pemikirannya mempunyai niat terhadap perbuatan itu. Untuk sesuatu perbuatan disabit sebagai kesalahan jenayah memerlukan beban bukti dari segi mens rea (niat atau merancang untuk perbuatan jenayah tersebut), actus reus (melaksanakan perbuatan jenayah tersebut), peruntukan undang-undang yang mengklasifikasi perbuatan buli itu sebagai satu kesalahan jenayah dan hukuman ke atas kesalahan tersebut digariskan dalam peruntukan undang-undang tersebut. Secara umumnya pembuli boleh didakwa atas kesalahan jenayah apabila tindakan atau perbuatan pembuli tersebut mengakibatkan kecederaan atau kematian kepada mangsa buli.

Apabila salah laku buli itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dianggap sebagai perbuatan jenayah, salah laku buli tersebut perlu melalui empat tahap untuk menentukan tahap kesalahan jenayah yang dilakukan. Setiap peringkat ini pula mempunyai kesalahan tertentu mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574). Peringkat itu bermula dengan niat diikuti dengan persediaan, dan kemudian percubaan dan akhirnya perbuatan kesalahan tersebut (atau salah laku buli tersebut).

Niat atau mens rea perlu dibuktikan untuk menunjukkan terdapat di dalam pemikiran seseorang (pembuli) untuk melakukan kesalahan (mencederakan atau mengaibkan mangsa buli). Beban bukti inilah yang sukar untuk ditetapkan sehingga ke tahap sekurang-kurangnya prima facie (boleh dipercayai pada dasarnya) kerana terdapat keperluan untuk menghubungkan niat dengan perbuatan buli tersebut. Secara umum, lebih mudah untuk membuktikan kesalahan buli fizikal berbanding buli jenis lisan ataupun buli sosial. Kecederaan badan atau kerosakan kepada harta benda mangsa buli relatifnya lebih mudah untuk membuktikan hubungan niat dengan perbuatan jenayah tersebut. Untuk buli lisan atau buli sosial, menghubungkan salah laku buli sebagai satu-satunya penyebab mangsa buli mengambil tindakan yang drastik atau merugikan seperti mencederakan dirinya sendiri sehingga boleh mengakibatkan kematian bukannya suatu perkara yang mudah.

Faktor-faktor lain, yang bukan disebabkan salah laku buli, perlu diambil kira juga. Faktor-faktor tersebut, sekiranya dapat dibuktikan berlaku di luar salah laku buli, boleh menunjukkan bahawa salah laku buli bukannya satu-satunya penyebab mangsa buli mengambil tindakan yang merugikan dirinya sendiri. Sekiranya faktor-faktor ini berjaya dibuktikan, sukar untuk dibawa pembuli ditahap ke empat bagi membuktikan perbuatan kesalahan tersebut. Apatah lagi sekiranya pembuli masih bersekolah. Faktor-faktor inilah yang boleh menjadi asbab pembuli tidak bersalah ataupun asbab dapat mengurangkan hukuman (“mitigating factors”) ke atas pembuli. Perkara ini sejajar dengan peruntukan yang terdapat pada Seksyen 173, Seksyen 178 – 182A Akta Kanun Tatacara Jenayah yang menyatakan bahawa sekiranya bukti yang sedia ada tidak cukup untuk mensabitkan pembuli dengan kecederaan yang dihadapi mangsa buli atau menyebabkan kematian mangsa buli seperti yang didakwa, pembuli akan  dibebaskan  daripada  pertuduhan  dan  tidak  boleh  disabitkan  dengan jenayah yang didakwa.

Sebagai contoh, dalam kes Public Prosecutor v Muhammad Rohimie bin Ab Llah Zawawi, [2015] 8 MLJ 682 responden dituduh melakukan homisid terhadap mangsa. Insiden buli yang menyebabkan ada kematian berlaku di Maktab Tentera. Kes ini diklasifikasikan sebagai jenis buli fizikal. Salah faham di antara pelajar senior dengan pelajar junior telah tercetus apabila pelajar junior terjatuh dan gagal membentuk piramid badan sebagaimana diarahkan pelajar senior. Perkara ini menurut fakta kes menyebabkan pelajar senior beranggapan mangsa telah mengeluarkan kata-kata kesat.    Tiada siapa pula yang mengaku. Rentetan daripada itu pelajar senior bertindak sebagai pembuli dan telah memukul pelajar junior di bahagian dada dan di belakang badan sehingga menyebabkan mangsa sesak nafas dan meninggal dunia. Mahkamah mendapati tiada prima facie kes untuk dikaitkan tindakan tertuduh dengan kematian dan dengan itu tertuduh dibebaskan tanpa sabitan.

Mangsa buli atau waris boleh ambil tindakan undang-undang terhadap pembuli sekiranya kelakuan buli mendatangkan kecederaan fizikal yang serius, atau menyebabkan kematian. Terdapat beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan yang boleh digunakan untuk mendakwa pembuli, sebagai contoh, seperti berikut: –

  1. di bawah Seksyen 39 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat kecederaan fizikal; atau
  2. di bawah Seksyen 320 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat kecederaan parah; atau
  3. di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan sehingga membawa kepada kematian.

Tambahan, Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan yang dikeluarkan oleh KPM pada September 2023 yang menjadi dokumen rujukan kepada semua pihak berkepentingan di institusi pendidikan dalam untuk tiga perkara utama. Pertama, menjelaskan kefahaman tentang salah laku buli. Kedua, memaklumkan tatacara menangani salah laku buli dan ketiga, implikasi serta peranan dalam pengurusan salah laku buli.


Dalam Garis Panduan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan tersebut, terdapat pada Seksyen 2.3, Lampiran A, yang menyenaraikan salah laku buli dalam kalangan pelajar yang boleh membawa kepada kesalahan jenayah. Lampiran A mengkategorikan salah laku buli menurut jenis buli iaitu buli fizikal, buli lisan dan buli siber. Senarai tersebut adalah seperti berikut: –

  1. Buli fizikal (terdapat 17 perkara yang disenaraikan tetapi untuk tujuan artikel ini hanya dikongsikan lima perkara untuk berikan gambaran kasar tentang buli jenis ini):-

(a)    Menyebabkan kematian dengan niat atau tanpa niat – Seksyen 304 Kanun Keseksaan

Hukuman (Dengan niat): Penjara sehingga tiga puluh tahun, dan boleh dikenakan denda – Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan

Hukuman (Tanpa niat): Penjara sehingga sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali – Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan

(b)   Menyebabkan kecederaan dengan niat – Seksyen 321 Kanun Keseksaan

Hukuman: Penjara tidak melebihi satu tahun atau dengan denda tidak melebih dua ribu ringgit, atau kedua-duanya sekali – Seksyen 323 Kanun Keseksaan

(c)    Menyebabkan kecederaan teruk dengan niat – Seksyen 322 Kanun Keseksaan Hukuman: Penjara tidak melebihi tujuh tahun, dan boleh dikenakan denda – Seksyen 325 Kanun Keseksaan

(d)   Menyebabkan kecederaan dengan senjata atau cara berbahaya dengan niat – Seksyen 324 Kanun Keseksaan

Hukuman: Penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut – Seksyen 324 Kanun Keseksaan

(e)    Menyebabkan kecederaan teruk dengan senjata atau cara berbahaya dengan niat – Seksyen 326 Kanun Keseksaan

Hukuman: Penjara tidak melebihi dua puluh tahun, dan boleh dikenakan denda atau sebatan – Seksyen 326 Kanun Keseksaan

  1. Buli Lisan

(a) Mengeluarkan kata-kata atau mempamerkan tulisan yang kurang sopan, mengugut, aib atau menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan – Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 [Akta 336]

Hukuman: Denda tidak melebihi seratus ringgit – Seksyen 14 Akta 336

(b)   Pemerasan – Seksyen 383 Kanun Keseksaan

Hukuman: Penjara selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun, atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut – Seksyen 384 Kanun Keseksaan

  1. Buli Siber

(a)   menyalahgunakan Internet dengan menyebarkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau yang jelik – Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Hukuman: Denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau keduaduanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan – Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Peruntukan undang-undang yang disenaraikan dalam Lampiran A yang dikongsikan di sini menunjukkan Kanun Keseksaan bukanlah satu-satunya statut yang terdapat di Malaysia yang boleh digunakan untuk mendakwa pembuli. Terdapat juga akta lain seperti Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang didapati relevan untuk mendakwa seorang pembuli. Keputusan muktamad berhubung dengan pertuduhan jenayah akan ditentukan oleh Pendakwa Raya selepas selesai kertas siasatan dilengkapkan oleh pihak PDRM kelak.

Walau apa pun peruntukan statut yang digunakan untuk mendakwa pembuli, sekiranya pembuli adalah seorang kanak-kanak mengikut definisi Akta Kanak-kanak 2001, pembuli tersebut tidak boleh didakwa dan dijatuhkan hukuman berdasarkan Kanun Keseksaan sahaja sebagaimana kesalahan jenayah yang dilakukan oleh orang dewasa. Akta Kanak-kanak 2001 telah menggariskan tatacara jenayah serta hukuman terhadap pembuli tersebut. Terdapat Mahkamah Khas Kanak-kanak yang akan mendengar dan menentukan kes buli yang melibatkan kanak-kanak.

Berdasarkan Seksyen 90 Akta Kanak-kanak 2001 tersebut, Mahkamah Khas Kanak-kanak ini akan menjalankan proses perbicaraan. Tertuduh akan disoal sama ada mengaku atau tidak atas pertuduhan yang didakwa terhadapnya. Keterangan saksi serta bukti bagi menentukan tertuduh melakukan kesalahan seperti yang didakwa atau sebaliknya juga perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah Khas Kanak-kanak ini. Sekiranya tertuduh (pembuli) didapati melakukan kesalahan jenayah seperti yang didakwa terhadapnya, tertuduh (pembuli) akan dikenakan hukuman di bawah Akta Kanak-kanak 2001.  Seksyen 90 Akta Kanak-Kanak 2001 tersebut memberi kuasa kepada Mahkamah Khas Kanak-kanak untuk: –

  1. memberi amaran,
  2. melepaskan kanak-kanak yang bersalah dengan bon berkelakuan baik,
  3. memerintahkan kanak-kanak yang bersalah membayar denda,
  4. memerintahkan kanak-kanak yang bersalah dihantar ke Sekolah Henry Gurney, atau
  5. memerintahkan sebat terhadap kanak-kanak lelaki tidak melebih 10 kali.

Dalam kes Mohd Haikal bin Mohd Khatib Saddaly & Ors v Public Prosecutor [2009] 4 MLJ 305 lapan orang pelajar sekolah menengah telah merayu di atas perintah Mahkamah Tinggi yang telah memutuskan mereka melakukan kesalahan membunuh mangsa di asrama dengan menyebabkan kecederaan di badan dan kepala mangsa. Berdasarkan fakta kes ini, mangsa tidak melawan walaupun diserang bertubi-tubi oleh tertuduh. Berdasarkan bukti dan kenyataan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan tertuduh, Mahkamah Tinggi memutuskan kesemua lapan perayu didapati bersalah seperti yang didakwa. Oleh kerana mereka merupakan kanak-kanak, Mahkamah Rayuan memerintahkan berdasarkan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001, untuk mereka ditahan di penjara atas perkenan Yang di Pertuan Agong (atau Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan). Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengesahkan sabitan dan hukuman seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Oleh kerana pembuli (pesalah) dalam kes ini merupakan kanak-kanak, mereka terlepas daripada peruntukan yang terdapat dalam Kanun Keseksaan iaitu hukuman bagi kesalahan membunuh ialah mati.

Namun begitu, menurut Ab Aziz et al. (2020) menerusi artikelnya bertajuk “Buli dalam Kalangan Pelajar Sekolah: Persidangan Kumpulan Keluarga Sebagai Alternatif Kepada Hukuman” yang diterbitkan dalam Kanun:  Jurnal Undang-undang Malaysia menyatakan hukuman sahaja tidak mencukupi untuk mendidik pelajar sekolah untuk berhenti daripada salah laku buli sama ada sebagai pembuli ataupun mangsa buli.  Menghukum pembuli tidak cukup untuk membendung gejala buli di sekolah. Pembuli perlu mengetahui kesan buli yang dihadapi oleh mangsa buli, dan memupuk rasa simpati terhadap mangsa buli tersebut, selain bertanggungjawab dengan apa-apa yang telah dilakukannya terhadap mangsa buli. Sekiranya hanya kaedah hukuman sahaja yang dikenakan atas pembuli, sedangkan pembuli menurut undang-undang masih tertakluk di bawah takrifan kanak-kanak, maka kebajikan pembuli sebagai seorang kanak-kanak seperti yang dinyatakan oleh Konvensyen Undang-undang Antarabangsa Hak Kanak-kanak perlu diutamakan. Pembuli tersebut perlu diberi ruang untuk menginsafi kesalahan yang telah dilakukannya dan kaedah Mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas pembuli tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Akta Kanak-kanak 2001.

Penutup

Kelakuan buli ialah tindakan yang berulang dan sering kali bermula dengan perselisihan faham atau rasa tidak puas hati antara pembuli dan mangsa buli.  Namun begitu, jika perkara ini tidak diselesaikan pada peringkat awal, kebarangkalian perselisihan faham akan melarat dan mencetuskan dendam sesama mereka, yang akhirnya mengakibatkan kecederaan terhadap mangsa buli.

Berdasarkan undang-undang di bawah Akta Kanak-kanak 2001 serta garis panduan yang dikeluarkan KPM dan polisi berkaitan buli oleh pihak sekolah, penyelesaian bagi kelakuan buli di sekolah-sekolah di Malaysia adalah berbentuk hukuman.  Tidak dinafikan hukuman perlu bagi mendisiplinkan pelajar dan sebagai langkah pencegahan pada masa hadapan.  Terdapat beberapa proses yang perlu dijalani oleh pembuli dan mangsa buli iaitu melalui proses pemulihan (restitution), penyelesaian (resolution), dan perdamaian (reconciliation) supaya proses keadilan restorative boleh dicapai dan direalisasikan.  Selain guru, ibu bapa perlu bersama-sama memainkan peranan penting bagi menangani kesalahan buli yang berlaku di sekolah.

Malah untuk menangani gejala buli di sekolah dengan lebih efektif dan efisyen tanpa pengabaian kepada kebajikan pembuli dan mangsa buli, yang merupakan kanak-kanak, memerlukan pembabitan menyeluruh pelbagai pihak dan bukan terhad kepada pihak sekolah dan ibu bapa sahaja. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat serta kewujudan kerjasama erat dengan PDRM melalui PPS merupakan tiga entiti yang berkepentingan untuk dilibatkan dalam menangani salah laku buli di sekolah. Perkara ini perlukan komitmen, kesungguhan malah kerelaan untuk mengorbankan masa dan tenaga oleh semua pihak yang berkepentingan ini untuk secara bersama dan secara serius menangani salah laku buli di sekolah.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search