skip to Main Content
Demokrasi Liberal: Adakah Masih Relevan?

Demokrasi Liberal: Adakah Masih Relevan?

Oleh: Nur Aina binti Makhtarudin

Seringkali kita mendengar istilah demokrasi liberal yang diguna pakai oleh media dalam membincangkan mengenai sistem pemerintahan khususnya di barat. Namun, adakah kita sedar bahawa sistem demokrasi liberal ini sebenarnya telahpun wujud dalam negara kita semenjak merdeka? Umum mengetahui bahawa negara kita mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Sistem yang diguna pakai sejak mencapai kemerdekaan ini merupakan acuan daripada bekas penjajah Tanah Melayu iaitu British. Disebabkan oleh pembentukan Malaysia berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid, diketuai oleh Lord William Reid yang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan England, negara kita banyak dipengaruhi dan dicorakkan oleh ideologi ataupun fahaman barat.

Demokrasi liberal secara umumnya telah muncul pada abad ke-18 menggantikan sistem monarki yang bersifat autokratik di Eropah terutamanya di England dan Perancis. Ideologi ini semakin berkembang selepas Perang Dunia Kedua (WWII) tamat pada 1945 dengan kemunculan Amerika Syarikat sebagai negara hegemon ataupun negara berpengaruh dengan hasrat ingin mengatur dunia berdasarkan orde antarabangsa liberal (International Liberal Order) yang berprinsipkan perdagangan bebas ataupun globalisasi, demokrasi dan hak asasi manusia. Institusi-institusi antarabangsa yang terlibat dalam orde ini terdiri daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia serta Perjanjian Umum Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT). Kesemua institusi ini berperanan dalam mengatur dunia berdasarkan prinsip-prinsip institusi antarabangsa.

Kemunculan Demokrasi Liberal

Dari segi bahasa, demokrasi bermaksud kuasa yang datang daripada orang ramai, manakala dari segi istilah pula demokrasi membawa kepada tiga maksud iaitu pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihan raya, unit politik atau sosial yang pada dasarnya dikuasai oleh semua anggota dan juga keadaan sosial tanpa perbezaan kelas. Liberal dari segi bahasa bermaksud bebas yang merupakan kata pinjaman bahasa Latin, iaitu liber. Manakala dari segi istilah bermaksud sesuatu yang (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik serta bersifat atau berpandangan bebas ataupun berpandangan terbuka. Secara asasnya, demokrasi liberal adalah suatu bentuk kerajaan yang menggabungkan struktur demokrasi perwakilan dengan prinsip-prinsip falsafah politik liberal di mana ia menekankan penyertaan politik yang demokrasi serta kebebasan individu.

Konsep demokrasi liberal ini terikat dengan gerakan liberalisme klasik (classical liberalism movement) yang dipelopori oleh John Locke dan Adam Smith. John Locke menyumbang teori kontrak sosial dalam buku beliau yang berjudul The Second Treatise on Government diterbitkan pada tahun 1690 di mana beliau mengatakan bahawa kerajaan ditubuhkan secara sukarela oleh manusia dan manusia berhak untuk menggulingkan kerajaan yang dianggap menzalimi hak rakyat. Berkaitan politik, John Locke mengatakan manusia mempunyai hak yang sama rata dan mempunyai hak politik yang sama. Perkara ini juga disokong oleh Adam Smith dalam buku beliau, The Wealth Nation pada tahun 1776 yang menganggap campur tangan kerajaan dalam ekonomi akan mencacatkan kecekapan pasaran di mana kerajaan hanya perlu memainkan peranan yang minimum seperti menguatkuasakan undang-undang yang melindungi harta peribadi.

Pada abad ke-18, penggunaan dasar merkantilisme oleh raja-raja England dan Perancis dengan memaksimumkan eksport dan meminimumkan import serta mewujudkan monopoli diraja dengan membenarkan satu atau beberapa syarikat sahaja untuk berdagang menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan saudagar atau dipanggil sebagai borjuis (bourgeoisie). Hal ini kerana, kuasa politik pihak borjuis ini terhad walaupun golongan ini kaya kesan daripada revolusi perindustrian. Untuk memperkuatkan golongan borjuis, mereka memerlukan satu ideologi ataupun falsafah untuk mengatakan raja dan kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam ekonomi dan pada masa yang sama mengurangkan atau memansuhkan keistimewaan golongan bangsawan. Perkara ini bertepatan dengan ideologi John Locke dan Adam Smith yang mengatakan bahawa raja dan bangsawan tidak mempunyai hak ke atas rakyat.

Ciri-ciri Negara Demokrasi Liberal

Sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi liberal mengadakan pilihanraya yang kerap, bebas dan adil. Melalui pilihan raya ini, rakyat akan memilih calon atau wakil yang memperjuangkan kepentingan mereka dalam bidang politik dan rakyat berhak untuk berkempen dan menyokong parti pilihan mereka. Di samping itu, parti-parti politik yang bertanding ini berhak untuk bersaing antara satu sama lain dalam menyampaikan dasar ataupun perjuangan mereka. Dengan adanya kebebasan untuk memilih calon pilihan, perkara ini meningkatkan penyertaan politik dalam kalangan rakyat dan sekaligus berasa undian mereka bermakna. Seterusnya, ciri negara demokrasi liberal adalah negara yang memperjuangkan kebebasan individu, iaitu mempertahankan kebebasan dan kesamarataan individu daripada kerajaan. Kebebasan disini bermaksud kebebasan daripada penindasan, kebebasan daripada gangguan dan juga mampu untuk membeli makanan dan ada tempat tinggal.

Negara demokrasi liberal mementingkan akauntibiliti di mana struktur politik dibahagikan kepada tiga cabang bebas iaitu eksekutif (kerajaan), perundangan (dewan perwakilan) dan kehakiman (mahkamah). Hal ini bertujuan untuk memastikan kuasa negara dapat dibahagikan dan diseimbangkan antara satu sama lain dan kuasa tidak hanya tertumpu kepada parti dalam kerajaan itu sahaja. Lain daripada itu, globalisasi juga sinonim dengan kerajaan yang mengamalkan demokrasi liberal. Menurut cendekiawan barat, globalisasi didefinisikan sebagai proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia. Hal ini bermaksud, segala-galanya milik bersama dengan merasakan dunia tanpa sempadan. Dari sudut ekonomi, perkara ini boleh dicapai dengan adanya pasaran bebas di mana ia merupakan satu sistem yang dijalankan tanpa campur tangan kerajaan. Individu dan pihak swasta bebas memiliki faktor pengeluaran dan bebas untuk mengguna atau mengubah pemilikan faktor pengeluaran untuk memenuhi utiliti dan matlamat pengeluaran.

Kelemahan Sistem Demokrasi Liberal

Walaupun demokrasi liberal dilihat memberi kebaikan kepada rakyat khususnya daripada cengkaman sistem monarki, namun terdapat beberapa kelemahan yang boleh membawa konflik yang menyebabkan muncul persoalan berkenaan kerelevanan sistem ini untuk dipakai diseluruh dunia. Kelemahan yang pertama ialah sistem ini menjaga kepentingan pihak kapitalis. Perkara ini menyebabkan golongan kaya bertambah kaya, golongan miskin terus merana. Dengan dasar ekonomi pasaran bebas, hal ini membawa kepada jurang pendapatan yang tinggi antara rakyat, kemiskinan yang meningkat dan juga pencemaran alam sekitar yang tidak terkawal. Jika dilihat, kegagalan dalam mengawal kenaikan harga barang di negara kita berpunca daripada monopoli pihak kapitalis. Golongan ini yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan individu tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan semata-mata memberi kesan besar terhadap kuasa membeli rakyat marhaen.

Seterusnya, sistem ini menunjukkan kelemahan sistem birokrasi yang mana memerlukan banyak proses dan peringkat dalam menjalankan sesuatu perkara yang akhirnya menyebabkan satu-satu polisi ataupun keputusan lambat ditetapkan. Perkara ini dapat dilihat apabila hampir seluruh dunia diserang wabak penyakit COVID-19 pada awal tahun 2020, dan rata-rata negara yang mengamalkan demokrasi liberal tidak dapat mengeluarkan notis ataupun tindakan berhubung wabak ini dalam masa yang singkat. Hal ini jika dibandingkan dengan negara China yang menggunakan sistem autoritarian, negara ini menjalankan pengawalan pergerakan dan vaksinasi terlebih dahulu berbanding negara lain.

Selain itu, sistem demokrasi liberal hanya berfokus kepada matlamat jangka pendek. Hal ini kerana, negara yang mengamalkan sistem ini akan mengadakan pilihan raya setiap empat hingga lima tahun sekali. Apabila satu-satu parti yang menang dan menjadi kerajaan mempunyai empat hingga lima tahun sahaja untuk merealisasikan dasar ataupun perjuangan mereka, perkara ini menyebabkan ahli-ahli politik memilih jalan yang mudah dan menampakkan hasil yang cepat dalam menyelesaikan sesuatu masalah masyarakat. Namun jika ditelusuri, masalah kemasyarakatan yang membelenggu rakyat seperti kemiskinan dan pendidikan memerlukan dasar ataupun strategi jangka panjang dan memerlukan kajian serta penyelesaian masalah sehingga peringkat akar umbi. Kesannya, masalah kemiskinan dan pendidikan masih membelenggu kebanyakan negara dan membawa kepada permasalahan sosial yang lain.

Di samping itu, demokrasi liberal boleh membawa kepada perpecahan politik. Hal ini kerana sistem ini mengangkat kebebasan individu yang mana akan melahirkan manusia ataupun rakyat yang bersifat individualistik. Sifat ini boleh membawa kepada perpecahan masyarakat kepada kumpulan yang rencam dan pelbagai. Senario ini dapat dilihat pada Pilihanraya Umum ke-15 Malaysia (PRU15) di mana tidak terdapat satu parti yang majoriti dan menyebabkan kerajaan dibentuk hasil gabungan dua parti. Perkara ini tidak asing lagi di negara barat contohnya United Kingdom yang mana berlaku empat pertukaran perdana Menteri dalam tempoh enam tahun. Tidak kurang juga di Amerika Syarikat dan Perancis yang kerap kali mengalami Parlimen Tergantung kerana tidak ada parti majoriti. Apabila demokrasi liberal gagal untuk berfungsi dan tidak dapat mewujudkan kerajaan yang stabil, proses pereputan politik akan berlaku. Kebimbangan ini turut dinyatakan oleh Francis Fukuyama, seorang pakar terkenal dalam bidang falsafah, sains politik dan ekonomi dalam buku beliau Political Order and Political Decay dengan mengatakan masa depan demokrasi liberal adalah kabur, tetapi ia disebabkan oleh masalah dalaman sendiri, bukannya persaingan dari luaran.

Melihat kepada ciri-ciri sistem pemerintahan negara, kita dapat simpulkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan sistem demokrasi liberal sepenuhnya. Hal ini kerana, negara kita masih lagi merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan di mana meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan istimewa orang Melayu juga menjelaskan penolakan terhadap konsep persamaan atau sama-rata yang bertentangan dengan prinsip demokrasi liberal.

Kesimpulan

Kelemahan-kelemahan sistem demokrasi liberal yang dijelaskan di atas bukanlah bermaksud sistem ini harus ditinggalkan ataupun tidak boleh diguna pakai. Namun, seharusnya para pemimpin perlu memikirkan cara ataupun strategi yang sesuai untuk negara dalam mewujudkan politik yang stabil. Hal ini kerana, kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara adalah hasil daripada kestabilan politik. Perkara ini tidak dapat dicapai tanpa kerajaan mempunyai majoriti yang kukuh. Kerajaan yang sering bertukar-tukar mempunyai risiko untuk jatuh kerana perubahan gabungan parti tidak akan mampu membuat perancangan jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat. Oleh itu, ahli-ahli politik seharusnya kembali kepada asas politik dengan mengkaji serta membaik pulih dasar atau perjuangan supaya bermanfaat kepada orang ramai dan tidak menjaga kepentingan peribadi semata-mata.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search