Faraid Sebagai Sistem Keadilan Pewarisan Harta Dalam Islam: Kepentingan, Cabaran Dan Realiti Semasa Di Malaysia
Oleh: Muhammad Dhamiri Maidin
Abstrak
Faraid merupakan sistem pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T bertujuan memastikan keadilan dalam pewarisan harta selepas kematian seseorang yang bergelar Islam. Perbincangan mengenai harta sering menjadi topik yang sensitif dalam masyarakat. Ramai beranggapan bahawa isu pewarisan hanya perlu dibicarakan selepas kematian. Tanggapan ini menyebabkan ramai individu dan keluarga berada dalam konflik yang tidak sewajarnya seperti pergaduhan yang melibatkan emosi selepas berlaku kematian kerana tidak memahami faraid. Artikel ini membincangkan sistem faraid sebagai panduan utama pewarisan harta dalam Islam, kedudukannya sebagai kewajipan syariah, faktor yang menyumbang kepada persepsi negatif masyarakat terhadap faraid, kesilapan umum yang berlaku dalam pewarisan serta keadilan yang menjadi asas kepada sistem tersebut.

Pendahuluan
Dalam kehidupan era moden ini, masyarakat semakin memberi perhatian kepada aspek kewangan, pelaburan dan pengumpulan aset. Memiliki rumah, tanah, simpanan, saham dan pelbagai bentuk harta diusahakan bagi jaminan masa depan. Namun begitu, masih ramai yang bersikap sambil lewa dalam membicangkan tentang perancangan harta selepas kematian dan beranggapan perkara itu tidak perlu diberi perhatian segera dan dipandang remeh.
Disisi lain pula, terdapat sebahagian masyarakat melihat perbincangan mengenai kematian dan pembahagian harta sebagai perkara yang sensitif. Kepercayaan membincangkan harta pusaka ketika masih hidup seolah-olah mengundang musibah dan menjadi tabu dalam masyarakat. Akibatnya, urusan perancangan harta sering ditangguhkan sehinga berlaku kematian.
Hakikat kematian merupakan satu kepastian yang tidak dapat dielakkan oleh setiap manusia. Allah S.W.T berfirman didalam surah Al-Ankabut ayat 29 yang menerangkan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Islam mengajar umatnya supaya membuat persediaan dari aspek akhirat tanpa meninggalkan urusan dunia walaupun ia akan ditinggalkan selepas kematian.
Kegagalan merancang dan memahami konsep pewarisan harta yang sebenar menimbulkan pelbagai masalah dalam masyarakat. Isu yang sering dilaporkan adalah pertikaian dalam kalangan waris, perebutan harta pusaka, pertelingkahan adik-beradik dan terputusnya hubungan kekeluargaan. Terdapat juga dalam sesetengah situasi, hubungan yang akrab dalam kalangan waris menjadi berantakan kerana pertikaian mengenai pembahagian harta pusaka. Kesan daripada perkara ini akan menyebabkan harta yang tidak terurus itu menjadi harta beku.
Muktahir ini, isu harta beku yang semakin meningkat menjadi bukti dan cabaran besar kepada masyarakat Islam di Malaysia. Menurut laporan akhbar Utusan, (“Harta beku, waris buntu: Sampai bila?”, 2026) pada tahun 2025 menunjukkan nilai harta pusaka yang tidak dituntut (harta beku) di Malaysia kini dianggarkan melebihi nilai RM90 billion. Dana tersebut merangkumi pelbagai aset termasuk hartanah, wang simpanan tidak aktif dalam institusi perbankan dan pegangan saham.
Lebih membimbangkan apabila isu harta beku semakin meningkat sehingga kini. Jumlah peningkatan ini menurut statistik laporan dari pertama kali dilaporkan pada tahun 2006 berjumlah RM32 billion sehingga kini kenaikannya mencecah RM58 billion dalam masa 17 tahun dan anggaran purata kenaikan tahunan sebanyak RM3 billion setahun. Keadaan ini memberikan gambaran awal bahawa ilmu faraid perlu difahami dari segenap lapisan masyarakat Islam. Kefahaman tentang faraid mampu membantu keluarga menguruskan harta dengan lebih tersusun, menghindari konflik dan memastikan hak setiap waris terpelihara.

Definisi Pewarisan Harta dalam Islam
Pewarisan harta dalam Islam dikenali sebagai al-mirath atau al-faraid. Ia merujuk kepada proses pemindahan hak milik harta seseorang yang telah meninggal dunia kepada waris-waris yang berhak mengikut syarak. Faraid juga disebut sebagai mawarith (pewarisan) yang merupakan bentuk jamak dari perkataan mirath. Ia juga disebut sebagai turath atau irth yang merujuk kepada perkara yang ditinggalkan oleh seseorang setelah meninggal dunia. Seseorang yang menggantikan si mati dalam pemilikan harta dikenali sebagai waris manakala orang yang hartanya diwarisi disebut sebagai muwarith.
Sistem ini merupakan salah satu hukum yang unik dalam syariat Islam kerana pembahagian harta pusaka tidak diserahkan sepenuhnya kepada kehendak manusia sebaliknya hukum ini ditetapkan dengan garis panduan yang jelas melalui panduan wahyu Allah mengenai siapa yang berhak mewarisi harta dan kadar bahagian yang akan diterima oleh mereka. Perkara tersebut membuktikan Islam memberi perhatian yang besar terhadap aspek keadilan dalam pengurusan harta. Sekiranya urusan pewarisan diserahkan sepenuhnya dalam pengurusan manusia maka pelbagai tindakbalas berdasarkan emosi, pengaruh, kedudukan dan tekanan keluarga akan memberi kesan kepada keputusan yang dibuat.
Sebelum kedatangan Islam, sistem pewarisan diamalkan namun perlaksanaannya menindas golongan tertentu, terutama wanita dan kanak-kanak yang dinafikan hak pewarisan harta kerana dianggap tidak berguna dan pembahagiannya akan dihabiskan oleh lelaki dewasa dalam keluarga yang dianggap mampu berperang dan mempertahankan kabilah. Islam datang dengan membawa perubahan besar dengan mengiktiraf hak semua pihak yang layak menerima pusaka. Dalam pengurusan harta Islam, terdapat tiga instrumen utama yang saling melengkapi iaitu hibah, wasiat, dan faraid.
Hibah merupakan pemberian yang dibuat semasa hidup. Pemberian hibah kebiasaanya berlaku atas pemberian berunsurkan kasih sayang antara pemberi hibah dan penerima hibah. Pemberian hibah boleh dilaksanakan melibatkan aset tertentu kepada individu yang dikehendaki dengan memenuhi syarat yang ditetapkan.
Wasiat merupakan salah satu instrumen yang dilaksanakan dalam hukum Islam selepas kematian. Jumlah wasiat yang dibenarkan sehingga satu pertiga daripada jumlah harta dan tidak boleh diberikan kepada waris faraid tanpa persetujuan waris lain. Wasiat perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum faraid dalam turutan pewarisan harta pusaka.

Faraid: Kewajipan syariah, bukan pilihan keluarga
Permasalah yang kerap berlaku dalam pengurusan faraid dalam masyarakat apabila faraid dilihat sebagai pilihan terakhir, boleh diterima dan ditolak mengikut persetujuan ahli keluarga. Selain itu, terdapat segelintir masyarakat yang mengambil instrumen lain bagi mengelakkan faraid yang dianggap menyusahkan diri dan keluarga mereka bagi menguruskan harta selepas kematian.
Hakikatnya, faraid merupakan hukum yang wajib dilaksanakan seperti kewajipan-kewajipan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Tambahan pula, jika dilihat dari sudut kesempurnaan maka faraid boleh diiktiraf sebagai hukum yang sempurna didalam Al-Quran kerana perbahasan dihuraikan dari sudut hukum, pembahagian serta pengiraan dinyatakan dengan lengkap dan jelas. Ia berbeza dengan kewajipan solat, hukum bagi kewajipan mendirikan solat terdapat didalam Al-Quran tetapi cara perlaksanaan perlu melalui rujukan hadis. Satu perkara yang perlu ditekankan ke dalam masyarakat ialah faraid merupakan hukum syarak yang wajib dilaksanakan seperti kewajipan-kewajipan lain yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Sekiranya seorang individu menggunakan instrumen lain semata-mata dengan niat melarikan diri atau helah daripada faraid merupakan satu tindakan yang dilarang dan membawa kepada dosa besar. Selain itu, penggunaan instrumen seperti hibah perlu dibuat secara adil, sekiranya tidak dilaksanakan dengan adil maka ia boleh membawa kepada dosa dan kezaliman kerana perkara ini dilarang oleh Rasulullah S.A.W didalam hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Bashir:
أَعْطانِي أبِي عَطِيَّةً، فَقالَتْ عَمْرَةُ بنْتُ رَواحَةَ: لا أرْضى حتّى تُشْهِدَ رَسولَ اللَّهِ ﷺ، فأتى رَسولَ اللَّهِ ﷺ، فَقالَ: إنِّي أعْطَيْتُ ابْنِي مِن عَمْرَةَ بنْتِ رَواحَةَ عَطِيَّةً، فأمَرَتْنِي أنْ أُشْهِدَكَ يا رَسولَ اللَّهِ، قالَ: أعْطَيْتَ سائِرَ ولَدِكَ مِثْلَ هذا؟، قالَ: لا، قالَ: فاتَّقُوا اللَّهَ واعْدِلُوا بيْنَ أوْلادِكُمْ، قالَ: فَرَجَعَ فَرَدَّ عَطِيَّتَهُ.
Maksudnya: Ayah memberikan hadiah kepadaku. Lalu ibuku (‘Amrah binti Rawahah) berkata: Aku tak meredhai dan bersetuju dengan tindakan kau menghadiahi kepadanya sehinggalah kau meminta penyaksian (meminta kebenaran dan sokongan) daripada Nabi Muhammad SAW. Lalu ayah berjumpa Rasulullah SAW dan menceritakan kes yang berlaku lantas berkata: Aku memberikan kepada anak lelakiku sebuah hadiah tetapi isteriku menyuruh agar meminta kepastian daripadamu terlebih dahulu wahai Rasulullah. Lalu, Nabi Muhammad SAW melontarkan persoalan: Adakah anak-anak yang lain kau berikan hadiah yang sama seperti ini? Bapanya menjawab: Tidak. Lalu Nabi Muhammad SAW berkata: Bertakwalah kepada Allah dan berlakulah adil terhadap kesemua anakmu. Kemudian, ayah pulang dan meminta semula hadiah yang telah diberikan.
Riwayat al-Bukhari (2587)
Apabila berlaku kematian, terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian pusaka dilakukan antaranya adalah menyelesaikan pengurusan jenazah yang merangkumi memandikan, mengkafankan, solat dan mengebumikan jenazah. Setelah itu, perlu diselesaikan pembayaran hutang si mati samada hutang dengan Allah dan manusia serta perlaksanaan wasiat yang sah. Selepas semua perkara ini diselesaikan, barulah baki harta dibahagikan kepada waris yang berhak.
Kepentingan faraid dapat dlihat melalui hikmah yang terkandung dalam hukum dan perlaksanaannya. Pertama, ia menjamin hak bagi setiap waris dan menunjukkan bahawa tiada siapa yang boleh menafikan hak waris sekiranya penafian itu dibuat hanya kerana faktor emosi atau kepentingan peribadi. Kedua, faraid mengelakkan harta terbahagi kepada golongan tertentu sahaja. Harta yang ditinggalkan akan diagihkan kepada waris utama terlebih dahulu dan sekiranya terdapat lebihan maka akan diberikan kepada waris asobah yang mempunyai persaudaraan jauh dengan si mati. Ketiga, faraid mengurangkan risiko pertelingkahan kerana asas pembahagian telah ditentukan oleh syarak. Panduan tersebut sekiranya dilaksanakan dengan cara yang benar maka waris tidak perlu bertelagah untuk menentukan siapa yang lebih layak menerima bahagian masing-masing.
Namun demikian, kegagalan memahami prinsip ini sering menyebabkan konflik berlaku dan perkara ini akan membawa kepada penguasaan ke atas harta faraid disebabkan sifat tamak dan keinginan. Kebanyakan kes yang berlaku adalah sikap monopoli dan menafikan hak adik-beradik yang lain. Terdapat juga kes salah faham tentang pesanan si mati yang dianggap sebagai wasiat yang perlu dilaksanakan walaupun berlawanan dengan hukum yang telah ditetapkan. Tindakan ini dilihat sebagai perkara yang boleh membawa kepada kezaliman yang besar dan menyebabkan masyarakat tidak lagi melihat faraid sebagai satu hukum yang perlu dilaksanakan.

Mengapa Faraid Dipandang Negatif
Sistem faraid merupakan ketetapan hukum syarak yang sangat adil dalam pembahagian harta pusaka umat Islam. Perkara ini dapat dilihat bagaimana ilmu faraid ini meliputi semua pembahagian sehingga anak yang tidak sah taraf juga tidak dinafikan hak bagi mereka dalam nasab dan pewarisan. Walau bagaimanapun, dalam realiti kehidupan masyarakat hari ini faraid sering disalahertikan sehingga timbul persepsi negatif yang meluas. Fenomena buruk ini sebenarnya tidak berlaku disebabkan oleh kelemahan sistem perundangan Islam tetapi berpunca daripada kecelaruan masyarakat, kurangnya kefahaman berkenaan faraid dan sifat tamak segelintir waris yang sanggup mengabaikan tanggungjawab moral demi kepentingan peribadi.
Persepsi pertama yang sering menjadi isu dalam minda masyarakat adalah anggapan bahawa faraid tidak adil terutamanya melibatkan perbezaan kadar bahagian antara lelaki dan wanita. Secara zahirnya, waris lelaki akan menerima dua bahagian berbanding waris wanita yang hanya menerima satu bahagian. Hukum ini termaktub didalam firman Allah:
يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ فِيٓ أَوۡلَٰدِكُمۡۖ لِلذَّكَرِ مِثۡلُ حَظِّ ٱلۡأُنثَيَيۡنِۚ
Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.
(Surah An-Nisa: 11)
Perbezaan pembahagian ini sering digunakan sebagai isu oleh pihak tertentu untuk mendakwa bahawa undang-undang Islam menindas kaum wanita. Jika dilihat dari sudut yang lain, formula pembahagian pusaka ini seiring dengan sistem tanggungjawab kewangan yang sangat adil. Dalam Islam, lelaki memikul kewajipan mutlak untuk menyediakan nafkah bagi menyara isteri, anak-anak, dan ibu bapa. Sebaliknya harta pusaka yang diterima oleh wanita melalui faraid adalah hak milik mutlak sepenuhnya tanpa perlu dibelanjakan untuk tanggungan dan orang lain kecuali atas kehendaknya sendiri. Perkara ini disebutkan didalam firman Allah:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ فَٱلصَّٰلِحَٰتُ قَٰنِتَٰتٌ حَٰفِظَٰتٞ لِّلۡغَيۡبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُۚ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.
(Surah An-Nisa’: 34)
Selain itu, faraid juga dilihat sebagai punca pergaduhan dan keretakan hubungan silaturahim dalam keluarga. Peristiwa ini kerap kali berlaku apabila seorang ahli keluarga meninggal dunia, waris lelaki mendesak untuk mendapatkan bahagian mereka daripada si mati tanpa mempedulikan kebajikan ahli keluarga yang lain. Dalam sesetengah kes yang sudah berlaku, terdapat waris lelaki yang membahagikan bahagian sesama mereka dan menyembunyikan waris bagi mengaut keuntungan dari pewarisan harta tersebut. Bertambah malang apabila selepas memperolehi bahagian tersebut, mereka terus menghilangkan diri dan membiarkan balu serta anak-anak yatim yang masih kecil hidup melarat. Keadaan ini menyebabkan masyarakat luar memandang negatif terhadap instrumen faraid sebagai instrumen yang membiarkan kezaliman golongan yang lemah berlaku dan mencetuskan perbalahan.
Seterusnya, timbul persepsi bahawa pengurusan harta melaui faraid amat menyusahkan dan memakan masa yang lama untuk diselesaikan. Proses tuntutan yang tertangguh bertahun-tahun akibat pertikaian, kejahilan dan kedegilan antara ahli keluarga boleh menyebabkan aset menjadi beku dan terbiar tanpa mendatangkan sebarang manfaat. Hakikatnya, kelewatan dalam proses dan kegagalan menguruskan tuntutan harta pusaka dengan betul berpunca daripada tidak merancang harta ketika hidup dan waris tidak didedahkan dengan pengetahuan ilmu pewarisan harta pusaka. Kesilapan ini juga berlaku kerana kurang pendedahan secara menyeluruh dari agamawan dalam menyebarkan ilmu ini kepada masyarakat.
Persepsi negatif terhadap faraid merupakan kesan daripada ilmu yang kurang didedahkan, kejahilan dan kegagalan masyarakat dalam memisahkan kesucian hukum Tuhan dengan kelemahan pengurusan manusia. Bagi mengatasi perkara ini, kesedaran ilmu pengurusan harta Islam serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dipertingkatkan agar sistem ini berjalan dengan adil dan telus.

Kesilapan Umum Berkaitan Faraid
Sistem faraid sering dijadikan pertikaian dalam masyarakat apabila berhadapan dengan permasalahan menguruskan harta pusaka. Terdapat beberapa kesilapan yang kerap dilakukan dan kurang mendapat perhatian dalam kalangan ahli keluarga sehingga merumitkan proses pembahagian pusaka.
Pertama, pemilik harta tidak membuat perancangan harta awal. Ramai pemilik harta bersikap sambil lewa dan melengahkan perancangan harta kerana menganggap isu kematian dan pembahagian harta perlu difikirkan apabila umur tua dan uzur. Sikap ini menyebabkan waris terpaksa berhadapan dengan akaun bank dan aset yang dibekukan secara mengejut, perkara ini kebanyakannya akan menyebabkan kesempitan kewangan bagi keluarga yang ditinggalkan.
Kedua, kejahilan ilmu tentang faraid dan hukum syariah. Kekurangan pendedahan atau keengganan mempelajari asas pembahagian pusaka mengikut syarak menyebabkan timbul andaian yang salah tentang pembahagian dan perlaksanaan harta pusaka, kebiasaan ini berlaku salah faham hak berkaitan anak saudara, anak angkat, anak tidak sah taraf, ibu bapa, pasangan serta peranan waris lelaki (asabah) yang sepatutnya bertindak sebagai pelindung kebajikan dan bukan sekadar penuntut harta.
Ketiga, menganggap wasiat boleh menggantikan faraid sepenuhnya. Kekeliruan tentang dokumen wasiat boleh dibuat untuk menukar kadar pembahagian waris faraid adalah tidak benar kerana wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris dan sekiranya mahu diberikan kepada waris, persetujuan penuh dari waris perlu diambil bagi mendapatkan wasiat tersebut. Wasiat sebenarnya dihadkan sehingga maksimum satu pertiga (1/3) daripada harta jumlah bersih.
Keempat, tidak menyelesaikan hutang si mati. Situasi ini sering berlaku apabila waris membahagikan harta pusaka tanpa mengetahui atau menyelidiki tentang hutang si mati. Hutang perlu diselesaikan selepas pengurusan jenazah merangkumi hutang Allah dan manusia. Perkara ini perlu diselesaikan terlebih dahulu menggunakan duit pusaka tersebut sebelum baki bersihnya boleh diagihkan mengikut kaedah faraid setelah semuanya selesai.
Kelima, tidak menyediakan dokumen pemilikan yang sah. Segala urusan tuntutan di Mahkamah Syariah, Pejabat Tanah, atau agensi pengurusan pusaka kerap tergendala selama bertahun-tahun disebabkan si mati tidak menyediakan dokumen sokongan yang sah untuk waris. Kesilapan seperti tidak menukar geran tanah, tiada perjanjian hitam putih, tidak meninggalkan penama atau wasis bagi pengurusan akaun merupakan penyebab kepada harta tidak dapat diuruskan dengan baik dan harta menjadi beku. Penggunaan instrumen hibah juga boleh dipertimbangkan sekiranya perlu dan haruslah dilaksanakan dengan adil bagi mengelakkan perbalahan dan pertikaian antara waris berlaku di kemudian hari.

Penutup
Pengurusan faraid merupakan kesempurnaan syariat Islam dalam mengatur kehidupan manusia. Sistem ini bukan sekadar prosedur pembahagian harta selepas kematian, tetapi merupakan instrumen penting bagi menjamin keadilah sosial, menjaga hak waris dan memelihara keharmonian institusi keluarga. Dalam keadaan harta umat Islam yang semakin berkembang dan bentuk aset yang semakin kompleks, pendidikan pengurusan faraid perlu dirancang, diperkasakan dan diperkemas supaya masyarakat tidak hanya tertumpu kepada pengumpulan harta kekayaan tetapi juga mempunyai ilmu bagi mengurus dan mewariskan harta dengan cara yang benar. Usaha memahami faraid, merancang harta dan melaksanakan pembahagian harta pusaka mengikut syariat merupakan satu bentuk ketaatan kepada Allah S.W.T dan apa yang ditinggalkan kepada waris menjadi sebahagian tanggungjawab yang akan dipersoalkan dihadapan Allah S.W.T.
