Keruntuhan Akhlak dalam Kalangan Remaja: Siapa yang Harus Dipersalahkan?
Oleh: Nur Aina Makhtarudin & Dr. Nurul Suhada Ismail
Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan pelbagai kes tragis yang melibatkan remaja seperti membunuh rakan sendiri, kes rogol di bawah umur, serta insiden buli hingga meragut nyawa. Kes-kes seperti ini bukan lagi terpencil, sebaliknya berlaku berturut-turut, mencetuskan kebimbangan masyarakat tentang arah tuju generasi muda hari ini. Menurut laporan rasmi, Malaysia kini mempunyai lebih 34 juta penduduk, dengan kira-kira 6 juta daripadanya berumur antara 10 hingga 19 tahun (DOSM, 2025). Golongan inilah yang bakal mencorakkan wajah negara pada masa hadapan. Maka, apabila keruntuhan akhlak mula menular dalam kelompok remaja, ia bukan sekadar isu moral, tetapi cerminan kepada masa depan bangsa. Apabila isu ini diperkatakan, pelbagai pihak mula menuding jari. Ada yang menyalahkan sistem pendidikan, kononnya terlalu menumpu kepada akademik hingga mengabaikan pembentukan sahsiah. Ada pula yang menuding kepada kemajuan teknologi seperti telefon pintar dan media sosial yang membuka ruang yang luas kepada pengaruh negatif seperti pornografi, buli siber dan budaya hedonisme. Namun, di sebalik semua hujah ini, persoalan yang lebih mendalam perlu ditanya: di manakah akar sebenarnya punca keruntuhan akhlak remaja bermula?
Anak Dilahirkan dalam Keadaan Suci, Ibu Bapa yang Mencorakkannya
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini membawa makna yang sangat mendalam. Setiap manusia yang lahir ke dunia memiliki jiwa yang suci dan bersih daripada dosa. Namun, jiwa ini akan dicorakkan oleh siapa yang membimbingnya khususnya ibu bapa. Pendidikan pertama bermula bukan di sekolah atau institusi, tetapi di rumah dan di pangkuan ibu bapa. Fitrah manusia adalah menjadi insan yang mengenal Tuhannya, menunaikan tanggungjawab kepada diri dan masyarakat, serta hidup berpaksikan nilai-nilai agama. Pendidikan awal yang menanam kesedaran ini akan membentuk insan yang seimbang antara akal, emosi dan spiritual. Kisah Sultan Muhammad al-Fatih (Mehmed II) sering menjadi teladan. Berdasarkan kajian The Analysis of the Talents of Mehmet the Conqueror within the Framework of Current Theories of Giftedness, faktor utama kejayaan baginda ialah didikan awal daripada ayahandanya, Sultan Murad II. Baginda dibesarkan dalam suasana pendidikan yang tegas tetapi penuh kasih sayang, disertai ilmu agama, ketenteraan dan kepimpinan. Ini membuktikan bahawa kejayaan dan kehebatan seseorang anak bermula dengan peranan ibu bapa yang mendidik dengan panduan nilai.
Manusia terbentuk mengikut persekitaran yang mendidiknya. Sesiapa yang hidup dalam suasana yang menggalakkan kebaikan akan cenderung kepada kebaikan, dan sebaliknya. Seperti yang dinyatakan oleh Norlizah 2014, keperibadian manusia berkembang bergantung kepada kualiti pengalaman hidup dan hasil interaksi dengan lingkungannya. Maka, ibu bapa merupakan faktor paling berpengaruh dalam pembentukan akhlak, kerana merekalah yang hadir sejak anak mula mengenal dunia hingga menjadi dewasa. Dalam tradisi Islam, akhlak mempunyai kedudukan yang tinggi. Merujuk kepada pandangan Miskawaih, seorang ahli falsafah Islam dari Parsi dalam bukunya Tadhib al-Akhlaq, akhlak ditakrifkan sebagai suatu keadaan jiwa yang mendorong seseorang melakukan perbuatan tanpa perlu berfikir panjang. Ini bermakna akhlak bukan sifat lahiriah yang kekal, tetapi boleh dibentuk melalui didikan dan latihan. Maka, ibu bapa ialah pelatih pertama yang bertanggungjawab menanam nilai-nilai itu dalam diri anak-anak. Akhlak yang baik bukan sekadar perhiasan diri, tetapi cerminan kepada keutuhan sesebuah tamadun. Bangsa yang tinggi akhlaknya akan teguh maruahnya, manakala bangsa yang rosak akhlaknya akan rebah biarpun ekonominya maju. Justeru, Allah SWT sendiri mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa rahmat untuk menyempurnakan akhlak manusia. Hal ini menunjukkan bahawa membina akhlak adalah agenda besar dalam kehidupan kita.

Ibu Bapa Jahil, Anak Hilang Pedoman
Dalam dunia moden, ramai ibu bapa mengharapkan anak-anak menjadi insan yang mengenal Tuhan dan hidup berakhlak tetapi mereka sendiri lalai dalam mendidik dan menjadi teladan. Hal ini menyebabkan ramai dalam kalangan ibu bapa menyerahkan tanggungjawab pendidikan agama kepada sekolah atau guru, seolah-olah rumah bukan lagi tempat tarbiah. Ada pula yang sedar akan kekurangan diri lalu menghantar anak ke sekolah tahfiz dengan niat melahirkan anak soleh, namun apabila anak pulang, suasana rumah tidak mencerminkan ajaran Islam. Anak melihat pertentangan antara apa yang dipelajari dengan apa yang diamalkan. Akhirnya, timbul pemberontakan dalaman mereka iaitu keliru antara agama sebagai teori dan realiti kehidupan. Realitinya, agama dan akhlak tidak dapat dipisahkan. Nilai agama ialah panduan untuk memandu kehidupan dalam dunia yang penuh godaan. Tanpa pegangan ini, seseorang mudah hanyut dan kehilangan jati diri. Pegangan agama yang longgar dalam kalangan ibu bapa secara langsung memberi kesan kepada akhlak anak-anak mereka. Pepatah Arab ada menyebut yang bermaksud “Seorang ibu adalah sekolah; jika engkau mendidiknya dengan baik, maka engkau telah menyiapkan satu bangsa yang kuat asasnya.” Pendidikan agama perlu dimulakan sejak kecil dengan memperkenalkan asas fardu ain, akidah, dan akhlak Nabi. Anak-anak perlu dididik mengenal Tuhan, mencintai solat, membaca dan memahami al-Quran, serta mengamalkannya. Peribahasa Melayu ada menyebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” kerana jiwa yang muda lebih mudah dibentuk. Apabila ibu bapa mengabaikan perkara ini, lahirlah generasi yang tidak mengenal batas moral, terjebak dalam pornografi, pergaulan bebas, buli dan jenayah. Maka, masalah akhlak bukanlah berpunca daripada remaja semata-mata, tetapi daripada kelalaian ibu bapa dalam mendidik dan menanamkan nilai agama sejak awal.

Peranan Ibu Bapa Sebagai Pendidik Utama
Ibu bapa merupakan individu yang paling kuat mempengaruhi sahsiah anak-anak. Justeru, peranan mereka bukan sekadar menyediakan makan minum dan tempat tinggal, tetapi membimbing hati dan jiwa anak-anak. Mendidik anak memerlukan ilmu dan kesedaran. Ibu bapa harus memperbaiki diri terlebih dahulu dengan mengenal Tuhan, mencari ilmu tentang keibubapaan serta memahami tujuan sebenar berkeluarga. Melahirkan anak bukan sekadar memenuhi fitrah atau adat selepas berkahwin, tetapi satu amanah besar untuk melahirkan generasi penerus yang beriman dan berilmu. Di samping itu, didikan yang berkesan tidak boleh bersandarkan kaedah lama semata-mata. Zaman berubah maka cabaran juga berbeza, dan kaedah mendidik juga perlu seiring dengan perkembangan semasa tanpa meninggalkan nilai-nilai Islam. Ibu bapa perlu bijak menyesuaikan pendekatan iaitu mendidik dengan berhikmah, mendengar dengan empati, dan menegur dengan kasih sayang. Mereka juga perlu menjadi qudwah hasanah atau teladan yang baik. Tindakan dan kata-kata ibu bapa lebih berkesan daripada nasihat yang diulang tanpa contoh nyata. Anak-anak tidak meniru nasihat, mereka meniru contoh. Jika ibu bapa mahu anak yang jujur, mereka sendiri harus jujur. Jika mahu anak berdisiplin, mereka juga perlu menunjukkan disiplin. Nilai tidak boleh hanya diajar, ia mesti ditunjukkan.

Kembali kepada Fitrah
Manusia secara fitrahnya diciptakan dalam keadaan suci dan cenderung kepada kebaikan. Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Rum ayat 30:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah.”
Ayat ini menegaskan bahawa setiap manusia dilahirkan dengan fitrah bertuhan iaitu kecenderungan semula jadi untuk mengenal, mencintai dan mentauhidkan Allah. Fitrah inilah asas kepada akhlak dan moral seseorang. Selagi manusia hidup selari dengan fitrahnya, dia akan merasa tenteram, berdisiplin, serta memiliki kesedaran dalaman untuk melakukan kebaikan. Namun apabila manusia menyimpang daripada fitrah yakni jauh daripada mengenal Pencipta, jiwanya akan menjadi kosong dan gelisah. Kekosongan itu akhirnya diisi dengan hiburan melampau, keseronokan sementara dan perbuatan yang menyalahi nilai kemanusiaan. Kembali kepada fitrah bererti kembali kepada asas kemanusiaan dengan mengenal Pencipta, menghargai sesama manusia, dan menegakkan kebenaran dalam diri. Dalam konteks remaja hari ini, usaha memperkukuh akhlak tidak boleh bergantung kepada ceramah atau nasihat semata-mata, tetapi mesti bermula dengan menanam rasa cinta kepada Allah dan Rasul. Jiwa yang mencintai Tuhannya akan malu untuk berbuat dosa, kerana dosa terasa asing bagi hati yang mengenal Allah. Remaja yang hidup berasaskan fitrah akan berakhlak bukan kerana takut hukuman, tetapi kerana cinta terhadap kebaikan. Mereka menghormati ibu bapa, memuliakan guru, dan menjauhi keburukan bukan kerana disuruh, tetapi kerana dorongan iman yang hidup dalam diri. Inilah asas yang perlu dipupuk kembali dalam membina generasi muda yang bukan sahaja cerdas minda, tetapi juga bersih jiwa, lembut hati dan tinggi nilai insaninya. Fitrah bukan sekadar konsep rohani, tetapi jalan pulang kepada kemuliaan manusia. Hal ini kerana, hanya dengan kembali kepada Allah, manusia akan menemui semula dirinya yang sebenar.

Peranan Sekolah dan Masyarakat
Sekolah, jiran tetangga, dan masyarakat tidak boleh berpeluk tubuh apabila berhadapan dengan isu keruntuhan akhlak. Pendidikan akhlak bukan tanggungjawab ibu bapa semata-mata, tetapi merupakan amanah bersama yang perlu dipikul oleh semua pihak iaitu guru, sekolah, masyarakat, malah sistem pendidikan secara keseluruhannya. Pembinaan akhlak harus menjadi budaya hidup, bukan sekadar mata pelajaran di dalam silibus. Ia perlu dihayati dalam dasar, kurikulum, dan suasana sekolah yang membina nilai murni. Remaja memerlukan bimbingan, bukan sekadar hukuman. Sekolah perlu menjadi ruang yang bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi turut mendidik jiwa dengan menanamkan nilai hormat, tanggungjawab, dan kasih sayang dalam diri pelajar. Guru berperanan sebagai murabbi, bukan sekadar pengajar, tetapi dengan menunjukkan teladan melalui akhlak dan tutur kata yang baik. Masyarakat pula harus menjadi penyokong kepada usaha pendidikan, bukan sekadar pengkritik dari jauh. Persekitaran sosial yang positif dapat memperkukuh nilai baik yang diterapkan di rumah dan sekolah. Apabila keluarga melahirkan anak berakhlak, maka jiran yang baik akan terbentuk, dan dari situ lahirlah masyarakat yang bermoral serta harmoni. Masyarakat yang baik tidak akan membiarkan remaja hanyut tanpa bimbingan. Setiap orang dewasa perlu menjadi contoh, dan setiap pemimpin perlu menunjukkan nilai akhlak yang tinggi dalam tindakan mereka. Pembinaan akhlak ialah tanggungjawab kolektif di mana ia bermula dari rumah, diteruskan di sekolah, dan diperkukuh dalam masyarakat. Dalam konteks negara, dasar sosial dan pendidikan perlu berpaksikan nilai agama dan moral. Undang-undang pula harus dikuatkuasakan dengan adil dan berprinsip, agar nilai murni tidak sekadar menjadi slogan, tetapi diamalkan dalam kehidupan seharian. Pemimpin yang berakhlak akan melahirkan rakyat yang berakhlak kerana sesungguhnya, kepimpinan yang benar ialah cerminan kepada masyarakat yang dipimpinnya.

Kesimpulan
Keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja bukan sekadar isu sosial, tetapi krisis nilai yang menggugat masa depan negara. Ibu bapa ialah madrasah pertama yang membentuk jiwa, sekolah ialah medan pembinaan ilmu dan sahsiah, manakala masyarakat pula menjadi cermin kepada nilai yang ditanam. Maka, usaha membina akhlak remaja mesti bermula daripada keluarga yang beriman, disokong oleh masyarakat yang prihatin dan diperkuat oleh negara yang berprinsip. Akhlak bukan sekadar perhiasan peribadi, tetapi asas ketamadunan bangsa. Apabila setiap insan kembali kepada fitrah iaitu mengenal Tuhannya, dan mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian, maka akan lahirlah generasi remaja yang bukan sahaja cerdas akal, tetapi juga luhur budi pekerti dan tinggi akhlaknya, kerana di situlah letaknya kejayaan sebenar sesebuah bangsa dan negara.
