
POLEMIK KEMISKINAN HAID DI MALAYSIA
Oleh: Dr. Norhafizah Abdul Halim
Realiti Miskin Haid
Istilah kemiskinan haid kedengaran sangat asing dalam kalangan masyarakat hari ini. Kemiskinan haid atau period poverty merupakan situasi sukar yang dialami golongan wanita dan kanak-kanak perempuan seawal usia kedatangan haid bagi mendapatkan akses terhadap kelengkapan haid, kemudahan sanitasi, pendidikan dan lain-lain. Apabila berbicara mengenai isu kemiskinan haid, ramai dalam kalangan masyarakat termasuk golongan wanita sendiri kurang memahami maksud sebenar istilah ini. Justeru, perbahasan tentang kepentingan menangani isu kemiskinan haid kurang dibicarakan kerana rasa malu dan stigma yang menyelubungi masyarakat serta memegang kepada tabu atau larangan dalam membicarakan hal ini secara terbuka.
Di seluruh dunia, dianggarkan 500 juta orang remaja perempuan dan wanita dewasa yang didatangi haid kekurangan akses kepada produk haid dan kemudahan kebersihan. Berdasarkan statistik beberapa kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat (AS) berkaitan kemiskinan haid, dianggarkan terdapat 16.9 juta orang telah berhadapan dengan kemiskinan haid. Dalam pada itu, menerusi kajian BMC Women Health, 2021 yang dijalankan ke atas remaja-remaja yang sedang menuntut di kolej mendapati bahawa 14.2 peratus telah mengalami kemiskinan haid pada tahun lalu. Selain itu, hampir dua pertiga wanita di AS yang berpendapatan rendah tidak mampu membeli produk haid pada tahun lepas. Turut menjadi dilema dalam kalangan wanita tersebut, apabila terpaksa memilih antara membeli makanan atau produk haid. Lebih membebankan, sehingga Jun 2019, 35 negeri di AS mengenakan cukai produk haid pada kadar antara 4.7 peratus di Hawaii dan 9.9 peratus di Louisiana. Keadaan ini menjadi lebih parah tatkala negara-negara di seluruh dunia berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang berlarutan bagi suatu tempoh masa yang sangat panjang. Tambah merungsingkan bagi kelompok wanita luar bandar, miskin bandar dan miskin tegar dalam menghadapi situasi sukar tersebut sehingga mengundang implikasi yang besar terhadap kesejahteraan fizikal, mental dan emosi golongan terbabit.
Kekurangan akses kepada produk haid berupaya menjejaskan kesihatan dan kesejateraan mental seseorang wanita. Berita Harian, tahun 2022 melaporkan sebanyak 68.1 peratus pelajar wanita di sebuah kolej berdepan kemiskinan haid dengan gejala kemurungan sederhana hingga teruk. Mereka juga mempunyai kadar kemurungan yang lebih tinggi daripada peserta yang tidak mengalami kemiskinan haid. Berdasarkan laporan Medical News Today, 2021, pada tahun 2014 yang dijalankan ke atas wanita di India mendapati bahawa sebanyak 42 peratus responden tidak mengetahui berkaitan tuala wanita yang bersesuaian dan tidak mengetahui bagaimana proses atau kitaran haid ini berlaku. Satu kajian lain di Bangladesh menunjukkan bahawa 73 peratus wanita tidak bekerja selama purata 6 hari sebulan. Walau bagaimanapun, apabila projek berkaitan kesejahteraan wanita dilaksanakan dengan menghantar tuala wanita dan beberapa keperluan lain, terdapat perubahan dari sudut kadar ketidakhadiran dan perubahan tingkah laku yang ketara.
Isu Utama Kemiskinan Haid
Perkara utama yang diketengahkan dalam menangani isu kemiskinan haid adalah hak-hak golongan ini untuk mendapatkan akses terhadap bentuk-bentuk keperluan bagi membantu mereka menguruskan tempoh kedatangan haid tersebut. Kekangan terhadap produk haid sangat ketara dialami oleh golongan yang kurang atau tidak mampu memiliki tuala wanita sama ada yang diulang cuci ataupun pakai buang. Terdapat segelintir individu menggunakan pakaian terpakai bagi menggantikan tuala wanita. Tindakan ini lebih menjimatkan kerana boleh digunakan berulang kali berbanding membeli tuala wanita pakai buang. Terdapat juga wanita yang menggunakan surat khabar untuk dijadikan sebagai tuala wanita tanpa memikirkan bahaya yang akan menimpa diri. Sedangkan, surat khabar mempunyai karbon yang boleh menyebabkan jangkitan kuman pada alat sulit sehingga boleh menyebabkan kematian. Penggunaan tuala wanita daripada sumber lain juga dikhuatiri tahap kebersihan dan dibimbangi mampu mengundang jangkitan kuman yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit. Menurut Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Habibah Abdul Hamid, penggunaan tuala wanita dalam tempoh yang terlalu lama walaupun dalam kuantiti darah yang sedikit boleh mendedahkan wanita kepada risiko jangkitan kuman. Seseorang wanita juga boleh terdedah kepada jangkitan kuman yang serius dikenali sebagai kejutan toksik iaitu jangkitan yang jarang berlaku tetapi sangat berbahaya.
Kemiskinan haid turut melibatkan limitasi dan kekangan bagi mendapatkan pendidikan dan pengetahuan berkaitan pengurusan haid. Kekurangan ilmu dan pengetahuan pengurusan haid yang betul boleh mengganggu perjalanan kehidupan serta aktiviti seharian. Hal ini disebabkan mereka berasa malu, tidak selesa, terganggu dan tidak mahu melibatkan diri dengan sebaiknya. Situasi ini juga menimbulkan permasalahan terhadap segelintir pelajar sehingga memilih jalan singkat dengan tidak hadir ke sekolah. Kesannya, timbul permasalahan lain dalam konteks institusi pembelajaran. Walau bagaimanapun, pendidikan dan pengetahuan ini tidak hanya kepada golongan wanita sahaja bahkan seluruh masyarakat perlu cakna dan prihatin akan keadaan yang sebenarnya dialami oleh ahli keluarga mereka sendiri. Maklumat dan informasi yang disebarkan ini dapat membantu golongan wanita, remaja dan kanak-kanak perempuan daripada mengalami pengalaman negatif seperti diskriminasi, berasa malu diejek, kurang keyakinan diri yang boleh menganggu prestasi mereka di sekolah mahupun tempat kerja. Keadaan ini boleh membawa kesan jangka panjang kepada diri mereka sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Selain itu, isu kemiskinan haid juga berkisar tentang kekangan bagi mendapatkan kemudahan serta sistem sokongan yang baik sepanjang tempoh menguruskan kedatangan haid. Pengurusan kebersihan haid atau dikenali sebagai menstrual hygiene management (MHM) merangkumi akses terhadap produk kebersihan haid yang baik, ruang privasi yang secukupnya bagi golongan ini untuk menguruskan diri mereka dalam tempoh haid, kemudahan untuk membuang bahan pengurusan haid terpakai, tempat pelupusan tuala wanita yang bersesuaian dan sumber air yang bersih. Pengurusan kebersihan haid boleh menjadi cabaran bagi golongan wanita dan remaja di negara-negara membangun di mana kemudahan air bersih dan tandas sering kali tidak mencukupi. Selain itu, kemudahan pelupusan sisa haid juga sering diabaikan oleh institusi pendidikan dan institusi pekerjaan sekaligus menjadi faktor tekanan kepada golongan tersebut. Selain itu, ruang privasi juga menjadi salah satu kemudahan yang sering diabaikan. Ruang privasi yang dimaksudkan ini termasuklah ruang yang bebas dari gangguan orang lain, tidak terbuka kepada umum dan tidak terikat dengan ukuran masa agar golongan wanita dapat menggunakan ruangan tersebut sepanjang tempoh menguruskan haid.
Dimensi Kemiskinan Haid di Malaysia
Isu kemiskinan haid tidak seharusnya dijadikan polemik dalam kehidupan bermasyarakat masa kini kerana isu kemiskinan haid bukan sekadar signifikan dalam kehidupan individu malah turut melibatkan sektor pendidikan, kesihatan, ekonomi, sosial dan pertumbuhan negara. Isu ini sepatutnya dijadikan perbincangan bersama dan diketengahkan sama penting dengan hal-hal yang lain seperti isu kemiskinan hidup, pengangguran, dan gejala sosial. Bertitik tolak daripada kesedaran akan kepentingan dalam menangani isu kemiskinan haid, Malaysia telah menjadi salah satu negara yang giat mengetengahkan isu ini walaupun secara zahirnya kemiskinan haid di Malaysia masih berada pada tahap yang terkawal dan tidak seteruk beberapa negara lain seperti India, Bangladesh dan Afrika. Dengan kadar populasi negara kini, masalah kemiskinan haid masih akan dapat ditangani dengan baik jika mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Realiti kemiskinan haid di Malaysia lebih tertumpu kepada kawasan-kawasan di pedalaman Sabah dan Sarawak khususnya yang berhadapan kesukaran bagi mendapatkan produk haid serta kemudahan sanitasi seperti sumber air bersih dan ruang privasi yang sewajarnya. Oleh itu, Malaysia melalui beberapa pertubuhan kerajaan, organisasi awam dan sukarela telah memperlihatkan pelbagai usahasama ke arah menangani perkara ini. Pelbagai pihak seperti golongan pakar, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) kini giat membincangkan isu serta permasalahan berkaitan kemiskinan haid sekaligus mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi permasalahan ini. Antara individu yang giat mengetengahkan isu kemiskinan haid ialah Dr Sharifah Fatimah Al Zahrah Syed Hussien Al Attas yang merupakan pensyarah Fakulti Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau melalui usahanya telah menubuhkan kempen “Peduli Merah” yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya isu kemiskinan haid ini. Kempen “Peduli Merah” ditubuhkan dengan niat bagi merealisasikan hasrat golongan remaja dan wanita dewasa bagi mendapatkan akses terhadap keperluan asas seperti tuala wanita secara percuma dan peluang pendidikan yang setara. Menurut Dr. Sharifah Fatimah, terdapat empat elemen asas yang perlu ditangani dalam menyelesaikan isu berkaitan kemiskinan haid iaitu mendapatkan akses kepada produk sanitasi, pendidikan dan ilmu pengetahuan tetang haid, akses kepada insfrastruktur sanitasi dan privasi kepada wanita. Selain itu, kemiskinan haid juga meliputi aspek yang lebih kompleks iaitu memastikan pengurusan haid setiap individu wanita adalah selamat, bersih dan bermaruah.
Pihak kerajaan turut memandang serius keadaan ini dengan menyediakan peruntukkan dalam Bajet Belanjawan 2022 melalui pemberian kit kebersihan diri setiap bulan untuk 130,000 remaja perempuan dari keluarga B40. Selain itu, kerajaan turut komited dengan menyediakan sumber air bersih, tempat khas pembuangan tuala wanita serta ubat-ubatan yang diperlukan ketika melalui keadaan datang bulan yang tidak selesa. Antara usaha lain yang dilaksanakan oleh Malaysia adalah menjadi antara negara pertama yang melaksanakan (pink tax) atau menggugurkan cukai ke atas tuala wanita bagi membantu menangani isu ini. Usaha ini wajar dicontohi negara-negara lain demi mencapai matlamat menangani isu kemiskinan haid. Selain itu, bukan hanya pihak kerajaan, usaha dalam menangani isu kemiskinan haid ini turut mendapat kerjasama daripada badan-badan bukan kerajaan NGO antaranya dikenali sebagai BUNGA Pads. Badan sukarelawan wanita ini mengambil langkah memberikan tuala wanita guna semula secara percuma kepada golongan yang memerlukan terutamanya yang tinggal jauh di pedalaman Sabah dan Sarawak. BUNGA Pads turut gigih dalam memberikan pendidikan, memperkasakan wanita dan alam sekitar.
Tangani Kemiskinan Haid Bersama
Kebiasaan masyarakat memperkatakan tentang kemiskinan khususnya dalam konteks taraf hidup dan kesusahan mendapatkan sumber kewangan serta akses kepada pelbagai kemudahan. Bagi isu kemiskinan haid, ianya sangat berkait rapat dengan persoalan hak asasi bagi golongan kanak-kanak perempuan dan wanita, kekurangan akses kepada produk haid, pendidikan, kemudahan kebersihan, pengurusan sisa, atau gabungan ini. Oleh itu, adalah sangat penting bagi semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menangani isu kemiskinan haid. Ini termasuklah dalam tanggungjawab pengurusan di sekolah, institusi pendidikan tinggi mahupun tempat bekerja menyalurkan maklumat dan menyediakan saluran khas sebagai salah satu bentuk kemudahan kepada golongan ini.
Peningkatan pendidikan dan perkongsian pengetahuan berkaitan pengurusan haid pada hari ini perlu dilakukan dengan lebih terbuka tanpa wujudnya stigma atau persepsi negatif dalam institusi pendidikan. Perkongsian pengetahuan antara organisasi, dalam komuniti dan di sekolah perlulah mampu melindungi perasaan malu, tidak selesa dan rendah diri golongan ini kepada suatu perasaan prihatin, dihargai, dihormati dan disayangi. Selain itu, semua pihak berkepentingan haruslah mampu menyediakan suatu platform mendapatkan maklumat dan akses kepada kemudahan dan produk pengurusan haid disamping mewujudkan polisi-polisi baharu yang dapat membantu menyokong kesihatan dan kesejahteraan golongan ini.
Selain itu, masyarakat juga perlulah lebih prihatin dengan memberikan sokongan moral dan perhatian yang sewajarnya kepada golongan tersebut kerana rata-rata mereka memegang tanggungjawab sebagai pelajar, wanita bekerja, suri rumah tangga hatta memegang tampuk pimpinan penting dalam organisasi.
Oleh itu, kesedaran tentang isu kemiskinan haid perlu wujud dalam diri masyarakat hari ini agar kita dapat membela nasib mereka khususnya golongan remaja dan wanita yang terkesan dengan permasalahan ini. Tambahan pula, Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang melaksanakan segala prinsip-prinsip dan syariat hidup berlandaskan al-Qur’an dan sunnah, maka sudah tentulah persoalan kebersihan dan kesucian diri golongan wanita dan kebajikan mereka wajar diberikan keutamaan. Anjuran ini bertepatan dengan fitrah diri manusia selain memastikan kesejahteraan rohani dan fizikal golongan ini sentiasa terpelihara