Perkahwinan Campur di Era Media Sosial: Antara Harmoni dan Prejudis
Oleh: Dr. Nurul Suhada Ismail
Pada era media sosial, segala perkara dan aktiviti seseorang individu menjadi tumpuan, apatah lagi jika ia sesuatu yang dianggap asing dalam masyarakat. Begitu juga yang berlaku kepada pasangan perkahwinan campur (interracial marriage). Dahulu ia dianggap tabu atau janggal, namun kini semakin diterima dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Secara asasnya, perkahwinan campur merujuk kepada perkahwinan antara dua individu daripada bangsa, budaya, negara atau agama yang berbeza. Menurut Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2024, sebanyak 6.2 peratus daripada 188,100 perkahwinan pada 2023 adalah perkahwinan campur. Bahkan terdapat peningkatan 28 peratus, daripada 14,028 (2022) kepada 17,956 (2023) (Sinar Daily, 2025). Jabatan Imigresen Malaysia (2016) melaporkan 118,581 perkahwinan antarabangsa pada tahun 2015, angka tertinggi direkodkan setakat ini. Statistik ini membuktikan bahawa fenomena perkahwinan campur semakin berkembang dan wajar diberi perhatian.
Realitinya, kepesatan teknologi dan pengaruh media sosial menjadikan perkongsian kisah cinta perkahwinan campur tersebar luas melalui platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok. Menurut laporan Data Reportal Malaysia 2024, rakyat Malaysia menghabiskan purata 2 jam 47 minit sehari di media sosial, menjadikannya antara pengguna paling aktif di Asia Tenggara. Keterlibatan yang tinggi ini menyebabkan setiap perkongsian tentang hubungan campur berpotensi mencapai capaian yang besar dalam masa singkat. Perkongsian ini membuka ruang perbincangan yang lebih luas melibatkan penerimaan, sokongan, mahupun kecaman dalam kalangan masyarakat. Tanpa disedari, reaksi masyarakat ini mampu mempengaruhi kehidupan dan emosi pasangan, sama ada secara positif atau negatif, terutama apabila komen yang diterima bersifat menggalakkan atau sebaliknya yang berbentuk stereotaip dan diskriminasi.

Media Sosial sebagai Pentas Penerimaan
Trend memuat naik kandungan bertemakan perkahwinan campur ini semakin berkembang, bukan sahaja bagi mempromosikan kepelbagaian budaya tetapi juga untuk menunjukkan realiti kehidupan berkeluarga, termasuk cabaran komunikasi, penyesuaian budaya dan membesarkan anak dalam persekitaran dua budaya. Banyak pasangan mendapati bahawa keterbukaan mereka berkongsi kehidupan seharian membantu menghapuskan stereotaip serta meningkatkan kefahaman masyarakat tentang toleransi dan penerimaan. Contohnya, pasangan pempengaruh DurianKimchi iaitu pasangan Malaysia–Korea yang sering berkongsi pengalaman hidup beragama dan berbudaya berbeza, termasuk cara mereka mendidik anak, menyambut perayaan dua budaya, serta mengurus perbezaan adat. Kandungan seperti ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menjadi ruang pendidikan sosial kepada masyarakat umum.
Fenomena ini turut didorong oleh budaya ‘relatability’, di mana pengguna media sosial lebih cenderung menyokong kandungan yang memaparkan realiti hubungan berbanding naratif romantik ideal. Malah, satu tinjauan oleh Influencer Marketing Hub (2023) menunjukkan bahawa 76 peratus pengguna lebih mempercayai kandungan kehidupan harian pempengaruh berbanding iklan formal, menjadikan perkongsian pasangan campur sangat berpengaruh dalam membentuk persepsi positif masyarakat terhadap perkahwinan campur di Malaysia.

Media Sosial sebagai Ruang Kecaman
Namun begitu, kecaman dan kritikan juga tidak dapat dielakkan. Perbezaan agama, adat budaya, stereotaip bangsa dan isu kewarganegaraan sering menjadi punca salah faham dalam masyarakat. Di platform media sosial, perbincangan mengenai perbezaan ini mudah mencetuskan konflik dan kadangkala berlarutan menjadi pergaduhan antara pengguna media sosial. Begitu juga dengan pasangan perkahwinan campur yang menjadi subjek kepada pertikaian umum. Laporan oleh CyberSecurity Malaysia pada tahun 2023 menunjukkan bahawa kes berkaitan buli siber meningkat sebanyak 30 peratus dan antara bentuk buli paling kerap dilaporkan ialah serangan berunsur perkauman serta penghinaan terhadap identiti individu. Trend ini menjelaskan mengapa pasangan campur lebih terdedah kepada kecaman apabila identiti mereka mudah disalah tafsir.
Dalam konteks ini misalnya stereotaip negatif terhadap individu berkulit gelap khususnya dari benua Afrika kerap dikaitkan dengan jenayah, walaupun data rasmi menunjukkan persepsi tersebut tidak mencerminkan realiti keseluruhan komuniti terbabit. Hakikatnya, aktiviti jenayah tidak boleh digeneralisasikan kepada sesuatu bangsa atau warganegara kerana ia melibatkan hanya segelintir individu. Namun, naratif yang tular di media sosial sering kali mengekalkan stereotaip negatif, sehingga menjejaskan pasangan campur yang mempunyai hubungan dengan individu berkulit gelap. Komen-komen berunsur rasis, penghinaan fizikal dan tuduhan tidak berasas bukan sahaja memberi tekanan sosial, tetapi turut memberi kesan psikologi yang mendalam kepada pasangan.
Diskriminasi sebegini bukan sahaja mengganggu kesejahteraan emosi, tetapi juga boleh mempengaruhi dinamika hubungan, keyakinan diri dan kesihatan mental. Kajian oleh American Psychological Association (APA) (2002) menunjukkan bahawa pasangan dalam hubungan campur lebih cenderung mengalami tekanan luaran akibat penghakiman masyarakat. Dalam konteks Malaysia, walaupun masyarakat semakin matang, norma sosial dan sensitiviti budaya masih menyebabkan sesetengah individu sukar menerima kelainan ini sepenuhnya. Oleh itu, kecaman di media sosial bukan sekadar komen negatif tetapi mencerminkan cabaran mendalam yang dihadapi oleh pasangan campur dalam mengurus persepsi, prejudis dan tekanan masyarakat.

Dinamika Identiti & Budaya
Kepelbagaian budaya dalam perkahwinan campur menuntut kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan. Pasangan perlu berhadapan isu seperti makanan halal atau haram, bahasa komunikasi, cara asuhan anak, serta adat perkahwinan yang tidak sama. Kajian oleh The Asian Family Survey (2022) mendapati bahawa 62 peratus pasangan campur di Asia Tenggara menyatakan perbezaan bahasa dan adat adalah cabaran utama dalam kehidupan harian mereka, manakala 48 peratus menyebut hal berkaitan keagamaan memerlukan perbincangan mendalam sebelum perkahwinan. Hal ini menunjukkan bahawa penyesuaian budaya bukanlah proses spontan, tetapi memerlukan komitmen dan toleransi yang tinggi daripada kedua-dua pihak.
Isu makanan, contohnya, bukan sekadar soal pilihan tetapi turut melibatkan sensitiviti agama dan budaya keluarga. Begitu juga dengan bahasa pasangan sering menggunakan “bahasa campur” di rumah atau memilih satu bahasa dominan agar komunikasi lebih lancar, terutamanya apabila mempunyai anak. Perbezaan adat pula muncul dalam majlis perkahwinan, sambutan perayaan, dan cara hidup, menjadikan pasangan perlu mencari titik tengah yang menghormati kedua-dua tradisi. Walau bagaimanapun, banyak pasangan campur menganggap kepelbagaian ini sebagai peluang, bukan halangan, kerana ia memperkayakan pengalaman hidup dan membina perspektif yang lebih luas.
Media sosial pula menambah tekanan kerana setiap keputusan keluarga misalnya daripada pemilihan makanan anak, sambutan perayaan, sehinggalah cara berpakaian begitu mudah dipersoalkan oleh orang ramai. Namun, dalam masa yang sama, platform ini membuka ruang pendidikan sosial apabila pasangan berkongsi cara mereka mengurus perbezaan budaya dengan harmoni. Kajian oleh Pew Research Center (2023) menunjukkan bahawa 71 peratus pengguna lebih memahami budaya lain melalui kandungan video peribadi seperti vlog keluarga dan perkongsian rutin harian. Oleh itu, walaupun media sosial boleh mencetuskan tekanan namun begitu boleh juga menjadi jambatan yang membantu masyarakat melihat bahawa perkahwinan campur mampu diharungi dengan bahagia melalui sikap saling menghormati dan toleransi.

Peranan Masyarakat
Masyarakat digital pada era ini memikul tanggungjawab penting dalam membentuk persekitaran yang sihat kepada pasangan dan keluarga perkahwinan campur. Literasi media perlu dipertingkatkan agar pengguna tidak mudah menyebarkan prejudis, rasisme atau komen menghina, terutama apabila Malaysia mencatat lebih daripada 33 juta pengguna media sosial aktif pada tahun 2024 (Data Reportal 2024). Dengan jumlah pengguna yang begitu besar, penyebaran maklumat palsu atau stereotaip boleh berlaku dengan pantas, memberi kesan langsung kepada persepsi masyarakat terhadap perkahwinan campur. Kajian oleh UNESCO (2023) menunjukkan bahawa 68 peratus pengguna media sosial global terdedah kepada kandungan berunsur kebencian, sekali gus menjelaskan literasi media menjadi keperluan kritikal untuk masyarakat digital pada masa ini.
Elemen empati, rasa hormat dan kebijaksanaan dalam berinteraksi merupakan asas utama dalam melayari kepelbagaian budaya. Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama, normalisasi perbualan harmoni tentang kepelbagaian dapat membantu memecahkan stereotaip lama. Inisiatif seperti program pendidikan awam mengenai kepelbagaian etnik, kelas sosial dan agama yang dijalankan oleh pelbagai NGO serta institusi pendidikan telah terbukti membantu mengurangkan sikap prejudis. Kajian oleh Institute of Ethnic Studies (KITA-UKM) pada tahun 2021 mendapati bahawa pendedahan awal kepada interaksi berbilang kaum meningkatkan tahap toleransi sosial sebanyak 40 peratus dalam kalangan remaja. Dapatan ini menunjukkan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang lebih terbuka dan menghormati perbezaan.
Lebih penting lagi, masyarakat harus memahami bahawa setiap perkahwinan campur atau tidak, masing-masing mempunyai cabaran tersendiri dan tidak wajar diadili berdasarkan perbezaan luaran semata-mata. Penilaian masyarakat yang terlalu tertumpu kepada bangsa, warna kulit atau latar budaya boleh mengundang stigma sosial yang tidak berasas. Oleh itu, pembinaan masyarakat digital yang matang bermula dengan kesedaran untuk tidak menghakimi, bersikap inklusif, dan mengiktiraf bahawa kepelbagaian adalah satu kekuatan. Dengan perubahan sikap ini, pasangan perkahwinan campur berpeluang hidup dalam suasana yang lebih harmoni, disokong oleh masyarakat yang memahami dan meraikan perbezaan.

Penutup
Perkahwinan campur bukan lagi isu luar biasa, tetapi sebahagian daripada realiti masyarakat moden. Media sosial membuka ruang pendedahan yang luas kepada pasangan campur, namun ia turut membawa potensi kecaman. Cabaran utama ialah bagaimana masyarakat mampu menyeimbangkan kebebasan bersuara dengan sensitiviti budaya serta hak individu. Dengan sokongan, pemahaman dan keterbukaan, perkahwinan campur boleh menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara bangsa dan budaya dan bukannya sumber perpecahan, tetapi asas keharmonian Malaysia pada masa hadapan.
