skip to Main Content
Peningkatan Tarif Air: Kesan Terhadap Ekonomi Negara

Peningkatan Tarif Air: Kesan terhadap Ekonomi Negara

Oleh: Dr. Siti ‘Aisyah Baharudin

Pengenalan
Menurut statistik, penggunaan air rakyat Malaysia adalah tinggi, mencatatkan purata 219 liter setiap orang setiap hari, berbanding dengan kadar disyorkan sebanyak 160 liter sehari. Manakala purata penggunaan air sebulan bagi seorang individu adalah sebanyak 6570 liter, dan isi rumah dengan 5 orang individu, penggunaan air meningkat menjadi 32850 liter. Ini membawa kepada satu permasalahan ekonomi yang penting, terutamanya ketika pelarasan tarif air domestik yang dilaksanakan pada Februari 2024. Isu yang diutarakan oleh isi rumah adalah berkaitan dengan pelarasan tarif air domestik yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap 1000 liter. Pelarasan tarif air mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) menunjukkan tambahan purata kos tarif baru adalah sebanyak 22.07%, atau setara dengan RM1.45 bagi seorang individu dan RM7.23 bagi isi rumah dengan 5 orang individu setiap bulan.


Faktor-faktor yang Mempengaruhi Tarif Air
Kadar tarif air di Malaysia menunjukkan variasi yang ketara antara negeri-negeri, dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti tadbir urus tempatan, keadaan ekonomi, dan keperluan infrastruktur. Pertama, pengurusan negeri dan tadbir urus memainkan peranan besar dalam penetapan tarif. Bekalan air di Malaysia diuruskan pada peringkat negeri, dengan setiap 13 negeri mempunyai kuasa untuk menetapkan tarif masing-masing. Desentralisasi ini menyebabkan perbezaan dalam penetapan harga, di mana sesetengah negeri tidak menyesuaikan tarif mereka selama beberapa dekad, manakala negeri-negeri lain lebih kerap membuat penyesuaian. Menurut SPAN 2023, Pahang telah menaikkan tarif air buat kali pertama pada Februari 2024 dalam tempoh lebih 40 tahun iaitu daripada 37 sen untuk 18 meter padu pertama kepada 78 sen untuk 20 meter padu pertama. Kedua, keadaan ekonomi setempat. Negeri-negeri dengan aktiviti perindustrian yang tinggi, seperti Johor dan Selangor, sering kali mempunyai tarif yang lebih tinggi untuk pengguna industri berbanding negeri-negeri yang kurang berindustri. Sebagai contoh, bekalan air semasa di Kelantan adalah hanya 73.9 peratus berbanding negeri Johor yang melebihi 90 peratus, mencerminkan aktiviti dan permintaan ekonomi di kawasan-kawasan tersebut.

Selain itu, infrastruktur dan kos operasi turut memberi kesan kepada penentuan tarif. Negeri-negeri yang berdepan dengan infrastruktur yang usang dan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) yang tinggi sering kali terpaksa mempertimbangkan kenaikan tarif untuk menampung kos penyelenggaraan dan penambahbaikan. Pendekatan sosio-ekonomi juga memainkan peranan, di mana model harga berperingkat dilaksanakan untuk menggalakkan penjimatan dan memastikan keperluan asas air dipenuhi pada kos yang lebih rendah bagi isi rumah berpendapatan rendah, yang menyebabkan perbezaan tarif berdasarkan corak penggunaan antara negeri.


Inisiatif Kerajaan Negeri
Sejajar daripada isu peningkatan tarif air ini, Pulau pinang adalah negeri yang terawal memberikan inisiatif kepada penduduk. kerajaan Pulau Pinang telah mengumumkan langkah proaktif untuk membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh isi rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan keluarga besar. Langkah ini termasuk memperkenalkan Skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi keluarga besar dan pemberian 10,000 liter air percuma selama 6 bulan kepada penduduk Pulau Pinang. Skim ini diharapkan dapat memberikan beberapa manfaat ekonomi yang signifikan. Pertama, ia dapat mengurangkan beban perbelanjaan bulanan bagi air, yang merupakan sebahagian daripada perbelanjaan asas isi rumah. Kedua, ia dapat meningkatkan taraf hidup bagi keluarga besar yang mungkin mempunyai lebih banyak tanggungan. Dan ketiga, ia dapat memberikan insentif kepada pengguna untuk menguruskan penggunaan air dengan lebih bijak.

Selain itu, Skim Air Darul Ehsan (SADE) diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk membantu meringankan beban kos hidup golongan berpendapatan rendah (B40). Program ini menyediakan air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan kepada isi rumah yang layak sehingga 31 Disember 2024. Ini adalah langkah yang proaktif dan inklusif dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat tempatan, dan diharapkan dapat memberi impak yang positif dalam menghadapi cabaran ekonomi yang sedang dihadapi.


Impak terhadap pertumbuhan ekonomi
Dalam konteks jangka masa pendek, peningkatan kuasa beli dapat diamati disebabkan oleh pemotongan kos air, yang membolehkan isi rumah memiliki lebih banyak dana yang boleh dialirkan ke dalam perbelanjaan lain. Inisiatif ini memberikan kelegaan kewangan kepada keluarga besar, memperkuatkan kestabilan mereka dalam pengurusan perbelanjaan harian.

Namun demikian, langkah ini boleh memberikan tekanan kecil kepada pembekal air, dengan potensi kesan terhadap harga air di masa depan jika kos operasi meningkat tanpa disertai dengan penyesuaian tarif yang sesuai. Tanpa kesedaran dan pendidikan berterusan, risiko pembaziran air akan terus wujud, menambah beban perbelanjaan bagi kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, manfaat ini disertai dengan peningkatan pendapatan tambahan sebanyak RM86 juta pada tahun 2024 hasil daripada pelaksanaan kadar baharu contohnya di Pualu Pinang. Pendapatan ini akan digunakan terutamanya untuk membiayai pelbagai projek pembangunan infrastruktur bekalan air di Pulau Pinang. Projek-projek ini termasuk pembangunan saluran paip baru sepanjang 1,350 milimeter melintasi Sungai Perai, penggantian saluran paip kritikal di seluruh negeri, dan projek-projek segera yang dikenal pasti dalam Pelan Kontingensi Air Pulau Pinang 2030 (WCP 2030). Melalui pelaburan jangka panjang ini, diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan penduduk Pulau Pinang dengan menjamin kecukupan bekalan air sehingga 2030.

Dalam bidang ekonomi tempatan, Skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi keluarga besar membawa potensi dalam mengurangkan beban kewangan bulanan dan meningkatkan daya beli mereka dalam ekonomi tempatan. Langkah ini tidak hanya memberi manfaat kepada isi rumah secara langsung, tetapi juga memberi kesan positif ke atas aliran perbelanjaan, dengan lebih banyak dana yang boleh dialirkan ke sektor pendidikan, kesihatan, dan pemakanan. Ini akan membawa kepada peningkatan taraf hidup dan produktiviti bagi kumpulan sasaran yang diberi manfaat.

Selain itu, pemberian 10,000 liter air percuma untuk tempoh 6 bulan juga mempunyai impak yang signifikan. Ia dapat membantu isi rumah menguruskan penggunaan air dengan lebih bijak dan memberikan ruang untuk kesedaran tentang pemuliharaan sumber air. Namun demikian, penting untuk diambil perhatian bahawa penyediaan air percuma ini akan meningkatkan kos operasi untuk kerajaan negeri. Kelebihan kos yang tidak dipantau dengan cermat boleh menimbulkan tekanan pada bajet kerajaan dan mengurangkan peruntukan untuk projek pembangunan lain. Selain itu, program pemberian air percuma yang berterusan mungkin tidak mampan secara kewangan dan memerlukan penilaian berkala bagi memastikan keberkesanannya tanpa menjejaskan kewangan negeri dalam jangka panjang.

Kesimpulannya, pelaksanaan skim ini berpotensi memberikan impak positif kepada ekonomi tempatan secara keseluruhan. Skim ini dapat meningkatkan daya beli dan kesejahteraan isi rumah, merangsang aktiviti ekonomi dan perniagaan tempatan, serta menyokong pengurusan sumber yang lebih berkesan. Walau bagaimanapun, untuk memastikan keberkesanan jangka panjang, langkah ini harus disertai dengan program pendidikan dan kesedaran yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan air yang bijak dan lestari.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search