skip to Main Content
Dilema Pelajar Lepasan SPM: Antara Impian Dan Realiti

Dilema Pelajar Lepasan SPM: Antara Impian dan Realiti

Oleh: Siti Romilah binti Mat Yajid

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysian (SPM) 2024 yang telah diumumkan baru-baru ini meraih perhatian pelbagai pihak terutama daripada calon sendiri, ibu bapa dan para guru. Deretan keputusan cemerlang yang mengisi media sosial meyakinkan rakyat bahawa letaknya masa depan negara pada generasi berilmu. Tidak kurang juga calon yang memperoleh keputusan yang kurang cemerlang. Pada tahun 2024, seramai 402,918 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 355,933 calon (94%) layak menerima sijil SPM. Keputusan SPM bukan sahaja menjadi penamat kepada satu fasa persekolahan, malah membuka pintu besar menuju dunia pilihan sama ada melanjutkan pelajaran, memasuki alam pekerjaan atau mencari hala tuju hidup yang lebih bermakna.

Namun begitu dalam keterujaan memilih jalan selepas SPM, ramai terperangkap dalam dilema yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar hari ini iaitu dengan mengikuti minat sendiri, bidang trending, kerjaya kritikal, pilihan ibu bapa, atau tekanan masyarakat?

 

Bidang Trending vs Bidang Kritikal vs Minat Sendiri

Hari ini, kita hidup dalam dunia yang dibanjiri maklumat dan trend. Media sosial sarat dengan kejayaan mereka yang masuk bidang teknologi, pemasaran digital, reka bentuk, atau menjadi content creator sepenuh masa. Di samping itu, ramai juga pelajar terinspirasi untuk memilih bidang yang sedang “trending“, seperti Artificial Intelligence, Data Science, Cybersecurity atau Multimedia. Bidang ini bukan sahaja berprestij, malah dilihat sebagai “kerjaya masa depan”.

Namun, kita juga tidak boleh abaikan keperluan negara terhadap bidang kritikal seperti perubatan, pendidikan, kejuruteraan awam, sains pertanian dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional). Ini semua adalah bidang yang sangat diperlukan untuk menjamin kesinambungan tenaga kerja negara dalam sektor-sektor utama. Berdasarkan laporan Future of Jobs 2023 oleh World Economic Forum, bidang yang berkait rapat dengan teknologi dan sains data berada dalam senarai 10 pekerjaan paling pesat berkembang menjelang 2030. Malaysia sendiri menyasarkan untuk melahirkan 1 juta tenaga mahir digital menjelang tahun 2030 melalui Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Tetapi bagaimana pula dengan minat peribadi? Bagaimana jika seseorang itu minat dalam seni, muzik, kulinari, atau kesusasteraan? Perlukah minat mereka diketepikan semata-mata demi jaminan kerja?

Semua program mempunyai kelebihan tersendiri, namun masih ramai pelajar yang keliru dalam membuat keputusan. Sudah tentu setiap pelajar menginginkan laluan terbaik berdasarkan pilihan yang dibuat. Namun begitu, perkara ini bergantung kepada kekuatan akademik dan hala tuju masa depan pelajar itu sendiri. Oleh itu, setiap pilihan perlu diperhalusi dengan meneliti kelebihan dan kekurangannya.

Kelebihan Ikut Bidang Trending atau Kritikal

Bidang trending merujuk kepada kerjaya baharu yang muncul selaras dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup pada masa kini. Kerjaya seperti ini memberi fleksibiliti masa dan tempat kerja serta sesuai dengan jiwa Generasi Z yang membesar dalam dunia digital.

Bidang kerjaya trending atau kritikal sering kali menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar dan belia, selari dengan kepesatan perkembangan era digital. Hal ini demikian kerana kedua-dua kategori kerjaya ini mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran kerja. Secara khususnya, bidang kritikal menekankan kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan sebenar industri, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Selain peluang pekerjaan yang luas, faktor pendapatan yang lumayan turut menjadi tarikan utama. Dalam konteks ini, kerjaya sebagai pempengaruh (influencer) semakin mendapat perhatian, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Kerjaya ini bukan sahaja memenuhi aspirasi untuk meraih kemasyhuran dan gaya hidup glamor, malah menawarkan potensi pendapatan yang tinggi melalui platform digital. Pempengaruh media sosial, misalnya, berpeluang menjana pendapatan dan menarik pelanggan dari seluruh dunia, sekiranya kandungan yang dihasilkan mampu menarik perhatian secara global.

Bahkan, peluang kerjaya sebegini lebih luas dan cepat berkembang. Bidang kritikal ini bukan sahaja menjanjikan peluang kerja yang lebih stabil, malah memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Manakala bidang trending pula sering berkait rapat dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup masyarakat moden. Individu yang berani mencuba dan pantas menyesuaikan diri dalam bidang trending biasanya lebih mudah mencipta nama dan mencapai kejayaan pada usia yang muda.

Namun begitu, terdapat risikonya kerana bidang trending ini mungkin tidak bertahan lama jika tiada minat. Bagi pelajar yang tidak mempunyai minat yang mendalam, mereka akan mudah berasa bosan. Pemilihan kerjaya yang tidak sejajar dengan minat pelajar lazimnya menyebabkan mereka kurang bersemangat untuk memberikan yang terbaik. Ramai pelajar memilih bidang trending hanya kerana faktor luaran seperti tekanan daripada ibu bapa, pengaruh media sosial atau anggapan bahawa bidang tersebut mampu menjamin masa depan yang cerah. Keadaan ini mungkin menyebabkan pelajar berhenti di pertengahan jalan.

Selain itu, mereka juga berisiko mengalami keletihan melampau atau ‘burnout’ sekiranya mengikuti trend tanpa kefahaman yang mendalam. Kekurangan pengetahuan dan kefahaman dalam sesuatu bidang boleh menimbulkan tekanan yang tinggi. Pelajar akan berasa letih secara mental dan fizikal, sekali gus menjejaskan motivasi serta semangat untuk belajar. Keadaan ini turut memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental.

Malah, bidang trending juga boleh menjadi cepat lapuk. Ia bersifat berubah-ubah dan sangat bergantung kepada perkembangan teknologi serta keperluan pasaran semasa. Apa yang menjadi perhatian hari ini mungkin akan lenyap pada masa akan datang. Tumpuan terhadap sesuatu bidang boleh beralih dengan pantas, mengikut arus perubahan teknologi. Jika hari ini bidang data sains menjadi pilihan, mungkin lima tahun akan datang bidang lain pula akan mengambil alih perhatian. Kerjaya sebagai pempengaruh, misalnya, semakin popular dalam kalangan anak muda. Namun, adakah semua yang memilih kerjaya ini mampu mencapai kejayaan dan menjamin masa depan mereka? Sudah tentu ia memerlukan perancangan dan strategi yang jelas. Pelajar yang memilih bidang ini perlu bersedia untuk terus belajar dan menyesuaikan diri secara berterusan.

Kelebihan Ikut Minat Sendiri

Berbeza pula bagi individu yang memilih bidang berdasarkan minat sendiri. Golongan ini biasanya lebih bersemangat, bermotivasi, dan sanggup belajar dengan lebih mendalam. Mereka juga bersedia meneroka bidang ilmu secara serius dengan komitmen yang tinggi. Selain itu, mereka turut menikmati kepuasan kerja dan berpotensi mempunyai jangka hayat kerjaya yang lebih panjang. Kerjaya yang dibina atas dasar minat biasanya lebih stabil dari segi emosi. Walau apa pun cabaran yang datang, individu tetap tabah dan terus berusaha kerana mereka menyukai apa yang mereka lakukan. Kepuasan kerja menjadi faktor utama dalam ketahanan kerjaya jangka panjang.

Minat yang mendalam juga membuka peluang yang luas untuk mencipta kelainan dan inovasi. Individu yang benar-benar menyukai bidangnya akan berusaha untuk berfikir secara kreatif, memperbaiki sistem sedia ada atau memperkenalkan idea baharu. Mereka juga berpotensi menjadi peneraju dalam bidang yang diceburi walaupun bidang tersebut tidak begitu popular.

Namun begitu, terdapat juga risikonya. Ada bidang yang sangat menarik untuk diterokai tetapi kurang mendapat perhatian dari sudut pasaran pekerjaan. Contohnya, bidang seperti sastera klasik, muzik tradisional, atau sejarah mungkin tidak menawarkan banyak peluang pekerjaan, apatah lagi dengan gaji yang lumayan.

Oleh itu, kejayaan dalam bidang yang kurang popular memerlukan keberanian dan strategi jangka panjang. Seseorang perlu berani mengambil risiko, termasuk membina kerjaya secara berperingkat, bekerja secara bebas (freelance), atau menjalankan perniagaan sendiri. Kesemua ini memerlukan perancangan yang teliti serta kesungguhan yang tinggi untuk terus bertahan dan berjaya.

Pilihan Ibu Bapa vs Impian Anak

Satu lagi realiti yang sukar dielakkan ialah pengaruh ibu bapa. Ramai pelajar terpaksa ‘mengikut’ laluan yang telah dirancang oleh ibu bapa seperti menjadi doktor, jurutera atau guru tanpa memahami sepenuhnya potensi dan kehendak diri mereka sendiri. Niatnya tidak lain adalah agar anak-anak memiliki kehidupan yang stabil dan dihormati masyarakat. Walaupun niat ibu bapa pastinya baik, kadangkala ia mengakibatkan tekanan emosi kepada pelajar, lebih-lebih lagi jika jurusan tersebut tidak sesuai dengan keupayaan atau minat mereka.

Didorong oleh kasih sayang dan kebimbangan terhadap masa depan anak, pendekatan ibu bapa yang terlalu dominan ini berisiko menjerumuskan anak ke dalam bidang yang tidak serasi dengan jiwa dan kebolehan mereka. Akibatnya, pelajar berasa tertekan, hilang semangat belajar, dan dalam sesetengah kes mengalami keletihan emosi atau kecelaruan identiti. Sebagaimana ditegaskan oleh Dr. Rozanizam, pakar dalam kesihatan mental pelajar: “Memaksa anak mengikut laluan yang mereka sendiri tidak yakin ibarat menolak daun ke arus deras, mereka hanyut tanpa berkembang.

Justeru, jalan tengah yang wajar ialah komunikasi terbuka antara anak dan ibu bapa. Kedua-dua pihak perlu duduk berbincang secara matang mengenai pilihan, risiko dan peluang yang ada. Ibu bapa perlu diberi pemahaman bahawa kerjaya pada masa kini jauh lebih pelbagai dan tidak lagi terhad kepada beberapa profesion konvensional. Anak pula harus belajar menjelaskan minat mereka dengan matang, manakala ibu bapa perlu mendengar dengan fikiran terbuka serta bersedia menerima realiti baharu dalam dunia kerjaya.

Ibu bapa yang memahami perubahan ini akan menjadi sumber kekuatan, bukan tekanan. Mereka bukan hanya mendidik anak, tetapi juga membantu anak menemui versi terbaik diri mereka.

Tekanan Ekspektasi Masyarakat

Di luar pengaruh keluarga, wujud pula satu bentuk tekanan halus namun berkuasa iaitu ekspektasi masyarakat. Masyarakat kadangkala menjadi “penonton yang merasakan mereka berhak menilai” keputusan hidup seseorang, dengan soalan-soalan seperti: “Kenapa tak sambung belajar?”, “Kerja kilang je ke lepas SPM?”, “Eh, anak tu tak masuk universiti ke?” Soalan-soalan sebegini boleh menggugat keyakinan diri pelajar muda yang sedang berusaha membina laluan mereka sendiri. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa sesiapa yang menyimpang daripada laluan arus perdana dianggap “kurang bernasib baik” atau “tidak cukup cemerlang”.

Apa yang jarang diketengahkan ialah hakikat bahawa kejayaan tidak semestinya hadir melalui laluan universiti. Ramai juga yang berjaya dalam bidang kemahiran, perniagaan kecil, atau melalui pengalaman kerja sebaik sahaja tamat SPM. Lulusan TVET, contohnya, bukan sahaja mampu berdikari malah berpeluang membina kerjaya yang stabil dan berpendapatan tinggi.

Menurut laporan Kementerian Sumber Manusia, lebih 90% lepasan TVET memperoleh pekerjaan tetap dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan. Ini menunjukkan bahawa laluan alternatif juga menjanjikan masa depan yang cerah. Maka, kita perlu memperluaskan naratif tentang kejayaan agar lebih inklusif yang meraikan pelbagai bentuk pencapaian. Kejayaan bukan sekadar terletak pada ijazah dan gelaran akademik, tetapi pada kecekalan, kemahiran, dan sumbangan sebenar seseorang kepada masyarakat. Masa depan bukan ditentukan oleh persepsi orang luar, tetapi oleh pilihan dan usaha kita sendiri.

SPM Itu Penting, Tapi Bukan Penentu Segalanya

SPM ialah batu asas, bukan destinasi akhir. Ia penting sebagai kelayakan untuk melangkah ke peringkat seterusnya sama ada pengajian tinggi, latihan kemahiran, atau terus ke alam pekerjaan. Namun, janganlah jadikan keputusan SPM sebagai satu-satunya penanda aras nilai diri atau masa depan.

Kita perlu faham bahawa kecemerlangan akademik bukanlah satu-satunya bentuk kecerdasan. Ada pelajar yang mungkin tidak menyerlah dalam peperiksaan, tetapi cemerlang dalam kreativiti, kepimpinan, pertukangan, komunikasi, atau inovasi digital.

Ramai tokoh dan usahawan berjaya hari ini pun tidak memperoleh straight A dalam SPM mereka. Apa yang lebih penting ialah kesediaan untuk terus belajar, beradaptasi, dan membina diri dari semasa ke semasa.

Kata usahawan teknologi Malaysia, Ganesh Kumar Bangah:
Apa yang penting hari ini bukan apa yang anda dapat dalam SPM, tetapi sejauh mana anda bersedia belajar dan menyesuaikan diri dalam dunia yang sentiasa berubah.

Justeru, jangan jadikan slip SPM sebagai takdir hidup anda. Jadikan ia sebagai permulaan untuk memahami kekuatan diri dan membina masa depan yang anda sendiri impikan bukan masa depan yang ditentukan oleh sistem, tekanan, atau orang lain.

 

Kesimpulan

Setiap orang mempunyai jalan hidup yang berbeza. Jangan sesekali membandingkan laluan anda dengan orang lain. Ambil kira minat dan potensi diri, keperluan pasaran kerja, pandangan ibu bapa (dengan rundingan yang terbuka), serta realiti ekonomi dan sosial semasa.

Buatlah pilihan dengan ilmu, bukan secara tergesa-gesa atau mengikut tekanan. Kerjaya yang baik bukan semata-mata yang sedang trending atau digemari orang lain, tetapi yang mampu membuatkan anda berkembang dan memberi makna dalam kehidupan.

Hakikatnya, tiada satu haluan yang seragam untuk semua. Pilihlah laluan yang sesuai dengan minat dan kekuatan diri sendiri. Keupayaan akademik, termasuk keputusan SPM, juga perlu diambil kira. Selain itu, penting untuk menyelidik bidang yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran kerja agar pilihan anda lebih strategik dan mampan.

Kerjaya bukan hanya tentang gaji atau status, tetapi tentang bagaimana kita memberi makna kepada hidup kita setiap hari. Binalah diri dan strategi hidup yang seimbang yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan dari segi kerjaya, tetapi juga kepuasan dan kebahagiaan secara holistik.

Seperti yang diungkapkan oleh Prof. Dr. Muhaya Mohamad, pakar motivasi:
“Pilihan selepas SPM bukan sekadar akademik, ia tentang hala tuju hidup. Dan ia perlu dibuat dengan jiwa yang sedar dan mata yang terbuka.”

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search