skip to Main Content
Gangguan Psikologi, Cetus Perilaku Bunuh Diri

Gangguan Psikologi, Cetus Perilaku Bunuh Diri

Oleh: Dr. Norhafizah Abdul Halim

Realiti Gangguan Mental

Masalah gangguan psikologi atau gangguan mental dalam kalangan masyarakat dilaporkan semakin meruncing dari hari ke hari. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran akan berlakunya peningkatan mendadak melibatkan masalah gangguan mental, tekanan perasaan dan kemurungan. Dalam membicarakan isu ini, didapati terdapat lebih 200 jenis gangguan mental yang telah dikenal pasti dengan gejala dan tahap yang berbeza. Secara realitinya, gangguan mental boleh dikategorikan sebagai penyakit serius yang berupaya membawa kepada perilaku bunuh diri.

Jika suatu masa dahulu, kes bunuh diri sangat jarang kita dengari, namun kini kes bunuh diri bagaikan menjadi satu paparan biasa dalam mana-mana platform penyampaian maklumat. Di Malaysia, statistik yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat sejumlah 1080 kes cubaan bunuh diri telah dilaporkan pada tahun 2020. Jumlah ini meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 253 kes. Statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan peningkatan terhadap kes bunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara tahun 2020 hingga tahun 2022 dengan purata sebanyak 77 orang bunuh diri setahun. Setakat tahun 2022 iaitu sehingga Jun, sebanyak 222 kes bunuh diri telah dicatatkan. Ternyata, kes bunuh diri menunjukkan pola peningkatan yang ketara sekaligus mengundang kebimbangan semua pihak.

Gangguan Psikologi, Cetus Perilaku Bunuh Diri

Terbaharu, Malaysia digemparkan dengan beberapa kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang dengan jarak masa hanya beberapa jam sahaja. Keadaan ini mendatangkan kebimbangan masyarakat terhadap tahap kesihatan mental dan kesejahteraan diri rakyat. Hakikatnya, bunuh diri merupakan suatu bentuk tindakan dan perlakuan yang jelas menggambarkan pengabaian terhadap rasionalisasi seseorang manusia. Perlakuan ini juga memperlihatkan sisi negatif norma kehidupan masyarakat masa kini apabila sering kali kejadian seperti ini dipaparkan. Perlakuan ini sama sekali bertentangan dengan prinsip dan nilai hidup manusia yang sepatutnya berusaha dalam menjaga dan menghargai nyawa serta nikmat kehidupan. Persoalannya, apakah faktor yang mencetus kepada perilaku bunuh diri dalam kalangan ramai pihak?

Perilaku Bunuh Diri

Didapati, faktor utama atau terbesar yang mendorong kepada gangguan mental dan tekanan psikologi adalah disebabkan oleh persekitaran seperti kehilangan punca pendapatan dan ekonomi keluarga terjejas. Hal ini, ekoran penutupan dan pengecilan beberapa sektor perniagaan ketika krisis COVID-19 seperti industri perniagaan, perhotelan, pelancongan dan pengangkutan yang kebiasaannya menjadi sektor utama dalam negara. Berdasarkan statistik yang direkodkan Jabatan Sumber Manusia, seramai 600 ribu rakyat Malaysia telah kehilangan pekerjaan kesan daripada penularan COVID-19. Kehilangan punca pendapatan dan operasi pekerjaan yang terjejas telah memberi impak yang cukup besar dalam kelangsungan hidup sesebuah keluarga. Ini kerana seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk mencari nafkhah buat keluarga telah diberhentikan kerja akan berasa tertekan dan dibayangi seribu satu perasaan. Antara kecewa, risau, takut dan putus asa secara tidak langsung memberikan tekanan mental dan mengganggu psikologi mereka daripada suatu keadaan yang normal sebelumnya.

Selain itu, gangguan mental juga kebanyakannya berlaku disebabkan oleh tekanan yang melampau di tempat kerja. Tekanan di tempat kerja bukan faktor baharu malah, telah berlaku sejak lama dahulu. Tambahan pula, ramai individu mengalami depresi dan stres melampau disebabkan oleh tekanan yang dihadapi sama ada bebanan kerja yang berlebihan, konflik antara rakan sekerja, buli ditempat kerja dan suasana kerja yang tidak saling menyokong. Hakikatnya, pekerjaan mana yang tidak mempunyai tekanan. Namun, setiap individu memiliki tahap kawalan emosi yang berbeza-beza, sama ada bertahan atau memilih jalan singkat dengan tindakan membunuh diri.

Dalam membincangkan hal ini, konflik dalam hubungan peribadi dan keluarga juga menjadi salah satu punca gangguan mental yang membawa kepada perilaku bunuh diri. Hal ini disebabkan oleh masalah kewangan yang dialami pasangan suami isteri, persekitaran rumah yang tidak kondusif serta berlakunya aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti pengambilan bahan terlarang. Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh Talian Bantuan Sokongan Psikososial menunjukkan bahawa sebanyak 122,328 panggilan telefon telah diterima di antara 1 Januari sehingga 18 Jun 2021. Daripada keseluruhan jumlah tersebut, hampir 90% daripada panggilan tersebut berkait dengan pelbagai masalah termasuklah pergaduhan antara ahli keluarga, keganasan rumah tangga, penderaan dan penceraian.

Seterusnya, penyebab tekanan dan gangguan mental adalah faktor persekitaran sosial yang semakin mencabar. Seiring dengan kecanggihan dunia digital dan kemajuan teknologi telah banyak membantu manusia menyelesaikan tugas, memudahkan urusan seharian dan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Namun begitu, apa yang membimbangkan adalah keadaan ini dari satu sudut lain telah menjadi salah satu penyebab kemurungan, depresi dan bunuh diri. Perkara ini berlaku dengan kewujudan menghina cara baru yang dikenali sebagai ‘Body Shaming’, saling kecam-mengecam, memfitnah secara alam maya, penyebaran foto-foto peribadi dan budaya scammer. Hal-hal ini secara tidak langsung telah menjadi faktor gangguan mental yang buruk sehingga menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan kewarasan diri justeru bertindak diluar batasan dan normalisasi seorang manusia.

Gangguan Mental Tuntut Keprihatinan Sejagat

Gangguan Psikologi, Cetus Perilaku Bunuh Diri

Isu gangguan mental menuntut keprihatinan semua pihak agar dapat membuka mata dan lebih cakna dengan keadaan yang berlaku disekeliling kita pada hari ini. Masyarakat harus bangkit dan sedar bahawa kesihatan mental bukanlah suatu isu peribadi yang mampu ditangani sendirian, sebaliknya keprihatinan dan tanggungjawab semua pihak mampu menyelamatkan satu nyawa. Masyarakat perlu lebih peka dan prihatin dengan masalah atau halangan yang dialami melalui cara mendengar rintihan dan luahan mereka. Ini dapat membantu menjauhkan diri mereka dari melakukan sebarang tindakan yang tidak wajar.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Ng Chong Guan, ramai pesakit mental enggan mendapatkan rawatan disebabkan malu dan merasakan mereka tidak sakit. Kebanyakan mereka lebih gemar berahsia, menyorokkan masalah daripada orang lain dan tidak mahu berkongsi dengan ahli keluarga ataupun rakan-rakan sehingga akhirnya penyakit mereka tidak mudah untuk dirawat. Justeru itu, peranan ahli keluarga terdekat sangat penting untuk membendung masalah gangguan mental dan perasaan ingin menamatkan kehidupan ini. Pasangan dan ahli keluarga perlu sentiasa peka dan prihatin akan perubahan yang dialami, tindak tanduk yang dilakukan dan memahami isi hati serta mendengar luahan individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

Selain itu, masalah ini dapat ditangani melalui rawatan awal terhadap individu yang cenderung mempunyai simptom gangguan mental. Rawatan ini dapat dilakukan menerusi perkhidmatan kaunseling dan psikologi secara percuma. Sebagai contoh, perkhidmatan kaunseling dan psikologi bergerak telah dilaksanakan di Bandung Indonesia menerusi penyediaan sebuah van di sesebuah kawasan yang turut menempatkan seorang pakar psikiatri. Perkhidmatan seumpama ini dilihat penting untuk individu yang memerlukan bantuan dan sokongan sosial dan emosi seterusnya mengekang perilaku bunuh diri. Dalam pada itu, usaha membendung permasalahan ini, menuntut peranan dan tanggungjawab masyarakat sekeliling seperti ibu bapa, sahabat dan majikan agar cakna dengan individu yang memiliki tanda-tanda awal gangguan mental. Ahli keluarga dan orang terdekat individu yang mengalami gangguan mental seharusnya menjadi sumber kekuatan utama kepada mangsa dalam memberi sokongan moral dan emosi supaya individu dapat pulih dan kembali sihat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Gangguan psikologi ini merupakan suatu penyakit dan hakikatnya ia adalah sama dengan penyakit fizikal yang memerlukan rawatan. Namun begitu, penyakit ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Oleh itu seseorang individu seharusnya lebih peka dan cakna akan kesihatan mental masing-masing dan melakukan ujian kendiri yang berkala. Jika didapati mengalami simptom gangguan mental, hendaklah mengakui akan kebenaran penyakit itu wujud dan segera mendapatkan bantuan ahli pakar. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap daripada manusia diuji dengan pelbagai cabaran, dugaan dan halangan yang menyebabkan seseorang itu berhadapan ketidakupayaan diri untuk mengatasi dan menguruskan bebanan tersebut. Sebagai seorang manusia yang dikurniakan dengan tubuh badan dan akal yang sihat, nikmat ini harus disyukuri, dihargai dan dijaga sebaiknya. Andai manusia hilang rasa yakin diri, hilang rasa percaya diri dan hilang rasa tanggungjawab, maka manusia akan mudah merasai diri mereka sudah tidak berguna, tidak bermanfaat dan hanya menyusahkan orang lain.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search