skip to Main Content
Revolusi Jihad Wanita Muslim Dalam Misi Global Flotilla

Revolusi Jihad Wanita Muslim Dalam Misi Global Flotilla

Oleh: Dr. Yusma Fariza Yasin & Dr. Junaidah Yusof

Gerakan Global Sumud Flotila merupakan misi maritim terbesar ke Gaza. Sumud dieertikan sebagai konsep ketabahan, keteguhan serta daya juang rakyat Palestin menghadapi penindasan. Penglibatan empat gabungan utama iaitu Global Movement to Gaza (GMTG); Freedom Flotilla Coalition (FFC); Maghreb Sumud Flotilla, dan Sumud Nusantara, dilihat sebagai usaha global melalui konvoi laut bagi memberi bantuan kepada rakyat Palestin. Misi ini menghimpunkan delegasi dari pelbagai negara yang merentasi enam benua, termasuklah Australia, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa negara Eropah.

Apabila kapal-kapal Global Sumud Flotilla belayar menembusi samudera luas menuju Gaza, dunia menyaksikan wajah-wajah wanita Muslim dari pelbagai negara berdiri gagah di atas dek kapal. Mereka tidak bersenjata, namun semangat mereka jauh lebih tajam daripada mata pedang. Mereka bukan sekadar aktivis kemanusiaan, tetapi pewaris kepada semangat jihad yang telah berakar sejak zaman Rasulullah SAW.

Penyertaan wanita dalam bidang ketenteraan tidak hanya disebabkan oleh keberanian semata-mata, bahkan mereka turut berjihad semata-mata hanya kerana Allah SWT dan Rasul-Nya. Keimanan yang ditunjukkan tersebut ternyata mampu memacu golongan wanita bagi meningkatkan tahap keimanan dan ketakwaan terhadap agama Islam. Sejarah juga turut membuktikan peranan wanita yang signifikan dalam pelbagai konflik dan peperangan sama ada bertindak sebagai pejuang, sokongan moral, mahupun bekerja di belakang tabir. Penyertaan wanita Muslim dalam misi flotilla bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah Islam. Malah, ia merupakan sambungan kepada warisan perjuangan wanita sejak zaman Rasulullah SAW. Jika hari ini mereka belayar membawa mesej kemanusiaan, suatu ketika dahulu wanita Islam turut mengangkat pedang dalam peperangan Uhud, Khandak dan Hunain serta turut merawat kecederaan tentera, membawa air, dan mempertahankan Nabi SAW dengan nyawa sendiri. Antara tokoh agung yang wajar diingati ialah Nusaybah binti Ka’ab (Ummu ‘Umarah R.A), wanita Ansar yang berjuang mempertahankan Rasulullah SAW ketika ramai sahabat gugur dalam peperangan Uhud.

Begitu juga dengan Khaulah binti al-Azwar, srikandi yang digeruni musuh. Keberaniannya melawan tentera Rom membuatkan namanya tercatat dalam sejarah Islam sebagai lambang kekuatan wanita beriman. Sementara itu, Rufaidah al-Aslamiyyah, tokoh jururawat pertama Islam, pula merawat para pejuang yang cedera di medan perang sekali gus menjadi bukti bahawa jihad wanita hadir dalam pelbagai bentuk. Gerakan flotilla kemanusiaan yang cuba menembusi sekatan Gaza adalah sambungan daripada semangat jihad zaman dahulu tetapi dalam bentuk yang berbeza. Jika dahulu, wanita Muslim turut serta mengangkat pedang dan senjata, namun hari ini mereka turut belayar dengan kapal kecil yang membawa suara dunia. Penglibatan wanita dalam flotilla bukan sekadar sebagai penumpang, tetapi juga sebagai pemimpin, jurucakap media, doktor dan sukarelawan. Mereka berdiri di dek kapal hanya berbekalkan doa dan keberanian untuk berdepan dengan tentera laut Zionis. Disinilah konsep sumud diterjemahkan ke peringkat global. Wanita Muslim tidak hanya mempertahankan tanah air sendiri, bahkan kini menyertai gelombang solidariti antarabangsa.

Sejarah Islam membuktikan bahawa wanita tidak pernah berdiri di tepi gelanggang, namun mereka turut serta di medan perjuangan. Pada ketika itu, ada dalam kalangan wanita Muslim yang menjadi perawat, meniupkan semangat kepada para pejuang serta turut mengangkat senjata apabila memerlukan. Penyertaan wanita Muslim dalam misi Global Sumud Flotila menjadi manifestasi moden kepada semangat perjuangan wanita Islam zaman Rasulullah SAW. Jika dahulu para pejuang wanita Muslim seperti Nusaybah Kaab R.A dan Ummu ‘Umarah R.A turun ke medan peperangan dengan keberanian yang luar biasa, maka pada hari ini semangat yang sama terpancar dalam tindakan wanita Muslim kontemporari yang sanggup menyertai misi kemanusiaan ke Gaza. Semangat juang yang ditunjukkan oleh wanita Muslim ini luar biasa kerana seperti yang kita sedia maklum, Gaza merupakan wilayah bergolak yang memerlukan ketabahan fizikal, mental dan spiritual. Misi Global Sumud Flotila ini menyaksikan penyertaan wanita dari pelbagai negara termasuk Malaysia dalam usaha membawa bantuan dan sokongan kepada rakyat palestin yang terkesan akibat sekatan dan penjajahan.

Seperti mana Aisyah R.A yang membantu para tentera dengan membekalkan air dalam peperangan Uhud, begitulah juga peranan yang ditunjukkan oleh para wanita dalam misi Sumud yang menyumbang secara langsung kepada perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan yang ditunjukkan oleh mereka bukan dengan senjata, malah dengan keberanian, kemahiran diplomasi serta semangat solidariti. Mereka sanggup meninggalkan keluarga, menghadapai risiko ditahan atau diserang demi menyampaikan mesej keadilan dan kemanusiaan. Misi Global Sumud Flotila menyaksikan lebih 500 aktivis dari 40 negara termasuk rakyat Malaysia telah dicemari oleh tindakan kejam tentera Israel yang memintas dan menahan kapal-kapal misi secara tidak sah di perairan antarabangsa. Daripada jumlah tersebut, rakyat Malaysia turut ditahan termasuk beberapa wanita Muslim seperti Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Ardell Aryana, Lylia Balqis, Farah Lee dan Zizi Kirana. Tindakan mereka menyertai misi ke Gaza bukan atas dasar populariti atau pencitraan, bahkan lahir daripada kesedaran tanggungjawab sebagai umat Islam untuk membela nasib saudara seagama yang dizalimi. Apabila kita membaca kisah mereka, ia mengingatkan kita bahawa wanita Muslim tidak pernah menjadi penonton dalam lipatan sejarah, sebaliknya pemain utama dalam lebaran jihad.

Islam tidak pernah menghalang wanita untuk menyumbang dalam perjuangan ummah selagi ia dilakukan dengan adab, ilmu dan niat fi sabilillah. Rasulullah SAW sendiri membenarkan wanita menyertai peperangan, membantu di hospital medan, dan menjadi penyampai maklumat. Dalam konteks moden, Global Sumud Flotilla ialah “medan jihad tanpa senjata” iaitu tempat wanita berjihad dengan suara, pena dan tindakan. Mereka menjalankan jihad bil kalimah (dengan kata-kata), jihad bil amal (dengan tindakan), dan jihad bil marhamah (dengan kasih sayang). Inilah bentuk jihad yang menuntut keberanian moral, keteguhan iman dan semangat keadilan sejati.

Wanita Muslim Malaysia hari ini sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyampaikan bantuan dan suara solidariti kepada rakyat Palestin yang terkepung. Peranan wanita Muslim dalam misi ini bukan sekadar simbolik, tetapi bersifat praktikal dan berani. Penahanan mereka oleh tentera Israel adalah satu bentuk penindasan yang mencerminkan betapa masih wujud kuasa zalim yang gentar kepada suara kebenaran termasuklah apabila suara itu datang daripada wanita. Lebih menyentuh hati apabila para wanita ini bukan sahaja membawa imej wanita Muslim yang taat dan berani, malahan mereka turut mewakili nilai-nilai Islam yang murni dan prihatin. Penglibatan mereka adalah bukti bahawa wanita Muslim tidak lagi dilihat sebagai penyokong di belakang tabir, tetapi sebagai pendokong utama dalam perjuangan ummah sejagat.

Sebagaimana Aisyah R.A membawa air kepada para mujahid dalam Perang Uhud, wanita Muslim hari ini membawa harapan kepada rakyat Palestin melalui solidariti dan tindakan nyata. Mereka mewakili suara wanita Islam global yang tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman, selari dengan prinsip Islam yang menganjurkan keadilan dan pembelaan terhadap yang tertindas. Jelas bahawa wanita Muslim di era moden ini bukan pewaris sejarah perjuangan, malah merupakan pencetus perubahan dan kekuatan dalam perjuangan ummah sejagat. Semangat sumud (keteguhan) yang dibawa oleh mereka merupakan kesinambungan daripada semangat jihad dan pengorbanan wanita-wanita Islam terdahulu yang disebutkan dalam sirah dan Kitab Rahiq al-Makhtum.

Apa yang dilakukan oleh wanita Muslim dalam flotilla hari ini bukan semata-mata atas dasar kemasyhuran, tetapi kerana kesedaran iman. Mereka membawa nama Islam dan wanita Muslim ke pentas dunia, bukan dengan retorik, tetapi dengan keberanian dan pengorbanan. Mereka menjadi penyambung rantai jihad para mujahidah terdahulu, dari pedang yang diangkat dalam peperangan Uhud hingga ke kapal yang belayar menuju Gaza, daripada darah yang tumpah di tanah Arab hingga ke air mata yang mengalir di Laut Mediterranean. Setiap generasi tetap membawa obor yang sama, membawa semangat mempertahankan maruah Islam dan membela mereka yang tertindas. Mereka mewakili kesinambungan perjuangan yang telah bermula lebih 1,400 tahun lalu, daripada keberanian Ummu ‘Umarah R.A yang melindungi Rasulullah SAW sehinggalah kepada wanita moden yang membawa mesej keamanan dan keadilan ke Gaza.

Tuntasnya, inilah wanita Muslim sejati, lembut hatinya namun teguh pendiriannya, penuh kasih sayang tetapi tetap berani menentang kezaliman. Jika pedang Ummu ‘Umarah R.A pernah bergegar dalam peperangan Uhud, maka langkah wanita dalam misi Global Sumud Flotilla pada hari ini turut menggoncang hati dunia, membuktikan bahawa keadilan dan kasih sayang tidak pernah tenggelam di dada wanita yang beriman.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search