
TREND BUKU HEALING, ADAKAH SATU SOLUSI BERKESAN?
Oleh: Wan Zuhaira Nasrin binti Abdullah
Sebut tentang ‘healing’, ianya menjadi satu trend yang tular di media sosial sejak pasca COVID-19. Jutaan video berserta tanda pagar #healing muncul di media sosial bukan sahaja daripada pengguna di Malaysia malah dari seluruh dunia. Terlayar video-video dengan cara healing masing-masing. Ada yang healing dengan melancong, makan-makan, membaca buku-buku trend healing dan sebagainya. Masing-masing mempunyai cara healing yang tersendiri.
Hati ke Hati, karya sulung pempengaruh media sosial, Iddin Ramli yang bertema healing dan memuatkan 300 halaman telah terjual sebanyak lebih 25 000 naskhah. Buku yang ditulis oleh pempengaruh Tiktok iaitu Sofia Roses berjudul Surat Dari Semesta turut terjual sebanyak 10 000 naskhah. Itulah sebahagian daripada buku-buku trend healing semasa daripada pempengaruh media sosial dan penulis segera. Terdapat banyak lagi buku-buku lain bertemakan healing yang diterbitkan dan terjual di pasaran malah mendapat sambutan yang sungguh hangat.
Bisnes penerbit-penerbit buku yang sudah suam-suam kuku, hidup segan mati tak mahu dek kerana generasi skrin sentuh kini yang tidak lagi membeli buku seolah-olah mendapat nafas baru dan meraih keuntungan besar hasil daripada trend healing yang semakin berkembang. Fenomena ini semakin jelas kelihatan apabila ianya menjadi tarikan utama ketika berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 baru-baru ini. Buku-buku bertema healing serta penulisnya diangkat dan diketengahkan dalam strategi pemasaran dan promosi. Ternyata, apa yang disasarkan berjaya. Generasi muda berpusu-pusu membanjiri reruai buku-buku healing walaupun buku dijual dengan harga yang agak tinggi. Persoalannya, adakah buku-buku yang bertema healing sebegini satu perkembangan yang sihat dan adakah ianya solusi berkesan untuk menyembuhkan seseorang individu?
Isu kontroversi berkaitan buku healing ini ialah jika buku-buku sebegini dibelek sehelai demi sehelai, ada yang hanya ditulis beberapa patah perkataan atau sekadar dua baris ayat sahaja pada satu halaman serta bercorak ayat pendek-pendek. Selebihnya, hanyalah ruangan kertas yang kosong sehingga hal ini ditegur oleh sebahagian warganet sebagai suatu pembaziran. ‘Membazir kertas!’ ‘Selamatkan pokok.’ Ada juga yang menyifatkan penerbit buku dan penulis yang terlibat hanya menangguk di air yang keruh dan menjadi kapitalis dalam dunia penerbitan buku serta mengambil kesempatan tatkala warganet ghairah dengan buku-buku bertema healing yang dikatakan sebagai salah satu cara untuk mengubati jiwa dan menyembuhkan hati mereka.
Jika diteliti, Healing menurut definisi Oxford bermaksud proses untuk menjadi sihat semula. Manakala trend healing atau self-healing yang tular di media sosial merujuk kepada penyembuhan diri terutama dari sudut emosi. Ada yang masih diperingkat normal dan ada juga yang sudah berada dalam kategori pesakit gangguan kesihatan mental.
Menurut laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, trend peningkatan permasalahan kesihatan mental, termasuklah tingkah laku bunuh diri, turut membimbangkan dengan trend kejadian kes bunuh diri menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81% pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding dengan 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2020. Hal ini memberi isyarat kepada kita bahawa masalah kesihatan mental ini bukanlah perkara enteng malah ianya semakin meruncing dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk ditangani bersama. Pada masa yang sama, trend healing meningkat dengan ketara seiring dengan peningkatan masalah kesihatan mental. Namun, peningkatan masalah kesihatan mental ini bukanlah tiket untuk menjadi kapitalis yang menunggang isu ini dengan lambakan buku-buku trend healing.
Jika diperhatikan, buku-buku yang hanya memuatkan sepotong ayat di setiap halaman lebih digemari khususnya generasi muda dek kerana sudah terbiasa dengan ayat-ayat yang ringkas di media sosial. Hal ini berkait rapat juga dengan generasi pada zaman ini yang lebih memilih media sosial seperti Twitter dan Tiktok kerana jangka masa tumpuan (attention span) golongan muda hari ini lebih singkat. Laman sosial yang memuatkan ayat-ayat panjang seperti Facebook tidak lagi mendapat sambutan hangat seperti suatu masa dahulu. Menurut Digital Information World, pertama kali dalam sejarah, Facebook dianggarkan kehilangan pengguna di bawah umur 25 tahun sekitar 178.3 juta, atau 1.4 juta pada tahun 2022 dan ianya lebih rendah daripada rekod angka yang dicapai pada tahun 2021. Facebook tidak lagi mendapat sambutan anak-anak muda yang berumur 25 tahun ke bawah dan ianya dianggap sebagai media sosial yang hanya bersesuaian dengan golongan berusia. Tahap konsentrasi untuk membaca dalam tempoh yang lama sudah berkurangan. Maka, buku-buku trend ‘healing’ yang mengambil konsep ayat-ayat ringkas seperti di Twitter dan Tiktok ini laku seperti pisang goreng panas dan menjadi kegilaan anak muda sekarang.
Tidak dinafikan, fenomena ini adalah satu perkara yang positif untuk pembaca berjinak-jinak dengan buku, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak gemar membaca. Ada juga yang memberi komentar bahawa buku-buku sedemikian sangat dekat dengan seseorang yang jiwanya kosong dan ingin menyembuhkan jiwa. Namun, buku-buku sebegini bukanlah solusi atau penyembuh untuk jangka masa yang panjang. Ianya cuma bersifat sementara. Jika benarlah buku-buku healing ini adalah solusi, sudah pasti kadar statistik kesihatan mental akan mengalami perubahan yang lebih baik namun kadar kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membarah. Justeru, buku-buku healing tidak wajar dikatakan sebagai solusi dan alat penyembuh kerana ia berkait dengan soal kesihatan mental dan penyakit mental yang serius.
Generasi yang hidup di era skrin sentuh pada hari ini tidak kira generasi muda atau tua lebih terdedah dengan sesuatu yang berkaitan perasaan dan bukanlah sesuatu yang melibatkan perkara yang perlu berfikir secara mendalam seperti membaca apatah lagi membaca bahan bacaan yang berat atau berilmiah. Tak hairanlah jika sebelum ini, banyak penerbit buku yang gulung tikar disebabkan buku-buku mereka tidak terjual dan tidak lagi menjadi pilihan warganet sebaliknya mereka lebih gemar membaca sesuatu yang terhidang di media sosial. Ekoran daripada itu, lahirnya trend buku-buku ‘self-healing’ mengikut selera anak muda di zaman ini. Ini adalah satu peluang keemasan buat penerbit buku dan penulis segera yang ingin mengaut keuntungan semata-mata apabila menghasilkan buku-buku dengan banyak ruangan kosong namun dijual dengan harga yang tinggi. Hal ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa dalam kalangan pembaca dan pihak yang lebih arif dan ahli dalam ilmunya seperti sasterawan, penulis, pakar psikologi dan sebagainya serta dianggap sebagai satu kejatuhan dalam dunia ilmu dan dunia buku.
Hakikatnya buku-buku berunsur ‘self-help’ sudah lama wujud di dunia seperti ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ oleh Stephen Covey, ‘The Magic of Thinking Big’ oleh Tonny Robbins dan ‘Reclaim Your Heart’ oleh Yasmin Mogahed. Karya bertema healing atau ‘self-help’ ini juga digarap oleh penulis-penulis di Nusantara seperti ‘The Art of Letting God’ oleh Mizi Wahid, ‘Unbreakable’ oleh Aiman Azlan, ‘Berteduh Daripada Kegelisahan Hati’ oleh Ustaz Pahrol Juoi dan banyak lagi. Tak dinafikan ada buku-buku self-help yang sudah lama diterbitkan di pasaran dan mendapat kritikan atas sebab-sebab tertentu seperti unsur-unsur toxic positivity, platitude dan aforisme negatif.
Namun, ada juga buku-buku bertema sedemikian yang berkualiti dan membantu pembaca meredakan emosi dan fikiran mereka. Namun demikian, buku-buku sebegini isi kandungannya memenuhi ruang dan halaman buku seperti kebiasaan sesebuah buku sejak dahulu kala dianggap sebagai bahan bacaan yang berat dan tidak meraih perhatian pembaca generasi kini, tidak seperti sambutan hebat pada buku trend healing yang lahir beberapa tahun kebelakangan ini. Permintaan yang tinggi terhadap buku-buku healing yang mengikut selera anak muda ini telah menenggelamkan buku-buku motivasi yang ditulis oleh ahlinya.
Ada yang berpendapat faktor lahirnya buku-buku healing seiring trend semasa seperti yang diinginkan anak muda antaranya adalah disebabkan mereka terikut-ikut dengan gaya minimalis daripada pempengaruh antarabangsa seperti Rupi Kaur yang menulis sekitar empat baris ayat pada satu halaman di dalam buku-buku healing tulisannya. Mungkin juga ada yang terpengaruh dengan konsep buku Lang Leav, figura dari New Zealand yang dikenali sebagai penulis puisi. Bagi pendapat sesetengah golongan, ianya tidak masuk akal dan membazir kertas. Namun kesemua buku yang berkonsep sedemikian begitu laris dan terjual hingga beribu-ribu naskhah.
Selain itu, konsep ayat pendek-pendek dan ruang kosong di setiap halaman buku pula dikatakan sengaja dilakukan oleh sesetengah penerbit dan penulis untuk memberi kesan breathable kepada pembaca agar mereka yang sedang kusut fikirannya dan ingin mencari sesuatu yang segar untuk dibaca, dapat menghalakan konsentrasi mereka membaca buku-buku sedemikian. Ada juga pembaca yang meminati buku-buku bercorak sebegini untuk dibaca ketika waktu santai kerana ianya tidak memberatkan kepala kerana bukan dikategorikan sebagai bacaan yang berat dan dapat dihabiskan dalam masa yang singkat. Tak dilupakan, konsep buku-buku healing menjadi umpan untuk anak-anak muda untuk membuat hantaran di media sosial masing-masing dan meraih perhatian di sana. Jika fenomena ini berterusan, kualiti bahan bacaan yang menjadi makanan minda masyarakat kita semakin membimbangkan. Tidak hairan jika generasi akan datang mengalami krisis daya insan dan berlakunya kelunturan daya fikir dan daya tindak asbab daripada buku-buku yang tidak berkualiti menjadi makanan minda. Generasi muda yang akan menjadi tonggak utama negara suatu hari nanti juga akan menjadi golongan yang rapuh dan tidak mempunyai jati diri.
Jika benarlah buku-buku bertema healing sebegini masih ingin diteruskan di pasaran, usahlah mengumpan anak muda dengan dakwaan ianya solusi kepada kesakitan yang dialami. Penulis dan penerbit serta pihak-pihak dalam industri buku perlulah meletakkan integriti di tangga nombor satu sebelum duit dan keuntungan semata-mata. Menulislah dengan ilmu dan benar-benar ingin membantu. Usah dibazirkan kertas dan pokok, lebih-lebih lagi kita sudah berada di era pemanasan global yang ketara hingga mencairkan aisberg di kutub-kutub di dunia. Fikirlah jauh ke hadapan. Pihak-pihak yang terlibat sebaik-baiknya sama-sama berganding bahu untuk menghasilkan karya yang berkualiti tanpa mencacatkan industri buku dan budaya ilmu.
Para pempengaruh dan penulis amatur yang ingin menghasilkan buku perlulah menimba ilmu dengan lebih mendalam dan merujuk contoh-contoh bagaimana sasterawan dan penulis-penulis berpengalaman atau pihak-pihak berkenaan menghasilkan buku-buku yang berkualiti. Jika terapi puisi yang ingin diketengahkan, belajarlah daripada mereka yang berpengalaman dalam terapi puisi dan usah melakukannya secara membuta tuli. Terapi puisi merujuk kepada penggunaan puisi, cerita, lirik lagu, imej dan metafora untuk menyelia pertumbuhan diri, penyembuhan dan kesedaran diri yang lebih baik. Terapi puisi bukanlah sesuatu perkara yang baru muncul di era ini. Pada tahun 1928, seorang penyair yang juga merupakan seorang ahli farmasi dan peguam dalam profesionnya, Eli Greifer, memperkenalkan kempen yang mengakui bahawa puisi yang membawa mesej didaktik (berunsur pengajaran dan nasihat) mempunyai kuasa penyembuhan. Pada tahun 1959, Greifer membantu kumpulan terapi puisi di Hospital Cumberland dengan dua pakar psikiatri penyelia, Dr. Jack J. Leedy dan Dr. Sam Spector. Sumbangannya ini memainkan peranan penting dalam pembangunan terapi puisi.
Golongan yang berpengalaman dalam bidang penulisan juga boleh mempelajari sesuatu yang positif daripada anak muda. Antaranya ialah strategi anak muda hari ini membina branding diri di media sosial sehingga membuatkan pembaca mengenali mereka dan ingin membeli karya-karya mereka. Setiap individu melalui fasa-fasa dan proses dari bawah untuk berjaya. Setiap sesuatu karya yang hebat itu bermula daripada langkah pertama juga. Jika semua pihak menggembleng tenaga untuk melakukan satu perubahan positif dalam industri buku seperti menghasilkan buku-buku bertema healing yang lebih berkualiti, kita akan melihat satu budaya ilmu yang akan membangunkan diri dan masyarakat seterusnya menuju ke arah negara maju. Pembacaan yang banyak lebih-lebih lagi membaca bahan bacaan berkualiti dapat meningkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan intelektual (IQ) seseorang. Unsur-unsur ini memainkan peranan penting dalam membentuk dan membangunkan diri dan masyarakat serta mengukuhkan jati diri mereka.
Berbicara tentang isu healing, jika ianya sudah melibatkan kesihatan mental, mana mungkin kesakitan yang dihadapi seperti kemurungan dan sebagainya hanya memerlukan sebuah buku puisi healing semata-mata sebagai penyembuh. Akhirnya ia berbalik kepada konsep asal penyembuhan iaitu dengan merujuk golongan profesional seperti pakar psikologi, pakar psikiatri dan sebagainya. Jika kita bertemu orang yang mengalami sakit jantung atau kanser, kita menyuruh mereka ke hospital dan menemui doktor. Begitu juga dengan mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Mereka memerlukan bimbingan dan bantuan doktor kerana salah satu punca masalah kesihatan mental berlaku adalah disebabkan ketidakseimbangan kimia di dalam otak kita. Ubat-ubatan adalah salah satu cara yang diperlukan.
Justeru, terlalu bergantung kepada buku-buku healing dan juga merujuk individu yang tidak bertauliah di media sosial untuk menyembuhkan adalah satu perkara yang perlu dielakkan sebaliknya rujuklah golongan profesional. Ramai yang takut untuk berjumpa pakar kerana salah faham dan stereotaip bahawa berjumpa pakar psikiatri dan mengambil ubat-ubatan menunjukkan diri lemah dan takut dilabel sebagai pesakit mental. Menurut pakar psikiatri, Dr. Rozanizam Zakaria di laman YouTube miliknya, di dalam rawatan psikiatri, mereka mengamalkan konsep ‘Treat Early to Treat You Well’ atau ‘Rawat Awal untuk Rawat dengan Berkesan.’ Sekiranya rawatan awal yang diperlukan adalah ubat maka ubatlah rawatan yang terbaik ketika itu. Ubat adalah ikhtiar tanda berani melawan cabaran yang dihadapi dan ia bukanlah petanda lemah. Persepsi yang salah dalam kalangan individu yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah dengan menjadikan ubat sebagai pilihan terakhir sedangkan ianya bukanlah alternatif terakhir dalam rawatan psikiatri. Rawatan awal terbukti secara saintifik menyebabkan kadar kepulihan lebih tinggi.
Healing adalah satu proses yang mengambil masa bukan sekelip mata. Saat kita meminta pertolongan pada mereka yang selayaknya, itulah langkah yang berani. Tanpa dilupa, ikhtiar sebagai hamba-Nya dengan ibadah-ibadah yang telah diajar dalam agama. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28,
“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.”
Apabila semua aspek penyembuhan bergerak seiring, dengan izin Allah definisi healing yang sebenar-benarnya akan dicapai.
Tuntasnya, trend buku healing mendapat sambutan hangat pada masa ini tetapi terdapat baik buruknya kepada individu dan masyarakat. Sambutan yang memberangsangkan kepada penjualan buku fizikal ini dapat membantu para penerbit menjana pendapatan, tetapi kertas-kertas yang digunakan dengan cetakan perkataan yang sedikit akan menyumbang kepada pembaziran kertas. Trend ini juga berjaya menarik minat membaca dalam kalangan orang muda kerana sifatnya yang ringan. Namun, jika ditelusuri kesan baik ini hanyalah bersifat sementara sahaja dan bukannya untuk tempoh jangka panjang. Oleh yang demikian, trend buku healing ini tidak boleh disifatkan sebagai solusi yang utama kerana ianya bergantung kepada keadaan sesesorang individu. Sebaliknya, buku healing ini boleh dijadikan satu alat untuk membantu dan menyokong menyembuhkan jiwa individu.