
Kenaikan Kos Sara Hidup: Strategi Realistik untuk Anak Muda
Oleh: Norhafizah Ghazali
Dalam arus pembangunan pada masa ini, golongan muda menghadapi pelbagai cabaran kewangan yang menyukarkan mereka untuk memenuhi keperluan hidup. Waima bebanan hutang pinjaman belajar sehinggalah kenaikan kos membeli kereta, memiliki rumah, dan pengurusan pinjaman peribadi, ramai golongan muda mendapati ia semakin mencabar untuk bersaing dengan kos sara hidup. Kegagalan menguruskan perbelanjaan dengan cekap boleh memberi impak yang besar dan membawa kepada kitaran hutang dan ketidakstabilan kewangan. Menurut sumber daripada Sinar Harian (2023), satu kajian telah dilakukan oleh UCSI Universiti mendapati 73 peratus daripada belia di Malaysia mempunyai komitmen hutang. Punca utama golongan ini berhutang adalah kerana tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk memulakan kehidupan.
Situasi Semasa Anak Muda
Golongan ini berhadapan dengan satu set cabaran kewangan yang dinamik dan tidak dilalui oleh generasi terdahulu. Kos pendidikan yang melambung tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan ramai individu muda mempunyai hutang pinjaman belajar yang besar dan boleh mengambil masa yang agak panjang untuk membayarnya. Selain itu, harga untuk memiliki kereta, membeli rumah dan mengurus pinjaman peribadi juga telah meningkat, menjadikannya lebih sukar bagi golongan muda untuk membayar perbelanjaan keperluan ini.
Hakikatnya, tanpa perancangan kewangan yang kukuh untuk menguruskan perbelanjaan dan simpanan untuk masa depan, golongan ini boleh menjerat diri mereka dalam kitaran hutang yang tidak sihat dan ketidakstabilan kewangan. Walau bagaimanapun, masih terdapat ramai anak muda yang beranggapan bahawa perancangan kewangan adalah satu hal yang remeh dan tidak cukup penting untuk diberikan keutamaan yang sewajarnya. Melalui perancangan kewangan, status kedudukan kewangan yang sebenar boleh dikenal pasti. Hal ini kerana tanpa memahami kedudukan kewangan yang sebenar, golongan ini akan menjadi kurang pasti bentuk tindakan yang harus diambil untuk menjamin kestabilan kewangan mereka.
Kesan Tiada Perancangan Kewangan
Terdapat beberapa kesan negatif yang boleh berlaku tanpa adanya perancangan kewangan. Pertama, tanpa perancangan kewangan, simpanan masa depan akan terjejas dan tidak mencukupi. Simpanan masa depan adalah merangkumi tabung pendidikan anak, persaraan atau tabung kecemasan untuk perbelanjaan perubatan. Sekiranya tiada pelan kewangan yang stabil, maka tabung simpanan ini tidak akan mencukupi untuk menampung perbelanjaan tersebut.
Seterusnya, tanpa perancangan kewangan, golongan muda ini mungkin terjerumus dalam kitaran hutang. Malah hidup di luar kemampuan dan bergantung kepada kad kredit untuk menampung perbelanjaan boleh membawa kepada hutang yang tinggi. Kad kredit merupakan kemudahan untuk melakukan transaksi pembelian, tetapi tanpa pengurusan yang cekap, kad kredit boleh membawa kepada masalah yang parah, termasuk diisytiharkan muflis. Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, hampir 50 peratus yang diisytiharkan muflis disebabkan oleh kad kredit adalah golongan yang berumur di bawah umur 30 tahun. Justeru, sangat penting untuk golongan muda memahami dan mempunyai kewangan yang stabil serta merancang cara menyimpan dan membelanjakan wang mereka. Terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan oleh golongan muda untuk mencipta masa depan kewangan yang stabil dan mapan.
Langkah Praktikal untuk Menangani Kos Sara Hidup
Bagi mengharungi cabaran peningkatan kos sara hidup secara berkesan, golongan muda perlu mengambil pendekatan proaktif untuk mengurus kewangan mereka. Berikut adalah beberapa langkah praktikal yang boleh diambil oleh individu muda untuk mencipta strategi yang realistik untuk menangani isu kos sara hidup:
- Membuat bajet harian, mingguan atau bulanan: Mulakan dengan menjejaki pendapatan dan perbelanjaan untuk mendapatkan gambaran yang jelas tentang ke mana wang disalurkan pada setiap hari, minggu atau bulanan. Membuat bajet boleh membantu untuk mengenal pasti bahagian yang boleh dikurangkan perbelanjaan dan menjimatkan lebih banyak wang untuk masa hadapan.
- Utamakan pembayaran balik hutang: Sekiranya mempunyai pinjaman belajar, pinjaman kereta atau pinjaman peribadi, jadikan keutamaan untuk membayar hutang ini secepat mungkin. Tumpuan kepada pembayaran balik hutang dapat membebaskan diri daripada belenggu hutang dan lebih banyak wang untuk menyimpan dan melabur pada masa depan.
- Bina tabung kecemasan: Mempunyai dana kecemasan boleh memberi anda jaringan keselamatan kewangan sekiranya berlaku perbelanjaan yang tidak dijangka seperti kemalangan atau kehilangan pekerjaan. Menurut satu kajian, hanya 24 peratus rakyat Malaysia yang boleh menampung hidup selama 3 bulan jika mereka hilang sumber pendapatan dan perkara ini telah menyumbang kepada peratusan yang membimbangkan. Oleh itu, golongan muda perlu menyediakan tabung simpanan kecemasan yang mencukupi untuk menampung sekurang-kurangnya 6 bulan perbelanjaan, seperti sewa, makanan, bil utiliti, kos pengangkutan dan sebagainya. Secara tidak langsung, tabung kecemasan dapat memberikan ketenangan minda dan jiwa kerana sebarang situasi kecemasan boleh menelan perbelanjaan yang besar.
- Melabur untuk Masa Depan: Anak muda boleh memulakan langkah untuk membuka akaun persaraan atau melabur dalam pasaran saham untuk membina kestabilan kewangan dari semasa ke semasa. Dengan mula melabur awal, golongan muda boleh memanfaatkan faedah kompaun dan mengembangkan wang secara konsisten.
- Belajar ilmu kewangan: Golongan muda boleh meluangkan masa untuk mendidik diri tentang kewangan peribadi dan pelaburan. Terdapat banyak sumber yang tersedia, daripada buku hingga kursus dalam talian, yang boleh membantu untuk meningkatkan cakna kewangan.
- Tentukan antara keperluan atau kehendak: Kebiasaannya, pada usia 20 hingga 30 tahun golongan muda mempunyai keinginan dan kehendak. Contohnya keinginan untuk berkereta mewah, telefon pintar yang canggih dan pakaian yang mengikut trend semasa. Keinginan itu bukanlah satu hal yang membebankan sekiranya golongan ini tahu membezakan antara kehendak dan keperluan. Maka, mereka haruslah bijak menyenaraikan perbelanjaan mengikut kategori yang sesuai. Ramai dalam kalangan anak muda memiliki lebih dari satu kad kredit. Hal ini telah menjadi satu trend di kalangan orang muda untuk membuat pinjaman peribadi. Mereka beranggapan bahawa pinjaman peribadi adalah satu keperluan dalam meningkatkan taraf hidup sedangkan ianya dikategorikan sebagai kehendak. Oleh itu senaraikanlah keutamaan dalam perbelanjaan dan buatlah pilihan yang tepat antara keperluan atau kehendak.
Dengan mengambil langkah praktikal ini dan mencipta strategi yang realistik untuk mengurus kewangan, golongan muda boleh berjaya mengharungi cabaran peningkatan kos sara hidup dan membina asas yang kukuh untuk masa depan kewangan yang terjamin.
Kesimpulannya, peningkatan kos sara hidup memberi cabaran untuk golongan muda pada hari ini. Namun dengan pendekatan proaktif mengurus perbelanjaan dan menyimpan untuk masa depan, adalah tidak mustahil untuk anak muda mempunyai pengurusan kewangan yang mantap. Usaha untuk membaiki situasi kewangan dan sentiasa meningkatkan pengetahuan berkaitan kewangan haruslah dilakukan secara berterusan. Tuntasnya, usaha dan komitmen yang konsisten akan membolehkan impian dan kestabilan kewangan anak muda menjadi kenyataan.