skip to Main Content
Generasi Z Dan Akal Budi: Antara Realiti Dan Harapan

Generasi Z dan Akal Budi: Antara Realiti dan Harapan

Oleh: Norhafizah Ghazali

Generasi Z atau Gen Z telah menjadi topik yang hangat diperbincangkan pada masa ini. Mereka ini adalah daripada individu yang lahir antara akhir 1990-an dan awal 2010-an. Perbincangan mengenai Gen Z terkait dengan trend sosial, budaya dan pendidikan. Kemajuan teknologi dan perubahan dinamik sosial telah mempengaruhi ciri-ciri generasi ini dengan ketara terutamanya terhadap perkembangan psikologi, sosial, dan kognitif mereka. Berbeza dengan generasi sebelumnya, yang dibesarkan dalam persekitaran yang lebih konservatif dan tanpa akses segera kepada teknologi, Gen Z hidup dalam dunia yang sangat terhubung melalui media sosial, internet, dan teknologi pintar. Namun demikian, walaupun mereka dikenali sebagai digital natives, yang mahir menggunakan teknologi, Gen Z kadangkala dikritik kerana kurangnya akal budi (common sense) yang dianggap penting dalam berinteraksi dalam dunia nyata.
Akal budi, digambarkan sebagai satu bentuk pertimbangan wajar atau keupayaan untuk membuat sesuatu keputusan secara praktikal dan rasional berdasarkan pengalaman seharian. Ia melibatkan penggunaan logik asas (basic reasoning) kepada situasi harian yang membolehkan seseorang individu membuat pertimbangan yang selari dengan norma dan kehendak masyarakat. Bagi Gen Z, konsep akal budi datang dalam konteks yang unik. Mereka telah dibesarkan dalam dunia yang penuh dengan teknologi, di mana sebahagian besar komunikasi terjadi melalui cara digital. Maka, akal budi dalam pengertian konservatif yang lebih mengutamakan interaksi secara bersemuka mungkin tidak selari dengan cara Gen Z memproses dunia di sekeliling mereka.

Memahami Gen Z: Era Teknologi dan Kesan Pembangunan

Gen Z merupakan produk kepada evolusi teknologi menyebabkan mereka berinteraksi dengan dunia dalam cara yang berbeza daripada generasi terdahulu. Mereka bukan sahaja terdedah kepada teknologi sejak kecil, tetapi telah mengintegrasikan teknologi sebagai sebahagian daripada identiti mereka. Pengaruh penggunaan aplikasi digital dan interaksi dalam dunia maya telah mengubah corak pemikiran, tingkah laku dan kaedah pembelajaran mereka. Pendekatan pendidikan yang diterima oleh Gen Z juga berbeza berbanding dengan generasi sebelumnya. Sebagai contoh, Gen Z dibesarkan oleh ibu bapa dari Gen X di mana gaya didikan lebih mengutamakan kebebasan berfikir, keterbukaan terhadap kemajuan teknologi dan penggunaan alat digital dalam kehidupan seharian. Hal ini memberikan mereka akses kepada informasi dengan lebih cepat dan berkesan, tetapi dalam masa yang sama, ia mengurangkan interaksi secara langsung dengan sekeliling mereka. Kesannya, Gen Z menunjukkan kecenderungan untuk memilih pembelajaran secara kendiri dan penyelesaian masalah yang lebih realistik atau logik.
Dari sudut psikososial pula, persekitaran yang berbeza memberikan impak yang signifikan terhadap pembentukan identiti dan pemikiran mereka. Dunia dihujung jari telah mempengaruhi kesedaran mereka terhadap isu-isu global seperti perubahan iklim dunia, keadilan sosial dan ekonomi. Secara positifnya, mereka terdedah kepada pelbagai sumber informasi, tetapi kesan kebergantungan terhadap platform digital berisiko menyebabkan penurunan dalam kemampuan untuk berinteraksi secara fizikal dan membina hubungan sosial yang lebih mendalam. Dalam konteks ini, ada kemungkinan bahawa Gen Z akan menunjukkan sifat yang lebih individualistik dan kurang peka terhadap isu-isu sosial yang tidak melibatkan diri mereka secara langsung.

Pendidikan dan Tenaga Kerja Baru Generasi Z

Dalam membicangkan mengenai Gen Z, salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah pandangan Generasi Z terhadap pendidikan dan juga peranan mereka dalam tenaga kerja. Gen Z menunjukkan sikap yang lebih realistik terhadap pendidikan formal. Mereka cenderung melihat pendidikan sebagai satu proses yang lebih fleksibel dan berorientasikan kepada kemahiran praktikal, berbanding penekanan terhadap teori dan akademik yang dititikberatkan oleh generasi sebelumnya. Sebagai contoh, pelbagai platform pembelajaran dalam talian, seperti kursus dalam talian dan tutorial video, memberi mereka peluang untuk memperoleh kemahiran secara kendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada sistem pendidikan formal. Dalam hal ini, terdapat kecenderungan dalam kalangan Gen Z untuk menilai pendidikan formal sebagai kurang relevan, terutama apabila mereka boleh memperoleh maklumat atau kemahiran yang diperlukan dalam masa yang lebih singkat melalui saluran digital.
Selain itu, Gen Z juga lebih cenderung untuk memilih pekerjaan yang berbentuk fleksibel dan bebas, seperti pekerjaan gig. Mereka lebih menghargai kebebasan untuk menentukan cara dan masa kerja mereka, berbanding dengan norma pekerjaan konservatif yang menuntut komitmen waktu tetap. Pendekatan ini membolehkan mereka memperoleh pendapatan secara lebih mudah, namun ia juga memberikan cabaran dari segi kestabilan kewangan dan jaminan sosial dalam jangka masa panjang.
Dalam dunia pekerjaan yang lebih profesional, Gen Z kadangkala dianggap kurang memiliki etika kerja yang tinggi berbanding dengan generasi terdahulu. Mereka cenderung untuk mencari cara yang lebih efisien untuk menyelesaikan tugas, terutamanya dengan menggunakan teknologi. Walaupun pendekatan ini dapat meningkatkan produktiviti dalam beberapa perkara, ia juga membawa kepada penilaian bahawa Gen Z kurang sabar dan komited dalam mengekalkan pekerjaan jangka panjang. Kebergantungan mereka kepada kemudahan teknologi juga mengurangkan keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan sistem kerja yang lebih formal dan berstruktur, yang sering kali memerlukan perbincangan dan kerjasama secara langsung.

Menyesuaikan dan Menerima Generasi Z: Pendekatan Intergenerasi

Proses penyesuaian antara generasi sering kali menjadi cabaran dalam masyarakat yang berubah dengan cepat. Bagi generasi Baby Boomers (1946-1960), Gen X (1961-1980), dan Gen Y (1981-1995), pemahaman terhadap nilai dan cara kerja yang dibawa oleh Generasi Z memerlukan usaha yang berterusan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Beberapa langkah seperti menggalakkan forum dialog antara generasi, program latihan intergenerasi, serta pembinaan kesedaran tentang perbezaan nilai dan sikap kerja dapat memperbaiki hubungan antara Generasi Z dan generasi terdahulu. Perkara ini penting untuk memberi ruang kepada Generasi Z untuk meluahkan pandangan mereka serta memahami dan menghargai nilai-nilai yang dibawa oleh generasi sebelumnya.
Bagi Gen Z pula, penyesuaian terhadap norma dan struktur yang dibawa oleh generasi terdahulu juga memerlukan usaha yang lebih besar. Mereka perlu belajar untuk seimbangkan kebebasan dan kreativiti yang mereka miliki dengan nilai disiplin, kerjasama, dan kesabaran yang diterapkan oleh generasi terdahulu. Proses ini melibatkan dedikasi terhadap kepentingan bekerja dalam pasukan, berkomunikasi dengan cara yang lebih langsung, dan memahami keperluan untuk komitmen terhadap tanggungjawab jangka panjang.

Kesimpulan

Generasi Z merupakan generasi yang unik, dibentuk oleh pengaruh teknologi dan persekitaran sosial yang berbeza. Walaupun mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menyesuaikan diri dengan dunia yang lebih konservatif, mereka juga membawa perubahan besar dalam dunia pendidikan, pekerjaan, dan hubungan sosial. Oleh itu, untuk memastikan kesejahteraan dan kemajuan generasi ini, perlu ada usaha yang lebih mendalam dan holistik untuk memahami dan menerima perbezaan mereka dan pada masa yang samal mengekalkan kesedaran tentang pentingnya nilai-nilai tradisional yang perlu diteruskan dalam era digital ini.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search