skip to Main Content
Meniti Usia, Menunda Jodoh: Cabaran Dan Solusi Perkahwinan Dalam Masyarakat Menua

Meniti Usia, Menunda Jodoh: Cabaran Dan Solusi Perkahwinan Dalam Masyarakat Menua

Oleh: Goh Soo Khoon (Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia) dan Siti ‘Aisyah Baharudin (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia)

“Apabila institusi perkahwinan semakin ditangguhkan dan kadar kelahiran terus merosot, masyarakat Malaysia kini berdepan dengan realiti populasi menua yang kian pesat—sebuah lanskap demografi yang mencerminkan bukan sekadar perubahan angka, tetapi juga peralihan nilai, aspirasi, dan keutamaan hidup generasi masa kini”

Masyarakat Menua di Malaysia

Malaysia kini berhadapan dengan perubahan demografi yang pesat, di mana peningkatan populasi warga emas semakin ketara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan penduduk Malaysia yang berusia 65 tahun dan ke atas dijangka melepasi ambang 15% menjelang tahun 2030. Penuaan populasi di Malaysia didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk peningkatan jangkaan hayat, penurunan kadar kelahiran, dan perubahan struktur keluarga. Peningkatan jangkaan hayat menyumbang kepada pertambahan warga emas, di mana seorang bayi yang lahir pada tahun 2021 dijangka hidup sehingga 75 tahun. Pada masa yang sama, kadar kelahiran semakin menurun mengurangkan bilangan penduduk muda berbanding golongan bekerja, sekali gus meningkatkan peratusan warga emas dalam populasi. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar kesuburan pada tahun 1980 ialah 4 anak bagi setiap wanita, namun ia menurun kepada 1.7 pada tahun 2021 dan dijangka menurun sehingga 0.7 pada tahun 2050.

Selain itu, perubahan dalam struktur keluarga seperti saiz isi rumah yang semakin kecil, peningkatan akses kepada perancangan keluarga, serta penurunan jumlah ahli keluarga yang dapat memberi sokongan, telah menyebabkan tanggungjawab menjaga warga emas semakin beralih daripada keluarga kepada kerajaan dan masyarakat. Dengan bilangan anak yang lebih sedikit serta perubahan gaya hidup, ramai warga emas tidak lagi mendapat sokongan keluarga yang mencukupi, sekali gus meningkatkan kebergantungan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan, bantuan sosial, dan tempat perlindungan yang disediakan.

Corak Perkahwinan di Malaysia

Dalam beberapa dekad terakhir, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam usia perkahwinan pertama. Pada tahun 1980, purata umur perkahwinan pertama bagi wanita ialah 23.5 tahun, tetapi angka ini meningkat kepada 28.1 tahun menjelang 2020. Sementara itu, purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki juga meningkat daripada 25.5 tahun pada 1970 kepada 28.0 tahun pada 2010. Peningkatan ini mencerminkan perubahan dalam norma sosial serta peningkatan keutamaan individu terhadap pendidikan, kerjaya, dan kestabilan kewangan sebelum mendirikan rumah tangga.

Kadar perkahwinan di Malaysia menunjukkan penurunan yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2023, bilangan perkahwinan merosot sebanyak 12.5% berbanding tahun sebelumnya, dengan kadar perkahwinan kasar mencatatkan 5.7 per seribu penduduk. Perubahan ini sebahagiannya didorong oleh sikap generasi muda terhadap perkahwinan, di mana kurang daripada separuh (41.8%) belia berusia 18 hingga 35 tahun merancang untuk berkahwin. Faktor utama yang mempengaruhi keputusan ini termasuk beban kewangan yang semakin meningkat serta kecenderungan untuk mengekalkan gaya hidup yang lebih fleksibel dan bebas daripada tanggungjawab perkahwinan. Implikasi daripada perubahan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pola demografi negara, tetapi juga terhadap kadar kesuburan dan struktur keluarga, sekali gus menuntut pendekatan baharu dalam dasar sosial bagi menangani fenomena ini.

Dari sudut demografi, peningkatan usia perkahwinan pertama turut mencerminkan perubahan dalam norma sosial dan keutamaan individu. Purata usia perkahwinan pertama bagi wanita meningkat daripada 23.5 tahun pada 1980 kepada 28.1 tahun pada 2020, manakala bagi lelaki, angka ini meningkat daripada 25.5 tahun pada 1970 kepada 28.0 tahun pada 2010. Perubahan ini lebih ketara dalam konteks negeri seperti Pulau Pinang, di mana data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pola perkahwinan yang berbeza mengikut kumpulan muslim dan bukan muslim. Dalam kalangan Muslim, bilangan perkahwinan mencatatkan peningkatan sebanyak 40.9% dari tahun 2016 ke 2021, apabila ia mencapai kemuncak dengan 6,399 perkahwinan. Namun, angka ini menunjukkan penurunan yang sangat kecil sebanyak 0.05% pada 2022 (6,396), sebelum merosot dengan ketara sebanyak 22.0% pada 2023 (4,989). Sementara itu, perkahwinan dalam kalangan bukan Muslim mengalami penurunan berterusan sebanyak 34.5% dari tahun 2016 (4,554) ke 2021 (2,984). Walaupun terdapat sedikit pemulihan sebanyak 18.9% pada tahun 2022 (3,550), angka ini kembali merosot sebanyak 7.3% pada 2023 (3,292). Penurunan kadar perkahwinan yang paling ketara berlaku pada tahun 2020–2021, berkemungkinan besar akibat impak pandemik COVID-19. Walaupun kadar perkahwinan dalam kalangan Muslim menunjukkan pemulihan yang lebih signifikan selepas pandemik, kadar perkahwinan dalam kalangan bukan Muslim masih kekal rendah, sekali gus memberi kesan langsung kepada kadar kelahiran dan mempercepatkan proses penuaan populasi di negeri ini.

Kadar perkahwinan yang rendah dapat dikaitkan dengan beberapa faktor yang saling berkaitan, termasuk kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar, keutamaan terhadap kerjaya dalam kalangan golongan dewasa berpendidikan, serta perubahan nilai kekeluargaan yang cenderung kepada norma keluarga kecil. Satu tinjauan terkini yang dijalankan oleh penyelidik Pusat Kajian Dasar, Universiti Sains Malaysia mendedahkan terdapat perbezaan ketara dalam niat untuk berkahwin mengikut etnik. Dalam kalangan komuniti Bumiputera, 62.62% responden menyatakan hasrat yang jelas untuk berkahwin, berbanding hanya 22.5% dalam kalangan masyarakat Cina. Perbezaan ini mencerminkan jurang budaya yang ketara, di mana masyarakat Bumiputera cenderung mengekalkan struktur keluarga tradisional, manakala masyarakat Cina kelihatan lebih ragu-ragu untuk mendirikan rumah tangga atau mempunyai anak.

Fenomena ini menimbulkan persoalan penting mengenai masa depan struktur demografi di Malaysia. Dengan kadar perkahwinan dan kelahiran yang terus merosot, mampukah negara mengimbangi implikasi ekonomi dan sosial daripada populasi yang semakin menua? Bagi menangani jurang ini, satu kajian tinjauan telah dijalankan ke atas 920 responden yang mewakili penduduk Pulau Pinang, merangkumi tiga kaum utama [Bumiputera (Melayu, India Muslim dan Orang Asli), Cina Dan India] dan lima daerah (Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) menggunakan soal selidik yang diedarkan secara dalam talian dan temu bual bersemuka kepada individu bujang, bertunang, dalam hubungan, bercerai, balu, atau duda berusia 20 hingga 45 tahun.

Implikasi Kos Perkahwinan Terhadap Keputusan Menangguhkan Perkahwinan

Dalam meneliti faktor yang mempengaruhi keputusan perkahwinan, kajian ini mendapati bahawa kos perkahwinan merupakan elemen yang signifikan dalam menentukan masa perkahwinan bagi golongan muda. Perbelanjaan yang berkaitan dengan majlis perkahwinan, mas kahwin, kenderaan, dan perumahan dilihat sebagai faktor utama yang mempengaruhi keputusan ini. Responden daripada pelbagai latar belakang kaum menunjukkan persepsi yang berbeza terhadap kos perkahwinan, di mana masyarakat Bumiputera (55.95%) dan Cina (53.75%) lebih cenderung menganggapnya sebagai beban kewangan yang menyebabkan kelewatan perkahwinan, berbanding masyarakat India lebih berpecah dengan 44% bersetuju dan 32% tidak bersetuju. Secara keseluruhannya, penemuan ini menegaskan bahawa peningkatan kos sara hidup dan tekanan kewangan berperanan dalam membentuk pola perkahwinan dalam kalangan belia di Malaysia.

Selain itu, dapatan kajian turut menyoroti kategori utama perbelanjaan perkahwinan yang dirasakan membebankan oleh responden, termasuk kos pemilikan rumah, majlis perkahwinan, hantaran, dan perbelanjaan bulan madu. Keutamaan terhadap kos pemilikan rumah didapati paling tinggi dalam kalangan responden Cina (58.5%) dan Bumiputera (48.3%), diikuti oleh majlis perkahwinan sebagai perbelanjaan kedua tertinggi yang menjadi kebimbangan utama. Sementara itu, bulan madu menunjukkan perbelanjaan paling rendah dalam semua kumpulan, dengan hanya 8.1% Bumiputera dan 2.7% India memberi penekanan, berbanding 13.1% Cina. Dapatan ini mencerminkan realiti semasa di mana cabaran pemilikan rumah dan kos perkahwinan yang tinggi menjadi halangan kepada perkahwinan, terutama dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Isu pemilikan rumah turut menjadi faktor penting yang mempengaruhi keputusan berkahwin. Majoriti responden menganggap memiliki rumah sebelum berkahwin sebagai satu keperluan asas, dengan masyarakat India (77%) menunjukkan kecenderungan tertinggi terhadap kepentingan pemilikan rumah diikuti Bumiputera (52.86%) dan Cina (52%). Walau bagaimanapun, kenaikan harga hartanah, khususnya di kawasan bandar seperti Pulau Pinang, telah menyukarkan golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri. Majoriti responden dari semua masyarakat menyatakan bahawa pendapatan semasa mereka tidak mencukupi untuk membeli rumah, menunjukkan kebimbangan terhadap ketidakmampuan ekonomi dalam memiliki aset jangka panjang. Ini akan menyumbang kepada peningkatan penerimaan terhadap konsep tinggal di rumah sewa selepas berkahwin, terutamanya dalam kalangan Bumiputera (54.7%), manakala masyarakat Cina dan India lebih cenderung menolak pilihan tersebut. Dapatan ini menunjukkan faktor ekonomi memainkan peranan besar dalam membentuk corak perkahwinan dan perancangan masa depan dalam kalangan generasi muda Malaysia.

Cadangan Dasar untuk Menangani Kadar Perkahwinan Rendah

Dalam menghadapi cabaran demografi yang semakin ketara, intervensi dasar yang disasarkan amat diperlukan bagi mengatasi halangan ekonomi dan budaya terhadap perkahwinan. Langkah ini bukan sahaja dapat memperlahankan corak penuaan penduduk, malah turut mewujudkan persekitaran yang lebih mesra kekeluargaan.

Salah satu strategi utama adalah pelaksanaan skim perumahan mampu milik khusus untuk pasangan muda dan pengantin baharu. Kerajaan tempatan boleh memperkenalkan insentif seperti subsidi pembelian rumah pertama atau pinjaman berkadar faedah rendah, dengan keutamaan diberikan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah khusus untuk pasangan muda dan pasangan baru berkahwin. Dengan mengurangkan beban kewangan dalam pemilikan rumah, dasar ini berpotensi menggalakkan perkahwinan pada usia lebih awal serta menyokong kestabilan institusi keluarga, sekali gus menyumbang kepada keseimbangan populasi.

Selain itu, pengurangan kos perkahwinan juga perlu diberi perhatian melalui program komuniti yang inklusif. Inisiatif seperti perkahwinan beramai-ramai boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan perbelanjaan individu, membolehkan lebih ramai pasangan mendirikan rumah tangga tanpa tekanan kewangan yang tinggi. Kerjasama antara kerajaan tempatan dan sektor swasta dalam menawarkan pakej perkahwinan mampu milik juga dapat meringankan beban pasangan muda, di samping merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Akhir sekali, usaha untuk memupuk nilai perkahwinan dalam kalangan generasi muda perlu diperkasakan melalui program kesedaran dan pendidikan. Seminar, bengkel, serta kempen kesedaran mengenai kepentingan institusi perkahwinan boleh membantu membentuk persepsi positif terhadap perkahwinan dan menggalakkan lebih ramai golongan muda melangkah ke alam rumah tangga. Dengan menangani faktor ekonomi dan budaya yang menjadi punca penurunan kadar perkahwinan, dasar-dasar ini mampu menjadi pemacu kepada kestabilan demografi jangka panjang di Pulau Pinang.

Kesimpulan

Corak penuaan yang pesat di Malaysia membawa implikasi sosioekonomi yang kompleks, namun cabaran ini dapat ditangani melalui intervensi dasar yang strategik dan berkesan. Dengan menumpukan perhatian kepada penyediaan perumahan mampu milik, pengurangan kos perkahwinan, serta pemerkasaan nilai perkahwinan dalam kalangan generasi muda, Malaysia berpotensi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk pertumbuhan keluarga muda. Langkah-langkah ini bukan sahaja berupaya menstabilkan struktur demografi, malah dapat merangsang pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan permintaan dalam sektor perumahan, perkahwinan, dan perkhidmatan berkaitan. Dengan mengatasi halangan ekonomi dan budaya yang menghambat kadar perkahwinan, Malaysia dapat membina masa depan yang lebih inklusif, lestari seterusnya kesejahteraan jangka panjang masyarakatnya.

Kenduri kahwin meriah suasana,
Namun kosnya membebankan jiwa,

Majlis berjimat budaya terjaga,
Generasi bahagia keluarga terjana.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search