
COVID 19: GURU DAN BAHANA TRANSFORMASI BAHARU PENDIDIKAN MALAYSIA
Reaksi COVID-19 terhadap Sistem Pendidikan
Bagaikan fenomena yang tiada berpenghujung, begitulah diibaratkan sejak krisis Coronavirus Disease of 2019 (COVID-19) menggempar dunia. Berikutan peningkatan kes secara drastik, 11 Mac 2020, World Health Organization (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik. Pengisytiharan pandemik ini bersesuaian dengan penularan wabak yang telah tersebar meluas merentasi sempadan dunia. Akhir Mac 2020, bilangan positif COVID-19 di dunia mencecah 90,870 kes, sekali gus mengakibatkan sejumlah 3,000 kematian di seluruh dunia. Dalam kewaspadaan, Malaysia antara negara yang tidak terkecuali diserang wabak ini. 25 Januari 2020 merupakan kes pertama positif COVID-19 dikesan di Malaysia. Rentetan itu, 17 Mac 2020 tercatat kematian pertama di Malaysia. Sejak itu, bermula sejarah baharu buat Malaysia, apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah mengekang penularan COVID-19. Malaysia mengumumkan tarikh kuatkuasa PKP pertama bermula 18 Mac 2020 sehingga beberapa fasa lanjutan yang diumum secara berperingkat bermula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila jumlah kes mula mencatatkan penurunan.
Namun, akibat peningkatan semula jumlah kes yang mencecah kepada empat angka, memaksa Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat sebagai langkah yang lebih proaktif. Baginda memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. Sehingga kini, walaupun kes telah menunjukkan penurunan namun, masyarakat Malaysia belum bebas sepenuhnya dan masih hidup dalam norma baharu dengan perlu mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan. Keadaan ini tidak dapat dipastikan bilakah akan tamat sepenuhnya. Lebih membimbangkan impak COVID-19 sangat besar sehingga menjejaskan banyak pihak di pelbagai peringkat, di serata negara.
Di Malaysia, keadaan yang berlanjutan ini telah memberi kesan dalam pelbagai aspek, bukan sahaja ke atas pembangunan ekonomi bahkan, ke atas pembangunan sosial dan pendidikan. Sistem pendidikan mula terkena tempiasnya apabila kerajaan telah mengarahkan penutupan sekolah dan institusi pengajian tinggi. Perkara ini antara larangan utama dalam tempoh keberlangsungan PKP dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19. Meskipun begitu, demi meneruskan kelangsungan aktiviti pembelajaran, guru dan pelajar perlu melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR). Dalam situasi ini, PdPR dilihat sesuai untuk dilakukan hanya secara dalam talian menerusi pelbagai platfom sedia ada. Sekali lagi masyarakat Malaysia dikejutkan dengan rutin baharu selain perlu melalui beberapa fasa perintah berkurung. Maka, bermulalah episod baharu bagi pelajar, ibu bapa dan guru sendiri.
Realitinya, PdPR telah meletakkan cabaran yang cukup hebat kepada golongan pendidik lebih-lebih lagi guru sekolah. Memandangkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PnP) perlu dilakukan secara maya, para guru juga perlu menjadi kreatif untuk menarik perhatian pelajar. Lebih menyukarkan, kepada guru yang harus berperanan sebagai ibu dan bapa secara serentak. Jika keadaan ini berpanjangan, sedikit sebanyak pasti memberi kesan terhadap emosi diri sendiri. Demikian, kewajaran isu ini wajar diteliti dan diperhalusi dari segenap aspek seperti aspek psikologi guru demi menjaga segenap emosi, fizikal dan kesejahteraan kesihatan warga pendidik supaya dapat mengelakkan isu yang lebih buruk melanda yang melibatkan isu kesihatan mental.
Guru dan Cabaran Norma Baharu
Sedari awal perlaksanaan PdPR secara atas talian sebagai alternatif pendidikan norma baharu, cabarannya hangat diperkatakan di media sosial serta di dada-dada akhbar. Terbaharu, Berita Harian, 2021 melaporkan tugasan guru semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang menuntut PnP dilaksanakan dalam talian. Walaupun PdPR secara dalam talian merupakan kaedah yang paling sesuai pada ketika ini namun, kelaziman masyarakat Malaysia menjalankan aktiviti PnP secara bersemuka menimbulkan kekangan terhadap guru dan murid. Kaedah berkomunikasi, penyampaian dan interaksi yang berubah memberi kesan besar terhadap warga pendidik di Malaysia kerana sudah terlalu biasa dengan kaedah secara bersemuka. Jika tidak ditangani, transformasi drastik dunia pendidikan di Malaysia ini, pasti menjadi punca keciciran dalam pendidikan. Tambahan pula, laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) keluaran Jun 2021, menegaskan bahawa pendidikan adalah salah satu aspek terpenting yang hilang dari hidup kanak-kanak sejak COVID-19 melanda.
Bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam pendidikan para pelajar di Malaysia, PdPR merupakan kaedah paling wajar ketika ini. Demikian, sebagai tunjang dalam pendidikan, guru merupakan aset penting demi memastikan setiap murid mendapat pendidikan sewajarnya, meskipun dengan kaedah di luar kelaziman biasa. Namun, dalam menjayakan PdPR secara atas talian ramai guru mengakui antara cabaran terbesar mereka adalah terhadap penguasaan teknologi. Hal ini meliputi kurang kemahiran terhadap penggunaan teknologi, tiada capaian internet atau gangguan akses internet dan tiada peranti literasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Hakikatnya, kurangnya kemahiran terhadap penggunaan teknologi merupakan cabaran utama bagi guru. Hal ini berikutan kaedah PdPR secara atas talian yang memerlukan pengetahuan tentang penggunaan platform sedia ada seperti Google Meet, Zoom, Parlay, Blooket, Remind, Mote dan pelbagai lagi. Selain menjadi alternatif PdPR, setiap platform ini mempunyai fungsinya tersendiri untuk menjadikan proses PnP secara atas talian lebih menarik. Malangnya, guru dan murid sendiri kurang mahir terhadap kepelbagaian platform sedia ada. Sebuah akhbar online, The Patriots pernah melaporkan bahawa isu kurang mahir dengan penggunaan gajet dan perkomputeran dalam kalangan pelajar menjadi salah satu penghalang terbesar untuk pembelajaran maya. Perkara yang memberi cabaran kepada guru apabila perlu memastikan setiap pelajar mahir penggunaan gajet atau platform yang akan digunakan untuk PnP. Sememangnya, kurang kemahiran terhadap penggunaan teknologi dalam kalangan guru dan murid telah membataskan proses PnP secara atas talian.
Turut menjadi kekangan PdPR secara atas talian apabila tiada capaian atau gangguan akses internet dalam kalangan sebahagian guru di Malaysia. Faktor lokaliti guru di sesetengah kawasan mengakibatkan permasalahan ini berlaku, lebih-lebih lagi guru yang berkhidmat di kawasan luar bandar. Lebih menyulitkan, guru-guru yang berada di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak apabila perlu berhadapan dengan masalah capaian internet yang tidak meluas sehingga membataskan tujuan PnP. Sabah Online, melaporkan isu tiada capaian internet di sesetengah kawasan di negeri Sabah telah dijangkakan sebaik sahaja kerajaan menyarankan pelaksanaan PdPR secara atas talian sepanjang penutupan sekolah. Demikian, sebagai langkah manangani masalah ini, seorang Pengetua sebuah sekolah di Ranau Sabah mengambil langkah dengan membuka stesen PdPR untuk seramai 646 pelajar. Dalam masa yang sama semua guru sekolah yang terlibat diarah menyediakan modul rancangan pembelajaran secara offline. Langkah ini boleh dikatakan sebagai satu langkah proaktif dan boleh dicontohi oleh sekolah-sekolah yang turut mengalami permasalahan yang sama.
Kaedah baharu PnP di Malaysia turut memerlukan peranti ICT yang bersesuaian demi kelancaran proses PdPR secara atas talian. Namun, ketiadaan peranti ICT yang bersesuaian antara cabaran para guru, terutamanya dalam kalangan guru veteran yang turut terlibat dengan PdPR. Kurang peka dengan perkembangan terbaharu peranti ICT yang semakin canggih dengan kepelbagaian kegunaan menjadi kekangan buat mereka sedangkan peranti ICT merupakan alat yang penting untuk proses PdPR secara atas talian. Terdapat juga dalam kalangan guru yang hanya menggunakan telefon pintar untuk tujuan PdPR sehingga membataskan proses penyampaian ilmu. Sedangkan, telefon pintar untuk tujuan PdPR dilihat kurang bersesuaian lantaran keterhadan pengendalian, serta skrin telefon yang lebih kecil berbanding komputer riba. Dengan sekadar menggunakan telefon bimbit, guru hanya boleh berkomunikasi dengan pelajar tanpa penggunaan secara aktif perkongsian skrin. Oleh yang demikian, peranti ICT yang bersesuaian dengan situasi PdPR secara atas talian amat penting untuk kelancaran proses PnP selain akses internet yang luas.
Meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, namun guru perlu akur dengan kaedah baharu PnP ini demi kelangsungan sistem pendidikan di Malaysia. Tidak dinafikan, sepanjang PdPR berlangsung ramai dalam kalangan guru yang komited dengan tugas mereka dalam penyampaian ilmu sehingga pelaksanaannya menginjak ke tahun yang kedua sejak dilaksanakan pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, impaknya tetap ada apabila guru terpaksa menempuh cabaran sistem pendidikan yang berubah dalam tempoh singkat tanpa sebarang persediaan awal. Sedikit sebanyak, kesannya membawa kepada aspek fizikal dan psikologi guru.
Realiti Mendepani Cabaran Transformasi Pendidikan
Transformasi norma baharu dalam sistem pendidikan ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan terhadap psikologi dan fizikal guru lebih-lebih lagi apabila guru perlu menjalankan PnP dari rumah. Hakikatnya nampak mudah, namun kaedah ini lebih mencabar daripada PnP secara bersemuka. Ramai kalangan guru yang merasa tidak proaktif apabila bekerja dari rumah berbanding di sekolah. Menerusi jurnal yang dikeluarkan frontiers in psychology, 2021 menegaskan bahawa situasi PdPR telah menambah kekeliruan dan stres dalam kalangan guru walaupun tahap ketersediaan guru dilakukan dalam keadaan terbaik. Keadaan stres ini jika berlanjutan terlalu lama dan tidak ditangani sebaiknya, berupaya membawa kepada krisis psikologi seperti stres, gemuruh dan kemurungan.
Mempunyai perasaan gemuruh, kemurungan dan stres merupakan tindak balas normal manusia ketika berada dalam situasi terancam, apatah lagi dalam situasi pandemik yang masih tidak diketahui pengakhirannya. WHO, 2020 menjelaskan bahawa kesan psikologi daripada kawalan pergerakan dan pengasingan diri menyumbang kepada krisis kesihatan mental. Kebiasaannya, stres akibat PdPR dalam kalangan guru akan disertai dengan beberapa simptom seperti keresahan dan kegelisahan terutamanya disebabkan pertambahan beban tugas apabila perlu menjalani proses PnP di rumah. Dalam hal ini, stres dalam kalangan guru juga berbeza mengikut jantina. Laporan khas pernah dikeluarkan Educational Technology, Research and Development, tahun 2001 membuktikan sememangnya terdapat perbezaan jantina dan umur terhadap keperluan, kecekapan dan keberkesanan PnP secara atas talian.
Walau bagaimanapun, rutin harian yang berbeza daripada sebelumnya berupaya menambahkan stres dalam kalangan guru. Di tambah pula apabila perlu diselang seli antara tugas hakiki dengan keperluan peribadi. Realitinya, stres yang berlanjutan berupaya memberi kesan terhadap beberapa perkara seperti masalah gangguan tidur, kemurungan dan kebimbangan sehingga mengganggu gugat fokus mereka terhadap proses PnP. Jurnal Psikologi dan Kaunseling, 2020 menegaskan bahawa isu kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan guru memberi impak terhadap perkhidmatan sehingga berlakunya kegagalan dalam mengawal tingkah laku dan tindakan di luar batasan individu. Di bimbangi stres yang berlarutan dalam kalangan guru mendorong kepada tindakan yang tidak sewajarnya seperti bunuh diri. Seterusnya, menyebabkan ‘pandemik pendidikan PdPR’ yang menyebabkan ketidakseimbangan pendidikan.
Optimum Teknologi dalam Sistem Pendidikan
Sumber: Berita Harian Online (2020)
Impak terhadap transformasi dunia pendidikan di Malaysia, mungkin nampak dinamik dengan pembaharuan dan kemajuan teknologi sedia ada. Malah, kelihatan gah apabila kecanggihan teknologi menjadi penyelamat ketika situasi pandemik sehingga sistem pendidikan dapat diteruskan. Jika diperhalusi transformasi pendidikan secara mendadak ini sebenarnya memberi kesan negatif dalam kalangan guru. Cabaran PnP secara atas talian dan dalam masa yang sama perlu disertai dengan tugas peribadi berupaya membawa kepada permasalahan stres. Ternyata, para guru antara yang turut terkesan dengan PdPR secara atas talian. Puncanya, tiada persediaan awal serta terlalu biasa dan selesa dengan PnP secara bersemuka. Justeru, apabila keadaan mendesak sehingga memaksa perubahan drastik sebegini, maka timbul cabaran yang tidak disangka-sangka.
Isu sebegini tidak seharusnya dipandang enteng, malah memerlukan keseriusan dalam menangani permasalahan ini. Demikian, pihak berkepentingan perlu meneliti semula PdPR secara atas talian dari pelbagai aspek agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Penambah baikan terhadap sistem pendidikan di Malaysia perlu dilaksanakan agar seiring dengan objektif pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses terhadap pendidikan, meningkatkan standard, merapatkan jurang pencapaian, mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid dan mengoptimumkan kecekapan sistem. Dengan mengambil kira kesemua aspek tersebut pastinya dapat menyelesaikan cabaran dan kesan yang terpaksa dihadapi guru ketika PdPR secara atas talian termasuk keupayaan mengadaptasi penggunaan teknologi baharu secara kondusif.