
Hak Kanak-Kanak: Ibu Bapa PERLU Ambil Peduli
Oleh: Dr. Shereeza Mohamed Saniff
Kanak-kanak dan Masyarakat Madani
Kanak-kanak merupakan satu anugerah dari ilahi yang sangat istimewa buat pasangan suami isteri yang bergelar ibu bapa dengan kehadiran mereka dalam kehidupan sesebuah keluarga. Selain sebagai sumber kelahiran, ibu bapa juga adalah orang yang merawat, menjaga, dan membimbing kanak-kanak dalam kehidupan sehari-hari. Kehadiran kanak-kanak dalam kehidupan kekeluargaan patut disyukuri dan dilimpahi dengan kasih sayang.
Kanak-kanak merupakan suatu bahagian penting masyarakat. Mereka merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran sesebuah masyarakat. Namun oleh kerana ketidakmatangan mereka dari segi fizikal, mental dan emosi, maka mereka perlu diberikan hak perlindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran. Anak merupakan amanah dari Allah SWT yang sudah sepatutnya dijaga dan diberi hak-haknya sesuai dengan apa yang dianjurkan dalam Islam. Hak asas kanak-kanak ini perlu dititikberatkan supaya mereka boleh turut serta dalam menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia Madani yang unggul.
Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)
Sudah menjadi sesuatu yang lumrah tanggungjawab untuk memastikan pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak tersebut digalas dengan baik oleh keluarga kanak-kanak tersebut. Keluarga bertanggungjawab untuk menyediakan suasana semulajadi bagi pembesaran, penyaraan dan kebajikan semua ahlinya, khususnya kanak-kanak. Di Malaysia tanggungjawab ibu bapa dan penjaga terhadap hak kanak-kanak ini diperuntukan dalam Akta 611 yang dikenali sebagai Akta Kanak-kanak 2001. Menurut Thambapillay (2002) dalam artikelnya yang bertajuk “Akta Kanak-Kanak 2001: Kesannya Terhadap Undang-undang Keluarga” peruntukan-peruntukan yang terdapat pada Akta Kanak-Kanak 2001 ini telah, dalam prinsip, mengukuhkan lagi undang-undang berkenaan perlindungan kanak-kanak dan dalam melindungi kepentingan-kepentingan mereka.
Akta ini terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun di Malaysia. Akta 611 ini mengandungi peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan aspek pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat hak pelindungan dan bantuan dalam segala hal dan keadaan tanpa mengira latar belakang kanak-kanak tersebut. Akta Kanak-kanak 2001 jelas menyatakan hasrat supaya kanak-kanak boleh membesar dalam suasana aman, bahagia, kasih sayang dan persefahaman untuk memperoleh keyakinan penuh, maruah dan nilai diri sebagai seorang manusia. Oleh itu asas kepada kesejahteraan seorang kanak-kanak bertitik tolak dengan keluarga yang merupakan kumpulan asas dalam masyarakat.
Peralihan Struktur Sosial di Malaysia: Dari Luar Bandar ke Bandar
Di Malaysia menerusi persekitaran luar bandar sebelum era pemodenan, anggota masyarakat memikul tanggungjawab terhadap tingkah laku kanak-kanak walaupun kanak-kanak tersebut bukan anak mereka sendiri. Persekitaran sedemikian menggambarkan seolah-olah seluruh masyarakat adalah satu entiti tunggal berkenaan didikan dan sokongan kanak-kanak. Namun masyarakat di Malaysia sedang mengalami perubahan pantas daripada persekitaran luar bandar yang dahulunya sederhana, kepada persekitaran yang lebih besar dan lebih kompleks. Malah menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2020) menerusi “Newsletter: Evolusi Penduduk di Malaysia”, populasi bandar di Malaysia mencatatkan sebanyak 76.2%. Peratusan ini menunjukkan bilangan penduduk di bandar mengatasi poulasi di luar bandar. Perubahan persekitaran kepada luar bandar ini disertai dengan pelbagai perubahan yang mempunyai pengaruh langsung kepada gaya hidup kekeluargaan. Terdapat sikap individualisme yang semakin meningkat apabila ramai ibu bapa kini kurang senang terhadap sebarang bentuk campur tangan dalam hal ehwal anak-anak mereka. Tambahan perhimpunan sosial komunal yang sering dilhat pada masa lalu kini sudah semakin pudar. Maka tidak menghairankan perkara-perkara perubahan struktur sosial di Malaysia telah mengundang kepada dapatan menunjukkan peratusan masyarakat Malaysia yang berhadapan tekanan hidup semakin meruncing.
Keadaan sedemikian telah sedikit sebanyak menyumbang kepada kes-kes terhadap penderaan, penyeksaan dan kecuaian terhadap kanak-kanak terutama yang mengakibatkan kematian. Kes-kes sebegini semakin mendapat perhatian dan liputan media. Lebih menyedihkan lagi apabila paparan berita tentang insiden tragis tersebut menunjukkan sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak cuai, kematian kanak-kanak tersebut mungkin dapat dicegah.
Kematian Kanak-kanak
Kematian merupakan sesuatu yang pasti kepada semua yang hidup. Kematian juga tidak boleh diawalkan mahu dilewatkan walaupun sesaat. Sesungguhnya saat dan detik kematian yang sebenar di bawah pengetahuan Pencipta mutlak manusia. Kematian juga bukan sesuatu yang asing. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna ibu bapa dan masyarakat sekeliling boleh cuai, mengambil mudah atau secara ringan melepaskan tanggungjawab mereka daripada memastikan hak kanak-kanak untuk dilindungi, dipelihara dan mendapatkan bantuan khas selepas kelahiran dipenuhi dengan sebaiknya. Namun disebalik sesuatu kematian melibatkan kanak-kanak disebabkan sesuatu kemalangan, akan terdapat kisah menyayat hati kepada sesiapa yang mengetahui akan nasib yang menimpa kanak-kanak yang tidak berdosa itu. Faktor disebalik kematian insan yang tidak berdosa ini mungkin berpunca daripada kecederaan fizikal atau emosi atau akibat sikap tidak acuh ibu bapa. Kesemua faktor ini boleh mengundang kepada satu tanggapan bahawa kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan kecuaian ibu bapa atau penjaga.
Menurut Pesuruhjaya Kanak-kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki (2023), pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang cuai dengan melaksanakan peruntukan sedia ada di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Berita tentang kematian seorang bayi lelaki yang telah meninggal akibat hanyut dibawa arus deras apabila terlepas daripada pegangan bapanya ketika beriadah di sungai atau kematian kanak-kanak disebabkan ditinggalkan dalam kereta yang berkunci dan semua tingkap tertutup rapat manakala kereta ditinggalkan di bawah terikan panas matahari untuk waktu yang lama, disebakan ibu atau ayah terlupa akan kewujudan anak yang sedang nyenyak tidur di tempat duduk di belakang kereta atau kematian pasangan adik beradik yang ditemui rentung akibat kebakaran berlaku di rumah sementara kedua ibu bapa meninggalkan rumah untuk “makan malam” seketika, kesemua kes ini menunjukkan kemalangan yang menimpa ke atas kanak-kanak ini memang tidak diduga dan tidak disengajakan tetapi boleh dianggap sebagai kecuaian atau sebagai satu contoh sikap tidak acuh ibu bapa kerana telah mengakibatkan kehilangan nyawa insan yang disayangi.
Kes-kes sebegini membuka ruang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan di bawah Seksyen 31 Akta 611. Seksyen 31(1)(a) menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi. Jika disabitkan kesalahan, ibu, bapa atau penjaga boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali. Maka ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut perlu bersedia untuk menghadapi kuasa undang-undang tersebut. Buat ibu bapa yang kehilangan anak kecil mereka dalam kemalangan tanpa diduga, berkemungkinan berhadapan dengan situasi “sudah jatuh ditimpa tangga” kerana dalam mengharungi kesedihan kehilangan insan yang disayangi masih berdepan dengan kemungkinan untuk dihadapkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta 611 pula, sekiranya siasatan menunjukkan terdapat unsur-unsur kecuaian.
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak
Kerajaan Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak dijaga sebaik mungkin. Menerusi laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkenaan Dasar Kanak-kanak (2018), menyatakan Malaysia telah mengesahkan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau [Convention on the Rights of the Child (CRC)] pada 17 Februari 1995. CRC (atau Konvensyen ini) merupakan perjanjian hak asasi manusia antarabangsa yang menegakkan hak sivil, politik, ekonomi, sosial, kesihatan dan budaya semua kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation). Konvensyen ini menyatakan bahawa semua kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam keadaan selamat dan segala pertimbangan apabila membuat keputusan yang melibatkan kanak-kanak mestilah berpandukan kepentingan terbaik buat kanak-kanak tersebut.
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak oleh Pertubuhan Bangsa-banagsa Bersatu (PBB) yang mula berkuatkuasa pada 2 September 1990, merupakan perjanjian hak asasi manusia yang paling banyak diratifikasikan di dunia. Kesemua negara ahli PBB telah mengesahkan Konvensyen ini kecuali Amerika Syarikat. Sweden telah memainkan peranan aktif dalam proses penggubalan Konvensyen ini dan mengesahkannya pada tahun 1990. United Kingdom dan Algeria meratifikasinya pada 1992, manakala Malaysia telah meratifikasi Konvensyen ini pada tahun 1995.
Beberapa buah negara telah menggubal undang-undang khas untuk kanak-kanak seperti di Malaysia dengan adanya Akta Kanak-kanak 2001 atau membuat pindaan kepada rang undang-undang sediada seperti di United Kingdom yang memperkenalkan Akta Kanak-Kanak 2004 sebagai perkembangan dan lanjutan akta yang sama dari 1989. Manakala di Algeria, memegang prinsip bahawa perjanjian yang diratifikasi lebih diutamakan daripada undang-undang domestik termaktub dalam Perlembagaan Algeria. Maka belum ada undang-undang khusus untuk menjaga hak kanak-kanak yang digubal di Algeria seperti yang terdapat di Malaysia dan United Kingdom.
Sweden pula sebagai pemain aktif dalam penggubalan Konvensyen ini telah meratifikasi Konvensyen ini pada tahun yang sama dikuatkuasakan oleh PBB kerana didapati selari dengan undang-undang anti pukul (anti spanking laws) Sweden yang diperkenalkan pada tahun 1979. Undang-undang anti pukul negara tersebut menjelaskan pendirian Sweden terhadap hukuman fizikal dan penderaan kanak-kanak yang, antara lain, menyatakan bahawa seorang kanak-kanak tidak boleh dikenakan hukuman fizikal atau perlakuan lain yang mencederakan atau memalukan. Maka tidak menghairankan 35 tahun kemudian, Sweden berdepan dengan warga generasi baru yang tidak pernah dipukul.
Maka apabila salah seorang daripada empat orang cahaya mata milik pasangan suami isteri berwarganegara Malaysia yang menetap di Sweden membuat aduan kepada gurunya di sekolah bahawa mereka telah dipukul oleh kedua ibu bapa mereka, guru tersebut kemudiannya melaporkan pasangan ini kepada pihak polis di Sweden. Melalui proses perundangan di negara tersebut pasangan ini telah didakwa di mahkamah Sweden kerana mendera empat anak mereka dalam tempoh tiga tahun dari September 2010 hingga Disember 2013 dan dikenakan hukuman penjara dan mereka juga diminta membayar pampasan kepada anak-anak mereka.
Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sweden ke atas kedua-dua pasangan ini mengejutkan rakyat Malaysia. Permasalahannya adalah dari segi hukuman fizikal tersebut. Sebenarnya terdapat garis halus hukuman untuk mendidik secara fizikal dengan penderaan fizikal. Walaubagaimanapun secara amnya pakar menyatakan bahawa terdapat kaedah lain yang lebih baik untuk mendidik kanak-kanak daripada hukuman fizikal di badan. Maka sebaiknya dan sebolehnya, ibu bapa hendaklah berusaha elak mengenakan hukuman fizikal terutama ke atas anggota badan anak mereka.
Perspektif Islam tentang Hak Kanak-Kanak
Menurut pandangan sarwa Islam pula, kewajipan ibu bapa terhadap anak bukan hanya untuk menyiapkan keperluan fizikal sahaja, tetapi juga untuk menanamkan nilai-nilai kerohanian dan ajaran keagamaan. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan al-Thabarani dalam al-Mu’jamul Kabir bahawa Rasulullah SAW menjelaskan anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), dan ibu bapanya yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani, atau Majusi. Selari dengan hadis tersebut terdapat sepotong ayat al-Quran dalam Surah At-Tahrim ayat 6 menjelaskan “Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”. Maka ibu bapa yang beragama Islam dituntut untuk bersungguh-sungguh membina, memelihara dan mendidik anak-anak mereka dengan baik. Tujuannya agar anak-anak tersebut selamat di dunia dan juga di akhirat. Tanggungjawab ibu bapa dalam Islam melangkaui skala waktu bukan sahaja di dunia malah lebih daripada itu, iaitu akhirat yang lebih kekal.
Ruang untuk Pertingkatkan Komitment Terhadap Hak Kanak-kanak di Malaysia
Walaupun Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan tertubuhnya Suruhanjaya Kanak-kanak dan membuat pindaan ke atas Akta Kanak-kanak 2001 pada 2016 dengan menambah hukuman yang lebih berat kepada ibu bapa yang didapati bersalah kerana telah cuai dalam menjaga aspek keselamatan kanak-kanak, perbincangan di atas menunjukkan bahawa perlu ada usaha-usaha tambahan kerana kes-kes melibatkan kecuaian ibu bapa masih belum dapat diatasi secara tuntas. Masih terdapat ruang untuk menambah baik ekosistem secara keseluruhan dalam memastikan hak kanak-kanak tersebut dapat dipenuhi dengan sebaiknya. Ini bermakna hak kanak-kanak ini tidak boleh bersifat uni-dimensi dan memerlukan penglibatan kesemua pihak daripada ibu bapa, institusi keluarga, jiran dan masyarakat setempat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Suruhanjaya Kanak-kanak di bawah SUHAKAM yang fokus tentang Hak Kanak-kanak dan pelbagai agensi kerajaan yang berkepentingan dalam melindungi kanak-kanak seperti JKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Klinik Kesihatan yang terdapat di hampir setiap mukim di seluruh negara di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak penguatkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu berganding bahu untuk menyediakan mekanisme yang efektif supaya dapat mengesan kanak-kanak terabai dengan lebih berkesan dan sistematik dalam linkungan rangka kerja untuk membina suatu masyarakat Malaysia Madani yang bersatu padu, progresif, damai, penyayang, adil dan berperikemanusiaan sebagaimana yang dihasratkan.
Advokasi untuk meningkatkan kesedaran bahawa ibu bapa boleh disabitkan kesalahan kerana telah didapati cuai dalam menjaga hak kanak-kanak apabila kanak-kanak yang bersama mereka terlepas daripada pengawasan mereka sehingga menyebabkan kematian atau kecelakaan serius kepada kanak-kanak tersebut. Juga dalam situasi di mana kanak-kanak kecil ditinggalkan bersendirian, tanpa sebarang pengawasan seorang dewasa. Ini menunjukkan perlu ada sistem yang menyeluruh untuk mendidik ibu bapa tentang wujudnya hak seorang anak yang termaktub dalam rang undang-undang di Malaysia di mana menjadi satu kemestian untuk ibu bapa penuhi dengan baik.
Menyahut pendekatan silang yang dicadangkan oleh Dr. Farah Dini menerusi penyiaran artikel Bernama pada 13 April 2023 bertajuk “Pihak berkepentingan diseru ganding bahu, sediakan jaringan keselamatan sosial kesan kanak-kanak terabai” untuk mewujudkan persekitaran kondusif dan inklusif dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang mampu mengesan kanak-kanak terabai. Salah satu cara yang boleh diusahakan adalah menerusi langkah mengenal pasti dahulu tahap pengetahuan dan kefahaman ibu bapa bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi hak anak-anak sebagai satu usaha progresif dalam mempromosi serta melindungi hak asasi kanak-kanak. Menerusi pendekatan ini, ibu bapa “baharu” perlu menjalani ujian untuk menilai pengetahuan dan pemahaman mereka tentang hak anak sulung mereka dan pengetahuan mereka terhadap kesan yang boleh menimpa mereka sebagai ibu bapa sekiranya hak tersebut tidak dipenuhi. Terdapat keperluan untuk mengetengahkan kepada ibu bapa bahawa kerajaan Malaysia memandang serius berkenaan tanggungjawab ibu bapa dalam memenuhi hak anak-anak mereka dengan sebaiknya.
Oleh itu salah satu saranan adalah dengan membangunkan satu set ujian secara atas talian untuk menguji tahap pengetahuan dan kefahaman ibu bapa tentang hak kanak-kanak. Ujian tersebut hendaklah bersifat ringkas tapi padat dan mesra pengguna sebagai perkara yang paling asas. Saranan ini memerlukan penglibatan beberapa agensi kerajaan. Selain JKM di KPWKM, KKM menerusi Klinik Kesihatan yang terdapat di hampir setiap mukim di Malaysia perlu digerakkan untuk memainkan peranan. Pelaksanaan yang dicadangkan secara kasar adalah seperti berikut:
(i) dilaksanakan semasa ibu bapa “baharu” ini ke klinik untuk mendapatkan suntikan imunisasi anak sulung mereka pada peringkat awal (iaitu lebih kurang semasa bayi tersebut berumur enam bulan);
(ii) borang diedarkan secara atas talian dan ibu bapa diminta melaksanakan ujian tersebut sementara menunggu giliran dipanggil dan dihantar respons mereka secara atas talian juga;
(iii) agensi yang bertanggungjawab, sebagai contoh JKM, akan menilai skor tersebut dan hanya akan membuat susulan kepada mereka yang didapati dalam golongan “berisiko”;
(iv) golongan “berisiko” ini perlu diberi pendedahan tentang terdapatnya hak anak yang mereka mesti penuhi supaya mereka tahu sekiranya hak anak mereka ini tidak dipenuhi dan kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas anak mereka, kedua ibu bapa tersebut boleh disabitkan dengan kesalahan yang boleh mengakibatkan mereka dipenjarakan atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Dari segi perundangan pula, terdapat Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 yang timbul kerana terdapat keperluan untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak dengan meminda seksyen 31, 32 dan 33 Akta 611 dengan meningkatkan penalti denda dan penjara, dan memperkenalkan hukuman baharu, iaitu khidmat masyarakat. Menurut Dian Imam Supaat (2018) dalam ulasannya berkenaan “Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016: Peningkatan Penalti“ pindaan ini merangkumi empat peruntukan utama, iaitu peningkatan penalti bagi kesalahan di bawah Akta, Perintah Khidmat Masyarakat, penjagaan berasaskan keluarga dan mewujudkan Daftar Kanak-kanak.
Dalam menjatuhkan hukuman kepada ibu bapa yang telah terbukti cuai, pihak pendakwaan hendaklah memohon hukuman yang berat manakala pihak mahkamah pula menjatuhkan hukuman yang berbentuk “deterrent” (penghalang) agar mesej jelas disampaikan kepada masyarakat bahawa agensi penguatkuasaan dan perundangan di Malaysia turut mengambil berat tentang hak kanak-kanak ini. Diharapkan dengan dijatuhkan hukuman yang mempunyai ciri-ciri penghalang ini dan dengan bantuan media untuk menyebarluaskan hukuman berat yang telah dijatuhkan tersebut, dapat membawa perubahan kepada sikap ibu bapa untuk menggalas tanggungjawab memastikan hak kanak-kanak dipikul dengan lebih serius supaya keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka tidak sesekali diabaikan atau “leave to chance” (dibiarkan kepada keadaan).
Selain daripada cadangan di atas terdapat juga keperluan untuk mewujudkan ruang perdebatan yang sihat antara ibu bapa, guru dan kerajaan tentang cara mendisiplinkan kanak-kanak dan pilihan hukuman yang ada di luar sana. Sesi townhall sebegini boleh diusahakan oleh KPM. Oleh kerana sebahagian besar penduduk Malaysia kini tinggal dalam suasana bandar, agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan juga Kementerian Perpaduan boleh memainkan peranan untuk memperkenal program baharu dan inovatif sebagai daya tarikan dalam menggerakkan masyarakat bandar untuk terlibat sama dalam aktivit-aktiviti yang berbentuk sosial komunal. Aktiviti-aktivti sebegini dirangka khas dengan objektif untuk menanamkan kembali sifat kebersamaan seperti amalan bergotong–royong untuk membuka ruang kepada ibu bapa dan kanak-kanak menjadi sebahagian ahli penting dalam perhimpunan yang berbentuk sosial komunal sebegini.
Kesimpulan
Malaysia komited dalam penjagaan hak kanak-kanak. Kanak-kanak merupakan insan yang perlu dijaga dan diperlihara dengan ikhlas dan sebaiknya kerana mereka adalah generasi yang akan menyumbang kepada kesejahteraan negara di masa akan datang, Walaupun Akta Kanak-kanak 2001 atau Akta 611 tersebut telah dipinda, namun didapati kes-kes cuai dan kes-kes di mana hak kanak-kanak telah dicabuli masih berleluasa di negara ini. Walaupun terdapat perbezaan daripada segi perundangan dalam mentakrif hukuman fizikal di Malaysia dan Sweden, sebagai contoh, hak asas untuk memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak masih menjadi teras utama dalam menjaga hak kanak-kanak kedua-dua buah negara tersebut. Agama Islam juga tidak terkecuali dalam menggariskan tuntutan kepada ibu bapa dalam menjaga hak kanak-kanak tersebut malah amanah ini meliputi skala waktu yang panjang kerana ibu bapa bukan sahaja dipertanggungjawabkan di dunia menerusi peruntukan undang-undang negara malah akan diperlihatkan bagaimana tanggungjawab tersebut dipenuhi nanti di alam akhirat. Di Malaysia pula, walaupun perhatian sewajarnya menerusi pindaan kepada beberapa peruntukan pada Akta 611 telah berkuatkuasa, namun terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengambil sikap peduli dan menganggap kanak-kanak sebagai insan yang boleh dimanipulasi dan diambil sikap tidak acuh di atas pertumbuhan dan perkembangan mereka. Sudah tiba masanya negara ini mewujudkan persekitaran kondusif dan inklusif demi merealisasikan hak kanak-kanak di Malaysia sentiasa dipelihara supaya jaringan sosial keselamatan yang menggandingkan bahu semua pihak berkepentingan yang mempunyai kepakaran, pengalaman, sumber dan kebijaksanaan tentang hak kanak-kanak dapat diusahakan dengan jayanya demi membangun Malaysia Madani yang didambakan.