skip to Main Content
Jenayah Seksual Golongan Agamawan: Antara Fitnah Dan Kebenaran

Jenayah Seksual Golongan Agamawan: Antara Fitnah dan Kebenaran

Jenayah Seksual Agamawan

Kebelakangan ini tular isu jenayah seksual melibatkan golongan agamawan yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap imej Islam. Perkara ini dilihat sebagai bukan isu baharu membabitkan golongan ini, tetapi telah lama dikesan sejak dahulu lagi. Namun, isu ini timbul semula apabila satu demi satu bentuk jenayah berkaitan seks seperti amang seksual, pornografi dan seks luar tabii membabitkan golongan agamawan didedahkan media massa tempatan. Walaupun sukar untuk diterima masyarakat namun, pada hakikatnya wujud golongan agamawan yang bernafsu melampau, pelik dan songsang berlindung di sebalik topeng agama atau lebih tepat digelar penunggang agama. Isu ini bukan diada-adakan atau sekadar disensasikan untuk hidangan para pembaca semata-mata tetapi, sebuah realiti yang masih wujud sehingga hari ini. Kes sering ditarik semula, disorokkan dan dibela menjadi punca golongan agamawan lebih berani bertindak tanpa pertimbangan. Kesannya, masalah sama akan terus berlarutan dan hanya menjadi perdebatan apabila satu-satu kes berkaitan gangguan seksual diwar-warkan media massa. Lebih parah lagi, apabila gangguan seksual yang dilaporkan melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja di bawah umur. Hal ini merupakan suatu perbuatan yang sukar diterima umum.

JENAYAH SEKSUAL GOLONGAN AGAMAWAN: ANTARA FITNAH DAN KEBENARAN

Menyentuh lanjut tentang isu ini, perbincangan tidak menolak bahawa sebilangan daripada golongan agamawan tidak terlibat dengan perbuatan tersebut tetapi, sekadar terpalit isu ini dek kerana fitnah yang dilemparkan. Hakikatnya, sudah menjadi lumrah golongan agamawan terlibat dengan urusan dakwah diuji dengan ujian berat sedemikian. Sedangkan, Nabi SAW sendiri turut menerima ujian yang lebih hebat termasuk difitnah ketika urusan dakwah Baginda. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Furqan, ayat ke 3 yang bermaksud, “dan orang-orang kafir berkata, al-Qur’an ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan oleh dia (Muhammad), dibantu oleh orang-orang lain, sungguh mereka telah berbuat zalim dan dusta yang besar”. Menerusi ayat tersebut, Nabi SAW sendiri difitnah mengadakan kebohongan oleh orang-orang kafir. Selain itu, menerusi surah al-‘Ankabut, ayat 2 hingga 3, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?. Dan sungguh, kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta”. Ayat ini pula menjelaskan bahawa Allah SWT menguji orang-orang yang beriman sebelum umat Nabi Muhammad lagi. Ternyata, orang-orang yang memikul tanggungjawab dalam urusan dakwah akan sentiasa diuji dengan ujian yang berat, iaitu ujian mendorong perbuatan salah laku atau ujian fitnah salah laku.

Meskipun berada dalam dua situasi yang berbeza namun, jika berlarutan masyarakat akan mula memandang serong terhadap golongan agamawan. Timbul juga persoalan, tidak kira sama ada golongan agamawan ini benar-benar terlibat dengan jenayah seksual seperti yang diperkatakan ataupun tidak, apakah impak isu ini ke atas diri seseorang individu tersebut? Sejauh manakah isu ini memberi kesan ke atas agama, urusan dakwah, dan kerjaya mereka?

Impak ke atas Pelaku

Umumnya, apabila terkait dengan isu sebegini, golongan agamawan tidak terlepas daripada berdepan dengan kesan jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Hal ini juga bergantung kepada keadaan dan situasi yang dihadapi sama ada dibuktikan bersalah atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, sedikit sebanyak masyarakat akan hilang rasa hormat, kepercayaan dan keyakinan terhadap individu yang disabitkan kesalahan jenayah seksual sebegini sekali gus, menjejaskan reputasi dan kerjaya mereka. Perkara ini berlaku berikutan masyarakat tidak lagi berkeinginan untuk menghadiri program dakwah yang melibatkan agamawan terbabit. Ilmu dan dakwah yang disampaikan tidak lagi terkesan di hati berikutan imej buruk yang ditonjolkan golongan ini. Secara tidak langsung, mengakibatkan golongan agamawan terlibat hilang punca pendapatan dan kurang dihormati sebagaimana sebelumnya.

Secara khususnya, terdapat beberapa aspek lain yang memberi kesan ke atas golongan agamawan yang terlibat dan terkait dengan jenayah seksual. Antaranya, ibu bapa hilang keyakinan untuk menghantar dan melepaskan anak-anak mereka di institusi pendidikan agama. Bimbang anak-anak berdepan dengan gangguan seksual oleh guru-guru, menyebabkan ibu bapa tidak memilih institusi pendidikan agama untuk pembelajaran anak-anak mereka. Hal ini, dilihat tidak hanya menjejaskan imej individu terlibat sebaliknya, institusi pendidikan agama Islam akan turut terkena tempiasnya. Institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat dipenuhi para pendidik yang beraklak terpuji, tetapi kini menjadi tempat yang paling ditakuti akan keselamatan para pelajarnya. Suatu perkara yang tidak sewajarnya berlaku dalam sesebuah institusi pendidikan pada era ini.

Dalam membincangkan isu ini, perbuatan jenayah seksual melibatkan golongan agamawan akan turut merosakkan imej agama Islam yang seharusnya dipandang suci dengan berlandaskan syariat Islam. Dengan hambatan pelbagai isu dan perbuatan yang tidak bermoral, menambahkan persepsi dan imej negatif terhadap agama Islam dan orang Islam sendiri. Setidak-tidaknya, perkara ini mampu menyekat penyampaian dan urusan dakwah yang seharusnya dilakukan dengan lebih meluas. Dalam pada itu, isu sebegini akan turut menghalang urusan dakwah ke atas orang bukan Islam untuk mendalami agama Islam. Sebaliknya, hanya dipandang keji dan jijik oleh mereka ke atas imej Islam. Suatu senario yang tidak sewajarnya berlaku dalam usaha memelihara, mengembangkan dan memartabatkan agama Islam.

Mengekang Kemelut Jenayah Seksual

JENAYAH SEKSUAL GOLONGAN AGAMAWAN: ANTARA FITNAH DAN KEBENARAN

Menyedari akan hakikat jenayah seksual dalam kalangan agamawan yang semakin meruncing maka, menjadi satu kewajipan pelbagai pihak lebih cakna untuk mengekang isu ini. Sebelum itu, seseorang individu itu sendiri perlu menjaga tingkah laku dan peribadi selaku orang yang berilmu dan dihormati, sejajar dengan pegangan yang dibawa sebagai seorang pendakwah. Dalam hal ini, golongan agamawan tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang tidak bermoral atas tiket pendakwah yang dipegang. Kepincangan yang berlaku tidak hanya akan merosakkan imej individu tersebut sahaja tetapi juga imej agama Islam. Justeru, tindakan segera perlu dilakukan bagi membendung isu ini dari terus menerus merosakkan imej agama Islam. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) bahawa pihak berkaitan seharusnya mengambil tindakan tegas untuk menggantung tauliah mengajar golongan agamawan yang terlibat dengan tuduhan jenayah seksual sehingga kes diselesaikan. Hal ini bukan sahaja demi memastikan keselamatan para pelajar tetapi juga untuk mengembalikan keyakinan ibu bapa terhadap institusi pendidikan agama Islam setersunya memulihkan imej institusi pendidikan sendiri.

Selain itu, di peringkat institusi pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu memandang isu ini sebagai hal yang serius dan perlu kepada penyelesaian secara intensif dan komprehensif. Tidak hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, iaitu hanya mengambil langkah pada masa tertentu sahaja tetapi, tidak diselesaikan sehingga ke peringkat akar umbi. Sedangkan, gangguan seksual melibatkan pelajar sekolah bukan lagi isu baharu. Misalnya, sekitar tahun 2018, Malaysia telah dikejutkan dengan kes gangguan seksual melibatkan para pelajar sekolah tahfiz iaitu pengetua sekolah sendiri sebagai pelaku. Namun, kes seumpama ini tidak terhenti pada tahun tersebut sahaja malah berpanjangan sehingga hari ini. Jika tindakan sewajarnya telah dilakukan sejak dahulu lagi pasti isu yang seumpama ini tidak akan timbul lagi.

Dari perspektif lain pula, ramai dalam kalangan mangsa kurang pengetahuan dan malu untuk berbicara mengenai isu ini. Terdapat segelintir daripada mangsa yang bertindak menyebarkan perbuatan pelaku di saluran yang kurang tepat iaitu menerusi media sosial dan orang tengah. Misalnya, sebagaimana yang berlaku terhadap kes gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah, mangsa menggunakan orang tengah menyebarkan bukti berbentuk rakaman suara. Secara tidak sedar, perbuatan ini hanya akan mengundang permasalahan lain seperti fitnah dan aib yang bukan sahaja ke atas pelaku tetapi juga diri sendiri. Justeru, bagi mengatasi permasalahan ini mangsa perlu mendapatkan keadilan menerusi undang-undang dengan melaporkan kepada pihak berkuasa. Dalam pada itu, informasi berkenaan tindakan atau perbuatan gangguan seksual perlu didedahkan secara meluas agar masyarakat lebih cakna seterusnya menggunakan saluran yang betul dalam menuntut keadilan.

Tuntasnya, masalah gangguan seksual melibatkan golongan agamawan bukanlah isu picisan yang boleh dipandang enteng. Justeru, tanggungjawab membendung isu gangguan seksual ini bukan sahaja perlu diletakkan dibahu pihak kerajaan semata-mata, tetapi juga individu, mangsa dan keseluruhan masyarakat. Dengan kerjasama yang diberikan oleh ramai pihak, isu gangguan seksual pasti dapat diatasi dengan lebih menyeluruh dan, tidak mustahil ianya dapat ditangani secara total.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search