skip to Main Content

Kajian ini bertujuan untuk meneliti isu kewajipan mentaati ulil amri dan larangan mengambil hak orang lain semasa pelaksanaan Haji. Pelaksanaan Haji merupakan kewajipan umat Islam yang mempunyai kemampuan dari sudut kewangan, kekuatan dan kemudahan. Namun disebalik ibadah yang dilakukan, terdapat beberapa isu dan kesalahan yang melatari suasana ibadah Haji yang telah sekian lama dilakukan oleh jemaah Haji seperti melanggar peraturan yang ditetapkan pemerintah dan sebagainya. Contohnya berhelah dengan memakai ihram tanpa berniat ihram kerana ingin solat atau tawaf di mataf, atau masuk ke dalam Raudhah berulang kali tanpa mengikut peraturan (had permit yang dikeluarkan). Peraturan yang dilanggar tidak begitu diambil berat kerana ia tidak melibatkan dam dan tiada kesan kepada pelaksanaan ibadah Haji. Kajian ini secara amnya akan mengenalpasti dalil-dalil dan hukum pelanggaran peraturan tersebut dan sejauh mana peraturan yang dikeluarkan oleh ulil amri perlu ditaati. Metodologi kajian yang digunakan adalah kaedah dokumentasi dalam mengumpulkan data-data kualitatif. Data dikumpulkan akan dianalisis secara tuntas dengan menggunakan analisis kandungan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kepatuhan kepada arahan pemimpin dalam melaksanakan ibadah adalah perkara yang dituntut oleh agama dan juga pelanggaran arahan merupakan perbuatan fasad yang menjejaskan kualiti ibadah Haji yang dilaksanakan. Tambahan pula, pelanggaran arahan yang dilakukan mengakibatkan pengambilan hak orang lain secara tidak syar’ie menyebabkan ia tergolong dalam perbuatan maksiat. Kesimpulannya, jemaah Haji berkewajipan mematuhi arahan pemerintah dalam melaksanakan ibadah Haji demi mengejar kesempurnaan Haji.

Back To Top
×Close search
Search