Krisis alam sekitar dan krisis kesihatan sememangnya memberi kesan ke atas pembangunan negara termasuk sistem pendidikan. Antara krisis yang memberi kesan terhadap sistem pendidikan negara dunia seperti krisis alam sekitar: gempa dan banjir kilat; Krisis kesihatan: Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS), Ebola Virus Disease (EVD), Influenza A (H1N1) dan Coronavirus 2019 (COVID-19) dan lain-lain. Kedua-dua bentuk krisis ini mencatat sejarah tersendiri dalam sistem pendidikan di sesebuah negara. Sehubungan dengan itu, bagi mengurangkan kesan kedua-dua krisis tersebut ke atas sistem pendidikan, rata-rata negara bertindak memendekkan waktu persekolahan, menangguhkan sesi persekolahan dan ada juga sebahagian negara menutup sesi persekolahan.
Krisis alam sekitar seperti gempa antara bencana buruk yang sinonim dengan beberapa negara dunia seperti Indonesia, Nepal, Jepun dan Pakistan. Krisis gempa yang berlaku di negara-negara ini memberi kesan langsung ke atas sistem pendidikan negara termasuk kemusnahan prasarana sekolah sehingga perlu kepada penutupan institusi pendidikan.
