
Malaysia dan Pencemaran Plastik: Ancaman kepada Alam Sekitar
Oleh: Tengku Fattnin Alya’ binti Tengku Kamaruzaman & Raidah binti Md Sudi
Pencemaran plastik merupakan sesuatu yang tidak asing lagi di Malaysia. Rakyat Malaysia seawal di bangku sekolah lagi telah didedahkan tentang bahaya plastik kepada alam sekitar dan kepentingan untuk mengurangkan penggunaan plastik. Namun begitu, laporan daripada Berita Harian pada April 2024 menyatakan bahawa Malaysia mencemari lautan dengan 2.29 kilogram plastik per kapita setiap tahun. ‘Pencapaian’ ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi untuk memberikan ancam yang lebih besar kepada lautan dan alam sekitar secara keseluruhannya pada masa akan datang. Laporan daripada Berita Harian itu juga membuktikan bahawa masih terdapat segelintir besar masyarakat yang tidak mengambil berat terhadap ancaman pencemaran plastik. Situasi ini amat membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan kepada suasana kehidupan generasi akan datang.
Penggunaan plastik sekali guna di Malaysia amatlah membimbangkan. Hal ini merupakan perkara yang dialami sendiri oleh setiap daripada rakyat Malaysia. Contohnya, plastik yang kebiasaannya digunakan dalam jual beli di pasar malam merupakan plastik sekali guna. Ini belum lagi dikira plastik yang digunakan untuk jualan gerai-gerai di tepi jalan, hampir kesemuanya menggunakan plastik sekali guna. Selain itu, kelemahan pengurusan sisa plastik di Malaysia turut memburukkan keadaan dan menyebabkan masalah ini semakin memerlukan perhatian daripada semua pihak. Persoalannya, apakah punca utama pencemaran plastik? Adakah pencemaran ini akan benar-benar memberikan kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar ataupun hanya sekadar spekulasi pihak berkepentingan? Wujudkah langkah realistik untuk mengurangkan pencemaran plastik?
Kedudukan Malaysia sebagai Penyumbang kepada Pencemaran Plastik
Selain laporan daripada Berita Harian pada April 2024 yang menyatakan Malaysia merupakan negara kelima tertinggi dunia cemari laut dengan plastik, Sinar Harian pada Ogos tahun yang sama turut melaporkan tentang kedudukan Malaysia sebagai negara penyumbang kedua tertinggi pencemaran plastik di Asia. Laporan daripada Sinar Harian ini turut jelas menyatakan bahawa purata individu di Malaysia menggunakan hampir 17 kilogram plastik setahun. Tabung Alam Sedunia (WWF) turut mengeluarkan laporan pada tahun 2020 berkenaan penggunaan plastik makanan di Malaysia yang dianggarkan mencecah 148,00 metrik tan. Dua tahun sebelum laporan daripada Berita Harian dan Sinar Harian ini, Astro AWANI pada Mei 2022 pernah mengeluarkan kenyataan mengenai rakyat Malaysia yang menggunakan secara purata 300 beg plastik setahun dan dianggar membuang lebih 30,000 tan plastik ke laut setiap tahun. Lebih mengejutkan apabila WWF Malaysia pada 2023 telah menyatakan bahawa Sungai Klang telah tersenarai sebagai antara sungai yang paling banyak mencemarkan lautan dengan plastik pada tahun 2021.
Selain itu, laporan Astro AWANI pada tahun 2022 itu turut menyatakan rekod Malaysia sebagai negara kelapan teratas dunia yang tidak menguruskan sisa plastik dengan baik. Kegagalan pengurusan sisa ini akan memberikan kesan terus kepada pencemaran alam sekitar terutamanya lautan kerana 70-80% sisa plastik di lautan adalah daripada daratan. Laporan daripada WWF pada tahun 2021 menyenaraikan beberapa cabaran yang dihadapi oleh negara-negara di Asia dalam mengurangkan pencemaran plastik di lautan. Berdasarkan maklum balas soal jawab yang diterima oleh WWF, Malaysia merupakan antara negara Asia yang kekurangan data berkenaan kitaran hayat plastik – dari pembuatan kepada pengurusan sisa termasuk pengumpulan, kitar semula dan pembuangan. Data ini amat berguna untuk kerajaan merancang langkah dan cara yang paling berkesan untuk diaplikasikan bagi mengurangkan pencemaran plastik di Malaysia. Dari sudut pandang yang lebih besar, Bangkok Post pada Mei 2023 pernah melaporkan bahawa lebih kurang 238 juta tan metrik sisa plastik telah dihasilkan di seluruh dunia pada 2020. Daripada jumlah yang besar ini, hampir separuh daripadanya tidak diuruskan dengan betul. Program Alam Sekitar PBB (UNEP) menyatakan bahawa jika tiada sebarang perubahan drastik diambil, jumlah sisa plastik tahunan di seluruh dunia akan meningkat sehingga 408 juta tan metrik pada tahun 2040.
Terdapat pelbagai punca yang menyumbang kepada data yang telah dinyatakan sebelum ini. Antara punca yang paling besar adalah peningkatan penggunaan plastik sekali guna. WWF pada tahun 2021 melaporkan peningkatan ini disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang pantas, proses urbanisasi dan perubahan dalam corak penggunaan dan pembuatan. Situasi ini menjadi bertambah buruk apabila peningkatan ini tidak seiring dengan pembangunan infrastruktur untuk menguruskan sisanya. Selain daripada itu, sikap setiap individu yang mementingkan keselesaan diri sendiri berbanding kepentingan dan kesan sesuatu tindakan terhadap alam sekitar turut menjadi punca utama peningkatan sisa plastik. Menurut laporan Berita Harian pada April 2024, Pengarah Urusan Utility Bidder, James Longley, berkata sekitar 1,500 botol plastik dibuang setiap saat dan hanya satu daripada 400 cawan kopi dikitar semula dengan cekap. WWF pada tahun 2021 melaporkan bahawa kadar kitar semula resin plastik di Malaysia pada 2019 hanyalah sekitar 24% dan antara faktor utama yang menyumbang kepada kadar yang rendah ini adalah kekurangan teknologi dan infrastruktur.
Tambahan pula, ciri plastik itu sendiri yang sukar terurai menyukarkan lagi proses untuk menyingkirkan sisa plastik. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa sisa plastik boleh mengambil masa antara 20 hingga 500 tahun untuk terurai. Walaupun begitu, sisa plastik ini dikatakan tidak akan hilang secara keseluruhannya tetapi hanya akan menjadi semakin kecil dari semasa ke semasa. Masalah pencemaran disebabkan oleh sisa plastik ini juga turut disebabkan oleh kurangnya penguatkuasaan terhadap undang-undang sedia ada. Malaysia telah memperuntukkan satu akta untuk mengawal selia pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Antara isi kandungan akta ini adalah mewajibkan setiap isi rumah dan pemilik perniagaan mengasingkan sisa di rumah dan di premis masing-masing. Namun begitu, Bernama pada 2022 melaporkan bahawa kurangnya penguatkuasaan undang-undang menyebabkan rakyat Malaysia memandang remeh akan akta ini. Selain daripada itu, Berita Harian pada Februari 2020 pernah melaporkan bahawa terdapat lima negeri yang masih belum mengguna pakai akta ini; Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak dan Pulau Pinang. 5 tahun kemudian pada Februari 2025, Astro Awani melaporkan bahawa Jemaah Menteri telah membuat keputusan dasar untuk menerima penggunaan Akta 672 di Selangor dan Pulau Pinang.
Kesan Pencemaran Plastik
Sisa plastik yang tidak diuruskan dengan sempurna telah memberikan kesan buruk kepada alam sekitar. Berita Harian pada April 2024 pernah melaporkan bahawa kira-kira 250 haiwan di lautan terbunuh setiap hari disebabkan oleh beg plastik. Selain itu, menurut satu artikel yang dikeluarkan oleh WWF, 52% daripada penyu telah memakan sisa plastik kerana rupanya yang menyerupai makanan ruji mereka seperti obor-obor dan alga. Kesan plastik kepada hidupan marin seperti penyu ini amat menyayat hati kerana dikatakan 22% penyu akan mati setelah memakan plastik walaupun hanya sekali kerana plastik boleh merosakkan organ dalaman. Penyu juga berpotensi untuk mati kebuluran sekiranya beg plastik tersumbat di dalam usus. Sinar Harian pada Julai 2024 telah melaporkan bahawa haiwan akuatik lain seperti ikan turut tersalah anggap plastik sebagai makanan. UNEP pada tahun 2019 pernah mengeluarkan kenyataan mengenai bahaya plastik kepada burung. Dikatakan terdapat kajian yang menunjukkan sekitar 40% burung laut telah termakan plastik dan sepertimana kesan ke atas penyu, plastik yang ditelan oleh burung ini juga boleh mencederakan organ dalaman dan merosakkan sistem penghadaman.
Selain alam sekitar, masyarakat juga mengalami kesan pencemaran plastik yang serius. Terdapat beberapa pecahan kesan untuk dibincangkan, antaranya adalah kesan terhadap kesihatan, kesan terhadap kehidupan harian dan seterusnya kesan terhadap ekonomi. Mikroplastik merupakan hasil daripada serpihan kecil sisa plastik yang telah tergredasi. Mikroplastik ini merupakan elemen yang teramat kecil sehingga menyebabkan ianya sukar dikesan dan tidak dalam dilihat menggunakan mata kasar. Saiznya yang kecil iaitu kurang dari 5mm menyebabkan kesukaran untuk menapisnya keluar dari sumber makanan. Natijahnya, partikel yang bersifat tahan lasak ini memasuki tubuh badan dan organ-organ manusia dan seterusnya akan menyebabkan berlakunya pembentukan sel kanser dan gangguan hormon. Selain itu, proses pembuatan dan pembungkusan makanan juga boleh menyebabkan kehadiran mikroplastik ke dalam makanan dan sumbernya. Sebuah pertubuhan antarabangsa yang banyak membincangkan tentang isu-isu berkaitan sosial dan alam sekitar iaitu Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), telah melaporkan bahawa pada tahun 2019, persekitaran akuatik telah dicemari dengan 6.1 juta tan sisa plastik. Daripada jumlah tersebut 20% telah memasuki sistem lautan.
Terbaharu, Berita Harian pada tahun ini melaporkan sebuah kajian yang menunjukkan penemuan mikroplastik di dalam paru-paru, jantung dan plasenta manusia. Mikroplastik yang terkumpul di dalam badan manusia akan mengakibatkan kesan jangka panjang seperti komplikasi hati dan buah pinggang. Seorang pakar farmakologi dari Universiti of Nottingham Malaysia, Prof Ting Kang Nee pernah menyebut bahawa mikroplastik yang masuk ke dalam badan manusia bukan sahaja dari makanan, tetapi juga datang dari air yang diminum. Prof Dr Lee Yeong Yeh, pakar perunding gastroenterologi di Universiti Sains Malaysia Kelantan, menyokong fakta ini dengan sebuah kajian yang dilakukan oleh beliau terhadap sel kanser manusia. Melalui kajian tersebut, beliau mendapati terdapat mikroplastik ditemui di dalam kesemua spesimen yang diambil. Jelaslah bahawa, mikroplastik boleh menjadi punca kepada risiko penyakit serius seperti kanser. Bukan itu sahaja, menurut laporan tersebut mikroplastik ini juga boleh menyebabkan gangguan hormon manusia. Merujuk kepada sebuah lagi laporan dari Utusan Malaysia pada September, 2024, menyatakan bahawa disebabkan saiznya yang terlalu kecil, mikroplastik ini boleh mengalir masuk menembusi dinding sel, salur darah dan seterusnya menganggu sistem endokrin (hormon) individu terbabit.
Sementara itu, gas toksik hasil pembakaran plastik akan memberi kesan buruk kepada masyarakat. Sahabat Alam Malaysia (FOE) melalui artikel mereka pada tahun 2021, menentang sekeras-kerasnya aktiviti pembakaran sisa plastik. Hal ini menjadi lebih buruk apabila pembakaran itu dilakukan secara terbuka dan tidak terkawal. Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), pembakaran plastik serta bahan-bahan yang mengandungi plastik seperti kertas bersalut plastik akan membebaskan gas toksin antaranya adalah gas karbon dioksida, karbon monoksida, nitrogen oksida, dan lain-lain gas rumah hijau dan gas-gas yang menyumbang kepada kenaikan jejak karbon. Hal ini menyebabkan, gas-gas yang terbebas ini menyerap ke dalam tanah dan sumber air yang digunakan oleh manusia. Bertambah buruk, Malaysia yang merupakan antara pengimport terbanyak plastik di dunia menjadikan risiko ini semakin besar. Pembebasan gas-gas toksik ini akan mengganggu kualiti udara alam sekitar dan seterusnya mengakibatkan perubahan iklim seperti yang sedang kita alami sekarang.
Menurut MET Malaysia, impak perubahan iklim ini bukan sahaja meningkatkan suhu global, malah akan mengundang cuaca ekstrem. Akibatnya, masalah seperti banjir, kemarau dan gelombang panas akan menjadi lebih kerap berlaku. Dalam pada itu, perubahan cuaca yang kadangkala sukar diramal ini akan menganggu pertanian dan sumber makanan dan seterusnya mengakibatkan kerugian ekonomi. Pada tahun 2021, Astro Awani pernah melaporkan pesawah-pesawah di Tanjung Karang, Selangor mengalami kerugian akibat hujan lebat yang kerap mengakibatkan banjir di sawah padi. Cuaca ekstrem dan sukar diramal yang sudah berlaku sejak 10 tahun lalu telah mengakibatkan benih padi terbantut dan seterusnya jumlah tuaian merosot. Hal ini telah membawa kerugian melebihi RM150 juta kepada pesawah. Data ini diperolehi daripada jumlah permohonan bantuan yang dilakukan oleh para pesawah melalui Tabung Bencana sejak 2017 hingga 2021. Perkara ini secara tidak langusng akan memberi kerugian terhadap ekonomi sektor pertanian dan kos adaptasi.
Langkah Mengurangkan Pencemaran Plastik
Pengurangan impak negatif plastik memerlukan kerjasama antara kerajaan, penyelidik dan masyarakat. Pemahaman dalam isu ini adalah amat penting dalam memastikan semua usaha yang dijalankan dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Menurut Buletin TV3 bertarikh 25 November 2022, usaha beberapa kerajaan negeri yang melarang penggunaan beg plastik sejak tahun 2010 sedikit sebanyak dapat mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, hasil kutipan caj beg plastik juga dapat digunakan untuk melaksanakan pelbagai usaha dalam mengurangkan kesan rumah hijau. Usaha-usaha lain yang disokong oleh agensi kerajaan seperti program Trash2Can yang dianjurkan SWCorp juga dapat mengurangkan jumlah sisa plastik yang dibuang ke pusat pembuangan sampah. Kempen ini yang menyokong Sustainable Development Goals (SDG) menggalakkan masyarakat untuk membuat pengasingan sampah sarap dan melakukan kitar semula.
Di samping itu, kepakaran penyelidik dalam memghasilkan produk bioplastik yang mesra alam perlu dihargai dan diraikan. Sokongan industri juga memainkan peranan penting bagi memastikan kos pembuatan produk plastik mesra alam dapat menyaingi produk-produk plastik konvensional yang lain. Pada tahun 2022, Awani International pernah melaporkan penghasilan rekod vinyl yang diperbuat daripada bioplastik di United Kingdom. Kejayaan ini boleh diambil sebagai contoh oleh pemain industri di Malaysia bagi menyokong usaha Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dalam menghapuskan penggunaan plastik menjelang tahun 2030. Dalam usaha ini, kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai insetif cukai untuk menyokong usaha tersebut. Berdasarkan ucapan Belanjawan Madani Ketiga Tahun 2025 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, antara usaha yang diadakan adalah potongan cukai ke atas penajaan program pengumpulan bahan kitar semula yang disokong dengan teknologi AI.
Kesimpulan
Isu pencemaran plastik ini adalah serius dan tidak harus dipandang enteng. Impak negatifnya telah kita rasai sekarang dan adalah tidak wajar jika kita membiarkan ia terus berlaku dan akhirnya sukar untuk dibendung. Cukup dengan pengabaian terhadap isu ini yang telah dilakukan, isu ini perlu dikawal bagi mengelakkan krisis yang lebih besar. Tuntasnya, semua pihak harus berganding bagu dalam mencari jalan penyelesaian terbaik. Selain itu, kesedaran awam adalah sangat penting bagi meastikan semua usaha-usaha baik dari kerajaan atau swasta dalam mengurangkan pencemaran plastik dapat dicapai dengan segera. Hal ini penting bagi memastikan kesan impak global akibat pencemaran plastik ini dapat dikurangkan serta dihapuskan sama sekali. Akhbar The Star pada 30 Ogos 2024 melaporkan peratus kitar semula Malaysia pada tahun 2023, adalah sebanyak 33% sahaja, di mana peratusan itu masih lagi jauh dari sasaran iaitu mencapai 40% pada tahun 2025. Justeru itu, pendidikan 3R (reduce, reuse, recycle) perlu diperkasakan lagi serta sokongan komuniti terhadap kempen-kempen seperti pembersihan pantai, kitar semula dan sebagainya perlu sentiasa wujud. Perubahan gaya hidup, dasar kerajaan, dan inovasi juga boleh membawa perubahan positif. Dengan keadaan sedemikian, sokongan dari masyarakat terhadap usaha-usaha kerajaan amat penting bagi memastikan semua sasaran kerajaan dalam menangani isu pencemaran plastik ini dapat dicapai.