skip to Main Content
Bersosial Era Baharu: Kewajaran Trend Tanpa Sebar Aib

Bersosial Era Baharu: Kewajaran Trend Tanpa Sebar Aib

Oleh: Dr. Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz

Bersosial di Media Sosial

Kemajuan teknologi masa kini membolehkan masyarakat berkembang daripada media tradisional kepada media baharu yang lebih pantas. Tinjauan secara umum oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2021, penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berusia 15 tahun ke atas meningkat dengan ketara kepada 98.8% berbanding tahun lalu iaitu 89.6%. Tentunya peningkatan penggunaan internet berlaku terhadap aktiviti penggunaan media sosial berbanding aktiviti-aktiviti lain. Berdasarkan laporan Digital 2018, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara ke sembilan paling aktif media sosial di peringkat global. Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), tahun 2020 turut melaporkan daripada lima aktiviti secara atas talian, penggunaan media sosial mencatat peratusan kedua tertinggi iaitu 93.3% berbanding komunikasi teks (98.1%), komunikasi suara atau video (81.1%), menonton video (87.3%) dan mendapatkan maklumat (74.3%). Ternyata, media sosial telah menukar gaya hidup masyarakat dengan pelbagai pilihan aktiviti harian dengan hanya perlu dilakukan secara atas talian. Dari pandangan mata kasar penggunaan media sosial dilihat terkehadapan seiring dengan perkembangan era baharu. Namun, sejauh manakah media sosial dimanfaatkan oleh para pengguna?

Bersosial Era Baharu: Kewajaran Trend Tanpa Sebar AibTidak dinafikan kewujudan pelbagai aplikasi rangkaian sosial dan komunikasi lebih merancakkan senario semasa. Pelbagai pilihan aktiviti secara atas talian telah mendorong kemahuan masyarakat untuk menjadikannya sebagai platform mengumpul pengikut, meraih populariti dan menjana wang sampingan. Laporan KKMM tahun 2020 memperlihatkan bahawa terdapat tiga aplikasi rangkaian sosial yang paling digemari masyarakat iaitu Facebook (91.7%), Youtube (80.6%) dan Instagram (63.1%). Di samping itu, menerusi laporan sama KKMM, terdapat pula tiga aplikasi rangkaian komunikasi yang menjadi pilihan pengguna di Malaysia iaitu Whatsapp (98.7%), Facebook Messenger (53.9%) dan Telegram (40.1%). Kesemua platform tersebut antara medium popular dan mudah untuk menjana wang kerana boleh memuat naik, menonton, menilai, berkongsi dan memberi komen kepada pelbagai genre kandungan video dihasilkan. Lebih-lebih lagi, tiada peraturan khusus yang ditetapkan dalam mencipta dan memuat naik kandungan video di platform media sosial. Hanya dengan cara menzahirkan bakat dan mempersembahkan kreativiti dalam sesebuah medium mampu menjadikan sesuatu kandungan itu tular. Sekaligus membolehkan pengguna media sosial meraih pendapatan sampingan.

Selain itu, trend semasa penggunaan media sosial dilihat bertujuan meraih perhatian, simpati dan tanda suka. Trend ini juga merupakan tindakan yang popular dalam kalangan pengguna media sosial saban hari. Dalam hal ini, permasalahan timbul apabila perkongsian yang dimuat naik adalah perkara yang tidak sewajarnya seperti pergaduhan, penderaan, kegagalan dalam peperiksaan dan permasalahan rumah tangga dan sebagainya. Perkongsian tersebut dilihat seolah-olah berbangga dengan sesuatu perkara atau situasi yang tidak sepatutnya. Lebih membimbangkan, apabila perkongsian sebegitu menjadi ikutan dalam kalangan pengguna media sosial lain seterusnya membawa kepada trend baharu.

Tahap penggunaan yang sangat tinggi terhadap pelbagai rangkaian media sosial berjaya mencetuskan trend semasa dan mendorong warganet untuk mencubanya. Namun, adakah trend penggunaan media sosial ini menghasilkan suatu budaya yang wajar untuk diteladani atau sekadar menyebar aib sendiri?

Trend atau Sebar Aib

Sebagaimana yang dapat dilihat pada masa ini wujud trend yang tidak mencerminkan ajaran Islam serta tidak menjaga sensitiviti agama dan kaum sering kali dipaparkan di media sosial. Malahan, perbuatan yang kurang sopan dan menjengkelkan turut ditonjolkan di media sosial tanpa sebarang rasa malu. Trend sebegini mungkin dilihat sebagai suatu yang biasa namun membawa kesan yang besar apabila imej individu tercalar, silaturrahim terputus dan menyemai kebencian sesetengah pihak. Kebelakangan ini, fenomena membuka aib pasangan secara terang-terangan di media sosial sudah menjadi barah dalam kalangan masyarakat. Pergelutan rumah tangga ataupun perceraian yang dimuat naik di sosial media dianggap sebagai trend malah tanpa disedari mendedahkan aib pasangan kepada masyarakat umum. Perbalahan antara suami isteri di Mahkamah Syariah sepatutnya dijalankan secara tertutup agar rahsia mereka tidak diketahui umum. Perbuatan membuka pekung dan aib antara pasangan merupakan perkara yang tidak patut berlaku dalam rumah tangga. Trend ini bukannya fitrah dalam institusi keluarga, malah Islam sendiri melarang daripada perbuatan membuka aib termasuk pasangan suami isteri. Seharusnya setiap pasangan saling menjaga kehormatan dan aib masing-masing meskipun sedang dilanda masalah.

Terbaharu, muncul trend unboxing isteri yang jelas melanggar sensitiviti agama dan budaya. Trend ini telah menjadi ikutan dalam kalangan para pengantin baharu apabila pengantin lelaki membantu pengantin perempuan membuka tudung, merakam dan memuat naik di platform media sosial. Perkara ini turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Mufti Pulau Pinang yang menganggap perbuatan tersebut bertentangan dengan agama Islam kerana tidak langsung mementingkan sifat malu. Sedangkan, sifat malu perlu menjadi benteng bagi mengawal tingkah laku dan memelihara akhlak di media sosial. Perbuatan fitnah atau maksiat yang dilakukan secara terbuka akan menghilangkan rasa malu sedangkan malu itu sebenarnya boleh mencegah individu daripada melakukan amalan buruk. Sebenarnya, Allah SWT telah menutup aib hamba-hamba-NYA agar tidak dapat dilihat oleh orang lain, maka orang Islam terutamanya perlu menjaga aib mereka bukannya menyebarkan kepada umum. Perkongsian maklumat peribadi dan apa jua bentuk hantaran di media sosial harus dilakukan secara berhati-hati supaya tidak mendedahkan aib individu.

Solusi Mengawal Situasi

Bersosial Era Baharu: Kewajaran Trend Tanpa Sebar AibHasil daripada kesan mengikut trend semasa yang mendatangkan aib, maka pelbagai solusi perlu diketengahkan dalam mencari penyelesaian bagi isu yang semakin membimbangkan. Pemantauan daripada ibu bapa seharusnya ditingkatkan agar anak-anak sentiasa dalam keadaan terkawal. Penggunaan internet dalam kalangan anak-anak harus diawasi sedari usia kanak-kanak agar tidak terjerumus dengan perkara yang melalaikan. Ibu bapa sebagai penjaga perlu mewujudkan masa berkualiti bersama anak-anak misalnya berkongsi isu semasa di media sosial. Dengan ini anak-anak dapat menilai sesuatu perkara yang disebarkan sama ada baik atau buruk. Ibu bapa boleh membentuk tabiat yang lebih sihat, mencegah ketagihan media sosial dan mengawal laman web yang dilayari oleh anak-anak mereka. Sekiranya usaha ini dilakukan oleh ibu bapa dari peringkat awal, besar kemungkinan anak-anak remaja dapat menghindarkan diri daripada menggunakan platform media sosial ke arah keburukan.

Usaha dari sudut agama perlu diperluas dengan menyediakan kandungan atau pengisian berbentuk dakwah. Galakan untuk orang ramai menyertai usaha dakwah diakui amat sukar. Namun apabila dilakukan secara bersama daripada pelbagai pihak tentunya membawa kepada kebaikan yang berpanjangan terutama kepada generasi akan datang. Pengisian dakwah boleh disampaikan melalui kandungan kreatif serta pendekatan yang lebih santai dan interaktif di media sosial yang menjadi pilihan utama sebahagian besar masyarakat terutama generasi muda. Perkara tersebut penting agar minat dan perhatian masyarakat tidak hanya tertumpu kepada pelbagai bentuk kandungan yang sia-sia dan melalaikan.

Penggunaan aplikasi di media sosial adalah tidak salah, namun adalah lebih baik jika kita dapat menapis terlebih dahulu isi kandungannya supaya tidak membawa kesan buruk sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat sekeliling. Trend yang tidak bersesuaian dan boleh membuka aib perlu dihindari agar dapat menjaga maruah dan tidak menyalahi syariat Islam. Jika penyebaran kandungan membabitkan perkara yang bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat, perkara ini perlu diperhalusi sebelum memuat naik untuk tontonan ramai. Hakikatnya, media sosial merupakan medium bagi menyebarkan maklumat yang membawa banyak kebaikan, bukannya keburukan kepada masyarakat. Perubahan gaya hidup atau trend baharu menunjukkan umat Islam semakin terdedah kepada kegiatan kurang bermoral dan menyalahi syariat dengan menggunakan pelbagai medium yang berbeza. Penilaian terhadap cara penggunaan media masa secara efektif amat perlu kerana dunia kini semakin mencabar dengan perkembangan teknologi baharu. Setiap langkah dalam menghindarkan budaya tidak sihat perlu diperkukuhkan dengan kerjasama oleh semua pihak agar generasi akan datang mampu menilai sesuatu perkara dengan baik dan tidak terjerumus ke arah kemudaratan.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search