
Dimensi Miskin Bandar di Era COVID-19
Realiti Miskin Bandar
Miskin bandar merupakan suatu fenomena yang tidak pernah berkesudahan dan sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa. Sinar Harian, pada September 2021 melaporkan kadar kemiskinan negara telah meningkat kepada 8.4% berbanding 5.6% sebagaimana yang direkodkan pada tahun 2019. Jumlah kemiskinan isi rumah yang dianggarkan ialah dari 405,000 pada tahun 2019 meningkat kepada 640,000 pada tahun 2021.
Pada dasarnya, kemiskinan terbahagi kepada dua bentuk, iaitu kemiskinan relatif dan kemiskinan mutlak. Kebiasaannya, kemiskinan relatif terkait dengan perbandingan agihan pendapatan seseorang individu dengan individu lain. Manakala, kemiskinan mutlak pula merujuk kepada ketidakupayaan seseorang individu atau isi rumah dalam memenuhi keperluan asas yang minimum seperti makanan, minuman, tempat kediaman, pendidikan dan perubatan. Keperluan-keperluan tersebut sememangnya penting bagi mengukur tahap kemiskinan lebih-lebih lagi di bandar.
Ada apa pula dengan miskin bandar? Mengapa tidak miskin luar bandar? Realitinya, kemiskinan di bandar berbeza dengan kemiskinan di luar bandar kerana diliputi oleh ekosistem dan kos sara hidup yang turut berbeza. Jika suatu ketika dahulu kemiskinan sering kali dikaitkan dengan luar bandar, namun kini sebaliknya yang berlaku. Suasana persekitaran dan gaya hidup berbeza di bandar berupaya meningkatkan kos perbelanjaan harian berbanding di luar bandar. Tambahan pula, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) menegaskan bahawa terdapat lebih ramai golongan miskin di bandar berbanding luar bandar.
Hakikatnya, isu ini sentiasa menarik perhatian pihak kerajaan sehingga tersenarai dalam pelan pembangunan negara Malaysia. Salah satu strategi dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), telah memberi fokus terhadap ekonomi berteraskan rakyat. Dalam hal ini, kerajaan menumpukan kepada kepentingan rakyat, termasuk peluang pekerjaan, perniagaan kecil, kos sara hidup, kesejahteraan keluarga, dan penyertaan masyarakat. Usaha kerajaan dalam pembasmian kemiskinan ini bukan sahaja dilihat dalam RMK-11, malah sejak tahun 1971-1990 menerusi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Sehingga tahun-tahun berikutnya isu pembangunan ekonomi seiring menghapus jurang kemiskinan masyarakat Malaysia tidak pernah dilupakan sama sekali. Tambahan pula, isu kemiskinan berupaya memberi impak kepada pembangunan negara.
Selain itu, isu miskin bandar juga turut mendapat perhatian media massa yang turut berperanan memberi kesedaran kepada pihak-pihak berkepentingan. Saban tahun, isu ini sering sahaja menghiasi keratan-keratan akhbar. Buktinya, Sinar Harian pada Ogos 2019 telah mengupas isu ini dengan menggambarkan suasana miskin bandar di Malaysia beserta pelbagai inisiatif daripada pihak berkepentingan. Terbaharu, Harian Metro pada Februari 2021 melaporkan hasil perbualan khusus dengan seorang Profesor dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), tentang isu miskin bandar ini dari perspektif ahli akademik. Terserlah fenomena miskin bandar bukan sahaja popular dalam kalangan media tempatan malah, ahli akademik yang turut melakukan kajian dari masa ke masa.
Ternyata isu ini sering menjadi perhatian secara langsung mahupun tidak langsung sama ada dari segi inisiatif pelan pembangunan negara mahupun untuk kesejahteraan rakyat. Walaupun pelbagai langkah telah diambil dengan melibatkan komitmen pelbagai pihak, namun masalah miskin bandar terus berkembang sehingga hari ini. Situasi ini menimbulkan pelbagai persoalan, apakah faktor atau punca berlakunya miskin bandar di Malaysia? Mengapa isu ini tidak pernah berpenghujung?
Miskin Bandar dan Dampak Pandemik
Tatkala Malaysia masih berdepan dengan fenomena miskin bandar, kehadiran pandemik COVID-19 menambahkan kesulitan sedia ada, sehingga berupaya melumpuhkan pembangunan ekonomi sejagat. Dalam hal ini, banyak sektor ekonomi perlu berhenti daripada pengoperasiannya sehingga sebahagiannya terpaksa ditutup. Pastinya, tindakan ini sebagai langkah mengurangkan penularan wabak penyakit berjangkit ini. Pada hakikatnya, penutupan sektor-sektor ekonomi tertentu bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara malah, berkait rapat dengan punca pendapatan seseorang pekerja. Berdasarkan rekod daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), seramai 81,000 pekerja telah diberhentikan kerja susulan daripada pandemik COVID-19. Menurut Menteri Sumber Manusia, jumlah pekerja yang kehilangan kerja akibat krisis kesihatan dunia ini juga telah meningkat kepada 155,893 orang bermula tahun 2020 hingga Julai 2021. Bilangan tersebut bukanlah jumlah yang sedikit malah, amat membimbangkan lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.
Realitinya, pandemik COVID-19 ini sebenarnya telah memberi kesan yang sangat ketara terhadap landskap pekerjaan di Malaysia. Sekatan pergerakan dan penutupan sektor-sektor ekonomi secara tidak langsung memaksa majikan mengambil tindakan drastik dengan mengurangkan hari bekerja, menurunkan gaji pekerja dan memberhentikan pekerja akibat ketidakupayaan meneruskan pengoperasian. Tinjauan Ekonomi dan Monetori 2020 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan angka rasmi Survey Tenaga Buruh (Labour Force Survey, LFS) menunjukkan penurunan ketara guna tenaga daripada 15.1 juta orang pada tahun 2019 kepada 14.9 juta orang pada suku kedua 2020. Hal ini disebabkan oleh pekerja yang diberhentikan dan kontrak yang tidak diperbaharui. Laporan sama turut memaparkan peningkatan terhadap kadar pengangguran kepada 5.1% iaitu 791,800 orang pada suku kedua tahun 2020, yang merupakan angka tertinggi pernah dicatatkan sejak 1980-an. Ternyata, krisis pandemik COVID-19 ini memberi kesan besar terhadap punca pendapatan majoriti pekerja di Malaysia.
Apabila berbicara mengenai punca pendapatan tentunya akan berkait rapat dengan kos sara hidup seseorang individu. Kos sara hidup pula bergantung kepada pendapatan seseorang dalam pekerjaan. Hilangnya punca pendapatan atau pekerjaan maka, hilang juga sumber untuk menyara kehidupan. Hal ini pasti memberi kesan terhadap golongan yang begantung kepada sumber pendapatan daripada pekerjaan mereka. Kesan ini lebih membimbangkan bagi mereka yang tinggal di bandar kerana kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding luar bandar. Berita Harian, tahun 2021 melaporkan bahawa jumlah penduduk bandar jatuh dalam kategori miskin lebih tinggi iaitu 223,300 berbanding luar bandar iaitu 182,100. Dalam pada itu, Malaysia Kini melaporkan sebanyak 580,000 isi rumah dari golongan berpendapatan sederhana telah tergelincir ke dalam kategori 40 peratus (B40) kerana kemerosotan ekonomi yang berpunca daripada pandemik COVID-19. Situasi pandemik yang berlaku telah memburukkan keadaan dengan peningkatan jumlah golongan miskin bandar sedia ada.
Dimensi Miskin Bandar di Malaysia
Dari sudut pandang ahli akademik, Zahanim Ahmad menerusi kertas Persidangan Sains Sosial dan Kemanusiaan (PASAK5 2020), menyifatkan miskin bandar sebagai fenomena multi-dimensi disebabkan oleh berbagai faktor yang bersifat kumulatif. Beliau juga turut berpandangan bahawa ketidaksempurnaan perancangan dan sokongan merupakan faktor penyebab utama kemiskinan bandar. Antara faktor penyebab kemiskinan bandar yang disebut adalah kepesatan urbanisasi dan pertumbuhan bandar. Kedua-dua faktor ini sudah berupaya membawa kepada kemiskinan bandar. Selain itu, sistem MURNInets (Malaysian Urban Indicators Network) yang telah memperincikan beberapa dimensi yang perlu diambil kira dalam mengukur dan menilai kemampanan bandar. Antaranya, ekonomi yang berdaya saing, kualiti alam sekitar lestari, komuniti sejahtera, guna tanah dan sumber asli optimum, infrastruktur dan pengangkutan yang efisien dan urus tadbir yang efektif. Kesemua yang digariskan merupakan penunjuk-penunjuk yang berupaya mengekalkan kemampanan sesebuah bandar serta kawasan gabungannya.
Di Malaysia, kemiskinan yang sering dirujuk adalah kemiskinan mutlak kerana perbandingan yang sering dilakukan antara pendapatan isi rumah dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). PGK secara ringkasnya ditakrifkan sebagai jumlah pendapatan purata yang diperlukan bagi sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan minimum makanan dan bukan makanan. Tidak dinafikan mutakhir ini, isu miskin bandar kerap kali dibicarakan rentetan peningkatan nilai PGK semasa sejak metodologi 2019 itu diumumkan. Menerusi kajian semula yang dilakukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai PGK meningkat kepada RM 2208, berbanding RM 980 tahun sebelumnya. Pengkajian dan penetapan semula nilai PGK semasa ini dilakukan atas dasar metodologi 2015 yang dilihat sudah tidak lagi relevan berikutan kos sara hidup yang kian meningkat. Bagi kekal relevan dengan situasi semasa nilai PGK terbaharu telah dikemaskini dengan mengambil kira kaedah pengukuran kemiskinan pelbagai dimensi seperti kesihatan, pendidikan, perumahan, taraf hidup, akses kepada maklumat dan pendapatan bulanan isi rumah. Selaras dengan pembaharuan yang berlaku dalam mengukur tahap kemiskinan, secara tidak langsung menunjukkan peningkatan jumlah penduduk miskin bandar di Malaysia.
Dalam pada itu, krisis pandemik yang melanda negara turut memperlihatkan dimensi berbeza miskin bandar dari sebelumnya. Ketidakcukupan dan ketidakstabilan pendapatan isi rumah akibat kehilangan pekerjaan mengubah hampir keseluruhan corak kehidupan masyarakat terutamanya di bandar. Dalam hal ini, penetapan gaji minimum RM 1200 juga dilihat sebagai cabaran bagi masyarakat di bandar apabila dalam masa yang sama perlu berdepan dengan krisis pandemik. Tambahan pula, kos membeli keperluan asas yang tinggi dengan kehilangan pekerjaan mempamerkan ketidakseimbangan dalam kehidupan masyarakat di bandar untuk kekal sejahtera. Profesor Dr. Zaid Ahmad, pensyarah di Fakulti Ekonomi UPM menegaskan bahawa ukuran kemiskinan bandar tidak seharusnya terhad kepada kuasa beli semata-mata namun, perlu mengambil kira ekosistem pelbagai dimensi seperti kualiti hidup, pendidikan berkualiti, perumahan, kesihatan, akses maklumat, rekreasi dan kesejahteraan hidup sepenuhnya. Keseluruhannya perlu diambil kira dalam mengukur tahap kemiskinan lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di bandar.
Secara realitinya, miskin bandar bukanlah perkara yang boleh terhapus dengan mudah, malah komitmen dan kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan. Walaupun kerajaan dilihat sentiasa melakukan pengkajian semula terhadap pendapatan isi rumah sebagai langkah menangani miskin bandar, namun isu ini masih kekal menjadi fenomena sehingga hari ini. Sebagaimana laporan tahunan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan isi rumah kategori miskin tegar telah meningkat kepada 639.8 ribu pada tahun 2020 berbanding 405.4 ribu pada tahun 2019. Miskin tegar disini ialah golongan yang berpendapatan kurang daripada PGK iaitu RM 2208. Sedikit sebanyak jumlah ini memaparkan Malaysia berada di paras bahaya dalam mendepani isu kemiskinan.
Kerajaan menerusi RMK-11, juga telah menetapkan ukuran relatif bagi memantau jurang pendapatan antara golongan miskin, pertengahan dan kaya. Sebagaimana pengkelasan isi rumah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terbahagi kepada tiga iaitu Bottom 40% (B40), Middle 40% (M40) dan Top 20% (T20). Terbaharu, kerajaan turut memperkenalkan pengkelasan baharu iaitu B40 kepada B1, B2, B3 dan B4; M40 kepada M1, M2, M3 dan M4 dan T20 kepada T1 dan T2. Ukuran ini antara inisiatif kerajaan bagi mengenal pasti golongan sasaran yang layak diberi bantuan dan subsidi sesuai dengan pendapatan masing-masing. Walau bagaimanapun, pengkelasan isi rumah ini adalah tidak tetap dan akan bergantung kepada penyata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Meskipun pelbagai jenis bantuan telah pun disalurkan kepada golongan yang berpendapatan rendah namun, miskin bandar masih tidak terhapus. Sejauh manakah bantuan kerajaan mampu mengubah corak miskin bandar di Malaysia? Apakah impak yang diperoleh golongan miskin yang sedia menerima inisiatif kerajaan?
Implikasi dan Tindakan Pembasmian Kemiskinan
Hakikatnya, miskin bandar bukanlah isu yang harus dipandang enteng kerana impaknya pasti memberi tamparan hebat terhadap negara-negara yang mengalaminya. Isu kemiskinan di Malaysia boleh dikatakan berada pada tahap membimbangkan. Ditambah pula dengan peningkatan jumlah individu yang diberhentikan kerja sejak pandemik COVID-19 membadai negara. Kesannya, mengakibatkan peningkatan jumlah miskin bandar yang sedia ada. Situasi ini jelas memperlihatkan fenomena yang amat serius dan memerlukan tindakan sewajarnya. Inisiatif daripada diri sendiri juga perlu dalam mengatasi masalah belenggu kemiskinan ini. Masyarakat sendiri perlu mempunyai kesedaran yang tinggi, sekurang-kurangnya mempunyai simpanan untuk kegunaan situasi diluar jangka.
Dalam membincangkan hal ini juga, perancangan dan penilaian yang cukup teliti amat diperlukan bagi membasmi masalah miskin bandar di Malaysia. Kerajaan perlu melihat kepada rancangan jangka masa panjang bagi membendung serta menghapus masalah miskin bandar. Perkara yang jelas, bantuan demi bantuan yang disalurkan hanya bersifat sementara dan tidak berupaya membasmi masalah kemiskinan. Meningkatkan peluang pekerjaan untuk semua peringkat individu antara langkah wajar yang perlu dilaksanakan. Langkah yang lebih proaktif dalam membangunkan dasar negara adalah perlu demi mengeluarkan masyarakat Malaysia daripada belenggu kemiskinan, agar seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.