
RAKYAT MEMILIH: PILIH CALON DENGAN ILMU
Oleh: Norhafizah Ghazali
Malaysia tidak asing lagi dengan istilah pilihan raya. Pada 27 Julai 1955, pilihan raya umum yang pertama sebelum kemerdekaan telahpun diadakan. Selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 menjadi pilihan raya pertama selepas negara bebas dari tangan penjajah. Pilihan raya diadakan bagi memilih seorang wakil pemimpin yang dipercayai dari salah satu parti politik yang bertanding. Malaysia mengamalkan konsep Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan. Demokrasi merujuk kepada satu sistem kerajaan di mana rakyat dibenarkan untuk menyertai proses penggubalan undang-undang. Pemerintahan yang dijalankan adalah secara perwakilan di mana rakyat diberi mandat untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka sekaligus menjadi wakil rakyat di Parlimen. Dalam erti kata lain, demokrasi berparlimen bermaksud ‘kerajaan rakyat’. Ucapan Abraham Lincoln yang sering dikutip bagi menggambarkan kuasa rakyat iaitu:
“…government of the people, by the people, for the people…”
Sebagai seorang warganegara Malaysia, adalah penting bagi setiap rakyat negara ini untuk mengambil bahagian terhadap proses demokrasi ini dengan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pengundi. Walaubagaimanapun, tidak semua cakna bahawa proses ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab. Sebaliknya mereka beranggapan ia tidak penting atau tidak menyumbang kepada membantu proses pemilihan pemimpin.
Usaha memangkah undi bukanlah satu usaha yang boleh dianggap remeh oleh para pengundi kerana akan memberi implikasi kepada diri pengundi, malah turut memberi kesan kepada orang lain dan negara. Dalam memilih pemimpin dari parti-parti politik yang dipercayai, adalah penting untuk para pengundi memilih calon pilihan raya yang betul-betul berkualiti dan dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat selepas mereka diangkat menjadi pemimpin kelak. Tidak dinafikan sesetengah rakyat kurang pendedahan dengan isu politik. Hal ini menjadikan mereka keliru untuk membuat pilihan dan seterusnya hanya memangkah sekadar mengikut citarasa mereka dan ada juga sesetengah daripada mereka terus memilih untuk tidak membuang undi.
Para pengundi harus bijak dalam membaca dan memilih manifesto-manifesto yang dihidangkan kepada mereka oleh setiap parti politik. Rakyat perlu meneliti perkara ini agar tiada taburan janji-janji manis yang boleh dilakukan oleh ahli politik. Rakyat perlu memastikan manifesto itu logik untuk direalisasikan dan semua perkara itu boleh dituntut oleh kerajaan baharu selepas proses pilihan raya. Rakyat bertanggungjwab untuk cakna dengan fahaman politik yang dibawa oleh calon pilihan mereka. Janganlah sekadar mengundi kerana warna kulit yang sama atau agama yang serupa, tetapi mengundilah mengikut akal dan ilmu. Para pengundi juga perlu lebih bijak dan serius dalam memangkah calon-calon pilihan mereka semasa proses untuk memangkah undi nanti.
Sentimen agama dan perkauman sering dijadikan alat untuk meraih undi oleh pihak parti politik. Hal ini dibuktikan melalui kajian Pemantauan Media Sosial pada PRU15 yang dijalankan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Analisis daripada kajian ini mendapati bahawa daripada 117,152 hantaran yang dimuat naik di empat platform iaitu Facebook, Twitter, YouTube dan TikTok, 66,933 (57%) menyentuh isu perkauman, manakala 24,284 (21%) melibatkan isu agama. Perkara ini menunjukkan bahawa pihak parti politik sanggup mencetuskan provokasi yang menyinggung perasaan serta diskriminasi dalam mendapatkan kuasa selepas pilihan raya. Sebagai pemilih, rakyat seharusnya tidak mudah terpedaya dan menapis segala maklumat yang diterima dengan ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang banyak berkaitan sejarah dan politik negara. Rakyat yang bijak dan berilmu dapat memilih pemimpin yang beritegriti. Dalam mewujudkan Malaysia yang aman dan maju, tanggungjawab ini bukanlah terletak kepada pemimpin semata-mata, namun rakyat juga berperanan iaitu dengan menambah ilmu pengetahuan serta menjadi pemilih yang bijak dan matang.
Kesalahan dalam memilih calon pemimpin akan memberi kepincangan yang teruk kepada pentadbiran negara. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku peningkatan kes rasuah dalam kalangan ahli politik di negara ini. Hal ini menyebabkan rakyat mempunyai persepsi bahawa semua ahli politik adalah sama dan sekali gus mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi. Mereka gagal untuk memahami bahawa untuk mentadbir negara, mereka perlu memilih calon yang terbaik. Sudah tiba masanya rakyat menyedari bahawa mereka perlu memilih dengan ilmu dan faham sekiranya orang yang lebih baik dipilih menjadi pemimpin, maka ianya dapat mengurangkan tahap rasuah dan penyelewengan dalam sistem pentadbiran negara. Jadi, daripada hanya meletakkan kesalahan pada sistem, rakyat harus keluar dan mengundi untuk menggunakan hak mereka dan menyatakan pandangan mereka. Dengan membuang undi, rakyat dapat membantu memilih parti yang baik yang akan menjaga kepentingan rakyat. Demokrasi di negara kita akan berkesan hanya apabila rakyat mengundi dengan bijak.
Calon-calon yang ingin dipilih menjadi wakil rakyat perlu memiliki akhlak yang baik, tahap ilmu pengetahuan yang bersesuaian, serta berpengalaman dalam urusan pentadbiran. Hal ini adalah penting supaya ia dapat memudahkan sebarang urusan di antara pihak wakil rakyat dengan rakyat kelak. Ahli politik mendengar dua perkara, wang dan undi. Jika kita bekerjasama sebagai sebuah komuniti dan meningkatkan peratusan keluar mengundi, maka penggubal undang-undang negeri dan negara kita akan mendengar suara kita sebagai rakyat. Sistem pendidikan, kesihatan, imigresen, infrastruktur, ekonomi, veteran dan sebagainya boleh ditadbir dengan elok sekiranya kita memilih dengan bijak dan tanggungjawab. Mengundi adalah satu cara yang utama untuk membantu mengubah negara ini. Sekiranya kita mahukan kepimpinan yang berintegriti, maka kita harus berhenti mempercayai pemimpin yang berbohong untuk kebaikan mereka sendiri. Justeru, dalam memilih calon pemimpin, pastikan orang yang dipilih untuk memimpin haruslah benar-benar layak, berpengetahuan dan semestinya mementingkan kebajikan rakyat serta bukan sekadar mengejar pangkat sahaja.
Menjadi harapan besar rakyat negara ini untuk melihat kepemimpinan yang dipilih adalah daripada barisan yang terbaik. Kepimpinan yang baik akan membawa ke arah negara maju khasnya dalam bidang ekonomi. Adalah menjadi harapan rakyat juga untuk melihat pemimpin pilihan mereka dapat memberikan jaminan kepada isu kesejahteraan rakyat dan sekali gus membanteras isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan dalam tadbir urus negara. Rasulullah SAW berpesan:
“Apabila manusia telah mengabaikan amanah maka nantikanlah saat kehancuran. Maka orang pun bertanya: Bagaimana amanah itu diabaikan ya Rasulullah? Baginda bersabda: Apabila diserahkan urusan (tanggungjawab) kepada yang bukan ahlinya maka nantikanlah saat kehancuran.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Kebijaksanaan ialah aspirasi yang bermula sejak permulaan manusia, satu konsep yang sangat konsisten selama beribu tahun dan budaya. Di samping itu, permulaan kebangkitan sesebuah negara sebenarnya bermula daripada seorang pemimpin. Peranannya sangat berpengaruh kepada rakyat. Bahkan dalam Islam, setiap pemimpin akan disoal akan tugasnya di dunia. Pendek kata, kita sebagai rakyat boleh mengubah hala tuju negara kita dan memetik kata pengarang The Traveler’s Gift, Andy Andrew:
“But only if smart people will get involved in the election process and actually vote.”
Selaku pengundi dan rakyat, kita seharusnya meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan agar kita dapat memilih calon dan memangkah undi dengan rasional. Undi bukanlah pilihan, tetapi sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab yang akan memberikan hikmah sekiranya dilakukan dengan betul. Hikmah mengundi ini bakal muncul menerusi implikasi yang diterjemah dalam pentadbiran negara kelak dan juga kesan kepada kehidupan rakyat khususnya.