
Pergaulan Bebas dalam Bersukan, ‘Normalisasi’ Kebejatan Sosial
Pergaulan Bebas dalam Bersukan
Malaysia antara negara yang aktif menyertai sukan saban tahun sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sebaik sahaja Malaysia mengisytiharkan fasa endemik berikutan krisis kesihatan COVID-19, tahun 2022 merupakan tahun yang begitu sibuk bagi penggiat sukan negara. Sukan SEA (Southeast Asian Games) pada May 2022, boleh dianggap sebagai pembuka tirai bagi aktiviti penganjuran sukan. Diikuti Sukan Malaysia (SUKMA), Hari Sukan Negara dan Malaysia dijangka berdepan pula dengan Para Sukan Malaysia (Para Sukma) dan beberapa aktiviti penganjuran sukan lain di sepanjang tahun ini. Berbicara lanjut berkenaan dengan sukan di Malaysia, majoriti penggiat sukan terdiri dalam kalangan mereka yang beragama Islam berbanding agama Kristian, Hindu dan Buddha. Hal ini tidak menjadi isu berikutan majoriti penduduk di Malaysia sememangnya terdiri dalam kalangan masyarakat beragama Islam. Namun, perkara yang seharusnya dilihat sebagai isu yang serius adalah situasi yang kurang menyenangkan iaitu pergaulan bebas antara lelaki dan wanita dalam bersukan.
Didapati sama ada atlet mahupun jurulatih sendiri, baik lelaki mahupun perempuan masing-masing dilihat bebas bergaul tanpa mengira batas-batas pergaulan sebagaimana digariskan dalam Islam. Meskipun Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa bersikap toleransi memberi kebebasan beragama, namun tidak bermakna kesempatan ini harus dijadikan sebab untuk masyarakat bebas bergaul. Dalam industri sukan semasa, para atlet dan jurulatih, sama ada wanita mahupun lelaki dilihat bebas bersentuhan dan berpelukan antara satu sama lain saat menerima kekalahan, meraikan kemenangan atau memberi kata-kata semangat kepada pasukan. Situasi sebegini seolah-olah menjadi norma dan budaya biasa bagi mereka. Sedangkan menurut perspektif Islam, Rasulullah SAW, menerusi hadis riwayat Thobroni pernah bersabda bahawa;
“Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak dari besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya”.
Hadis tersebut secara terang-terangan menegaskan larangan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Hakikatnya, usaha memartabatkan Islam harus diberi keutamaan dalam segenap aspek termasuk aktiviti bersukan. Tambahan pula, menjaga pergaulan dan tingkah laku merupakan suatu tuntutan dalam agama Islam. Tetapi tidak sebagaimana yang berlaku hari ini, berjabat tangan, berpelukan dan bertepuk tampar dengan berlainan jantina telah menjadi kebiasaan dalam arena sukan. Sebuah ‘normalisasi’ yang sukar diterima dalam memelihara keperluan syarie. Sedikit sebanyak situasi ini mencacatkan arena sukan negara Malaysia yang didominasi oleh golongan Muslim. Bukan itu sahaja, isu ini turut menimbulkan perspektif yang negatif terhadap imej agama Islam. Biarpun, masyarakat era baharu menganggap membatasi pergaulan sebagai tindakan yang ketinggalan zaman namun tidak disisi Islam. Islam sentiasa memandang jauh kesan ke atas sesuatu perkara lebih-lebih lagi yang berkait rapat dengan isu akhlak.
Akibat ‘Normalisasi’ yang Tidak Normal
Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita jika tidak dikawal mampu membawa kepada pelbagai masalah seperti gangguan seksual, rogol, zina dan keruntuhan institusi keluarga. Dalam konteks umum, pergaulan bebas yang berlaku sama ada di tempat kerja, atau dimana-mana tempat dan situasi sekalipun mampu menjadi penyebab kepada keruntuhan sesebuah institusi keluarga seperti perceraian. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang telah berkahwin terutamanya boleh membawa kepada fitnah, curang dan zina. Menerusi laporan Berita Harian pada Mac 2022 mendapati kes perceraian pasangan Islam adalah paling tinggi direkodkan dan curang menjadi salah satu faktor berlakunya kes tersebut.
Dalam konteks bersukan pula, terbaharu sebuah akhbar tempatan melaporkan kes tuduhan rogol di Brazil melibatkan seorang jurulatih terhadap atlet bawah umur, sehingga pelaku dipenjara lebih satu abad. Dalam pada itu, Malaysia sendiri pernah berdepan dengan kes yang sama iaitu kes tuduhan rogol jurulatih terhadap atlet di bawah seliaannya. Tidak mustahil, punca berlakunya kes-kes sedemikian bermula daripada sikap tidak sensitif seseorang individu terhadap pergaulan dengan bukan mahram. Sememangnya, situasi ini dilihat sedang berlaku dalam perkembangan sukan semasa. Sungguh, sebuah suasana yang tidak wajar berlaku lebih-lebih lagi yang melibatkan individu
beragama Islam.
Selain itu, bersukan tanpa mewujudkan batas-batas pergaulan juga mampu merosakkan imej Islam dimata orang bukan Islam. Orang bukan Islam akan menganggap cara hidup orang Islam juga tiada bezanya dengan mereka. Bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram akan dianggap sebagai perkara yang dibolehkan sama seperti norma hidup bukan Islam. Tambahan pula, norma pergaulan bebas ini diamalkan dalam bersukan yang turut disertai oleh orang bukan Islam. Secara tidak langsung, mereka sendiri akan terdedah dengan pergaulan tanpa batas dengan orang Islam. Hal ini hanya menimbulkan persepsi bahawa agama Islam turut membolehkan pergaulan bebas dengan berlawanan jantina. Kesalahfahaman yang timbul bukan sahaja menjejaskan imej masyarakat Islam tetapi juga agama Islam sendiri. Tanggapan ini dengan jelas perlu diubah agar Islam tidak disalah erti dan lebih dihormati. Demikian, isu pergaulan bebas dalam bersukan wajar diperhalusi berlandaskan syariat Islam sekalipun dalam situasi bersukan.
Perhalusi Isu Pergaulan Bebas dalam Bersukan
Meneroka dengan lebih lanjut berkenaan isu ini, Islam tidak menghalang orang Muslim melibatkan diri dalam bersukan. Ditambah pula bersukan kini bukan sekadar aktiviti permainan untuk mencari keseronokan atau memenuhi sesuatu hobi, tetapi telah menjadi sebuah kerjaya profesional dalam kalangan masyarakat. Bahkan, bersukan juga bukan sebuah aktiviti baharu yang diwujudkan kepada masyarakat hari ini, tetapi telah berlaku sejak zaman Rasulullah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda menerusi hadis riwayat at-Tirmizi bahawa;
“Segala sesuatu yang bukan termasuk zikir kepada Allah maka itu adalah perbuatan sia- sia, kecuali empat perkara: berjalannya seseorang diantara dua tujuan (untuk memanah, mendidik kudanya, bercanda dengan keluarganya dan mengajarnya berenang)”.
Menerusi hadis tersebut ternyata aktiviti bersukan seperti memanah, berkuda dan berenang telah wujud dan dibenarkan sejak zaman Rasulullah SAW. Selain daripada itu, Rasulullah SAW juga turut memberi saranan untuk mempelajari aktiviti memanah, berenang dan berkuda. Misalnya, Baginda bersabda menerusi hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud;
“Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah)”.
Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah”.
Perkara tersebut antara hadis yang menjelaskan tentang salah satu aktiviti bersukan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW iaitu memanah. Walau bagaimanapun, dalam keghairahan bersukan sama ada atas faktor kerjaya, mengisi masa lapang, hobi mahupun bersuka ria individu
Muslim perlu menjaga batas-batas pergaulan. Misalnya, dalam profesion sukan sendiri, perlu wujud jurang pergaulan antara atlet dan jurulatih lelaki dengan atlet dan jurulatih wanita. Atas dasar tersebut, umat Islam harus menghayati semula konsep bersukan dalam Islam dengan menjadikan al-Qur’an, hadis, qiyas dan ijmak sebagai sumber rujukan utama. Jika sekiranya golongan Muslim yang terlibat dengan sukan berpegang teguh dengan semua sumber tersebut sebagai panduan, maka tidak akan timbul lagi isu-isu berkaitan pergaulan bebas setiap kali dan saban tahun penganjuran sukan sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Demikian, institusi sukan perlu menitikberatkan isu ini dan meletakkan tatacara penganjuran sukan berteraskan Islam sebagai panduan.
Dalam pada itu, untuk tidak menjadikan pergaulan bebas sebagai norma yang normal dalam kalangan Muslim ketika bersukan, segalanya harus bermula daripada peringkat awal. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dalam hal ini, ibu bapa harus memainkan peranan utama mendidik anak-anak sejak di peringkat awal usia menerusi nilai-nilai Islam biarpun bakal menceburi apa sahaja profesion di masa akan datang. Dalam konteks bersukan, penekanan terhadap unsur kerohanian harus dilakukan semasa peringkat awal latihan. Selain latihan melibatkan daya tahan fizikal, seiring dengan itu para atlet, jurulatih dan keseluruhan yang terlibat perlu diterapkan dengan ilmu bagi pemantapan rohani. Kedua-dua latihan fizikal dan kerohanian perlu seimbang agar tidak timbul isu pergaulan bebas.
Keseluruhannya, Islam tidak pernah menghalang umatnya melibatkan diri dalam bersukan. Tambahan bersukan mampu menyihatkan tubuh badan, membentuk penyatuan bahkan kesepakatan. Namun, setiap individu Muslim terutamanya perlu peka terhadap perkara-perkara yang dilarang termasuk pergaulan bebas dengan berlainan jantina. Untuk tujuan tersebut, sukan dan prinsip-prinsip Islam perlu diletakkan selari sebagai panduan hidup supaya umat Islam keseluruhannya tidak lalai dalam kepuasan dan keseronokan bersukan.