RANKING UNIVERSITI: PENANDA KECEMERLANGAN ATAU PERLUMBAAN KEUNTUNGAN?
Oleh: Ahmad Shaifful Anuar Ahmad Shukor (PhD) & Shereeza Mohamed Saniff (PhD)
Pendahuluan
Setiap kali QS World University Rankings keluar, suasananya agak boleh dijangka. Kementerian mengeluarkan kenyataan media. Naib canselor memberikan ucapan tahniah. Portal berita menyiarkan tajuk utama penuh semangat. Universiti pun memasang sepanduk baru.
Memang ada sebab untuk berbangga. Dalam QS World University Rankings 2026, Universiti Malaya (UM) menduduki tangga ke-58 dunia, mengekalkan posisinya sebagai universiti awam Malaysia yang terbaik buat enam tahun berturut-turut. Dalam konteks Asia pula, UM berada di tangga ke-15, diikuti UPM (ke-22), UKM (ke-24), UTM (ke-25), dan USM (ke-34) menjadikan ini kali pertama kelima-lima universiti penyelidikan negara bersama-sama memasuki senarai 50 universiti terbaik Asia (The Vibes, 2025). Di kalangan universiti swasta pula, Sunway University mencatat lonjakan lebih 120 anak tangga dalam QS 2026, menjadikannya antara universiti paling pesat meningkat di dunia, manakala Taylor’s University mencapai ranking Asia terbaik dalam sejarahnya pada tangga ke-27 dan UCSI University buat pertama kali masuk senarai 30 teratas selepas mendaki 75 anak tangga dalam tempoh lima tahun (The Vibes, 2025).
Namun angka-angka ini perlu dibaca dengan lebih kritis. Setiap universiti yang ditubuhkan dalam negara ini membawa misi sosial yang jelas iaitu meningkatkan akses pendidikan dan membina mobiliti sosial dalam masyarakat. Apabila dunia akademik semakin kompetitif, misi sosial itu semakin pudar. Dari hasrat melahirkan ilmuan dan sarjana, semuanya kini berkisar kepada satu matlamat: kejar ranking, jadi Number One. Natijahnya, masyarakat mula hilang kepercayaan. Universiti dilihat jauh dari realiti, penyelidikan tidak dirasai manfaatnya dan suara akademia semakin kurang didengar dalam perbincangan awam.
Ranking bukan lagi sekadar alat perbandingan akademik yang neutral tetapi ia telah menjelma menjadi bahasa rasmi pendidikan tinggi kita. Kementerian menggunakannya sebagai penanda aras dasar, universiti menetapkan KPI dalaman berasaskan indikatornya dan pelajar serta ibu bapa semakin bergantung kepadanya sebagai panduan utama memilih universiti. QS menggunakan sembilan indikator utama dalam penilaiannya iaitu Reputasi Akademik (30%), Sitasi per Fakulti (20%), Reputasi Majikan (15%), Nisbah Pelajar kepada Fakulti (10%) dan beberapa indikator lain berkaitan internasionalisasi dan kelestarian (QS Top Universities, 2025). Yang paling kritikal untuk diperhatikan ialah reputasi akademik membawa pemberat tertinggi sebanyak 30%, diukur melalui tinjauan global dalam kalangan ahli akademik. Satu kaedah yang secara struktural menguntungkan universiti Barat yang lebih tua dan lebih dikenali. Untuk universiti di Global South seperti Malaysia, ini seperti berlari dalam pertandingan yang pembaris jaraknya sudah dipendekkan terlebih dahulu.
Kesembilan indikator ini tidak mengukur satu pun daripada empat dimensi kesarjanaan sebenar iaitu sumbangan ilmu, terjemahan kepada amalan, impak kepada sistem dan masyarakat, serta pembinaan kapasiti dan legasi. Lebih mendalam lagi, ia langsung tidak menyentuh persoalan asas yang pernah diajukan iaitu adakah manusia yang sepatutnya menjadi tujuan kepada sesebuah sistem pembangunan atau sistem itu sendiri yang telah menjadikan manusia sebagai alatnya? (Salleh, 2013a). Soalan ini, walaupun diajukan dalam konteks pembangunan Islam, terasa semakin relevan hari ini apabila institusi pendidikan tinggi semakin mengutamakan prestij nombor berbanding pembangunan insan yang sejati.
Maka artikel ini hadir untuk membuka semula persoalan yang sepatutnya tidak pernah berhenti ditanya: untuk apakah sebenarnya universiti kita wujud? Perbincangan ini akan meneliti tiga dimensi yang saling berkaitan. Pertama, bagaimana logik ranking mendorong universiti beroperasi seperti entiti korporat yang mengutamakan prestij berbanding misi. Kedua, bagaimana tekanan ini meresap ke dalam pembentukan sahsiah dan kemenjadian pelajar sehingga menjejaskan integriti akademik. Dan ketiga, apakah alternatif yang lebih jujur dan relevan untuk menilai kecemerlangan sebuah universiti mengikut acuan kita sendiri.
Ranking Universiti dan Logik Keuntungan
Dalam kalangan sarjana yang paling lantang mempersoalkan sistem ranking global, ada pandangan yang tegas bahawa badan-badan seperti QS, Times Higher Education dan Academic Ranking of World Universities bukanlah pengawal kecemerlangan akademik yang neutral. Mereka adalah perniagaan yang mencari keuntungan daripada universiti yang mengambil bahagian dan penerimaan bulat-bulat terhadap sistem ini merupakan satu bentuk penyerahan diri kepada logik ekonomi neoliberal (Alatas et al., 2025). Lebih membimbangkan, universiti Malaysia dilihat menerima sistem ini tanpa mempersoalkan bagaimana ia mempengaruhi cara mereka mengajar, memberikan bahan bacaan dan menetapkan sistem pemarkahan seolah-olah nombor dalam lajur ranking itu lebih penting daripada soalan asas: apakah yang sebenarnya sedang berlaku di dalam bilik kuliah?
Hakikatnya, tekanan untuk mendaki ranking antarabangsa telah mendorong universiti memberi penekanan berlebihan kepada metrik penerbitan dan sitasi. Ini terbukti daripada peningkatan kes plagiarisme, citation stacking dan pelbagai bentuk salah laku akademik yang lain (Lim, 2025). Fenomena ini dikenali dalam literatur akademik sebagai gaming the rankings iaitu bermain dengan sistem untuk kelihatan lebih baik di atas kertas, walaupun realiti di lapangan berkata lain. Yang menyedihkan, dalam banyak kes pensyarah yang terlibat bukan jahat, mereka hanya cuba bertahan dalam sistem yang menilai mereka mengikut nombor semata-mata.
Di sinilah pemikiran Salleh (2013b) tentang strategi pendidikan Islam menjadi cermin yang berguna. Beliau menegaskan bahawa pendidikan yang tulen perlu berakar pada tasawwur, pandangan alam yang menyeluruh dan bukan sekadar distrukturkan mengikut keperluan semasa atau tekanan luar. Apabila universiti mula mengukur kejayaannya melalui kedudukan dalam senarai global, ia secara tidak langsung menyerahkan tasawwur keilmuannya kepada pihak luar yang tidak semestinya berkongsi nilai, budaya atau misi yang sama. Pendidikan yang sepatutnya membentuk manusia, akhirnya hanya membentuk angka.
Dimensi yang sering terlepas pandang dalam perbincangan ini ialah kesannya terhadap identiti warga akademik itu sendiri. Terdapat perbezaan mendasar antara pensyarah sebagai peranan institusi, dengan sarjana sebagai modus kewujudan intelektual. Pensyarah berfungsi dalam ekologi birokratik di mana ilmu dikawal selia, diaudit, dan dioptimumkan. Identitinya ditentukan oleh pelantikan, beban tugas dan akauntabiliti pentadbiran. Sarjana pula ditakrifkan oleh keazaman menyelidik secara berterusan, kejujuran intelektual dan komitmen terhadap pencarian kebenaran tanpa bergantung pada ganjaran segera. Tragedi universiti kontemporari bukanlah kewujudan pensyarah tetapi hakikat bahawa kesarjanaan tidak lagi menjadi prinsip penggeraknya. Apabila birokrasi dan metrik menggantikan pertimbangan intelektual, pensyarah terus bertahan tetapi sarjana menjadi figura yang semakin terancam.
Dalam konteks ini, fenomena pensyarah yang mengejar pangkat perlu difahami secara adil dan bernuansa. Mengejar pangkat bukan semata-mata kerana ego tetapi kerana sistem itu sendiri dibina untuk menghargai kenaikan pangkat sebagai ukuran kejayaan. Pangkat menentukan akses kepada geran penyelidikan, kuasa membuat keputusan dan suara dalam hala tuju fakulti. Kenaikan ke Profesor Madya atau Profesor memberi kestabilan dan perlindungan dalam sistem yang semakin kompetitif, maka mengejar pangkat bukan sekadar soal status tetapi survival. Namun, apabila pangkat dijadikan matlamat utama, ada risiko pensyarah mula bermain dengan sistem, mengejar penerbitan semata-mata atau membina kolaborasi yang bersifat kosmetik sehingga akademia yang sepatutnya menjadi ruang pencarian kebenaran berubah menjadi sekadar perlumbaan angka.
Satu aspek lain yang jarang dibincangkan secara terbuka ialah peranan pelajar antarabangsa dalam ekosistem ranking. Indikator “Nisbah Pelajar Antarabangsa” secara langsung memberi insentif kepada universiti untuk menarik lebih ramai pelajar luar negara. Namun, motivasi di sebaliknya tidak semestinya bertitik-tolak daripada hasrat akademik murni. Dalam kerangka neoliberal, pelajar antarabangsa menjadi sangat menarik terutamanya kerana mereka membayar yuran yang lebih tinggi dan universiti yang kehilangan pembiayaan kerajaan semakin bergantung kepada pendapatan daripada sumber swasta ini (Weber et al., 2023). Ada universiti yang dilaporkan melonggarkan syarat kemasukan semata-mata untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa demi mengejar skor ranking, mengetepikan tanggungjawab teras mereka sebagai institusi pendidikan (Lim, 2025). Ertinya, sesebuah universiti boleh meningkatkan rankingnya bukan dengan menjadi lebih baik secara akademik tetapi semata-mata dengan menjadi lebih pandai memasarkan dirinya.
Ini bertentangan sepenuhnya dengan apa yang difahami Salleh (2013a) sebagai teras kepada pembangunan yang bermakna iaitu manusia bukan instrumen kepada sistem tetapi sistem yang sepatutnya berkhidmat kepada manusia. Apabila pelajar dilihat sebagai sumber pendapatan dan penyumbang kepada skor indikator, universiti telah membalikkan hubungan asas ini. Manusia dalam kes ini pelajar digunakan untuk membangunkan universiti, bukan sebaliknya.
Transformasi ini tidak berlaku dalam semalam. Obsesi terhadap kecekapan, pengukuran output dan nilai boleh-pasaran semakin menghakis nilai-nilai akademik yang menjadi teras sesebuah universiti. Universiti moden mendakwa sedang “menjamin kualiti” ilmu, namun hakikatnya ia sedang menundukkan pengetahuan kepada logik kebolehukuran dan kepatuhan (Lim, 2025). Pembelajaran dipecahkan kepada unit-unit kecil yang boleh diaudit sehingga tiada ruang tersisa untuk penyimpangan intelektual yang sering menjadi sumber penemuan sebenar. Apabila nilai ilmu ditentukan sepenuhnya oleh kebolehgunaannya dalam ekonomi, universiti kehilangan autonomi intelektualnya dan menyerahkan mandat keilmuan kepada logik luar yang tidak pernah peduli kepada kebijaksanaan, keadilan atau kemanusiaan. Dalam konfigurasi ini, universiti tidak memerlukan sarjana, ia hanya memerlukan operator kurikulum.
Yang paling membimbangkan, implikasi logik keuntungan ini tidak berhenti di peringkat institusi. Ia meresap masuk ke dalam bilik kuliah, ke dalam hubungan antara pensyarah dan pelajar dan akhirnya ke dalam cara pelajar itu sendiri memahami tujuan mereka berada di universiti. Apabila institusi mengutamakan metrik berbanding makna, apabila pensyarah ditekan untuk mengeluarkan penerbitan berbanding membentuk pemikiran dan apabila pelajar antarabangsa dilihat sebagai sumber pendapatan berbanding rakan intelektual maka tidak hairanlah jika sahsiah, kemenjadian dan integriti akademik pelajar turut terjejas dalam proses yang sama. Inilah yang akan diteliti dengan lebih lanjut dalam bahagian berikutnya.
Sahsiah, Kemenjadian Pelajar dan Integriti Akademik
Kesan rantaian daripada logik keuntungan korporat yang meresap ke dalam bilik kuliah ini akhirnya membentuk semula acuan kemenjadian pelajar dan budaya kerja akademia. Kecemerlangan sesebuah universiti tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan prestasi akademik dan penyelidikan sahaja. Walaupun kedua-dua elemen tersebut penting sebagai tunjang kepada fungsi utama institusi pengajian tinggi, pendekatan tersebut terlalu bertumpu kepada metrik kuantitatif sehingga menyempitkan fungsi sebenar universiti sebagai institusi pembinaan insan. Dimensi insan menekankan tentang kemenjadian pelajar secara menyeluruh. Sehubungan itu, kecemerlangan universiti tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui pengumpulan modal akademik seperti penerbitan dan sitasi, tetapi melalui keupayaan membentuk graduan yang bukan sahaja celik ilmu, tetapi juga dari segi peribadi mempunyai sahsiah yang unggul, penghayatan nilai etika dan tanggungjawab sosial, serta pembangunan kepimpinan dan kematangan moral.
Universiti bukan sekadar menghasilkan tenaga kerja, tetapi membentuk manusia yang seimbang dari segi intelektual, spiritual dan sosial. Dalam konteks ini, universiti tidak boleh dilihat sebagai sebuah kilang semata-mata untuk menyediakan mahasiswa yang bersedia untuk bekerja tetapi perlu membangunkan mahasiswa yang mahu mencari ilmu demi ilmu supaya dapat berfikir berkenaan masalah masyarakat mereka dan mencari penyelesaian kepada masalah tersebut (Alatas, 2026). Kerangka ini selari dengan pandangan Salleh (2013a) yang menegaskan bahawa pembangunan insan dalam perspektif Islam perlu melangkaui dimensi material dan memasukkan aspek rohani, moral dan tanggungjawab sebagai khalifah.
Namun, dimensi ini sering dipinggirkan dalam sistem penilaian global. Ia sukar diukur secara kuantitatif. Pengaruh agenda neoliberalisme dalam pendidikan tinggi telah memperkukuh kecenderungan ini. Kerangka neoliberal ini menular secara halus namun berkesan ke dalam sistem universiti di seluruh dunia, termasuk Malaysia seperti dihujahkan oleh Slaughter dan Rhoades (2004), kemunculan kapitalisme akademik (academic capitalism) memperlihatkan peralihan universiti daripada institusi kepentingan awam kepada entiti ekonomi yang mengkomodifikasikan pendidikan (commodification of education) dan ilmu pengetahuan sebagai objek perdagangan. Neoliberalisme dalam pendidikan tinggi membawa falsafah bahawa universiti perlu beroperasi seperti entiti perniagaan, di mana kejayaan diukur melalui keuntungan, produktiviti, dan daya saing pasaran. Dalam keadaan ini, pendidikan dilihat sebagai pelaburan ekonomi, pelajar sebagai pelanggan, dan universiti sebagai organisasi yang perlu bersaing dalam pasaran global. Akibatnya, pendidikan yang sepatutnya menjadi hak asasi dan amanah sosial diubah menjadi satu produk yang diperjualbelikan, manakala pelajar pula telah ditukar peranannya daripada pencari ilmu kepada pelanggan yang membayar dan universiti sebagai organisasi yang perlu bersaing dalam pasaran global.
Kesan daripada peralihan ini turut mempengaruhi integriti akademik. Tekanan terhadap pensyarah untuk memenuhi KPI berasaskan penerbitan dan geran berpotensi menghakis etika pengajaran dan kejujuran intelektual. Dari perspektif Bourdieu (1990), situasi ini mencerminkan persaingan dalam medan akademik untuk mengumpul modal simbolik seperti reputasi dan kedudukan ranking.
Dalam konteks inilah lahirnya fenomena yang dinukilkan oleh Wan Manan (2026) sebagai “universiti para berdebah”. Institusi yang wujud bukan untuk mendidik, membentuk sahsiah, atau membangunkan tamadun, tetapi untuk memaksimumkan pendapatan, mengumpul penarafan, dan memenuhi kehendak pasaran tanpa jiwa. Gedung ilmu telah bertukar menjadi kilang sijil, dan menara gading telah runtuh menjadi pusat dagangan intelektual. Justeru, penekanan berlebihan terhadap indikator yang bersifat kuantitatif dalam ranking berpotensi bercanggah dengan tujuan asas pendidikan itu sendiri.
Universiti dan warga akademik sentiasa terperangkap dalam perlumbaan berterusan untuk mengejar kedudukan, geran dan pengiktirafan. Perlumbaan ini bukan sahaja memenatkan, tetapi juga berisiko mengalihkan fokus daripada pendidikan sebagai proses pembinaan insan kepada sekadar penghasilan output yang diukur. Salleh (2013b) dalam membincangkan strategi pendidikan Islam menegaskan bahawa pendidikan perlu berteraskan pembinaan insan yang beradab dan berintegriti, bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran.
Selain kemenjadian pelajar, integriti pensyarah dan budaya akademik yang sihat turut menjadi cerminan sebenar kualiti sesebuah universiti. Etika dalam pengajaran dan penyelidikan perlu dijunjung tinggi, kerana pensyarah bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi juga teladan hidup kepada para pelajar. Kejujuran intelektual, iaitu kesediaan untuk berkata benar, mengakui batasan ilmu, dan menghormati kebenaran walaupun ia bertentangan dengan kepentingan peribadi, adalah nadi kepada budaya akademik yang sejati. Dalam hal ini, pensyarah perlu melihat diri mereka sebagai pembina insan, bukan sekadar mesin penghasil penerbitan semata-mata demi mengejar indeks sitasi dan penarafan jurnal.
Malangnya, agenda neoliberalisme telah berjaya menjadikan pensyarah sebagai “pekerja pengetahuan” yang dinilai berdasarkan output boleh diukur, bukan berdasarkan kedalaman ilmu atau ketulusan mendidik. Sistem penilaian prestasi yang berasaskan kuantiti penerbitan, geran penyelidikan, dan skor pelajar telah mewujudkan budaya akademik yang tertekan, materialistik, dan kehilangan semangat keilmuan yang tulen. Lebih memburukkan lagi keadaan, ahli akademik hari ini menghadapi beban kerja yang semakin melampau, pekerjaan yang tidak menentu dan kontrak jangka pendek yang menghakis kestabilan kerjaya, serta autonomi profesional yang semakin dikekang. Keadaan yang sering digambarkan sebagai “perhambaan akademik moden” (modern academic slavery) (Steynberg et al., 2024) mencerminkan realiti pahit yang dialami oleh ramai pensyarah di universiti-universiti yang terperangkap dalam acuan neoliberal ini di mana nilai seseorang pensyarah diukur dengan keutamaan penekanan berdasarkan kepada jumlah penerbitan dan geran yang berjaya diraihnya. Perkara ini, menurut Alatas (2026) sebagai satu masalah jangka panjang yang akan merosakkan budaya akademik.
Situasi ini semakin diburukkan lagi dengan kebangkitan budaya pengurusan autoritatif dalam institusi akademik. Kawalan pengurusan yang berlebihan memupuk budaya pengawasan mikro (micromanagement) yang menyempitkan kebebasan budaya akademik, di mana setiap tindakan pensyarah diawasi, dinilai, dan dikawal oleh lapisan birokrasi yang semakin tebal. Akibatnya, kebebasan akademik yang merupakan nadi kepada penerokaan ilmu yang tulen semakin terhakis. Semangat kebersamaan dan rasa hormat sesama ahli akademik sukar dicapai dan digantikan oleh persaingan tidak sihat dan budaya saling tidak percaya. Pensyarah yang sepatutnya menjadi pemikir bebas dan pembina ilmu telah diturunkan darjatnya menjadi pekerja korporat yang akur kepada arahan dari atas tanpa ruang untuk berfikir secara kritis dan bebas.
Lebih membimbangkan lagi, tumpuan melampau kepada pengukuran seperti hasil penyelidikan dan petikan ilmiah sering mendorong institusi untuk mengutamakan aspek-aspek tersebut mengatasi kualiti pengajaran, penglibatan komuniti, dan nilai-nilai pendidikan teras. Fungsi hakiki universiti sebagai pusat pembentukan insan tidak lagi dilihat secara keseluruhan tetapi dikhususkan kepada satu entiti yang fokus mentadbir dan mengurus hal ehwal pelajar.
Tambahan, desakan untuk mendaki ranking telah melahirkan amalan-amalan yang secara langsung meruntuhkan integriti akademik itu sendiri. Manipulasi sistem ranking, petikan paksa (coercive citation) di mana pensyarah dipaksa atau diminta memetik karya rakan sejawat atau penyelia demi menaikkan indeks sitasi serta kewujudan penerbitan pemangsaan (predatory publishing) yang menerima manuskrip tanpa saringan ilmiah yang ketat semata-mata demi keuntungan komersial merupakan antara amalan yang meruntuhkan integriti akademik. Amalan-amalan tidak beretika ini bukan sahaja menodai kesucian ilmu, malah meranapkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi akademik secara keseluruhannya (Oravec, 2020).
Hakikat yang turut tidak boleh diabaikan ialah sistem ranking antarabangsa secara tidak langsung mempromosikan model kejayaan yang sempit dan seragam, yang akhirnya boleh membawa universiti untuk menyeleweng daripada misi asalnya. Apabila universiti-universiti berlumba-lumba mengejar penanda aras yang sama, kepelbagaian identiti dan fungsi institusi mula hilang kerana terpaksa meniru acuan yang sama. Akibatnya, setiap universiti kehilangan keunikan, kekuatan, dan sumbangan tersendiri yang sepatutnya memperkayakan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Kesannya, elemen pembinaan insan seperti sahsiah, nilai etika dan tanggungjawab sosial tidak diberi tempat yang sewajarnya dalam indikator ranking universiti antarabangsa. Penilaian yang bersifat kuantitatif ini mengecilkan dimensi kemanusiaan dalam pendidikan. Secara tidak langsung, ia mencerminkan pengaruh nilai-nilai neoliberalisme dalam sistem pendidikan tinggi global.
Menilai Universiti dengan Cara Sendiri
Sistem ranking antarabangsa seperti QS dan Times Higher Education pada dasarnya lahir dari rahim falsafah neoliberal Barat yang mengutamakan persaingan bebas, pengkomersialan pendidikan, dan penarafan berasaskan pasaran. Sistem ini secara tidak langsung memaksa universiti di negara membangun untuk meniru acuan universiti Barat, seolah-olah model tersebut adalah satu-satunya takrif kecemerlangan yang sah. Malaysia, seperti banyak negara lain, telah terjebak dalam perangkap ini, di mana universiti memberi keutamaan kepada Key Performance Indicators (KPI) yang menyumbang kepada ranking global sehingga identiti, budaya, dan keperluan tempatan tidak mendapat perhatian pada tahap yang sama.
Dalam perangkap neoliberalisme inilah “universiti para berdebah” bermaharajalela. Mereka membina strategi bukan untuk mendidik bangsa, tetapi untuk mendaki tangga ranking. Penyelidikan dijalankan bukan kerana ingin menyelesaikan masalah masyarakat, tetapi kerana jurnal bertaraf tinggi memberikan mata dalam sistem penarafan. Kolaborasi antarabangsa dibentuk bukan atas dasar keperluan ilmu, tetapi semata-mata kerana ia meningkatkan skor indikator antarabangsa. Dalam universiti sebegini, seorang profesor yang telah mendidik ribuan pelajar selama tiga dekad dengan penuh keikhlasan mungkin dianggap kurang berjaya berbanding seorang pensyarah muda yang memiliki puluhan penerbitan Scopus.
Pandangan yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan sarjana dan penggubal dasar ialah bahawa ranking dunia tidak semestinya mencerminkan sumbangan sebenar sesebuah universiti kepada pembangunan negara. Sebuah universiti yang aktif menyelesaikan masalah sosioekonomi tempatan, mendidik guru-guru luar bandar yang berdedikasi, atau menghasilkan penyelidikan yang relevan kepada keperluan industri dan masyarakat Malaysia, mungkin tidak mendapat kedudukan tinggi dalam ranking QS, namun sumbangan sebenarnya kepada negara jauh lebih besar dan bermakna berbanding universiti yang kaya dengan penerbitan antarabangsa tetapi jauh dari realiti rakyat. Universiti juga sepatutnya menjadi rakan kepada komuniti tempatan, memahami keperluan masyarakat setempat, dan mencari penyelesaian kepada masalah sosial yang dihadapi rakyat dari pelbagai lapisan.
Sudah tiba masanya Malaysia berani menilai universitinya berdasarkan konteks dan keperluan nasional dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada kerangka penilaian global yang direka bentuk oleh pihak luar dengan latar belakang dan agenda yang berbeza. Keberanian untuk menentukan kayu ukur sendiri bukan bermaksud menolak dunia global, tetapi sebaliknya mencerminkan keyakinan bahawa Malaysia memiliki identiti, keperluan, dan aspirasi yang unik dan tersendiri atau “Citra Malaysia”.
Penilaian Universiti Berdasarkan Citra Malaysia
Sekiranya Malaysia berani melangkah keluar daripada bayang-bayang ranking antarabangsa, apakah kerangka penilaian yang sepatutnya kita bina? Jawapannya terletak pada satu gagasan yang sederhana namun bermakna, iaitu menilai universiti menerusi citra Malaysia itu sendiri. Citra Malaysia bukan sekadar imej atau jenama, tetapi ia merangkumi nilai-nilai teras, aspirasi nasional, keperluan masyarakat majmuk, dan tanggungjawab sejarah yang dipikul oleh setiap institusi pengajian tinggi di bumi bertuah ini. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang majoritinya beragama Islam, citra universiti turut perlu dilihat menerusi prisma pembangunan insan yang menyeluruh, selaras dengan prinsip Islam yang meletakkan keseimbangan antara ilmu, amal, dan akhlak sebagai teras kepada kecemerlangan yang hakiki. Melalui acuan ini, kayu ukur kecemerlangan bukan sekadar bersandar kepada aspek kebudayaan dan kemanusiaan semata-mata, bahkan merangkumi pemaknaan semula terhadap sains, teknologi dan inovasi yang dibangunkan mengikut acuan tempatan. Kerangka penilaian yang berasaskan citra Malaysia perlu merangkumi sekurang-kurangnya lima kriteria utama yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Kriteria pertama ialah keselarasan dengan nilai-nilai nasional. Sesebuah universiti yang benar-benar mencerminkan citra Malaysia perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ia mempromosikan perpaduan, inklusiviti, dan integriti dalam amalan akademik dan sosialnya. Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama, dan budaya. Universiti yang berjaya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar dari pelbagai latar belakang, mewujudkan persekitaran akademik yang inklusif dan tidak mendiskriminasi, serta menjadikan integriti sebagai budaya hidup di kampus, adalah universiti yang telah memenuhi sebahagian besar amanahnya kepada negara. Integriti bukan sekadar nilai profesional tetapi merupakan manifestasi sifat amanah yang merupakan antara sifat asasi yang perlu dimiliki oleh setiap pelajar. Universiti yang menjadikan amanah, kejujuran, dan tanggungjawab sebagai nilai teras dalam budaya kampusnya sedang melaksanakan fungsi pembangunan insan yang selari dengan tuntutan agama dan keperluan negara sekaligus. Keselarasan antara nilai-nilai nasional dan prinsip-prinsip agama ini bukanlah sesuatu yang bertentangan, malah ia saling memperkukuhkan antara satu sama lain dalam membentuk warganegara yang berintegriti dan bertanggungjawab. Nilai-nilai ini tidak dapat diukur oleh mana-mana indeks sitasi atau survei reputasi antarabangsa, tetapi kesannya dirasai secara langsung oleh masyarakat dan negara dalam jangka panjang.
Kriteria kedua ialah sumbangan kepada pembangunan negara. Universiti di Malaysia tidak boleh wujud dalam menara gading yang terputus daripada realiti semasa. Setiap institusi dinilai berdasarkan penglibatan aktifnya dalam penyelidikan yang relevan dan khidmat komuniti yang menyokong matlamat nasional. Adakah penyelidikan yang dijalankan menjawab persoalan-persoalan yang benar-benar dihadapi oleh rakyat Malaysia dan industri di Malaysia? Adakah universiti terlibat secara langsung dalam membantu masyarakat luar bandar, usahawan kecil, petani, nelayan, dan golongan rentan untuk meningkatkan taraf hidup mereka? Universiti yang memberi sumbangan bermakna kepada agenda pembangunan negara, sama ada melalui inovasi teknologi, pembangunan modal insan, atau penyelidikan dasar awam, perlu diiktiraf dan diberikan penghargaan yang setimpal dalam mana-mana kerangka penilaian nasional. Sumbangan kepada pembangunan masyarakat merupakan manifestasi konsep fardhu kifayah, iaitu tanggungjawab kolektif yang perlu dipenuhi oleh sekumpulan individu yang berkemampuan demi kesejahteraan ummah. Universiti yang aktif menyumbang kepada penyelesaian masalah masyarakat sedang menunaikan fardhu kifayah dalam bidang ilmu dan kepakaran, dan ini perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada petunjuk prestasi utama dalam kerangka penilaian citra Malaysia. Di sinilah letaknya kesarjanaan yang berimpak iaitu apabila seorang sarjana tidak lagi hanya mengejar sitasi global yang kosong, tetapi menterjemahkan kebijaksanaannya untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam masyarakatnya sendiri.
Dalam konteks pembangunan negara ini, peranan Sains dan Teknologi tidak boleh dipinggirkan. Demi memutuskan rantaian kapitalisme akademik (academic capitalism) yang membelenggu orientasi kajian pasaran global, universiti juga perlu dinilai berdasarkan sejauh mana dapat menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi yang relevan kepada keperluan tempatan, bukan semata-mata mengikut trend global yang mungkin tidak selari dengan realiti Malaysia. Ini merangkumi pembangunan teknologi pertanian yang sesuai dengan iklim tropika, penyelidikan perubatan berkaitan penyakit endemik tempatan, inovasi dalam bidang tenaga boleh baharu yang bertepatan dengan potensi sumber asli negara, serta penyelidikan dalam bidang teknologi hijau yang menyokong agenda kelestarian alam sekitar Malaysia. Universiti yang benar-benar menyumbang kepada pembangunan negara adalah universiti yang menjadikan Sains dan Teknologi sebagai jambatan antara keperluan rakyat dengan penyelesaian praktikal yang boleh dilaksanakan di bumi Malaysia.
Kriteria ketiga ialah kualiti pendidikan yang holistik. Penilaian terhadap kualiti pendidikan tidak seharusnya terhad kepada kadar kebolehpasaran graduan atau bilangan pelajar yang berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Sebaliknya, kurikulum yang ditawarkan oleh sesebuah universiti perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ia dapat melahirkan mahasiswa yang dahagakan kebenaran keilmuan untuk menyelesaikan masalah masyarakat berdasarkan ilmu dan kepakaran yang telah diperolehi? Adakah kurikulum tersebut membentuk pelajar yang berfikiran kritis, beretika, dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran semasa? Kualiti pendidikan sebegini hanya mampu disampaikan oleh para sarjana yang melihat tugas mendidik sebagai amanah pembinaan insan, bukannya sekadar pensyarah yang menjalankan operator kurikulum demi memenuhi KPI semata-mata. Adakah ia menyeimbangkan kepakaran teknikal dengan kematangan emosi, kecerdasan sosial, dan kesedaran sivik? Keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah merupakan tuntutan yang tidak boleh dipisahkan. Ilmu tanpa akhlak adalah seperti pohon tanpa buah, indah dipandang tetapi tidak memberi manfaat. Universiti yang benar-benar cemerlang dalam citra Malaysia perlu menjadikan pembentukan sahsiah, pemupukan integriti, serta mengalihkan pengumpulan modal akademik (reputasi nombor) kepada pembinaan kemenjadian insan yang seimbang antara dimensi jasmani, emosi, rohani, dan intelek sebagai teras kepada kurikulumnya, selaras dengan model pembangunan insan yang bertanggungjawab untuk memakmurkan kehidupan dengan ilmu dan amal yang soleh. Universiti yang berjaya melahirkan graduan yang lengkap dari segi intelek, emosi, dan rohani adalah universiti yang telah menunaikan tanggungjawab pendidikannya secara menyeluruh.
Dalam menilai kualiti pendidikan yang holistik ini, elemen inovasi dan kreativiti perlu turut diambil kira sebagai sebahagian daripada kriteria penilaian yang utama. Universiti yang cemerlang dalam citra Malaysia bukan sahaja mengajar pelajar untuk menghafal dan mengaplikasikan ilmu sedia ada, tetapi lebih penting, mendidik mereka untuk berfikir secara inovatif, mencipta penyelesaian baharu, dan berani mencabar status quo demi kemajuan masyarakat dan negara. Budaya inovasi perlu disemai sejak di bangku universiti lagi, melalui pendekatan pengajaran yang menggalakkan eksperimentasi, toleransi terhadap kegagalan yang membina, dan penghargaan terhadap idea-idea segar yang lahir daripada pemikiran kreatif. Kurikulum yang merangsang kreativiti, menggabungkan pemikiran reka bentuk (design thinking), keusahawanan sosial, dan penyelesaian masalah berasaskan konteks tempatan, adalah kurikulum yang benar-benar menyediakan graduan untuk menghadapi cabaran abad ke-21 dalam konteks Malaysia yang unik. Inovasi yang berasaskan nilai dan berorientasikan manfaat kepada ummah adalah inovasi yang paling bermakna dan paling berkekalan kesannya
Kriteria keempat ialah pemupukan warisan budaya dan identiti nasional serta melestarikan kearifan tempatan. Dalam arus globalisasi yang kian deras, universiti memainkan peranan yang amat penting sebagai benteng pemeliharaan warisan budaya dan identiti nasional. Sesebuah universiti perlu dinilai berdasarkan komitmennya dalam menyokong program-program kebudayaan, memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, serta menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa lain termasuk bahasa ibunda kaum-kaum di Malaysia sebagai aset kepelbagaian yang perlu dijaga dan dibanggakan. Universiti yang aktif menghidupkan seni, sastera, muzik, dan tradisi tempatan, serta menjadikan kampusnya sebagai ruang ekspresi budaya yang kaya, sedang melaksanakan fungsi pemeliharaan tamadun yang tidak ternilai harganya. Universiti yang memupuk rasa bangga terhadap warisan budaya Malaysia sambil menapis unsur-unsur yang tidak selari dengan nilai-nilai murni agama, rukun negara dan masyarakat sedang melaksanakan peranan penting sebagai penjaga tamadun yang bertanggungjawab. Identiti nasional yang kukuh dan berakar kepada nilai-nilai agama dan budaya adalah benteng terbaik terhadap serangan budaya asing yang boleh menghakis jati diri generasi muda Malaysia. Ini memerlukan kesarjanaan yang berakar umbi (rooted scholarship), di mana ahli akademik kita bangga dengan identiti nasionalnya dan tidak lagi merasa rendah diri (inferior) terhadap acuan keilmuan Barat.
Kriteria kelima ialah tadbir urus yang beretika dan kepimpinan yang bertanggungjawab. Sesebuah universiti yang ingin dinilai menerusi citra Malaysia perlu menunjukkan komitmen yang jelas terhadap ketelusan dalam tadbir urus institusinya. Ini bermakna proses membuat keputusan perlu telus dan boleh dipertanggungjawabkan, sumber kewangan diuruskan dengan amanah, dan tiada ruang diberikan kepada rasuah, nepotisme, atau penyalahgunaan kuasa dalam apa jua bentuk sekalipun. Setiap pemimpin, termasuk pemimpin universiti, akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah atas setiap keputusan yang diambil dan setiap amanah yang dipikul. Universiti yang melahirkan pemimpin-pemimpin yang memahami hakikat ini, yang memimpin dengan rasa takut kepada Allah dan bukan semata-mata kerana tekanan undang-undang atau pengawasan manusia, adalah universiti yang sedang menunaikan misi tertinggi pembangunan insan. Pemimpin sebegini dapat membawa Malaysia ke arah kemajuan yang seimbang antara kebendaan dan kerohanian, antara dunia dan akhirat
Lebih jauh dari itu, universiti perlu dilihat sebagai tempat lahirnya pemimpin-pemimpin masa depan yang bukan sahaja cekap dari segi teknikal, tetapi juga beretika, amanah, dan berpegang teguh kepada nilai-nilai nasional. Pemimpin yang dilahirkan oleh universiti Malaysia sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada masyarakat, bukan sekadar individu yang memegang segulung sijil tanpa jiwa kepimpinan yang sejati.
Dalam konteks tadbir urus yang beretika ini, inovasi dalam pengurusan institusi turut perlu diberi perhatian. Universiti yang maju bukan sahaja inovatif dalam pengajaran dan penyelidikan, malah inovatif dalam cara ia mentadbir, merancang, dan menyampaikan perkhidmatan kepada warganya. Penggunaan teknologi dalam tadbir urus universiti, pendekatan baharu dalam pengurusan sumber manusia akademik, serta keberanian untuk mencuba model pentadbiran yang lebih demokratik dan telus, adalah sebahagian daripada dimensi inovasi institusi yang perlu dinilai dalam kerangka citra Malaysia. Universiti yang berani berinovasi dalam tadbir urusnya sendiri akan lebih bersedia untuk melahirkan pemimpin yang inovatif kepada negara.
Kelima-lima kriteria ini, apabila digabungkan dan dijadikan asas kepada satu sistem penilaian universiti yang komprehensif dan khusus untuk Malaysia, akan mewujudkan sebuah kerangka yang jauh lebih bermakna berbanding mana-mana ranking antarabangsa yang ada. Ia bukan sahaja mengukur apa yang universiti hasilkan, tetapi lebih penting, mengukur apa yang universiti sumbangkan kepada bangsa, negara, dan tamadun. Universiti yang benar-benar cemerlang dalam citra Malaysia adalah universiti yang mampu mengintegrasikan kemajuan sains dan teknologi dengan nilai-nilai kemanusiaan, yang melahirkan inovator yang berakar kepada budaya tempatan, dan yang menjadikan kreativiti bukan sekadar kemahiran, tetapi sebagai cara berfikir dan cara hidup yang menjadi nadi kemajuan bangsa. Lebih dari itu, universiti yang benar-benar memenuhi citra Malaysia adalah universiti yang berjaya mengimbangi pencapaian akademik dengan pembentukan sahsiah, integriti, dan kemenjadian insan yang menyeluruh, melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak dan berkemahiran, tetapi juga beriman, berakhlak mulia, dan bersedia untuk menjadi khalifah yang memberi manfaat kepada alam dan sekalian makhluk. Inilah takrif kecemerlangan yang boleh diambil dalam konteks Malaysia, dan inilah citra yang diperjuangkan.
Justeru, ukuran kejayaan sesebuah universiti perlu mengambil kira mandat awam yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, sejarah dan evolusi institusi tersebut, serta fungsi sosialnya dalam ekosistem negara. Universiti yang ditubuhkan dengan amanah untuk mendidik anak bangsa, memperkasakan komuniti pinggiran, atau mengangkat martabat kelompok yang terpinggir, tidak seharusnya dinilai dengan neraca yang sama seperti universiti penyelidikan berprestij bertaraf dunia. Kedudukan dalam liga antarabangsa bukanlah satu-satunya takrif kejayaan, dan Malaysia menerusi pembentukan “Citra Malaysia” harus berani menetapkan definisi kejayaannya sendiri berdasarkan nilai dan kepentingan nasional, bukan berdasarkan gagasan neoliberal yang asing dari jiwa dan semangat pendidikan kita.
Penutup
Perbincangan ini sama sekali tidak bertujuan untuk menolak sepenuhnya sistem ranking seperti QS, kerana tidak dapat dinafikan bahawa ranking tetap mempunyai nilai sebagai penanda aras global yang membantu universiti mengukur daya saing mereka di peringkat antarabangsa. Namun, dalam kerangka analisis Bourdieu (1990) dan teori “academic capitalism” oleh Slaughter dan Rhoades (2004), jelas bahawa sistem ranking juga beroperasi dalam logik kuasa dan pasaran yang tidak neutral dan tidak seharusnya dijadikan satu-satunya ukuran kecemerlangan universiti. Malaysia wajar membangunkan kerangka penilaian sendiri yang lebih holistik, menilai universiti menerusi citra Malaysia yang merangkumi keselarasan dengan nilai nasional, sumbangan kepada pembangunan negara, kualiti pendidikan yang holistik, pemupukan warisan budaya, kemajuan sains dan teknologi, serta tadbir urus yang beretika.
Dalam kerangka ini, pencapaian akademik perlu diimbangi dengan pembentukan sahsiah, integriti serta transformasi modal simbolik sedia ada kepada kemenjadian insan yang menyeluruh, selaras dengan prinsip pembangunan insan seperti yang dihuraikan oleh Salleh (2013a, 2013b). Konsep pembangunan insan menuntut agar universiti melahirkan manusia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek, yang memahami peranannya sebagai khalifah di muka bumi. Usaha ini sekaligus penting bagi mengelakkan universiti daripada terus terperangkap dalam fenomena “universiti para berdebah” (Wan Manan, 2026), yang menekankan perlumbaan ranking tanpa refleksi terhadap tujuan sebenar pendidikan.
Akhirnya, universiti perlu dikembalikan kepada peranan asalnya sebagai institusi ilmu yang bukan sahaja menghasilkan pengetahuan, tetapi juga membina manusia, memperkukuh nilai, dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara beretika dan berkeadilan. Hanya dengan pendekatan yang seimbang, berakar kepada jati diri nasional, dan berpandukan prinsip pembangunan insan Islam, universiti-universiti Malaysia dapat benar-benar memenuhi amanah yang dipikul ke atas bahu mereka sebagai benteng ilmu dan pembentuk peradaban bangsa.
Rujukan
Alatas, S. F. (2026, June 3). Universiti perlu lahirkan mahasiswa yang boleh berfikir tentang masalah masyarakat [Video]. Facebook. https://www.facebook.com/reel/1304641857934161
Alatas, S. M., Musa, M. A., & Ngo, S. S. (Eds.). (2025). Ivory tower reform: A vision for higher education in Malaysia. Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
Bourdieu, P. (1990). The logic of practice. Stanford University Press.
Lim, J. (2025, Mac 26). Rescuing Malaysian higher education from neoliberalism. New Mandala. https://www.newmandala.org/rescuing-malaysian-higher-education-from-neoliberalism/
Oravec, J.A. Academic metrics and the community engagement of tertiary education institutions: emerging issues in gaming, manipulation, and trust. Tert Educ Manag 26, 5–17 (2020). https://doi.org/10.1007/s11233-019-09026-z
QS Top Universities. (2025). QS World University Rankings 2026: Top global universities. https://www.topuniversities.com/world-university-rankings
Salleh, M. S. (2013a). Human account in development studies: An Islamic analysis. International Journal of Arts and Commerce, 2(6), 1–12.
Salleh, M. S. (2013b). Strategizing Islamic education. International Journal of Education and Research, 1(6), 1–14. https://www.academia.edu/77901973/Strategizing_Islamic_Education
Slaughter, S., & Rhoades, G. (2004). Academic capitalism and the new economy: Markets, state, and higher education. Johns Hopkins University Press.
Steynberg, L., Grundling, J., & Venter, M. (2024). Neo-Liberalism’s Shadows: Modern slavery in South African Higher Education. Transformation in Higher Education, 9, 12 pages. doi:https://doi.org/10.4102/the.v9i0.405
The Vibes. (2025, November 5). UM retains top spot as Malaysia’s highest-ranked university in QS Asia rankings. The Vibes. https://www.thevibes.com/articles/education/115077/um-retains-top-spot-as-malaysias-highest-ranked-university-in-qs-asia-rankings
Weber, T., van Mol, C., & Wolbers, M. H. J. (2023). International students as sources of income? Moving beyond the neoliberal framing of internationalization. Journal of Studies in International Education. Advance online publication. https://doi.org/10.1177/10283153231211999
