
Harmoni Tanpa Diskriminasi Warna
Oleh: Dr. Nurul Suhada Ismail
Penduduk dunia kini mencecah 8.2 billion orang sebagaimana yang direkodkan oleh United Nations (2025). Jumlah penduduk tersebut mewakili pelbagai agama, bangsa, negara dan juga variasi warna kulit dan fizikal badan. Tidak dapat dinafikan kepelbagaian ini telah mencipta suatu perbezaan sehingga membuka ruang diskriminasi yang ketara dalam masyarakat. Buktinya, menerusi beberapa kajian menunjukkan wujudnya diskriminasi dan “bias” dalam beberapa situasi. Misalnya dalam kajian oleh Wade, Romano dan Blue (2006), mempamerkan bahawa pemohon kerja yang berkulit cerah menerima penilaian yang lebih baik berbanding pemohon kerja berkulit gelap dalam keputusan berkaitan pekerjaan. Begitu juga, menurut Vanessa Gonlin menyatakan bahawa pengaruh warna kulit boleh menjadi sangat ketara lebih-lebih lagi dalam masyarakat antaranya perbezaan dari segi hukuman penjara yang lebih lama untuk jenayah yang sama, kesihatan mental dan fizikal yang menurun, kadar perkahwinan yang lebih rendah bagi wanita, gaji yang lebih rendah bagi lelaki dan warga asing, serta tahap kecerdasan yang dianggap lebih rendah (Cowart, 2021).
Dalam konteks di Malaysia, pada tahun 2024 terdapat 34.1 juta orang penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu 70.4 peratus Melayu, Cina 22.4 peratus, India 6.5 peratus dan lain-lain 0.7 peratus (Statista, 2024) serta 3.4 juta orang adalah warga asing (DOSM, 2024). Melihat kepada kemajmukan penduduk di Malaysia, isu diskriminasi warna kulit ini turut berlaku dalam kalangan masyarakat. Berdasarkan kajian oleh Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) iaitu Keadaan Diskriminasi Malaysia 2023 terhadap 3,238 responden, 38 peratus mendedahkan mengalami diskriminasi dalam bentuk status sosioekonomi, 33 peratus kerana umur dan 32 peratus kerana etnik. Elemen diskriminasi juga disebabkan faktor warna kulit dan bahasa (32 peratus), manakala tempat tinggal dan pendirian politik masing-masing (28 peratus), identiti gender (26 peratus), jantina (24 peratus), agama (22 peratus) dan keupayaan diri atau tahap kesihatan (19 peratus).
Daripada dapatan kajian tersebut, faktor warna kulit dan bahasa jelas menjadi antara faktor tertinggi yang menyumbang kepada diskriminasi. Walau bagaimanapun, isu warna kulit ini sering dikesampingkan di Malaysia, sementelah wujud segelintir orang yang menormalisasikan kewajaran diskriminasi terhadap individu warna berkulit gelap.
Realiti Stereotaip Terhadap Orang Berkulit Gelap
Lazimnya, stereotaip dikaitkan dengan jenayah, kemiskinan, kemunduran dan sebagainya. Orang yang berkulit gelap lebih-lebih lagi dari Afrika dianggap sebagai “berbahaya”. Isu yang sama juga berlaku kepada individu yang datangnya dari Asia Selatan seperti India, Sri Lanka, Bangladesh di mana mereka ini menghadapi diskriminasi dua kali ganda kerana menjadi orang asing dan berkulit gelap. Tanggapan negatif yang bersifat stereotaip ini telah mencipta rasa tidak selamat rakyat Malaysia dengan warganegara asing.
Secara dasarnya, wujudnya stereotaip ini kerana beberapa faktor seperti sejarah kolonial, gambaran media dan standard kecantikan yang mengutamakan mereka yang berkulit cerah. Malahan faktor agama menyebabkan kecenderungan untuk berlakunya diskriminasi kepada orang berkulit gelap. Orang Islam berkulit gelap juga menghadapi diskriminasi dalam komuniti Muslim. Menurut pengalaman seorang Muslim dari Nigeria, beliau mengalami diskriminasi kerana berkulit gelap semasa di Masjid. Terdapat beberapa orang jemaah masjid yang tidak menyambut huluran salam yang beliau berikan ketika selesai mendirikan solat berjemaah. Sedangkan, Muslim itu saling bersaudara seperti yang dinyatakan dalam al-Quran:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Rentetan daripada stereotaip dalam kalangan masyarakat, senario ini secara tidak langsung telah memberi kesan kehidupan kepada orang yang berkulit gelap. Impak negatifnya adalah dari pelbagai sudut khususnya ketika mereka berada di tempat awam, tempat kerja dan kawasan perumahan. Menerusi Sinar Harian (2019), berdasarkan pengalaman Prof Madya Dr Ali Salman, beliau mengalami kesukaran untuk menyewa rumah kerana tuan rumah tidak mahu berurusan dengan warga Afrika. Jadi, ini jelas membuktikan stereotaip mencipta takut dan tidak selamat sehingga menimbulkan tanggapan negatif yang berpanjangan dalam masyarakat.
Kesan Diskriminasi Warna Kulit
Dalam meneliti isu diskriminasi terhadap orang berkulit gelap, realitinya mereka ini disisih dan dipandang hina dalam masyarakat hanya kerana warna kulit. Sementelah dalam kedudukan hierarki sosial telah ada standard yang menyatakan bahawa orang berkulit cerah sering dianggap lebih mulia dan baik berbanding yang berkulit gelap. Hal ini menyebabkan pengasingan secara halus atau diskriminasi terang-terangan. Contohnya yang berlaku di tadika, seorang kanak-kanak berusia lima tahun dipulaukan oleh rakan-rakan kerana berkulit “coklat”. Akibatnya, kanak-kanak ini tidak gembira untuk ke sekolah dan berasa rendah diri dengan tona kulit yang dimiliki (Mstar, 2024).
Selain itu, kesannya juga dalam aspek hubungan peribadi. Individu berkulit gelap sering menghadapi penolakan atau stereotaip dalam persahabatan, hubungan romantik, atau kalangan sosial. Jelasnya dalam situasi ini, akibat stereotaip dan stigma yang dipegang oleh masyarakat umum telah merosakkan suatu hubungan. Sedangkan dalam hubungan persahabatan misalnya tidak ada yang membuktikan perbezaan warna kulit akan menjejaskan atau merosakkan hubungan kerana ianya bergantung kepada personaliti dan sikap individu.
Hakikatnya berlaku diskriminasi terhadap individu berkulit gelap dalam konteks pekerjaan dan peluang profesional. Keutamaan diberi terhadap individu berkulit cerah adalah lebih tinggi dalam peranan yang melibatkan pelanggan atau kedudukan kepimpinan. Di kebanyakan negara yang memiliki minoriti orang berkulit cerah, warna kulit masih menjadi isu yang wujud sebagai warisan kolonialisme. Mereka yang berkulit cerah mendapat layanan istimewa dalam pendidikan, pekerjaan, dan perwakilan media.
Menurut Pew Research Centre (2023), pekerja berkulit hitam menyatakan mereka telah mengalami diskriminasi di tempat kerja disebabkan oleh bangsa atau etnik mereka. Data ini berdasarkan Pusat tinjauan pada Februari 2023 terhadap pekerja di Amerika Syarikat. Kira-kira empat daripada sepuluh pekerja kulit hitam (41 peratus) mengatakan mereka pernah mengalami diskriminasi atau dilayan secara tidak adil oleh majikan dalam hal pengambilan pekerja, gaji, atau kenaikan pangkat kerana bangsa atau etnik mereka. Peratusan ini yang jauh lebih kecil bagi pekerja Asia (25%), Hispanik (20%), dan kulit putih (8%) dalam melaporkan perkara yang sama.
Perspektif Islam tentang Perbezaan Warna Kulit
Asasnya, perbincangan yang berfokus kepada aspek perbezaan warna kulit telah wujud atas dasar kesaksamaan dalam Islam. Ajaran Islam menekankan kesamarataan, mengutamakan takwa dan akhlak berbanding warna kulit atau bangsa. Kepelbagaian warna kulit dan bangsa ini juga sebagai bukti kekuasaan Allah SWT dan manusia diajar untuk saling mengenali antara satu sama lain. Sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).:
Begitu juga yang terdapat dalam hadith Nabi Muhammad SAW yang menjelaskan bahawa nilai ketaqwaan itu lebih tinggi berbanding warna kulit hitam atau putih.
Maksudnya: “Seorang putih tidak memiliki kelebihan ke atas seorang hitam, dan seorang hitam tidak memiliki kelebihan ke atas seorang putih kecuali dengan takwa dan amal soleh.”
Dalam konteks ini, sikap penerimaan dizahirkan Nabi Muhammad SAW dalam meruntuhkan halangan perkauman terhadap individu berkulit gelap contohnya dengan melantik Bilal bin Rabah yang merupakan seorang Habsyi berkulit gelap sebagai muazin pertama. Hal ini jelas menunjukkan kesaksamaan dalam Islam tanpa ada batas warna kulit sebaliknya melihat kepada nilaian iman, taqwa dan kemurniaan hati seseorang individu.
Oleh yang demikian, sebagai Muslim khususnya perlu memahami konsep kesaksamaan dalam Islam dalam menangani perbezaan warna kulit. Seyogianya komuniti Muslim di Malaysia menerapkan dan mengamalkan keterangkuman dan keadilan kepada semua individu tanpa mengira batasan warna kulit.
Kesimpulan
Tuntasnya, seiring dengan pembangunan negara dan pemodenan di Malaysia, rakyat Malaysia seharusnya lebih berilmu dan terbuka menerima perbezaan warna kulit serta melawan diskriminasi warna kulit berdasarkan prinsip Islam berasaskan nilai kesaksamaan, keadilan, dan belas kasihan.
Isu warna kulit masih berakar umbi di Malaysia sehingga memberi kesan kepada individu berkulit gelap. Justeru, sewajarnya perlu ada penekanan kesedaran untuk masyarakat Malaysia memahami dan menerima perbezaan warna kulit terhadap bangsa atau warganegara asing. Semestinya perubahan ini harus dimulai di peringkat keluarga, masyarakat serta institusi menerusi saluran media digital dan penganjuran variasi program.