skip to Main Content
DEB Ke PuTERA35: Menjejak Transformasi Ekonomi Bumiputera

DEB ke PuTERA35: Menjejak Transformasi Ekonomi Bumiputera

Oleh: Nur Aina Makhtarudin

Setelah 67 tahun mencapai kemerdekaan, jurang sosioekonomi antara kaum di Malaysia masih menjadi antara perkara yang mencabar keharmonian dan keseimbangan pembangunan negara. Peninggalan sistem pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah menjadi akar kepada ketidakseimbangan ini, mewariskan struktur ekonomi yang tidak adil dan memisahkan fungsi ekonomi berdasarkan etnik. Kesannya masih dirasai hingga ke hari ini, meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengatasinya. Antara langkah awal yang bermakna ialah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1971. DEB bertujuan mengurangkan kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi. Namun begitu, data terkini menunjukkan bahawa matlamat ini belum sepenuhnya tercapai. Sebagai contoh, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan bahawa pada tahun 2022, insiden kemiskinan mutlak dalam kalangan Bumiputera adalah yang tertinggi di Malaysia, iaitu 7.9 peratus, berbanding Cina sebanyak 1.9 peratus dan India 5.4 peratus (KOSMO, 2024). Selain itu, dalam aspek pemilikan ekuiti korporat, jurang ini turut jelas kelihatan Bumiputera hanya menguasai 18.4 peratus ekuiti korporat pada tahun 2020, jauh lebih rendah berbanding bukan Bumiputera yang mencatatkan 29.5 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa sasaran DEB iaitu sekurang-kurangkan 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih lagi belum dapat dicapai sehingga hari ini.

Selepas era DEB, Malaysia terus melangkah dengan pelbagai dasar pembangunan ekonomi jangka panjang, antaranya Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Wawasan Negara (DWN), Dasar Transformasi Nasional (DTN) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB). Meskipun dasar-dasar ini diperkenalkan di bawah kepimpinan yang berbeza, matlamatnya tetap sama iaitu merapatkan jurang sosioekonomi antara rakyat dan mencipta pembangunan yang lebih inklusif. Kini, usaha ini diteruskan dengan satu visi baharu oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) pada Ogos 2024 lalu. Pelan ini menjadi tonggak penting dalam menyeimbangkan ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada peranan Bumiputera dalam sektor kritikal seperti teknologi tinggi dan ekonomi digital. Dengan fokus kepada pemilikan, penyertaan, dan penguasaan ekonomi, PuTERA35 dilihat sebagai satu langkah terkehadapan dalam memastikan pembangunan yang lebih adil dan berdaya tahan. Artikel ini akan menganalisis keberjayaan serta pengajaran daripada dasar-dasar terdahulu, khususnya DEB, sebagai asas dalam memastikan PuTERA35 tidak mengulangi kesilapan yang sama. Pendekatan ini penting untuk memastikan PuTERA35 mampu mencapai sasaran yang ditetapkan, sekaligus membawa transformasi yang lebih signifikan dalam memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

DEB dan PuTERA35 berkongsi pendekatan yang sama, iaitu berasaskan dasar afirmatif. Dasar afirmatif ini dirangka khusus untuk memberi keutamaan kepada kumpulan tertentu. Dalam konteks DEB dan PuTERA35, ia memfokuskan kepada golongan Bumiputera sebagai usaha menangani ketidakseimbangan sosioekonomi yang diwarisi daripada sistem kolonisasi British. Pendekatan ini dilihat masih relevan, terutama kerana Bumiputera kekal sebagai kumpulan penduduk majoriti di Malaysia, dengan anggaran seramai 21.6 juta orang atau 70.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk iaitu sebanyak 30.7 juta pada tahun 2024 (DOSM, 2024). Namun begitu, meskipun menjadi majoriti, Bumiputera masih menghadapi cabaran besar dalam aspek sosioekonomi. Perkara ini dapat dilihat melalui insiden kemiskinan mutlak dalam kalangan Bumiputera kekal tertinggi di Malaysia. Tambahan pula, penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi juga masih rendah. Sebagai contoh, pada tahun 2015, Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) milik Bumiputera hanya mewakili 39.1 peratus daripada jumlah keseluruhan PMKS, iaitu 354,704 daripada 907,200 perusahaan (SME Corp.). Statistik ini menjadi bukti bahawa dasar afirmatif seperti DEB dan PuTERA35 amat diperlukan untuk memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam sektor ekonomi negara, sambil memastikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama.

DEB: Mencipta Kejayaan, Menghadapi Realiti

DEB telah mencapai kejayaan besar dalam mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia. Pada tahun 1970, kadar kemiskinan keseluruhan adalah setinggi 49.3 peratus, dengan sebahagian besar terdiri daripada Bumiputera yang bergantung kepada sektor tradisional seperti pertanian. Namun, menjelang tahun 1990, kadar ini menurun dengan ketara kepada 17.1 peratus, hasil pelaksanaan pelbagai program pembangunan sosioekonomi seperti peningkatan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur asas, dan akses kepada pendidikan. Selain itu, DEB berjaya mencatatkan kemajuan dalam pendidikan dan penyusunan semula masyarakat. Jumlah pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi meningkat daripada 7,392 pada tahun 1971 kepada 25,444 pada tahun 1980, didorong oleh program biasiswa dan akses pendidikan yang lebih luas. Perkhidmatan sosial seperti bekalan air, elektrik, kesihatan, dan pendidikan juga diperluaskan secara signifikan, memperbaiki kualiti hidup di kawasan luar bandar dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Keberhasilan ini menunjukkan bahawa DEB berjaya mencipta perubahan besar dalam landskap sosioekonomi Malaysia, meskipun beberapa sasaran seperti pemilikan ekuiti penuh masih belum tercapai sepenuhnya.

Menjelang tahun 1990, pemilikan ekuiti Bumiputera hanya mencapai 19.3 peratus, jauh lebih rendah daripada sasaran 30 peratus yang ditetapkan. Lebih membimbangkan, peratusan ini terus menurun kepada 16.2 peratus pada tahun 2015, manakala pemilikan ekuiti oleh warga asing meningkat daripada 37.2 peratus kepada 45.3 peratus dalam tempoh yang sama (Ekonomi Rakyat, 2019). Salah satu punca utama kegagalan ini ialah fenomena Ali Baba, yang menjadi antara cabaran terbesar dalam pelaksanaan DEB. Fenomena Ali Baba merujuk kepada amalan di mana usahawan Bumiputera bertindak sebagai “penama” atau proksi kepada bukan Bumiputera untuk mengakses peluang ekonomi yang disediakan melalui dasar afirmatif. Peluang seperti saham, kontrak kerajaan, atau lesen perniagaan yang diperuntukkan kepada Bumiputera sering kali dijual kembali atau diserahkan kepada bukan Bumiputera untuk keuntungan jangka pendek. Sebagai contoh, saham yang diberikan kepada Bumiputera melalui tawaran awam permulaan (IPO) dijual segera selepas diperoleh untuk mendapatkan pulangan segera. Amalan ini bukan sahaja menggagalkan matlamat penyusunan semula ekonomi yang menjadi asas DEB, tetapi juga menyebabkan pemindahan aset kembali kepada bukan Bumiputera, sekali gus mengekalkan ketidakseimbangan ekonomi yang cuba diatasi. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengkritik fenomena ini, menyatakan bahawa budaya “jual segera” dalam kalangan Bumiputera melemahkan usaha meningkatkan pemilikan ekuiti dan daya saing ekonomi Bumiputera secara mampan (Pejabat Perdana Menteri, 1990). Fenomena ini menunjukkan bahawa tanpa integriti dan kesedaran jangka panjang, matlamat dasar afirmatif sukar untuk dicapai sepenuhnya.

Amalan kronisme dan nepotisme telah lama menjadi isu dalam dunia politik Malaysia, menghalang pencapaian matlamat dasar seperti DEB. Kronisme merujuk kepada pemberian keistimewaan kepada rakan atau kenalan rapat, manakala nepotisme melibatkan keutamaan kepada ahli keluarga dalam pengagihan peluang ekonomi. Dalam konteks DEB, amalan-amalan ini menyebabkan pengagihan manfaat yang tidak adil, di mana peluang ekonomi seperti kontrak, lesen, dan pinjaman lebih cenderung diberikan kepada individu yang mempunyai hubungan istimewa dengan pihak berkuasa atau elit politik, berbanding mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Akibatnya, hanya segelintir golongan elit Bumiputera yang menikmati manfaat dasar ini, sementara majoriti Bumiputera di luar bandar dan golongan berpendapatan rendah terus terpinggir daripada peluang ekonomi yang dijanjikan. Keadaan ini memperkukuh ketidakseimbangan dalam masyarakat Bumiputera itu sendiri, di mana jurang antara golongan elit dan golongan bawahan semakin melebar. Kajian menunjukkan bahawa amalan kronisme dan nepotisme bukan sahaja melemahkan kepercayaan rakyat terhadap pelaksanaan dasar kerajaan tetapi juga menghalang mobiliti sosial dalam kalangan Bumiputera.

Seterusnya, kelemahan dalam pengawasan dan pemantauan pelaksanaan DEB telah mengakibatkan ketirisan peruntukan dan penyelewengan sumber, yang seterusnya menjejaskan pencapaian matlamat dasar tersebut. Menurut Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, Penganalisis Ekonomi di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, peruntukan berbilion ringgit kepada agenda Bumiputera yang diumumkan dalam bajet setiap tahun tidak sampai kepada golongan sasar akibat isu ketirisan dan kelemahan pelaksanaan. Beliau menegaskan bahawa selagi masalah ini tidak diatasi, dasar-dasar baharu yang diperkenalkan berpotensi menghadapi kegagalan yang sama seperti DEB (Sinar Harian, 2021). Tanpa sistem pengawasan dan pemantauan yang berkesan, sukar untuk memastikan program dan inisiatif di bawah DEB dilaksanakan dengan integriti dan ketelusan, sekali gus menjejaskan usaha mencapai objektif pengagihan kekayaan dan penyusunan semula masyarakat.

PuTERA35: Membina Masa Depan, Belajar dari Masa Lalu

Kelemahan pelaksanaan DEB menjadi pengajaran berharga dalam membentuk dasar baharu yang lebih inklusif dan efektif. Pelaksanaan DEB yang terhalang oleh ketirisan, amalan kronisme, dan kelemahan pengawasan menunjukkan keperluan untuk pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan berasaskan nilai. Diharapkan melalui pelaksanaan PuTERA35 mampu memenuhi aspirasi ini dengan pendekatan yang sistematik, telus, dan berkesan.

PuTERA35 merupakan sebuah agenda pembangunan menyeluruh jangka panjang yang bertujuan untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera. Pelan ini menggariskan tiga teras utama yang selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperbaiki tatakelola institusi, dan menegakkan keadilan sosial. Dengan sembilan sasaran utama, termasuk enam sasaran sedia ada di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan tiga sasaran baharu, PuTERA35 memberi fokus kepada transformasi penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam sektor ekonomi strategik. Selain itu, penggunaan dashboard PuTERA35 membolehkan pemantauan keberhasilan yang telus sehingga tahun 2035. Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030), PuTERA35 menumpukan usaha untuk mensifarkan kemiskinan tegar, memperluaskan pendigitalan, meningkatkan daya saing global, dan memupuk mobiliti sosial. Pelan ini dibangunkan melalui pendekatan bottom-up, iaitu dengan melibatkan rakyat secara langsung, termasuk melalui Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024). Selain menambah baik ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, dan infrastruktur asas, PuTERA35 turut memberi perhatian kepada anjakan struktur ekonomi. Perubahan ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada perdagangan antarabangsa, memperkukuh ekonomi digital, dan memastikan Bumiputera terus berdaya saing dalam ekonomi global yang semakin mencabar.

Untuk memastikan PuTERA35 mencapai matlamat yang disasarkan, pelaksanaan pelan ini harus mengambil iktibar daripada kelemahan DEB. Pertama, bagi menangani ketirisan peruntukan seperti yang dialami semasa DEB, PuTERA35 perlu memperkukuh sistem pemantauan melalui penggunaan dashboard PuTERA35 yang membolehkan penilaian keberhasilan dilakukan secara berkala dan telus. Pemantauan bebas oleh pihak ketiga juga boleh diperkenalkan untuk memastikan akauntabiliti dalam setiap peringkat pelaksanaan. Kedua, bagi menghapuskan amalan kronisme dan nepotisme, proses agihan peluang ekonomi seperti kontrak, lesen, dan insentif perlu berasaskan merit dan melalui mekanisme yang telus, tanpa pengaruh hubungan politik atau peribadi. Ketiga, fenomena Ali Baba, yang menjadi antara punca kegagalan DEB, perlu ditangani dengan memperkenalkan moratorium terhadap pemindahan hak milik saham atau aset yang diperoleh melalui dasar afirmatif. Penerima manfaat juga perlu diberi pendidikan kewangan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemilikan jangka panjang. Selain itu, PuTERA35 harus memperkukuh pelaburan dalam Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I) serta memperluaskan akses kepada latihan teknikal dan ekonomi digital. Langkah ini penting untuk meningkatkan daya saing Bumiputera dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.

Melalui pelaksanaan langkah-langkah ini, PuTERA35 bukan sahaja dapat membina asas ekonomi Bumiputera yang lebih kukuh tetapi juga memastikan bahawa pengajaran daripada DEB dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan menumpukan kepada nilai, integriti, dan keadilan sosial, pelan ini mampu membawa transformasi ekonomi yang mampan dan inklusif, sejajar dengan visi Kerangka Ekonomi MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

Kesimpulan

DEB merupakan langkah penting dalam menyusun semula ekonomi Malaysia dan mengurangkan ketidakseimbangan sosioekonomi, dengan pencapaian ketara seperti pengurangan kadar kemiskinan dan peningkatan akses pendidikan dalam kalangan Bumiputera. Namun, kegagalannya mencapai sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus akibat fenomena Ali Baba, amalan kronisme dan nepotisme, serta kelemahan dalam pengawasan pelaksanaan menjadi pengajaran berharga. Dengan pendekatan baharu yang lebih inklusif dan berasaskan nilai, akhlak, dan integriti, PuTERA35 diharapkan mampu meneruskan agenda ini dengan memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi. Pendekatan ini memberikan keyakinan bahawa agenda tersebut relevan dan mampan dalam memastikan ekonomi Bumiputera terus berkembang secara adil dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search