Mampukah Kenderaan Elektrik Tangani Isu Pemanasan Global?
Oleh: Dr. Norhafizah Abdul Halim, Nor Haizan binti Abdul Halim & Tengku Fattnin Alya’ binti Tengku Kamaruzaman.
Fenomena Pemanasan Global
Peningkatan suhu bumi yang ekstrim dan perubahan iklim yang tidak menentu telah menjejaskan kualiti kehidupan dan kesihatan manusia. Umumnya situasi ini dikenali sebagai pemanasan global (global warming) atau secara mudahnya difahami sebagai fenomena peningkatan suhu purata sejagat yang melebihi paras normal dan menyumbang kepada situasi bahang kepanasan yang melampau. Fenomena pemanasan global bukan sahaja hangat dibincangkan dalam negara malah hampir kesemua negara dunia turut mengalami fenomena yang sama apabila pada tahun 2023 telah menyaksikan kebakaran besar di Kanada, kemarau yang melampau di Tanduk Afrika (Horn of Africa) atau Timur Tengah dan gelombang musim panas yang belum pernah berlaku sebelum ini di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan China, bersama-sama dengan rekod musim sejuk yang paling panas di Australia dan Amerika Selatan. Negara Vietnam juga mencatatkan suhu tertinggi iaitu 44.1 darjah celcius pada Januari tahun ini.
Realitinya, pemanasan global berlaku kesan daripada peningkatan suhu bumi yang meningkat naik. Berdasarkan kajian yang dijalankan, suhu purata global telah meningkat sebanyak 1.1 darjah celcius dalam masa 36 tahun sejak penyimpanan rekod moden dimulakan iaitu pada tahun 1980. Suhu ini dijangkakan akan terus meningkat yang mana keadaan ini boleh membawa kerosakan yang serius kepada alam sekitar, manusia dan hidupan. Lebih buruk lagi, kajian oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) yang berpangkalan di Geneva melaporkan antara tahun 2023 hingga tahun 2027, wujud 66 peratus kemungkinan suhu bumi meningkat lebih daripada 1.5 darjah celcius selama sekurang-kurangya untuk tempoh satu tahun.
Fenomena pemanasan global ini merupakan suatu bentuk perubahan iklim dan cuaca serta manifestasi kepada ketidakseimbangan alam yang sedang di alami dunia sejagat. Kesan utama fenomena pemanasan global ini sangat jelas ke atas manusia termasuk juga kepada hidupan dan alam sekitar. Pertama, fenomena pemanasan global telah menjejaskan kualiti hidup manusia. Peningkatan suhu bumi secara berterusan telah mendatangkan pelbagai masalah terutamanya terhadap kesihatan manusia. Cuaca yang panas dan suhu bumi yang tinggi boleh menyebabkan gejala sakit kepala, keletihan, tumpuan yang lemah, hilang daya fokus, lemah atau kekejangan otot-otot badan serta mual dan muntah. Kepanasan yang melampau juga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih buruk seperti dehidrasi (kekeringan), pitam atau pengsan akibat dari panas (heat syncope), kekejangan akibat dari panas (heat cramps), keletihan akibat dari panas (heat exhaustion) dan strok akibat dari panas (heat stroke). Selain itu, fenomena pemanasan global menyumbang kepada ketidakseimbangan alam. Cuaca kering yang berpanjangan telah mengganggu perjalanan ekosistem secara total. Hidupan dan tumbuh-tumbahan yang biasanya memerlukan persekitaran yang sederhana dan dingin tidak dapat meneruskan kehidupan secara konsisten. Menurut penilaian yang dilaksanakan oleh World Wild Life (WWF) ‘Giant Panda’ memerlukan pokok buluh sebagai sumber makanan utama – yang mana 90% diet panda tersebut bergantung kepada pokok puluh. Perubahan iklim yang disebabkan oleh pemanasan global akan mengganggu tumbesaran dan kesuburan pokok buluh seterusnya akan memberikan kesan kepada populasi panda. Pemanasan global juga telah menyumbang kepada fenomena pulau haba bandar. Pulau haba Bandar merupakan suatu keadaan di mana suhu di bandar lebih panas berbanding di kawasan pinggiran. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pelepasan asap kenderaan bermotor yang semakin tinggi memasuki pusat bandar.

Pertambahan Kenderaan Undang Bahaya Kepada Alam
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada situasi ini termasuklah kesan daripada aktiviti pembangunan manusia yang tidak terkawal serta pertambahan bilangan kenderaan bermotor. Statistik daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sejumlah 33.08 juta kenderaan bermotor berdaftar di Malaysia pada tahun 2023. Jumlah kenderaan bermotor terus meningkat berbanding tahun lalu.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias baru-baru ini dilaporkan berkata jumlah penggunaan kenderaan di ibu negara bertambah dengan mendadak sehingga mencatatkan peningkatan 45 peratus iaitu 46.76 juta kenderaan sebulan pada Disember 2021 berbanding Disember 2019 sebanyak 26.51 juta. Kerancakan revolusi automotif telah menyumbang kepada masalah utama iaitu peningkatan terhadap indeks pencemaran udara yang semakin buruk.
Beliau berkata kualiti udara adalah lebih baik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana pengurangan isi padu kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur namun situasi itu kembali buruk selepas pelaksanaannya ditarik balik. “Secara perbandingan, pada 18 Mac 2020 (semasa PKP) Indeks Kualiti Udara (AQI) di Kuala Lumpur ialah 50 mata, tetapi pada 1 Mei tahun ini ialah 72 mata. Semakin tinggi nilai AQI, semakin rendah kualiti udara,” katanya. Ini menunjukkan bahawa semakin bertambah bilangan kenderaan, semakin banyak gas karbon monoksida yang dilepaskan sehingga mencemarkan udara dan alam sekitar. Hal ini membawa kepada berlakunya proses penipisan lapisan ozon yang diakibatkan oleh pembebasan karbon dioksida yang banyak dihasilkan oleh kenderaan yang menggunakan bahan bakar.

Revolusi Kenderaan Elektrik
Usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia dalam isu-isu iklim dan pencemaran global perlu dibuat dalam menyediakan rakyat Malaysia untuk menerima teknologi baharu yang mampu untuk mengurangkan impak pemanasan global. Salah satu alternatif yang dibina dalam konteks mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida dan karbon monosikda adalah pengenalan terhadap penggunaan kenderaan elektrik. Kenderaan elektrik atau disebut sebagai electric vehicle (EV) merupakan suatu hasil produk hijau kerana sifatnya yang mesra alam. Kenderaan elektrik berfungsi menggunakan tenaga eletrik yang disimpan di dalam bateri. Tenaga elektrik ini akan ditukarkan kepada tenaga mekanikal untuk menggerakkan motor. Kenderaan ini berbeza daripada kenderaan biasa kerana kenderaan ini tidak memelukan pembakaran bahan api. Justeru itu, penggunaan kenderaan elektrik tidak akan membebaskan gas rumah hijau yang boleh meningkatkan pemanasan global seperti gas karbon dioksida.
Kenderaan elektrik (EV) mula menjadi perhatian sejak beberapa dekad lepas, apabila mula mendapat perhatian sebagai penyelamat kepada alam sekitar akibat daripada penggunaan petrol. Namun persoalannya adakah kenderaan elektrik (EV) ini adalah penyelamat kepada pencemaran dunia kerana terdapat kebimbangan mengenai pelepasan karbon dioksida daripada enjin kenderaan bermotor dilaporkan sebagai punca utama pemanasan global dan perubahan iklim mendadak. Izmir Yamin, 2024 berpendapat terdapat kelemahan ketara EV dalam soal penjagaan alam sekitar iaitu pencemaran melombong bahan lithium untuk pembuatan bateri, manakala pelupusan bateri toksik turut memberi kesan kepada alam sekitar.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, perbezaan paling besar antara kenderaan eletrik dan kenderaan yang menggunakan petroleum adalah sumber tenaga. Kenderaan yang menggunakan petroleum akan memerlukan pembakaran bahan api tersebut untuk mendapatkan tenaga. Walaupun terdapat pelbagai usaha oleh syarikat pembuatan bagi mengurangkan jumlah gas yang terbebas ke udara sewaktu pembakaran, usaha-usaha tersebut masih belum mengurangkan jumlah gas kepada angka sifar. Kenderaan petroleum telah digunakan berabad lamanya sejak ciptaan pertama oleh Karl Benz pada tahun 1855. Petroleum secara asasnya merupakan campuran pelbagai jenis hidrocarbon kompleks. Justeru itu, pembakaran petroleum akan menghasilkan asap yang mengandungi gas karbon dioksida. Gas ini berupaya untuk menyerap dan mengeluarkan haba seterusnya menyumbang kepada krisis cuaca yang membimbangkan masyarakat global.
Dalam mencari solusi, hal ini menyebabkan lonjakan nama kenderaan elektrik daripada beberapa buah syarikat pengeluar kenderaan elektrik telah hangat dibicarakan pada akhir-akhir ini. Bagi negara Malaysia, Proton Holdings Bhd (PROTON) mempercepatkan pelan kenderaan elektrik (EV) apabila merancang untuk memperkenalkan model tempatan pertama seawal 2025 berbanding perancangan awal pada 2027 (Roslan Abdullah, 2023). Namun persoalanya adakah kenderaan ini mampu milik dan adakah kenderaan jenis ini selamat dari isu pemanasan global?
Namun begitu, penggunaan kereta berkuasa petroleum lebih meluas kerana lebih mudah untuk mengisi petrol daripada menukar atau mengecas bateri dan berkuasa petroleum lebih tahan lama (Ahmad Azwadie Azman, 2022).

Mampukah Kenderaan Elektrik Tangani Pemanasan Global?
Meskipun penggunaan kenderaan elektrik dikatakan akan menyebabkan sifar pelepasan karbon dioksida kepada alam sekitar. Proses pembuatannya masih tidak dapat lari daripada menjadi penyumbang kepada pencemaran alam. Bateri kenderaan elektrik memerlukan lithium yang perlu dilombong. Proses perlombongan ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran alam seperti isu penggunaan air yang terlampau banyak. Proses perlombongan ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap alam sekitar dan hak asasi manusia yang serius. Selain itu, pelupusan bateri bagi kenderaan elektrik turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Radenka Maric, seorang profesor di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Biomolekul Universiti Connecticut menyatakan kewajaran syarikat pengeluaran kenderaan elektrik untuk mengguna semula bateri litium-ion sebagai aplikasi lain atau sebagai guna semula dalam menangani isu pencemaran global. Justeru, kaedah pengurusan sisa pepejal perlu dikendalikan dengan baik agar tidak mendorong kepada pencemaran alam sekitar seterusnya pemanasan global (Melanie Manguiat, 2024). Daudin, 2021 berpendapat pengilang perlu bekerjasama dengan lombong untuk mengurangkan kesan alam sekitar.
Seperti yang semua sedia maklum, kenderaan eletrik memerlukan tenaga elektrik untuk pengecasan bateri. Di Malaysia, tenaga elektrik boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti loji petroleum, gas asli, arang batu, hidroelektrik, dan juga solar. Proses penghasilan tenaga elektrik ini masih akan menyebakan penghasilan gas karbon dan seterusnya menyumbang kepada pemanasan global (Ahmad Azwadie Azman, 2022). Jeremy Michalek, 2021 yang merupakan seorang profesor kejuruteraan di Universiti Carnegie Mellon berpendapat bahawa penggunaan kereta elektrik akan menyebabkan lebih banyak pembakaran arang batu dilakukan di mana hal ini akan menyebabkan peningkatan pencemaran udara.
Namun hal yang demikian, bahan api petroleum merupakan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui dan bekalan petroleum akan kehabisan pada suatu tempoh akan datang. Oleh itu, penggantian kenderaan petrol kepada kenderaan elektrik seharusnya dilakukan dengan syarat pengecasan kenderaan elektrik menggunakan sumber bersifat boleh ulang guna, penjualan kenderaan elektrik pada harga yang lebih murah, pendedahan kepada bahaya pemanasan dan pencemaran global kepada masyarakat dilaksanakan.

Kesimpulan
Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab sejagat. Planet dan alam yang kita diami ini adalah milik bersama. Sungguhpun begitu, menurut Prof Dr Fredolin Tangang yang merupakan Pakar Klimatologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap perubahan iklim adalah sangat rendah (Junaidi, 2023). Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya kurang kesedaran terhadap implikasi dan bahaya kesan pemanasan global kepada sistem diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Justeru itu, masyarakat dan semua sistem sosial perlu prihatin dan sedar akan bahana dari fenomena yang berlaku ini.
