skip to Main Content
Dari Hukuman Mandatori Ke Budi Bicara: Reformasi Hukuman Mati Dalam Sistem Perundangan Malaysia

Dari Hukuman Mandatori Ke Budi Bicara: Reformasi Hukuman Mati Dalam Sistem Perundangan Malaysia

Oleh: Shereeza Mohamed Saniff & Rozlinda Abdullah

PENGENALAN: ISU HUKUMAN MATI DI MALAYSIA

Hukuman mati telah lama menjadi sebahagian daripada sistem perundangan Malaysia. Terdapat pelbagai kesalahan jenayah berat seperti pembunuhan, pengedaran dadah, dan kesalahan berkaitan keselamatan negara yang diperuntukan hukuman mati. Hukuman mati secara asasnya dilihat sebagai langkah pencegahan yang tegas terhadap jenayah serius namun dari sudut hak asasi manusia, keadilan sistem perundangan, serta keberkesanannya dalam mengurangkan kadar jenayah telah menimbulkan kontroversi. Pelbagai pihak sama ada daripada organisasi antarabangsa, badan hak asasi, atau kumpulan masyarakat sivil, telah menyuarakan kebimbangan terhadap hukuman mati mandatori kerana tidak memberikan ruang budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman berdasarkan konteks dan situasi setiap kes.

LATAR BELAKANG PEMANSUHAN HUKUMAN MATI MANDATORI

Malaysia mencatat sejarah penting dalam reformasi sistem keadilannya pada tahun 2023 apabila Parlimen meluluskan pindaan undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. Hukuman mati mandatori bermaksud hukuman mati adalah satu-satunya hukuman yang boleh dan wajib dikenakan ke atas pesalah jenayah tersebut dan hakim tiada budi bicara untuk menggantikan hukuman mati dengan hukuman lain.

Pemansuhan hukuman mati mandatori melibatkan beberapa kesalahan termasuk pembunuhan dan pengedaran dadah. Walaupun hukuman mati masih dikekalkan dalam undang-undang sebagai satu pilihan, pemansuhan hukuman mati mandatori ini dilihat sebagai langkah ke depan dalam mengimbangi prinsip kemanusiaan, keadilan dan hak asasi manusia sejagat dengan undang-undang negara.

Terdapat dua aspek utama yang melatarbelakangi keputusan pemansuhan hukuman mati mandatori ini diambil. Pertama, pengumuman moratorium hukuman mati sejak tahun 2018 di Malaysia. Kedua, berikutan hasil kajian Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang ditubuhkan oleh kerajaan. Dengan pemansuhan hukuman mati mandatori, perubahan ini telah memberikan semula kuasa budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman mati supaya dapat berlaku adil dan seimbang setelah  mengambil kira fakta serta keadaan unik setiap kes.

SEJARAH DAN KONTEKS HUKUMAN MATI DI MALAYSIA

Pemansuhan hukuman mati mandatori merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam lanskap perundangan Malaysia memandangkan hukuman mati mandatori ini telah wujud di Tanah Melayu sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Pemakaian hukuman mati  diteruskan pada zaman penjajahan British, zaman negara ini mencapai kemerdekaan dan sehingga zaman sekarang sebelum hukuman mati mandatori dimansuhkan.

i. Zaman Sebelum Penjajahan British:

Di awal kurun ke 15 Masihi, pelaksanaan hukuman mati merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Undang-Undang Islam yang bermula apabila Sultan Melaka ketika itu, Sultan Iskandar Syah, menerima Islam beserta adat sebagai undang-undang negeri. Kewujudan Hukum Kanun Melaka dan Kanun Laut Melaka membuktikan Undang-undang Islam dipakai di Tanah Melayu pada waktu tersebut. Hukum Kanun Melaka selain daripada meliputi tanggungjawab raja serta pembesar dan pantang larang dalam kalangan anggota masyarakat terdapat juga peruntukan berkenaan penghukuman sebab kesalahan jenayah dan awam.

Kesalahan jenayah ini meliputi antaranya jenayah hudud, qisas dan takzir. Berdasarkan kesalahan jenayah yang disabitkan, terdapat hukuman bunuh atau hukuman mati yang dikenakan ke atas beberapa kesalahan seperti membunuh (qisas), menderhaka kepada pemerintah dan murtad.

ii. Zaman Semasa Penjajahan British:

Kedatangan British ke tanah Melayu telah mengubah pelbagai sistem yang ada termasuklah sistem politik, undang-undang dan pendidikan. Hukuman mati juga telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada sistem perundangan British. Ia digunakan untuk kesalahan berat seperti pembunuhan, pengkhianatan dan pengedaran dadah. Sebagai contoh, pada tahun 1871 Kanun Keseksaan Negeri-negeri Selat diperkenalkan di Melaka dan Pulau Pinang. Kanun Keseksaan Negeri-Negeri Selat ini menggunakan Kod Penal dari India sebagai undang-undang jenayah yang baharu dengan melakukan beberapa pengubahsuaian untuk keperluan negeri-negeri waktu itu. Kanun Keseksaan Negeri-Negeri Selat ini kemudiannya diluaskan pemakaiannya ke Negeri Melayu Bersekutu dan seterusnya pada 1948 Kanun Keseksaan terpakai kepada semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

iii. Zaman Selepas Merdeka:

Selepas Merdeka, Malaysia terus menerus mengekalkan hukuman mati dalam sistem perundangannya. Malaysia adalah di antara 56 negara di dunia yang menjalankan hukuman mati. Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 5(1) memperuntukkan bahawa ‘tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang’. Apa yang dimaksudkan dengan peruntukan ini, sistem perundangan negara dibenarkan untuk melaksanakan hukuman mati ke atas kesalahan-kesalahan tertentu yang dibenarkan oleh undang-undang.

Malaysia mengekalkan hukuman mati dalam undang-undang, terutama bagi kesalahan jenayah berat, seperti yang terdapat pada Seksyen 302 Kanun Keseksaan (untuk kesalahan membunuh dengan niat), dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 (untuk kesalahan pengedaran dadah) dan juga kesalahan berkaitan senjata api dan pengkhianatan. Terdapat 32 kesalahan di bawah lapan Akta berbeza yang mempunyai peruntukan hukuman mati. Daripada 32 kesalahan ini, 11 kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori ke atas pelaku jenayah. Terdapat juga pendapat bahawa satu lagi kesalahan tambahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Walaupun peruntukan dalam akta tersebut dinyatakan sebagai hukuman berdasarkan budi bicara, namun pada hakikatnya adalah mandatori disebabkan syarat-syarat ketat yang perlu dipenuhi. Ini menjadikan 12 kesalahan yang mempunyai hukuman mati mandatori yang terdiri daripada sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dan satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Untuk kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, kebanyakannya melibatkan kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri, serta berkaitan dengan tindakan pengganas, termasuk:
i. Melakukan perbuatan pengganas yang mengakibatkan kematian
ii. Mengarahkan aktiviti kumpulan pengganas yang menyebabkan kematian,
iii. Menyediakan atau mengumpul dana untuk tujuan pengganas jika perbuatan tersebut menyebabkan kematian,
iv. Menyediakan perkhidmatan bagi tujuan pengganas yang menyebabkan kematian,
v. Menerima suapan untuk memudahkan atau memungkinkan perbuatan pengganas yang mengakibatkan kematian,
vi. Menerima suapan untuk memudahkan aktiviti jenayah terancang yang menyebabkan kematian,
vii. Hukuman bagi kesalahan membunuh, dan
viii. Kesalahan menawan tebusan.

Bagi kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 pula, hukuman mati dikenakan bagi melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang disenaraikan, dan terpakai juga bagi rakan sejenayah dalam kes melepaskan tembakan. Untuk kesalahan pengedaran dadah, peruntukan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, menyatakan hukuman mati adalah atas budi bicara mahkamah. Namun disebabkan terdapat empat syarat ketat yang perlu dipenuhi untuk hakim menggunakan budi bicara tersebut, maka  hukuman ini terangkum sebagai hukuman mati mandatori. Hakim terpaksa menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh yang didapati bersalah di mahkamah kerana tiada hukuman lain diperuntukkan.

KONTEKS SEMASA HUKUMAN MATI DI MALAYSIA

Terdapat dua senario pada hukuman mati di Malaysia. Senario pertama adalah sebagaimana dibincangkan di atas tentang hukuman mati mandatori yang terdapat pada 12 kesalahan yang dinyatakan. Senario kedua adalah berkenaan 22 kesalahan lain yang juga memperuntukkan hukuman mati tetapi kesalahan-kesalahan ini berada di bawah budi bicara mahkamah. Secara umumnya pengecualian yang diberikan dalam kes-kes di bawah budi bicara mahkamah menunjukkan hakim mempunyai kuasa untuk tidak menjatuhkan hukuman mati.

Antara kesalahan yang terkandung dalam peruntukan berkenaan hukuman mati namun berada di bawah budi bicara hakim adalah berkenaan penculikan, penahanan, atau pengurungan secara salah dengan niat untuk mendapatkan tebusan; melancarkan atau percubaan untuk melancarkan perang atau bersubahat untuk melancarkan perang dan melakukan kesalahan terhadap tubuh Yang Dipertuan Agong, Raja atau Yang Di-Pertua Negeri. Ketetapan hukuman dalam jenayah-jenayah sebegini oleh hakim bergantung kepada beban bukti dan fakta-fakta kes. Jika wujudnya keraguan atau prima facie, kebijaksanaan hakim dalam menilai sesuatu kes sangat diperlukan agar setiap individu mendapatkan hak secara adil menurut perundangan.

Senario ini menunjukkan terdapat juga kesalahan-kesalahan jenayah di Malaysia yang memberi ruang kepada hakim untuk mengguna budi bicara dalam menentukan hukuman lebih sesuai terhadap pesalah. Hukuman mati mandatori berkaitan kesalahan pengedaran dadah telah melalui pindaan lebih awal berbanding kesalahan jenayah lain menerusi pindaan kepada Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234). Pemansuhan secara tunggal dan terawal hukuman mati mandatori ini kepada hukuman mati di bawah budi bicara hakim telah berjaya dilaksanakan bermula pada penghujung 2017 dan telah terpakai serta merta hingga ke hari ini.

MORATORIUM TERHADAP HUKUMAN MATI MANDATORI

Pemansuhan hukuman mati mandatori bukanlah sesuatu perkara yang hadir secara tiba-tiba. Menurut kajian Nelvitia Purba (2016) bertajuk “Hukuman Mati Dalam Konteks Undang-Undang Hak Asasi Manusia di Indonesia” desakan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori telah mendapat perhatian di peringkat antarabangsa sejak tahun 1767 oleh gerakan Aboslisionis. Gerakan ini mengetengahkan hujah bahawa negara tidak berhak untuk membunuh rakyatnya sendiri. Pada tahun 2007, menerusi inisiatif Itali, satu resolusi mengenai moratorium terhadap hukuman mati telah dibentangkan oleh Kesatuan Eropah dengan kerjasama lapan negara anggota selaku penggubal bersama kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Resolusi ini menyeru kepada moratorium umum (bukan pemansuhan) hukuman mati di seluruh dunia. Resolusi ini telah diluluskan dan kemudiannya diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada 18 Disember 2007.  Resolusi ini menyeru semua negara anggaota yang masih mengekalkan hukuman mati agar melaksanakan moratorium terhadap penggunaannya dengan matlamat ke arah pemansuhan sepenuhnya.

Resolusi-resolusi ini mencerminkan konsensus global yang semakin meningkat menentang hukuman mati — walaupun negara-negara tidak terikat secara undang-undang untuk mematuhinya, ia membawa pengaruh moral dan politik yang besar. Ia juga membuka ruang kepada badan hak asasi manusia dalam dan luar negara untuk mula beri tekanan kepada Kerajaan dengan menimbulkan perbahasan dari sudut etika, keadilan dan keberkesanan hukuman mati mandatori.

Kerajaan Malaysia mengumumkan moratorium pelaksanaan hukuman mati mandatori pada tahun 2018, walaupun hukuman itu masih wujud dalam sistem perundangan Malaysia pada masa itu. Penghapusan hukuman mati mandatori di Malaysia adalah hasil daripada perjuangan bertahun-tahun oleh para aktivis hak asasi manusia, perubahan hasrat politik, tekanan antarabangsa serta kebimbangan terhadap keadilan sistemik. Pemansuhan hukuman mati secara global telah disuarakan melalui pihak kerajaan dan juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MADPET Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET), Lawyer of Liberty (LFL), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), National Human Rights Society (HAKAM), Amnesty International, Bar Council Malaysia, Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Pertubuhan-pertubuhan ini giat memperjuangkan hak asasi manusia dan memberi sokongan sepenuhnya terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia. Mereka berpendapat bahawa pemansuhan hukuman mati mandatori bersifat lebih berperikemanusiaan kerana hukuman mati mandatori tidak memberi peluang kepada pesalah untuk memperjuangkan hak hidup mereka kerana tiada peruntukan bentuk hukuman lain selain hukuman mati. Tindakan memansuhkan hukuman mati mandatori ini didapati lebih memberi keadilan kepada setiap pihak secara umumnya kerana masih ada ruang kepada pesalah untuk menginsafi terhadap jenayah yang dilakukannya dan juga sebagai mitigasi kepada risiko salah sabit. Risiko salah sabit merujuk kepada suatu keadaan  yang boleh menyebabkan hukuman tidak boleh dipulihkan terhadap individu yang tidak bersalah (human error). Peruntukan hukuman mati mandatori yang sepatutnya mempunyai kesan pencegahan (atau deterrent effect) dilihat sama sekali tidak membantu mengurangkan kadar statistik jenayah terutama yang melibatkan dadah di Malaysia.

TRANSFORMASI HUKUMAN MATI MANDATORI DI MALAYSIA

Pada bulan September 2019, satu Jawatankuasa Khas untuk menjalankan Kajian Mengenai Pemansuhan Hukuman Mati ditubuhkan untuk menilai semula sebelas kesalahan yang membawa kepada hukuman mati mandatori. Jawatankuasa Khas untuk menjalankan Kajian Mengenai Pemansuhan Hukuman Mati ini diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Y.Bhg Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguamcara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada institusi pengajian awam terkemuka dan juga pakar kajian jenayah (atau criminologist).

Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori telah dibentangkan pada Jun 2022 dan kerajaan secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor jawatankuasa tersebut yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut. Perkara ini membawa kepada penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

Pada bulan Mac 2023 Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat. Pada 3 April 2023, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang antara lain bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan. RUU ini diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat setelah dibentangkan bagi mencadangkan hakim diberikan kuasa budi bicara dalam menjatuhi hukuman mati. RUU itu juga mencadang membenarkan hakim pilihan mengenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun menggantikan hukuman mati mandatori.

Seterusnya pada 4 Julai 2023 Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) mula berkuat kuasa menjadi titik perubahan penting ke arah amalan penghukuman yang lebih berperikemanusiaan dan berdasarkan budi bicara. Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali. Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua perundangan. Dengan pindaan ini mahkamah mempunyai nilai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak melebihi 40 tahun. Walaupun Akta 846 ini telah dikuatkuasa namun hukuman mati masih kekal dan tidak dimansuhkan sepenuhnya.

Di Malaysia, hukuman mati masih wujud untuk memberi kuasa terhadap hakim dalam memperkasakan budi bicara di mahkamah. Dengan adanya Akta 846 ini juga memberi mahkamah budi bicara untuk menjatuhkan hukuman alternatif seperti penjara seumur hidup bagi kesalahan tertentu.

KESIMPULAN

Hukuman mati di Malaysia berakar sejak zaman sebelum penjajahan namun distrukturkan semasa zaman penjajahan British, dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan kekal sebagai instrumen undang-undang bagi jenayah berat. Namun, trend semasa menunjukkan peralihan ke arah sistem yang lebih fleksibel dan berperikemanusiaan, selari dengan tuntutan keadilan dan hak asasi manusia. Pemansuhan hukuman mati mandatori juga membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang dapat mengimbangi keperluan mengekalkan undang-undang yang tegas tapi pada masa yang sama mengambil kira nilai kemanusiaan sebagai satu bentuk langkah kearah undang-undang yang lebih inklusif, adil dan Rahmah.

 

 

Dr. Shereeza Mohamed Saniff ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) manakala Dr. Rozlinda Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search