
Laporan Kajian Awal 2021 – Pengaruh Pandemik Covid-19 & PdPR Terhadap Kesejahteraan Guru di Malaysia
Krisis kesihatan Coronavirus Disease of 2019 (COVID-19), telah memberi kesan besar terhadap pelbagai aspek pembangunan, sehingga World Health Organization (WHO) sendiri mengisytiharkannya sebagai pandemik. Kesan susulan pandemik COVID-19 telah menjejaskan hampir seluruh sistem pendidikan dunia di samping sistem pembangunan ekonomi dan sosial. Berdasarkan World Bank (2021), kesan terhadap sistem pendidikan didapati lebih teruk berbanding jangkaan apabila menjejaskan hampir 150 negara, termasuk 1.6 bilion pelajar akibat penutupan sekolah.
Sistem pendidikan di Malaysia antara yang tidak terkecuali menerima kesan sama sebagaimana negara-negara lain. Tindakan sama juga turut dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan menutup keseluruhan institusi pendidikan. Susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat, penutupan sekolah merupakan larangan utama sebagai usaha mengekang penularan wabak COVID19 di Malaysia. Rentetan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula 9 November 2020 hingga 17 Disember 2020 bagi semua sekolah termasuk Kolej Vokasional (KV). Kerajaan turut mengarahkan PdPR secara atas talian sebagai alternatif baharu bagi menggantikan Pengajaran dan pembelajaran (PnP) secara bersemuka.
Meskipun PdPR secara atas talian dilihat sebagai kaedah paling wajar untuk mengelak berlaku keciciran pembelajaran, namun timbul cabaran lain.