skip to Main Content
Lelaki Alpha: Antara Realiti Dan Fantasi

Lelaki Alpha: Antara Realiti dan Fantasi

Oleh: Siti Zuliana Md Zuki & Norhafizah Ghazali

Personaliti seseorang menentukan bagaimana individu tersebut bertingkah laku. Dalam drama dan novel, lelaki alpha difantasikan mempunyai personaliti yang menarik dan terlihat sempurna serba-serbi sama ada dari segi penampilan atau perbuatan. Sebut sahaja lelaki alpha pasti terlintas imej seorang lelaki segak yang kaya, maskulin dan penuh aura keunggulan.
Perihal berkenaan lelaki alpha mula hangat dibangkitkan di media sosial berikutan seorang figura terkenal yang mengakui dirinya sebagai seorang lelaki alpha dalam satu video siaran langsung di satu platform media sosial. Di peringkat global, ramai mengenali pempengaruh (influencer) media sosial dan jutawan terkenal iaitu Andrew Tate. Tate mendakwa dirinya merupakan seorang lelaki alpha sejati dan kuat dengan pegangannya berkaitan misogini (misogyny). Isu ini menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial yang lain berkenaan ciri-ciri sebenar lelaki alpha. Adakah ciri-ciri yang ada pada lelaki alpha adalah ciri-ciri personaliti terbaik yang harus ada pada seorang lelaki?

Pengertian Lelaki Alpha

Lelaki Alpha: Antara Realiti dan Fantasi

Alpha male diambil daripada terma berkaitan etimologi. Alpha male bagi haiwan yang hidup berkumpulan seperti serigala dan chimpanzee berupaya mengawal sesuatu kawasan atau wilayah mereka dan mempunyai kelebihan mendapatkan pasangan dan makanan. Pada awal 1990-an, beberapa media mula menggunakan istilah alpha untuk merujuk kepada manusia, khususnya kepada lelaki yang cemerlang dalam perniagaan. Terma ini kemudiannya digunakan untuk menggambarkan lelaki yang dominan, berpengaruh, berkarisma dan berkuasa.

Ciri – Ciri Lelaki Alpha

Lelaki Alpha: Antara Realiti dan Fantasi

Lelaki alpha mengungguli carta teratas dalam hierarki sosial. Umum melihat lelaki alpha mempunyai keperibadian yang mampu menarik perhatian para wanita dan berkeyakinan tinggi. Lelaki alpha merupakan seorang yang berkarisma dan mempunyai personaliti ekstrovert. Hal ini menyebabkan lelaki alpha dipandang tinggi dan membuatkan orang lain mudah mengikut arahan dan kata-kata mereka. Lelaki alpha mempunyai kemahiran komunikasi yang sangat baik dan mudah untuk mempengaruhi orang lain kerana sifat mereka yang dominan. Mereka mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencapai sesuatu matlamat. Dari segi kepimpinan, lelaki alpha mencapai kedudukan teratas dalam organisasi kerana mereka memiliki sifat kepimpinan semula jadi dan berupaya menonjolkan diri. Mereka selesa dengan tanggungjawab yang dipikul. Mereka berfikir dengan pantas dan mampu mengawal emosi dalam apa jua situasi. Namun, cara mereka berfikir menghalang mereka mendengar pendapat dan kata-kata orang lain terutama sekali yang bertentangan dengan mereka.

Perbandingan Ciri Ciri Alpha, Beta dan Omega

Jika alpha disifatkan sebagai ‘the real man’ atau lelaki sejati yang dominan, lelaki beta dilihat sebagai lelaki yang lembut tutur kata, baik hati, sederhana, mudah mesra dan bertanggungjawab. Beta mempunyai sifat idealistik namun mereka lebih banyak mendengar dan kurang bercakap. Disebabkan sikap mereka ini, mereka selalu dipinggirkan kerana mereka tidak pandai menonjolkan diri walaupun mampu melakukan sesuatu tugas dengan baik. Dalam hierarki sosio-seksual, alpha dan beta mampu membentuk satu hubungan yang produktif kerana sifat masing-masing sebagai ketua dan pengikut yang setia. Beta mendapat keuntungan dengan mengekalkan posisi dan kuasa mereka tanpa perlu memegang tanggungjawab sebesar alpha.
Ciri-ciri omega pula bertentangan dengan alpha. Lelaki omega adalah lelaki yang ganjil. Mereka melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza. Mereka berkemahiran dan berdikari. Namun, mereka bersikap santai dalam kehidupan. Walaupun bijak namun omega tidak mampu merancang masa depan dengan baik. Sifat ini sangat bertentangan dengan alpha kerana omega tidak mengejar pangkat, kuasa, kekayaan mahupun wanita. Dalam kehidupan bermasyarakat, omega cuba untuk berasimilasi tetapi mereka gagal. Jadi, mereka dipinggirkan daripada kehidupan bermasyarakat. Bertentangan dengan beta yang mampu mengikut arahan dengan baik, omega tidak suka mengikut arahan yang ditetapkan oleh orang lain. Omega menikmati hidup dengan cara mereka sendiri tanpa menghiraukan pandangan orang lain.

Wujudkah Lelaki Alpha?

Sifat-sifat keperibadian alpha memang wujud dalam diri setiap orang sama ada ia sudah ditonjolkan atau tidak. Jika seseorang itu mengakui bahawa dirinya seorang alpha, kita harus ketahui bahawa tiada manusia yang hebat dari segala segi. Tiada sesiapa pun yang merupakan alpha dalam semua situasi. Seseorang itu mungkin ketua di tempat kerja, namun dalam keluarga dia harus mengikut kata mereka yang lebih tua. Ataupun boleh jadi seseorang itu mungkin alpha dalam perhubungan percintaan, tetapi dalam kalangan rakan-rakan, dia bukan seorang yang dominan.

Untuk menjadi alpha, seorang itu harus melalui peringkat demi peringkat. Sebagai contoh, sebelum seseorang menjadi ketua di tempat kerja, dia harus bermula dengan posisi yang lebih rendah dan perlu menjadi pengikut terlebih dahulu. Disebabkan kekangan tertentu, adalah mustahil seseorang itu mampu menjadi alpha setiap masa. Bidang yang berlainan, orang yang berbeza dan kedudukan yang berbeza antara sebab seseorang tidak boleh menjadi alpha sepanjang masa. Soalan yang perlu ditanya pada diri sendiri adalah dalam lingkungan sosial dan situasi yang mana anda perlu menjadi alpha?

Adakah Lelaki Alpha Adalah Lelaki Idaman Yang Sempurna (Perfect)?

Lelaki alpha lebih menarik di mata wanita kerana kumpulan ini secara semula jadi berupaya mendominasi dan mampu memimpin kaum wanita. Dalam satu kajian, dinyatakan bahawa wanita suka kepada lelaki alpha kerana dapat merangsang intelek mereka. Sifat alpha yang dominan dan penampilan yang menarik serta mempunyai aura perlindungan membuatkan wanita cepat tertarik dan berasa selesa. Namun, bukan semua wanita tertarik kepada sifat peribadi yang ditunjukkan oleh lelaki alpha. Untuk mencari lelaki idaman yang sempurna, setiap ciri-ciri pilihan wanita itu berbeza. Ada sesetengah wanita lebih menggemari lelaki yang berkeyakinan tinggi serta tegas manakala sesetengah lagi lebih memilih lelaki yang pendiam dan banyak mendengar. Setiap sifat peribadi yang berlainan yang ditunjukkan oleh lelaki menjadikan mereka unik dan sempurna di mata wanita yang memilih mereka. Ada yang berpendapat, daripada bergantung kepada manusia dominan yang agresif, manusia sebenarnya lebih memerlukan kerjasama dan hubungan sosial. Sifat mesra dan pergaulan yang baik adalah permulaan untuk menjadi manusia yang berjaya berbanding daripada menjadi manusia yang sentiasa di atas.

Jadi, tiada salahnya jika tidak menjadi menjadi lelaki alpha. Setiap manusia diciptakan dengan keupayaan dan kelebihan masing-masing. Apa yang menjadikan setiap dari kita unik adalah personaliti kita yang pelbagai. Walaupun seseorang itu adalah lelaki alpha, tidak bererti semua sifat peribadi yang dimilikinya adalah sempurna dan membuatkan semua orang selesa. Dalam bertingkah laku, seseorang itu harus menjaga kesejahteraan psikologi diri sendiri dan juga orang lain yang berurusan dengannya.

Lelaki Alpha Dalam Sudut Pandang Islam

Dengan wujudnya pelbagai ideologi moden, falsafah, dan agama yang bersaing untuk mentakrifkan maksud sebenar menjadi lelaki, adalah lebih penting bagi lelaki Muslim untuk memahami maksud maskulin seperti yang difahami oleh para salihin yang terdahulu. Tidak seperti teori kelelakian yang mempromosikan lelaki alpha sebagai pendominasi bagi lelaki dan wanita, maskulin dalam Islam adalah untuk seorang lelaki memenuhi ciri-ciri perwatakan yang baik dan adab bermaruah yang diajar oleh agama secara keseluruhan. Konsep Islam tentang maskulin dan kelelakian boleh diringkaskan dengan perintah etika yang luas dalam al-Quran dan Sunnah. Lelaki Muslim yang sejati haruslah bersifat adil, penyayang, pemaaf, bertanggungjawab, merendah diri, sabar, memuliakan manusia lain, memperbaiki akhlaknya, menjauhi tingkah laku yang tidak bermaruah dan perbuatan maksiat, dan mencontohi akhlak Nabi SAW. Salah satu ciri terpenting seorang lelaki Muslim sejati ialah kebolehannya memaafkan orang lain walaupun peluang membalas dendam itu ada. Kualiti belas kasihan ini sangat bertentangan dengan kepercayaan lelaki alpha sebagai seorang yang dominan dan pendendam.

Lelaki Alpha Dalam Sudut Psikologi

Lelaki Alpha: Antara Realiti dan Fantasi

Dari sudut psikologi pula, kita akan melihat personaliti alpha berdasarkan Model Lima Faktor (Five Factor Model, FFM). FFM ialah satu set lima dimensi atau domain personaliti yang terdiri daripada keterbukaan, kehematan, ekstraversi, kepersetujuan dan neurotisisme.

Dari segi keterbukaan (openness), alpha mempunyai keterbukaan yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang baru termasuk mengetuai kumpulan dalam apa sahaja tugas selain fokus untuk menangani apa sahaja cabaran. Alpha merupakan individu yang mempunyai sifat peribadi ekstraversi (extraversion) yang tinggi. Alpha mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dan mampu mempengaruhi orang lain. Sikap ini membuatkan alpha mempunyai lingkungan pergaulan yang luas.

Alpha juga mempunyai kehematan (conscientiousness) yang tinggi. Mereka sangat teliti dalam merancang sesuatu dan berusaha untuk mencapai matlamat mereka. Individu yang mempunyai kehematan yang tinggi cenderung untuk meneliti setiap butiran dalam perkara yang mereka lakukan. Namun, disebabkan mereka lebih mementingkan perkara yang ingin dicapai dan mengutamakan pendapat sendiri dalam usaha menyiapkan sesuatu perkara, alpha kurang peduli berkaitan masalah orang lain. Mereka bersikap manipulatif dan sukar untuk berkerjasama kerana sukar menerima pendapat dan kritikan daripada orang lain. Alpha mempunyai tahap kepersetujuan (agreeableness) yang rendah. Akhir sekali, alpha mempunyai neurotisisme (neuroticism) yang rendah. Ini bererti mereka stabil dari segi emosi dan tenang. Alpha juga sangat berpuas hati dengan diri sendiri dan sentiasa merasa selamat.

Kesimpulan

Tuntasnya, untuk menjadi lelaki yang berkualiti tidak hanya bergantung kepada satu sifat peribadi dan personaliti sahaja. Ia memerlukan kombinasi beberapa tret personaliti. Walaubagaimanapun, tret personaliti ini boleh berubah-ubah mengikut usia dan pengalaman hidup. Semakin meningkat usia, seseorang lebih memahami perhubungan yang bermakna dan bagaimana untuk bertingkah laku mengikut situasi. Seseorang manusia itu adalah alpha jika dia menyedari tentang nilai intrinsik dan nilai sebagai makhluk berautonomi yang hidup. Perbandingan adalah untuk mereka yang mempunyai masalah rendah diri dan benar-benar tidak menghargai diri mereka sendiri.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search