Liberalisme Agama: Pemikiran yang Merosakkan Akidah
Oleh: Ahmad Basya bin Fadzillah
Liberal berasal daripada perkataan Latin iaitu liber, liberalis atau liberal yang bermaksud bebas, tidak terikat, progresif, reformis atau radikal. Berfikir secara liberal bermaksud berfikir secara bebas dan terbuka, bertoleransi, berfikiran luas dan tidak jumud (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran). Dari perspektif teologi, liberal bermaksud berfikir untuk bebas daripada kepercayaan tradisi, atau berfikir bahawa ajaran bersifat tradisi perlu diubah kerana didapati tidak lagi sesuai dengan pemikiran moden. Individu yang berfahaman liberal lazimnya percaya bahawa semua manusia memiliki hak dan kesaksamaan dalam bersuara dan bertindak serta bebas daripada kekangan agama dan ideologi.
Sejarah Fahaman Liberalisme
Menelusuri zaman Renaisance di Eropah telah mendorong kepada kuasa Eropah untuk belayar mencari kekuasaan. Namun, kemunculan zaman Renaisance ini juga telah dikaitkan dengan penguasaan pengaruh fahaman liberalisme yang menyebabkan kejatuhan peranan gereja dalam masyarakat barat. Hal ini kerana, Renaisance di Eropah adalah perjuangan bagi membebaskan diri dari cengkaman kuasa tradisi iaitu kuasa gereja. Sejarah pemikiran liberalisme di Eropah bermula dengan zaman reformasi oleh Martin Luther dan gerakan yang memberi tentangan kepada gereja, hak kuasa politik dan hak asasi manusia.
Gerakan liberalisme ini kemudiannya berkembang ke serata dunia barat seperti revolusi Amerika Syarikat dan revolusi Perancis. Ini bermakna, kuasa besar barat seperti Amerika Syarikat, Britain, dan Perancis kesemuanya kini dikuasai dengan pengaruh liberalisme yang menghakis kuasa agama dalam masyarakat.

Liberalisme Pasca Merdeka
Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Namun begitu, negara kita telah ditinggalkan dengan pengaruh pentadbiran yang berbentuk sekular oleh penjajah British. Hal ini jelas apabila perlembagaan persekutuan Malaysia mempunyai unsur-unsur falsafah liberalisme seperti yang terdapat dalam perlembagaan British. Walaubagaimanapun, hasil dari perjuangan masyarakat Melayu ketika itu berjaya mengelakkan unsur sekularisme dalam keseluruhan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan agama Islam dapat dimartabatkan sebagai agama rasmi Persekutuan.
Hakikatnya, golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum fikah. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulama, termasuk tafsiran daripada Rasulullah SAW dan sahabat serta ulama mujtahid. Bagi mereka, agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara putus (qat’ie). Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia, dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan. Golongan yang berfikiran bebas ini mempunyai agenda tersembunyi iaitu untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya daripada masyarakat iaitu memisahkan agama daripada pendidikan, menjauhkan syariat Islam daripada kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas dasar riba.

Perjuangan Liberalisme yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah
- Pluralisme
Fahaman Liberalisme ini adalah suatu barah yang merbahaya. Kecelaruan fahaman Liberalisme ini adalah bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Jika kita telusuri konsep akidah yang dipegang oleh golongan liberal, kita akan mendapati bahawa mereka berpegang kepada konsep Pluralisme dan inilah kepercayaan utama mereka. Pluralisme adalah memandang semua agama itu sama taraf dan secara tidak langsung meyakini bahawa agama selain Islam adalah agama yang benar.
Perlu ditegaskan bahawa agama Islam mengakui perbezaan agama yang lain, tetapi tidak mengakui kebenaran agama yang lain. Hal ini kerana, agama yang benar hanyalah agama Islam sedangkan agama lain adalah agama yang batil. Oleh hal yang demikian, pluralisme yang diperjuangkan oleh golongan liberal adalah bertentangan dengan akidah Islam. Setiap muslim harus meyakini bahawa hanya agama Islam satu-satunya agama yang benar sebagaimana firman Allah SWT “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali Imran: 19).
- Mempertikai Kriteria dan Akhlak Kenabian
Aliran pemikiran liberal juga secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain. Perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang Rasul dipandang sebagai pilihan Tuhan secara kebetulan dan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja. Ini adalah suatu kesalahfahaman kerana penentuan Nabi Muhammad SAW telah ditetapkan sejak azali dan para Nabi terdahulu telah diperkenalkan dengan sifat-sifat Nabi Akhir Zaman, Sayyiduna Muhammad SAW. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan oleh pengikut yang taksub dan dianggap sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.
- Menafikan Disiplin Ilmu-Ilmu Islam
Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-Tafsir, Usul Fiqh, Usul Hadith dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran liberal sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam. Prinsip liberalisme seumpama ini telah meruntuhkan gagasan ilmu yang telah diasaskan sejak ratusan tahun. Ribuan ulama’ dalam sejarah Islam telah mengarang kitab-kitab untuk memahami dan memelihara ilmu Islam daripada sebarang kesesatan. Namun golongan liberal dengan mudahnya mempertikai keabsahan ilmu-ilmu yang telah disusun dengan sistematik. Hal ini juga secara tidak langsung menolak segala peranan ulama tradisional yang telah berkhidmat ratusan tahun menjaga agama Islam di Malaysia.
- Akal Manusia adalah Setanding Wahyu
Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia dianggap teks semata-mata. Wahyu yang tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan konteks suasana zaman. Dengan fahaman yang menyeleweng ini, mereka meletakkan akal mendahului hukum-hakam al-Quran dan menentukan hukum-hakam itu mengikut penilaian akal mereka. Oleh kerana itu, kita akan mendapati bahawa golongan liberal ini adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Mereka merasakan bahawa anugerah akal mereka melebihi daripada al-Quran dan mereka akan cuba membahaskan pengamalan agama ini mengikut logik akal mereka.
Perkara ini jelas adalah suatu kedangkalan yang nyata kerana kefahaman al-Quran hanya boleh dikecapi dengan penguasaan ilmu-ilmu tertentu seperti ilmu Bahasa Arab, ilmu Usul Fekah, Ilmu Usul Tafsir, Asbab Nuzul dan sebagainya. Sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, al-Quran hanya layak ditafsirkan dan difahami oleh seseorang yang telah menguasai 12 bidang ilmu Islam. Ilmu-ilmu tersebut hakikatnya ibarat komponen-komponen sebuah kereta. Tidak mungkin sebuah kereta boleh digerakkan tanpa tayar, tanpa enjin, tanpa rangkanya dan sebagainya. Oleh itu, setiap bidang ilmu yang digariskan oleh Imam al-Nawawi adalah sebagai satu dasar yang menghalang seseorang daripada mentafsirkan al Quran mengikut hawa nafsu mereka sendiri, sebagaimana yang dilakukan oleh golongan liberal.

Hak asasi dan kebebasan manusia dari perspektif Islam
Islam mengiktiraf beberapa hak kebebasan manusia tanpa mengira agama yang mereka anuti. Antaranya ialah kebebasan hak asasi bagi individu, pemimpin dan masyarakat dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah dan syariat Islam. Walau bagaimanapun, ia hendaklah mengikut batas-batas syariat dan tidak memberi kesan negatif kepada umat Islam dan agama Islam itu sendiri. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW memberikan ruang yang sewajarnya kepada para sahabat untuk berbincang tentang isu-isu berkaitan Islam, negara dan sebagainya yang boleh membawa kebaikan kepada individu atau masyarakat.
Rasulullah SAW sendiri pernah ditegur oleh seorang sahabat tentang pemilihan lokasi strategik untuk tentera Islam semasa peperangan Badar dan baginda menerima pendapat tersebut dengan senang hati. Para Khulafa’ al-Rashidin juga bersikap demikian, malah mereka turut meminta rakyat supaya memerhatikan bentuk pemerintahan mereka. Sekiranya terdapat sebarang penyelewengan daripada kebenaran dan maslahat negara, rakyat dibenarkan memberi teguran.
Hukum bersuara untuk menegakkan keadilan sama ada bagi pemimpin ataupun golongan yang dipimpin adalah wajib. Hal ini kerana ia termasuk dalam konsep al-Amr bi al-Ma’ruf wa al Nahy ‘an al-Mungkar (menyeru kepada kebenaran dan mencegah daripada kemungkaran) yang disyariatkan oleh Islam untuk semua individu yang bergelar Muslim mukalaf. Setiap pemimpin dan anggota masyarakat hendaklah menitikberatkan beberapa adab dalam menggunakan hak kebebasan bersuara sebagai wadah perjuangan menegakkan kebenaran. Antara adab tersebut ialah tidak melantangkan suara pada perkara yang tidak mendatangkan faedah untuk diri, bangsa, dan agama. Sabda Nabi SAW: “Antara keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah untuk dirinya.”
Kebebasan bersuara hendaklah jauh daripada sebarang kata-kata kesat yang berbaur penghinaan, cemuhan, perkauman dan seumpamanya yang boleh mencetuskan perbalahan sesama manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW: “Seorang Mukmin yang sempurna imannya bukanlah seorang pengutuk, pelaknat, pelaku perkara-perkara keji dan bukan juga seorang yang bercakap kotor.”
Hakikatnya, kebebasan dan perjuangan hak asasi dalam kalangan masyarakat perlulah dipandu oleh agama dan akidah yang benar. Namun, ianya tidak sepatutnya disuarakan dengan kehendak hawa nafsu, apatah lagi di zaman media sosial yang semua orang boleh bersuara dan memberi komentar mengikut kehendak mereka sendiri.

Kesimpulan
Tuntasnya, liberalisme di Malaysia bukanlah sesuatu isu yang baharu, tetapi falsafah yang telah lama wujud dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Liberalisme juga dilihat mengalami evolusi dalam kalangan warga di Malaysia semenjak pertama kali dibawa oleh pihak penjajah sehingga membentuk gerakan sosial di Malaysia yang disebut juga sebagai gerakan Islam liberal.
Pada masa ini dapat diperhatikan pendukung fahaman liberalisme semakin menonjolkan falsafah liberalisme terutamanya melalui gerakan Islam liberal dan atas nama hak asasi manusia. Meskipun falsafah liberalisme telah wujud dalam kalangan masyarakat di dalam bidang kehidupan seperti ekonomi, politik, budaya, undang-undang dan pentadbiran di Malaysia, perkembangan dan penyebaran falsafah liberalisme ini boleh membawa kepada ancaman dalam bentuk akidah terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Malaysia.
Malaysia secara tradisinya berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ideologi-ideologi yang bercanggah dengan fahaman arus perdana masyarakat di Malaysia tidak sepatutnya mengganggu gugat kerana konflik ini kebanyakannya akan membawa kepada perpecahan umat yang lebih besar berbanding penyatuan umat. Masyarakat perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan hadis yang ditetapkan oleh para ulama. Al-Quran dan hadis merupakan sumber primer ajaran agama Islam, namun ia mampu memberi kesesatan kepada pembacanya jika dipandu oleh orang yang sesat seperti golongan liberal.
Kefahaman tersebut perlulah dipandu dengan kefahaman ulama tradisi yang menerima ilmu Islam daripada seorang guru, daripada seorang guru, daripada seorang guru sehinggalah kepada Rasulullah SAW. Inilah yang disebutkan sebagai rantaian sanad ilmu. Seperti yang disebutkan oleh Abdullah ibni Mubarak: “Ilmu (yang kalian pelajari) itu adalah agama kalian. Maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.” Dengan itu, ketulenan ilmu Islam dapat dijaga dan dipelihara dengan sebenar-benarnya serta menjauhkan kita daripada menjadi seorang liberal.
