skip to Main Content
Pembaharuan Dasar Tenaga Kerja: Menghadapi Era Pekerjaan Digital

Pembaharuan Dasar Tenaga Kerja: Menghadapi Era Pekerjaan Digital

Oleh: Siti Zuliana binti Md Zuki

Pendigitalan ialah penukaran maklumat analog kepada bentuk digital yang melibatkan penggunaan kaedah teknologi yang maju dan canggih. Perkembangan teknologi yang pesat telah menyebabkan transformasi digital berlaku dalam pelbagai bidang terutama bidang pekerjaan. Pendigitalan melibatkan penggunaan teknologi digital seperti automasi, analitik data, pengkomputeran awan (cloud computing), kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan peranti mudah alih untuk menyelaras dan meningkatkan pelbagai proses kerja.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun, pelbagai usaha pendigitalan telah dilaksanakan dengan mewujudkan usaha sama antara kerajaan dan pihak swasta yang bersama-sama melabur dalam teknologi serta infrastruktur digital. Salah satu inisiatif kerajaan adalah dengan mewujudkan MyDIGITAL. MyDIGITAL melengkapi dasar pembangunan negara iaitu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). Usaha ini adalah untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan juga peneraju serantau dalam ekonomi digital. Kerajaan juga telah merangka Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia iaitu satu dokumen komprehensif yang menggariskan usaha bagi mencapai aspirasi MyDIGITAL. Rangka tindakan ini mengandungi pelan tindakan untuk merealisasikan visi menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

Hakikatnya, ekonomi digital mula mendapat perhatian kerajaan apabila tercetusnya pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Situasi pandemik yang berlaku lebih daripada krisis kesihatan semata-mata kerana ia juga melibatkan perubahan sosio-ekonomi yang merangkumi cara hidup, pekerjaan, pembelajaran, sosial dan juga rawatan kesihatan. Dalam beradaptasi terhadap situasi penularan wabak pada ketika itu, banyak negara memanfaatkan alat digital untuk menjalankan pengesanan kenalan dan kontak, penyampaian maklumat kepada rakyat, menjalankan perniagaan serta sistem pembelajaran dan kerja jarak jauh. Keadaan ini telah mempercepatkan transformasi digital di seluruh dunia.

Memandangkan semakin banyak sektor pekerjaan yang menggunakan teknologi digital, adalah penting untuk memahami implikasi perubahan ini dan kesannya terhadap sektor-sektor yang terlibat seperti ekonomi, sosial dan politik. Perkembangan teknologi yang pesat menyebabkan organisasi perlu berubah dan beradaptasi untuk kekal berdaya saing dan memenuhi keperluan pelanggan. Dari segi penyimpanan data dan capaian maklumat, pendigitalan memudahkan organisasi untuk mengakses, menyimpan dan berkongsi data dengan lancar merentasi platform dan tempat yang berbeza. Pendigitalan seperti artificial intelligence, Internet of Things (IoT), robotik dan automasi menjadi pemangkin kaedah organisasi yang inovatif dengan secara langsung memberi kesan yang besar terhadap strategi korporat, struktur tadbir urus, budaya organisasi dan pengurusan sumber manusia.

Kesan Mendepani Arus Pendigitalan

Dari segi sosial, pendigitalan meningkatkan akses kepada maklumat, pendidikan dan kesihatan. Akses kepada kemudahan ini akan membantu merapatkan jurang terutama  bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan seterusnya menggalakkan inklusiviti. Peluang pekerjaan baru terutama untuk digital nomad, keusahawanan digital dan teknologi maklumat (IT) akan semakin berkembang. Kecekapan dan produktiviti dalam pelbagai industri melalui penggunaan teknologi digital di mana sahaja akan merapatkan jurang sosial dan ekonomi terutama antara penduduk bandar dan luar bandar. Teknologi digital juga membolehkan perhubungan global berlaku dengan pantas dan mudah pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum wujudnya teknologi ini. Sebagai contoh aplikasi Zoom, Microsoft Teams, Google Meet dan alat persidangan video yang lain telah menjadi satu keperluan yang memudahkan perhubungan sosial sama ada secara profesional atau peribadi.

Namun, terdapat juga kesan negatif akibat pendigitalan yang pesat ini. Akibat terlalu bergantung kepada teknologi digital, individu mula hilang kemahiran tradisional dan interaksi antara manusia. Selain itu, kreativiti individu juga semakin berkurang. Mereka akan kurang menggunakan kemahiran berfikir dan pemikiran kritikal kerana semuanya telah diambil alih oleh teknologi. Kesan negatif yang lain ialah dari sudut risiko keselamatan siber dan privasi data. Data individu akan mudah diperoleh dan mungkin disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini termasuklah isu scam yang kerap berlaku dan amat membimbangkan kerana data personal individu mudah diperolehi. Dalam menangani isu ini, strategi keselamatan yang teguh adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan pengguna terhadap teknologi digital.

Dalam sektor pekerjaan, penggunaan teknologi digital membawa kepada perubahan organisasi dan budaya di tempat kerja. Organisasi perlu menyesuaikan budaya, proses dan pendekatan pengurusan mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital dan memperkasakan pekerja untuk bekerja dengan cara baharu. Ini secara langsung akan mengubah keperluan kemahiran dan pengetahuan tentang skop tugas yang dilakukan. Perubahan ini juga berpotensi mengautomasikan atau mengalihkan tugas dan rutin pekerjaan tertentu. Ini boleh membawa kepada perubahan dalam jenis kemahiran dan peranan dalam proses kerja. Pendigitalan memerlukan pekerja untuk membangunkan kemahiran digital baharu, seperti analisis data, pengaturcaraan dan penggunaan teknologi digital dengan berkesan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan sifat kerja. Selain itu, peluang pekerjaan baru terutama yang berkaitan dengan teknologi, pembangunan perisian dan sains data akan semakin bertambah.

Gabungan antara sumber manusia dan teknologi meningkatkan keberkesanan organisasi di samping menjimatkan masa dan wang. Collaborative intelligence (kecerdasan kolaboratif) yang memerlukan kerjasama antara manusia dan teknologi mampu meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti organisasi. Selain itu, pendigitalan juga mampu menggantikan tugas manusia. Sebagai contoh, chatbot iaitu program komputer yang dilengkapi dengan artificial intelligence dan menyerupai perbualan antara manusia. Penggunaan chatbot akan menggantikan tugas manual rutin dan mengurangkan beban tugas pekerja. Ia dapat membantu pekerja menumpukan kepada tugas lain yang lebih penting dan mempunyai lebih banyak pertambahan nilai. Manakala dari sudut psikologi, apabila beban tugas dikurangkan, ia akan dapat meningkatkan kesejahteraan psikologi pekerja dan menjamin work-life balance pekerja.

Walaupun penggunaan teknologi digital dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti, terdapat juga implikasi etika yang perlu dipertimbangkan. Sebagai contoh, proses perubahan tugas yang menggunakan kaedah pendigitalan boleh menyebabkan pengurangan peluang untuk pekerja terpinggir. Selain itu, kepesatan perubahan teknologi akan menyebabkan sesetengah pekerja tidak dapat menyesuaikan diri dan kekal relevan dalam industri. Perubahan teknologi yang pesat menyebabkan pekerja perlu sentiasa bergerak pantas dan seiring dengan teknologi-teknologi terkini. Hal ini tidak mendatangkan masalah kepada generasi muda yang terdiri daripada generasi Z dan generasi Alpha yang sememangnya dilabel sebagai ‘digital natives’. Generasi ini mungkin mempunyai kelebihan dari segi mengakses maklumat dan sumber, penggunaan mesin dan aplikasi serta rangkaian dalam talian. Mereka dapat memenuhi desakan keperluan untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan permintaan semasa. Namun, bagi golongan yang lebih tua seperti generasi X dan baby boomers, mereka akan ketinggalan kerana kurang biasa dengan teknologi digital. Isu ini berpotensi membawa kepada ketidaksamaan sosial dan ekonomi.

Langkah Melindungi Pekerja dan Memastikan Kemahiran Relevan

Dalam menghadapi cabaran berterusan untuk sentiasa seiring dengan teknologi baru dan kekal berdaya saing, ia menuntut ketangkasan, kebolehsuaian, dan kesediaan untuk menerima kaedah kerja yang inovatif. Apabila teknologi terus berkembang, terdapat jurang yang semakin meningkat antara kemahiran yang diperlukan dan kemahiran yang tersedia dalam tenaga kerja. Merapatkan jurang ini adalah penting bagi individu dan organisasi untuk memastikan tenaga kerja dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengharungi kerumitan era digital. Kerajaan perlu untuk memperkenalkan dasar dan polisi untuk melindungi pekerja dan memastikan kemahiran mereka relevan dengan keperluan semasa. Bermula dari zaman universiti, silibus pembelajaran perlu dikaji semula. Untuk menghasilkan pelajar yang kompeten dan berdaya tahan dalam dunia digital, mereka perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran terutama berkaitan dengan teknologi maklumat (IT). Semua kursus yang diambil, perlu diwajibkan subjek yang berkaitan dengan IT supaya mereka mampu untuk beradaptasi dan menghubungkait pengetahuan dan kemahiran kursus dengan keperluan teknologi semasa dunia.

Dalam sektor pekerjaan pula, majikan memainkan peranan penting untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja berkaitan teknologi. Kerajaan perlu menyediakan polisi dan mewujudkan program berkaitan dengan upskilling dan reskilling dalam kalangan pekerja. Majikan wajib menyediakan program latihan dan peluang pembangunan untuk mengembangkan kebolehan pekerja dan meminimumkan jurang kemahiran. Tumpuan perlu diberikan dalam peningkatan set kemahiran dan pengetahuan semasa supaya mereka boleh maju dalam pekerjaan mereka dan tidak ketinggalan dalam mengejar era pendigitalan. Mengetahui akan pentingnya keperluan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, kerajaan juga telah menjalankan Program Upskilling for Deeptech dan Futureskills pada tahun 2022. Program ini merupakan satu bentuk insentif kewangan kepada pekerja dan majikan yang terlibat bagi mewujudkan pekerjaan dan peningkatan kemahiran dalam bidang deeptech dan futureskills bagi memenuhi keperluan sebenar industri. Program seperti ini perlu diperbanyakkan mengikut bidang-bidang tertentu agar pekerja sentiasa maju, relevan dan mampu untuk beradaptasi dengan keperluan teknologi semasa.

Kesimpulan

Konklusinya, pendigitalan mewakili anjakan transformatif yang mengubah sifat kerja dengan menyepadukan alatan dan proses digital, mendorong perubahan dalam kemahiran, pekerjaan dan dinamik organisasi. Transformasi digital merevolusikan proses di tempat kerja dengan memacu automasi, pembuatan keputusan berasaskan data, fleksibiliti, inovasi dan keselamatan siber. Penerimaan terhadap transformasi digital membolehkan organisasi kekal berdaya saing, memacu pertumbuhan dan berkembang maju dalam era digital seiring dengan perubahan dunia Revolusi Perindustrian 4.0.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search