FOMO: Antara Takut Tertinggal dan Takut Kehilangan Diri
Oleh: Nur Aina Makhtarudin
Definisi FOMO
Istilah FOMO seringkali muncul dalam perbualan harian, khususnya dalam era media sosial. FOMO atau fear of missing out merujuk kepada ketakutan berterusan bahawa orang lain sedang menikmati pengalaman yang bermakna atau berharga, sedangkan kita tidak berada di dalamnya. Secara mudah, ia adalah perasaan cemas apabila merasakan diri ketinggalan sama ada dalam aspek gaya hidup, peluang pekerjaan, pelaburan, pendidikan, mahupun pengalaman sosial.
Walaupun istilah ini kelihatan moden, perasaan takut terlepas peluang sebenarnya bukan fenomena baharu. Sejak dahulu lagi manusia mempunyai kecenderungan untuk membandingkan diri dengan orang lain. Dalam konteks pemasaran, idea tentang “takut terlepas” telah dibincangkan oleh Dan Herman, seorang pakar strategi pemasaran, sekitar akhir 1990-an apabila beliau menghuraikan bagaimana kebimbangan terhadap peluang yang terlepas boleh mempengaruhi tingkah laku pengguna dan keputusan pembeli. Namun, istilah FOMO dalam bentuk akronim yang digunakan hari ini diperkenalkan oleh Patrick J. McGinnis, seorang pelabur dan penulis dari Amerika Syarikat, pada tahun 2004 ketika beliau menulis artikel di akhbar pelajar Harvard Business School dan mula mendapat perhatian meluas sekitar 2010, selari dengan perkembangan pesat media sosial. Sejak itu, istilah ini menjadi simbol kepada satu fenomena psikologi yang semakin ketara dalam dunia digital.
Kebangkitan media sosial memperhebatkan lagi pengalaman FOMO. Hari ini, kehidupan orang lain sentiasa dipaparkan dalam versi terbaik seperti percutian yang sempurna, kejayaan dalam pekerjaan, pencapaian akademik, gaya hidup yang kelihatan mewah dan teratur. Menurut DataReportal, sejak Oktober 2025, sebanyak 30.7 juta rakyat Malaysia atau kira-kira 85 peratus populasi merupakan pengguna media sosial. Hal ini menunjukkan bahawa majoriti rakyat terdedah setiap hari kepada paparan kehidupan orang lain, yang secara tidak langsung mencetuskan perbandingan sosial berterusan.
Dalam persekitaran sebegini, manusia sentiasa berhadapan dengan persoalan dalaman seperti adakah aku sudah cukup berjaya? Adakah aku sudah berada di tahap yang sepatutnya? Media sosial bukan sahaja menghubungkan manusia, tetapi juga membuka ruang kepada tekanan emosi yang halus. Setiap paparan tentang apa yang orang lain pakai, makan, beli dan capai boleh menjadi pencetus rasa tidak cukup. Tidak hairanlah FOMO mudah terbentuk dalam keadaan dunia di hujung jari.

FOMO Bukan Isu Gen Z Sahaja
FOMO sering dikaitkan dengan generasi muda, khususnya Gen Z yang membesar sepenuhnya dalam dunia digital. Media sosial menjadi ruang utama pembentukan identiti dan penerimaan sosial. Jumlah tanda suka, tontonan dan perkongsian seolah-olah menjadi ukuran nilai diri. Gaya hidup yang dipaparkan oleh pempengaruh dan rakan sebaya pula mencetuskan tekanan untuk sentiasa mengikuti arus seperti memiliki gajet terkini, melancong ke destinasi popular, mencuba makanan dan restoran viral atau menyertai setiap trend baharu yang muncul.
Kajian menunjukkan bahawa, tahap FOMO yang tinggi lebih ketara dalam kalangan pengguna media sosial yang aktif, khususnya golongan muda. Penyelidikan oleh Przybylski et al. (2013) mendapati bahawa individu dengan skor FOMO yang tinggi cenderung menggunakan media sosial dengan lebih kerap serta melaporkan tahap kepuasan hidup yang lebih rendah. Namun begitu, kajian yang sama turut menegaskan bahawa FOMO bukan eksklusif kepada satu kumpulan umur tertentu. Ia lebih berkait dengan keperluan psikologi seperti keinginan untuk diterima dan rasa keterhubungan sosial.
Hakikatnya, FOMO tidak mengenal generasi. Golongan dewasa juga mengalaminya walaupun dalam bentuk yang kurang ketara tetapi tetap memberi kesan yang kuat. Kajian oleh Elhai et al. (2016) mendapati bahawa FOMO berkait rapat dengan kebimbangan dan penggunaan telefon pintar secara berlebihan dalam kalangan orang dewasa, bukan hanya remaja. Ini menunjukkan bahawa tekanan untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa adalah fenomena merentas generasi. Dalam konteks kewangan, fenomena “takut terlepas peluang” sering mendorong individu menyertai pelaburan berisiko tinggi tanpa penilaian yang mendalam. Dalam konteks kerjaya pula, ada yang berasa tertekan apabila melihat rakan sebaya sudah memegang jawatan tinggi, bekerja di syarikat multinasional atau mempamerkan pencapaian profesional. Walaupun setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza, perbandingan yang berulang boleh menimbulkan rasa tidak cukup atau terlalu lambat.
Selain itu, FOMO dalam kalangan dewasa juga boleh muncul dalam gaya hidup harian, seperti tekanan untuk menghantar anak ke sekolah tertentu kerana “semua orang memilih sekolah itu”, atau kecenderungan berbelanja lebih bagi memastikan keluarga kelihatan setanding dengan kelompok sosial masing-masing. Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa FOMO bukan sekadar tentang trend viral atau teknologi baharu. Ia sering berkait dengan tekanan norma sosial iaitu tentang apa yang “sepatutnya” dicapai pada usia tertentu, dimiliki pada tahap tertentu, atau dipamerkan dalam lingkungan sosial tertentu.

Kesan FOMO – Antara Tekanan dan Pemangkin
Secara umum, FOMO sering dilihat dalam konotasi yang negatif. Dalam wacana masyarakat, istilah ini lazimnya dikaitkan dengan keresahan, ketagihan media sosial dan keputusan impulsif. Persepsi ini tidak sepenuhnya salah. Apabila tidak dikawal, FOMO memang boleh membawa kesan yang serius terhadap kesejahteraan individu. Dari sudut psikologi, FOMO boleh mencetuskan keresahan berpanjangan, rasa rendah diri dan ketidakpuasan hidup. Individu yang sentiasa membandingkan diri dengan orang lain mudah terperangkap dalam perasaan tidak cukup seperti tidak cukup berjaya, tidak cukup kaya, tidak cukup bahagia. Kajian menunjukkan bahawa individu dengan tahap FOMO yang lebih tinggi bukan sahaja menggunakan media sosial dengan lebih kerap, malah melaporkan tahap kepuasan hidup yang lebih rendah secara signifikan (Przybylski et al., 2013). Dapatan ini turut disokong oleh kajian Blackwell et al. (2017) yang mendapati bahawa FOMO merupakan faktor penting yang mempengaruhi penggunaan media sosial secara berlebihan serta kecenderungan ketagihan media sosial.
Statistik global turut menunjukkan gambaran yang membimbangkan. Laporan oleh DataReportal menunjukkan bahawa purata masa penggunaan media sosial di seluruh dunia kini melebihi 2 jam sehari dan tempoh ini boleh mencecah 3 hingga 4 jam sehari bagi golongan belia. Pendedahan berterusan kepada paparan kehidupan orang lain dalam tempoh yang panjang ini meningkatkan kecenderungan perbandingan sosial dan tekanan emosi. Selain itu, beberapa kajian mendapati bahawa individu dengan tahap FOMO tinggi lebih cenderung memeriksa telefon mereka sejurus selepas bangun tidur dan sebelum tidur. Hal ini merupakan satu corak yang dikaitkan dengan gangguan kualiti tidur dan keletihan mental. Apabila dorongan untuk sentiasa “up to date” mengatasi keperluan rehat dan keseimbangan hidup, kesannya boleh berpanjangan terhadap kesihatan mental.
FOMO dari sudut kewangan boleh mendorong perbelanjaan impulsif dan keputusan pelaburan berisiko tinggi. Dalam konteks psikologi tingkah laku, keputusan yang dibuat dalam keadaan emosi terangsang cenderung kurang rasional dan lebih berisiko. Ramai yang terjebak dalam skim cepat kaya atau pembelian tanpa perancangan kerana takut menjadi orang terakhir yang bertindak. Apabila emosi mendahului pertimbangan, risiko kerugian menjadi lebih besar.
Namun demikian, dalam konteks tertentu, FOMO boleh berfungsi sebagai pemangkin yang mendorong perubahan dan penambahbaikan diri. Dalam bidang perniagaan dan pemasaran, FOMO menjadi strategi yang berkesan. Tawaran seperti “stok terhad”, “masa terhad” atau “eksklusif untuk ahli” memanfaatkan psikologi ketakutan kehilangan. Prinsip seperti perbandingan sosial, loss aversion dan prinsip kekurangan (scarcity principle) digunakan untuk mencetuskan rasa mendesak dalam kalangan pengguna. Apabila sesuatu dipersembahkan sebagai terhad, ia sering dilihat lebih bernilai dan mendorong tindakan segera. Dalam konteks ini, FOMO menjadi alat untuk merangsang keputusan dan menggerakkan pasaran.
Dalam pembangunan diri pula, sedikit rasa takut ketinggalan kadangkala boleh menjadi dorongan untuk belajar dan berkembang. FOMO boleh mendorong seseorang mempelajari kemahiran baharu, menilai semula kedudukan kerjaya atau berani mencuba peluang yang lebih baik. Dalam dunia yang bergerak pantas, kepekaan terhadap perubahan adalah satu kelebihan. FOMO dalam dos yang terkawal boleh membantu seseorang kekal adaptif dan responsif terhadap perkembangan semasa.

Kesimpulan
Akhirnya, persoalan yang lebih mendasar muncul: adakah kita benar-benar takut tertinggal, atau sebenarnya takut kehilangan arah diri? Dalam suasana yang sarat dengan paparan kejayaan dan pencapaian orang lain, garis antara aspirasi dan tekanan menjadi semakin kabur. Tanpa disedari, keputusan yang sepatutnya lahir daripada pertimbangan nilai dan keperluan peribadi mula dipengaruhi oleh apa yang sedang dilakukan oleh orang lain. Apabila sesuatu pilihan dibuat semata-mata kerana ia sedang menjadi trend atau kerana ramai yang sudah melakukannya, individu berisiko mengorbankan keunikan perjalanan hidupnya sendiri.
Hidup yang terlalu dipacu oleh FOMO menjadikan seseorang sentiasa berada dalam mod mengejar. Setiap kejayaan orang lain dilihat sebagai isyarat bahawa diri sendiri sedang ketinggalan. Keadaan ini menyebabkan kehidupan menjadi reaktif, iaitu bertindak balas terhadap tekanan luar dan bukan reflektif, iaitu membuat pilihan berdasarkan pertimbangan dalaman yang matang. Dalam jangka panjang, pendekatan reaktif ini boleh menghakis rasa puas dan makna dalam kehidupan kerana arah tuju ditentukan oleh perbandingan, bukan oleh keyakinan diri.
Dalam dunia yang sentiasa bergerak dan penuh dengan paparan pencapaian, mungkin yang lebih penting bukanlah untuk berada di setiap tempat atau mengikuti setiap trend. Tidak semua peluang perlu direbut, dan tidak semua perkembangan perlu disertai. Yang lebih utama ialah memastikan setiap keputusan dibuat dengan sedar, memahami kemampuan sendiri dan selari dengan nilai dan prinsip hidup. FOMO mungkin tidak dapat dihapuskan sepenuhnya kerana ia sebahagian daripada sifat manusia yang ingin berkembang dan diterima. Namun, ia boleh diurus agar tidak menguasai arah kehidupan. Antara takut tertinggal dan takut kehilangan diri, keseimbangan itulah yang perlu dicari dimana keseimbangan antara keterbukaan terhadap perubahan dan keteguhan terhadap identiti diri.
