skip to Main Content
Budaya Hedonisme Mengikis Keperibadian Dan Jati Diri

Budaya Hedonisme Mengikis Keperibadian dan Jati Diri

Dr. Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz dan Dr. Mohd Rizal Abu Bakar

Kesesuaian Hiburan dalam Realiti Semasa

Sejajar dengan perkembangan semasa yang menumpukan kepada teknologi dan media baharu, secara langsung hiburan merupakan suatu keperluan masyarakat. Dari sudut Islam, penganutnya dibenarkan untuk berhibur selagi tidak melampaui batas syarak. Kemahuan untuk berhibur dan cintanya manusia kepada kecantikan serta keindahan merupakan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hambaNya. Malah terdapat satu hadith berkenaan salah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW yang bernama Hanzalah RA merasa takut menjadi munafiq kerana beliau merasa lalai daripada mengingati Allah SWT dengan berhibur bersama keluarga. Baginda SAW bersabda yang bermaksud, Wahai Hanzalah! ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan (Riwayat Sahih Muslin: 2750).

Hadith di atas menjelaskan bahawa Islam tidak melarang berkenaan hiburan, namun perlu bagi seseorang Mukmin meletakkan ketetapan bahawa Islam tidaklah membuka ruang hiburan dengan seluasnya sehingga tidak ada batasan sama sekali. Realitinya, kebergantungan individu terhadap hiburan menunjukkan perkembangan yang semakin kronik apabila hiburan tersebut mampu meninggalkan kesan buruk kepada institusi sosial. Perkara ini amat merunsingkan apabila generasi muda menjadi golongan yang mudah terpengaruh dengan hiburan sehingga mendatangkan kepincangan sosial. Antara budaya negatif yang menjadi ikutan anak muda pada masa kini ialah budaya hedonisme. Meskipun budaya hedonisme telah wujud di Eropah sejak kurun ke-14 sehingga kurun ke-15, namun akhir-akhir ini budaya tersebut semakin tersebar ke serata negara. Ditambah pula, budaya hedonisme merupakan satu ancaman serta ideologi yang mampu merosakkan jati diri remaja kerana jelas bertentangan dengan nilai agama dan norma hidup masyarakat Islam.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, budaya hedonisme membawa maksud pegangan hidup yang mengutamakan keseronokan atau kesenangan hidup. Pelbagai alternatif dizahirkan oleh remaja bagi menikmati keseronokan seperti meraikan perayaan Halloween. Peristiwa Halloween pada 29 Oktober 2022 di Korea Selatan menjadi tragedi menyayat hati masyarakat dunia. Peristiwa tersebut telah mengorbankan 154 orang yang rata-ratanya terdiri dalam kalangan remaja. Kejadian ini bukan hanya memberi kesan negatif kepada pengikutnya bahkan hukumnya haram menyambut Halloween bagi umat Islam. Hal ini kerana perayaan ini merupakan syiar sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya bagi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia. Meskipun kejadian ini berlaku di negara lain, namun situasi tersebut wajar dielakkan agar generasi muda negara ini bebas daripada gejala yang memudaratkan diri.

Sukar dinafikan, golongan remaja masa kini mendapatkan keseronokan dengan menghadiri konsert untuk berhibur dan melepaskan tekanan. Kehadiran remaja ke konsert bertujuan untuk melihat idola yang diagungkan oleh mereka seperti penyanyi K-pop dan Barat. Misalnya konsert yang diadakan di Malaysia yang melibatkan penyanyi antarabangsa seperti Billie Eilish di Kuala Lumpur pada 18 Ogos lalu mendapat sambutan hangat dalam kalangan remaja. Konsert tersebut difahamkan membawa unsur penyebaran ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang sememangnya melanggar syariat Islam. Selain itu, trend kini menunjukkan golongan remaja turut mempunyai minat atau fanatik terhadap artis daripada negara Korea. Pengaruh artis Korea sangat besar kepada remaja negara ini sehingga terdapat sebilangan wanita Melayu sanggup melakukan perkara diluar jangkaan. Sebagai contoh, insiden tiga wanita Melayu bertudung berpeluk dengan artis berkumpulan Korea Selatan dan penyertaan wanita Melayu menyalakan lilin untuk memperingati kematian artis pujaan mereka. Kesemua aktiviti ini memberi kesan buruk dan merosakkan imej Islam.

Budaya hedonisme yang menjadi simbolik kepada keseronokan dan hiburan melampau mendorong golongan remaja melakukan perkara diluar kawalan seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan terdedah untuk melakukan pelbagai jenayah lain. Budaya hedonisme dalam kalangan remaja bukan sahaja boleh merosakkan diri sendiri, malah meruntuhkan masa depan sosio-ekonomi negara. Persoalannya bagaimanakah budaya hedonisme ini menjadi pengaruh tegar anak muda sehinggakan menghapus budaya ketimuran yang mementingkan adab dan perilaku baik?

Ancaman Hedonisme Kepada Generasi Muda

Hakikatnya, hedonisme mampu memberi ancaman kepada anak muda melalui perkembangan media arus perdana. Remaja kini tertumpu kepada media elektronik seiring dengan perubahan era globalisasi. Perkembangan Revolusi 4.0 telah menyajikan hiburan yang sangat banyak dan boleh dicapai hanya melalui hujung jari sahaja. Bahan atau kandungan yang tular dan memaparkan isu atau perihal sumbang di laman sosial seperti Facebook, Instagram, WhatApps, Youtube dan Tiktok seumpamanya sukar dikawal. Berdasarkan Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2021 di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperlihatkan penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas telah meningkat dengan ketara kepada 96.8 peratus (2021) berbanding 89.6 peratus (2020). Peningkatan penggunaan media sosial oleh golongan remaja perlu dikawal agar penggunaannya hanya untuk pendidikan dan perkara yang bermanfaat sahaja. Tanpa kawalan penggunaan media sosial, pelbagai unsur budaya hedonisme yang menyiarkan aksi ganas dan melampau dapat disaksikan oleh anak muda termasuklah golongan remaja yang masih dibangku sekolah.

Degree

Pergaulan remaja sama ada di sekolah mahupun di universiti amat mempengaruhi tingkah laku mereka. Kebiasaannya remaja cenderung untuk bergaul dan berhibur sesama golongan mereka kerana lebih selesa. Namun, pemilihan rakan sebaya yang salah membolehkan seseorang individu itu terjebak dengan kegiatan tidak bermoral. Remaja yang tidak berhati-hati dalam memilih rakan akan terikut dengan perilaku negatif rakannya. Anak-anak muda sering merasakan tiada sokongan daripada keluarga sehingga memilih cara hidup hedonisme bagi mengisi kekosongan jiwa. Dengan itu remaja mudah terpengaruh dan mudah menerima ajakan rakan sebaya tanpa menilai baik dan buruknya. Akhirnya mereka sanggup menipu ibu bapa untuk keluar berhibur seperti menghadiri konsert mahupun ke pusat hiburan.

Kewujudan banyak pusat hiburan terutamanya di pusat bandar menjadikan akses untuk mendapatkan hiburan makin mudah. Malah terdapat pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen dan membenarkan remaja dan pelajar sekolah mendapatkan hiburan sewenangnya. Buktinya laporan daripada Harian Metro pada 26 Jun 2020 mengemukakan pendedahan yang dibuat oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bahawa terdapat 15 pusat hiburan yang didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara. Pusat hiburan seperti kelab malam yang berleluasa membolehkan remaja mendapatkan hiburan dan mencari keseronokan tanpa batasan. Dengan adanya tempat berhibur yang tiada batas pergaulan menyebabkan mudahnya masalah sosial tersebar.

Isu sosial bukan hanya berpunca daripada faktor rakan sebaya dan kemudahan fizikal, malah faktor kerohanian menyumbang kepada tingkah laku seseorang. Pegangan agama yang rapuh membolehkan seseorang terdorong dengan budaya hedonisme. Seiring dengan zaman teknologi, remaja amat mudah terdedah dengan budaya yang boleh merosakkan akal fikiran mereka. Didikan agama yang kurang ditekankan dalam keluarga akan menjadikan remaja bersifat melampaui batas sehingga lupa dengan pegangan agama yang patut diamalkan. Pemupukan ke arah ajaran agama yang lemah menjadikan golongan anak muda tiada pegangan yang kuat dari segi akidah, akhlak dan sahsiah. Kelemahan ini meningkatkan lagi kecenderungan remaja dalam konteks hiburan mahupun pergaulan.

Natijah Ketaksuban Hedonisme Kepada Individu, Masyarakat Dan Negara

Dengan adanya hiburan yang berterusan, remaja lebih bersifat malas untuk belajar dan menganggap pendidikan tidak penting. Statistik daripada Jabatan Perangkaan pada 31 Julai lalu menunjukkan seramai 72.1 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) tidak berminat untuk menyambung pelajaran. Mentaliti pendidikan tidak menjamin masa depan antara punca utama generasi muda tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Mereka beranggapan bahawa dengan menjadi pempengaruh ataupun influencer di media sosial seperti TikTok dapat menjana pendapatan lebih daripada golongan pendidikan tinggi. Golongan ini cenderung untuk menjadikan hiburan adalah fokus dan tujuan utama disamping mengangkat mentaliti pendidikan peringkat tinggi tidak penting.

Entertainment

Anak muda merupakan aset negara yang paling berharga namun terdapat segelintir daripada mereka gemar melibatkan diri dengan perkara negatif dan sukar untuk mengawal nafsu dengan baik. Malah lebih parah, remaja bersifat ke arah materialisme yang menjurus kepada kesenangan dunia. Budaya hedonisme boleh meningkatkan kes sosial seperti penagihan dadah, pembuangan bayi, rogol, mencuri dan sebagainya. Berdasarkan laporan daripada Malaysia Gazette pada 5 Julai 2021, pada tahun 2020 sebanyak 20,643 kes dadah dilaporkan manakala pada tahun 2021, sebanyak 7,066 kes. Meskipun trend menunjukkan penurunan kes dari tahun 2019 dan 2020 tetapi nilai kes yang dilaporkan masih tinggi. Menurut kajian juga, mereka yang terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah ini adalah mereka yang berada pada awal usia remaja iaitu berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Remaja pada awal belasan tahun merupakan golongan yang perlu dipantau kerana mereka suka mencuba sesuatu tanpa berfikir panjang. Mereka mudah terpedaya dengan tipu helah duniawi yang mementingkan kesenangan dan kenikmatan sementara. Perkara ini membawa kepada kehancuran nilai agama dalam diri remaja akibat daripada aspek materialisme yang menjadi kayu ukur kepada sesuatu tindakan. Dengan kemewahan yang diperoleh, ketaatan dan tanggungjawab kepada Pencipta ditingggalkan. Kewajipan kepada ibadah solat terutamanya akan diabaikan malah pengetahuan agama turut diremehkan. Golongan remaja sememangnya golongan sedang mencari identiti dan jati diri mereka dan tentunya mudah menjadi sasaran kepada ancaman budaya songsang seandainya tidak dibenteng dengan asas keimanan yang teguh. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam sepenuhnya (dengan mematuhi segala hukum-hakamnya)”

Sinergi Semua Pihak Dalam Mendepani Budaya Hedonisme

Ekoran daripada impak negatif budaya hedonisme, pihak berwajib seperti sekolah, universiti dan kerajaan perlu menyediakan platform atau program yang bersifat kerohanian kepada pelajar. Kaunseling dan bimbingan perlu dipertingkatkan kepada golongan terlibat. Remaja boleh diberikan khidmat kaunseling sama ada di sekolah ataupun di universiti. Pelbagai program boleh dianjurkan seperti mentor mentee bagi memantapkan lagi sesi kaunseling. Dengan yang demikian, perkhidmatan kaunseling di semua institusi perlu ditambah baik dengan menyediakan kemudahan seperti tempat perlindungan bagi remaja yang memerlukan bimbingan.

Kementerian atau jabatan kerajaan juga perlu memandang serius berkenaan kelulusan hiburan yang membawa impak buruk dan memudaratkan masyarakat. Tindakan tegas harus dikenakan kepada pihak penganjur program hiburan yang berpaksikan kepada keuntungan serta memberikan kebebasan kepada remaja dalam pengambilan barang terlarang seperti pil-pil khayal. Pihak kerajaan sebaiknya harus mengawal bentuk-bentuk hiburan yang boleh melalaikan. Kementerian Komunikasi dan Digital memainkan peranan penting dengan menapis atau mengawal hiburan di kaca televisyen mahupun di media sosial. Pengawalan program hiburan bukan bermaksud menghalang remaja daripada berhibur, namun lebih menjurus kepada langkah awal bagi membendung budaya negatif ke atas diri remaja. Sebaliknya memperkayakan program keilmuan yang boleh menghapuskan budaya hedonisme sekaligus menyemarakkan budaya keilmuan dalam kalangan generasi muda.

Ibu bapa antara golongan yang memainkan peranan penting dalam memantau tingkah laku anak-anak supaya tidak terjebak dengan aktiviti menyalahi agama dan boleh merosakkan akhlak. Pemantauan ke atas anak-anak perlu ditingkatkan agar mampu mengawal tindakan yang tidak sepatutnya berlaku. Ibu bapa disarankan mengambil cakna dengan pergaulan dan pergerakan anak-anak mereka agar masalah sosial dapat dibendung. Masa yang terluang boleh diisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah dengan anak-anak seperti bersukan, berbasikal, berkuda, memanah, bermotosikal, mendaki gunung dan lain-lain. Selain itu, melancong dan bercuti dapat menikmati pemandangan indah dan menarik yang memberi ketenangan kepada jiwa. Aktiviti hiburan seumpama itu diterima dalam Islam sebagai amalan yang harus dan digalakkan. Dengan adanya masa bersama, kasih sayang antara ibu bapa dengan anak-anak akan terus dieratkan dan anak-anak tidak akan rasa dirinya terabai.

Family

Budaya hedonisme perlu dikawal supaya anak muda dapat mengawal nafsu yang sentiasa mendorong ke arah keseronokan. Perkembangan teknologi alaf baru hanya dihujung jari membolehkan sebarang maklumat tidak sepatutnya tersebar luas. Anak muda yang kuat rasa ingin tahu akan terus mencuba tanpa mempertimbangkan antara baik dan buruk sesuatu tindakan. Sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dan institusi dapat mengawal anak muda daripada terus hanyut dengan budaya yang mementingkan keseronokan dan kesenangan ini. Menurut kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Zulkifli Al-Bakri dalam Bayan Linas siri ke 179 yang diterbitkan pada 14 Julai 2019, beliau menyatakan bahawa Jabatan Mufti Wilayah berpandangan mengharuskan nyayian dan muzik selagi tidak mempunyai unsur seperti arak, pergaulan bebas tanpa batas, lirik menyalahi syariah dan aqidah Islam serta melalaikan pendengar dan pengamal muzik daripada kewajipan agama. Hakikatnya kemahuan untuk berhibur adalah tidak salah, namun hiburan tersebut harus dibatasi dengan ajaran Islam supaya selari dengan aspek nilai, budaya dan adat yang diamalkan oleh masyarakat negara ini. Dengan itu, gaya hidup yang berpaksikan hiburan melampau perlu dicegah dari awal kerana kesannya boleh menjejaskan matlamat negara dalam melahirkan masyarakat yang kuat dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search