
Umrah: Beribadah atau Melancong?
Oleh: Zaid Husaini bin Kamis
Ibadah umrah merupakan ibadah yang menjadi pelengkap kepada ibadah Haji dan boleh dilakukan pada bila-bila masa berbeza dengan haji yang dilakukan hanya pada bulan Zulhijjah berdasarkan kalendar Hijrah. Umrah merupakan peluang yang digunakan oleh umat Islam yang merindui akan lambaian Kaabah dan juga suasana ibadah yang ada di Tanah Haram. Namun demikian, sejak kebelakangan ini semakin ramai dalam kalangan umat Islam yang mula merakam dan memuat naik gambar dan video mereka semasa umrah sehingga menjejaskan konsentrasi mereka dalam mengerjakan umrah. Walaupun pada asalnya, tujuan diambil adalah hanya sebagai kenangan namun setelah beransur waktu, ia semakin menjadi ikutan (trend) dan kebiasaan bagi mereka yang mengerjakan ibadah umrah untuk mempamerkan keberadaan mereka di sana dengan memuat naik di media sosial seperti Instagram dan Facebook. Hal ini menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam mula hilang fokus dan tujuan ibadah kerana gangguan media sosial dan kegilaan mereka untuk memuat naik gambar di Mekah untuk tontonan rakan dan pengikut (followers). Terdapat dalam kalangan umat Islam yang merakam perbuatan bertawaf di Kaabah, dan perbuatan lain yang pastinya merosakkan amal ibadah.
Ibadah umrah merupakan ibadah yang bertujuan mendapatkan keredaan Allah. Sekiranya ibadah tersebut bercampur dengan hal keduniaan yang remeh seperti bergambar dan memuat naik video semasa beribadah, maka semestinya perkara ini merosakkan ibadah tersebut. Tambahan pula, mempamerkan ibadah di khalayak ramai boleh mendatangkan sifat riak yang boleh menjerumuskan individu kepada syirik kecil. Oleh demikian itu, amalan yang terbaik adalah amalan yang disembunyikan dari pengetahuan orang ramai dan sekiranya boleh disembunyikan, hendaklah menyembunyikan amalan tersebut. Terdapat hadis Rasulullah SAW mafhumnya,
“Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, yang hatinya selalu merasa cukup dan suka mengasingkan diri”.
Mengasingkan diri dalam hadis tersebut bermaksud amalan yang tidak dizahirkan kepada orang lain. Ibrahim an-Nakha’I mengatakan, “Kami tidak suka menampakkan amalan soleh yang seharusnya disembunyikan”. Abu Hazim berkata, “Sembunyikanlah amalan kebaikanmu sebagaimana engkau menyembunyikan amalan keburukanmu. Akhir sekali, Fudail bin Iyadh mengatakan, “Sebaik-baik ilmu dan amal adalah sesuatu yang tidak ditampakkan di hadapan manusia”.
Betulkan Niat dan Tujuan Umrah
Niat merupakan rukun yang perlu dipasakkan didalam hati sebelum berlakunya pelaksanaan ibadah yang tertentu kerana niat adalah rukun kepada ibadah-ibadah yang bersifat khusus seperti solat, puasa dan sebagainya. Oleh demikian itu, perlu ditekankan kepada mereka yang mengerjakan umrah supaya luruskan niat dalam melaksanakan umrah iaitu dengan hanya ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Niat yang baik dan ikhlas pasti akan menghasilkan ibadah yang sempurna dan juga diterima oleh Allah. Sekiranya niat dan tujuan untuk melakukan umrah sudah tercemar dengan keinginan dan tujuan lain, maka sudah semestinya ibadah tersebut tidak dapat dilakukan dengan baik semata kerana Allah.
Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda mafhumnya,
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”.
Hadis ini menunjukkan bahawa setiap perbuatan akan dinilai berdasarkan perkara yang diniatkan dan sekiranya niat tersebut untuk mendapatkan habuan keduniaan seperti pujian dan perhiasan, maka ia akan memperoleh perkara tersebut dan sesiapa yang berniat kerana Allah, maka dia memperoleh ganjaran pahala. Perlu diingatkan bahawa, niat kerana akhirat pada hakikatnya akan memperoleh dua kebaikan di dunia dan akhirat manakala niat untuk keduniaan hanya akan mendapat dunia sahaja. Maka, barangsiapa yang merosakkan amal dengan niat keduniaan, ia adalah orang yang rugi kerana dunia adalah tempat persinggahan yang sementara dan akhirat kekal selamanya. Justeru, mereka yang ingin mengerjakan umrah sepatutnya mempunyai niat umrah tersebut hanya tujuan ibadah kepada Allah semata-mata dan buang rasa keinginan untuk mencari barangan, makanan dan perhiasan di sana kerana banyak tempat lain yang menarik untuk dikunjungi untuk tujuan melancong selain dari Kota Mekah dan Madinah yang sepatutnya menjadi tempat hanya untuk beribadah kepadaNya.
Ikhlas Kunci Penerimaan Amal
Secara bahasa, ikhlas bermaksud suci dan bersih dari campuran. Hakikat ikhlas adalah bebas dari apa yang selain Allah yang bermaksud seseorang beribadah hanya mengharap redha Allah SWT semata dan bukannya disebabkan makhluk. Perlu diketahui bahawa ikhlas datangnya dari niat yang benar, namun ikhlas memerlukan suatu usaha dan kesungguhan kerana untuk mendapatkan keikhlasan dan ketenangan dalam beribadah adalah sukar kerana banyak gangguan yang datang dari hawa nafsu dan bisikan syaitan. Maka, ikhlas tersebut hendaklah kekal keadaannya sebelum, semasa dan selepas mengerjakan amalan kerana boleh jadi amalan rosak selepas berlakunya ibadah disebabkan oleh rasa riya’ yang timbul terhadap kebaikan yang dilakukan. Firman Allah didalam surah al-Bayyinah ayat 5,
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”
Dalam ayat tersebut, Allah menuntut kita untuk beribadah dengan ikhlas, hanya kerana Allah tanpa ada tujuan yang lain. Maka, mereka yang mengerjakan umrah hendaklah sentiasa mengingatkan diri untuk sentiasa mengikhlaskan hati dalam melaksanakan ibadah umrah bukan semata untuk mendapatkan pujian dan sanjungan dengan kita mewar-warkan umrah di khalayak umum dalam media sosial.
Mengejar Kelebihan Mengerjakan Umrah
Ibadah haji dan umrah merupakan salah satu ibadah dan perintah yang penting daripada Allah kepada seluruh umat Islam di muka bumi, ini kerana ibadah haji dan umrah itu sendiri adalah merupakan salah satu daripada rukun Islam. Oleh itu, perkara ini perlu dititik beratkan supaya amalan ibadah haji dan umrah dapat dilakukan mengikut tertib atau sunnah yang betul dan seterusnya diterima oleh Allah SWT. Kewajiban ke atas umat Islam di muka bumi ini untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah berdasarkan firman Allah,
“Mengerjakan haji dan umrah adalah kewajiban manusia terhadap Allah SWT iaitu bagi orang-orang yang sanggup melakukan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari kewajiban haji atau umrah ini maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari alam semesta.” (Ali Imran 97).
Setiap kewajipan ibadah yang Allah tetapkan pastinya akan didatangkan sekali dengan ganjaran besar dari Allah kerana Allah adalah Tuhan yang Maha Pemurah terhadap hambaNya. Terdapat pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diperoleh oleh mereka yang melaksanakan umrah hanya semata-mata kerana Allah.
- Meningkatkan Ketakwaan
Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan ketaatan kepada Allah SWT. Maka, amalan dalam ibadah umrah yang disertai ketaatan melahirkan rasa takwa dalam diri kerana di dalam ibadah umrah, terdapat pelbagai larangan dan tegahan semasa pelaksanaan ibadah tersebut. Larangan tersebut boleh menyebabkan mereka yang melaksanakan umrah akan dikenakan dam iaitu denda yang berupa satu dam bersamaan dengan seekor kambing dan hendaklah disedekahkan dagingnya atau berpuasa selama 3 hari ataupun memberi makanan kepada 6 orang miskin, setiap seorang diberikan sebanyak setengah gantang. Oleh demikian itu, pelaksanaan umrah akan dikenakan dam sekiranya melanggar tegahan umrah dan mereka perlu jujur berkenaan dengan dam tersebut kerana tidak ada siapa yang mengawasi gerak geri mereka serta masing-masing sibuk melaksanakan ibadah di sana. Kejujuran ini menghasilkan ketaqwaan kepada Allah kerana terdapat mereka yang mengerjakan umrah tidak menunaikan dam walaupun telah melanggar tegahan disebabkan tiada kejujuran dalam diri. Justeru, mereka ini adalah golongan yang tidak diterima ibadah umrahnya kerana tidak jujur dalam melaksanakan ibadah tersebut. Maka, kejujuran dalam beribadah dan ketekunan dalam melaksanakannya akan melahirkan ketakwaan dalam diri insan yang mana takwa menurut Saidina Ali:
“Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”
- Menjadi Tetamu Allah
Kaabah atau Masjid Al-Haram itu dikatakan sebagai ‘Rumah Allah’. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah adalah tetamu Allah Azza wa jalla dan para pengunjung-Nya. Jika mereka meminta kepadaNya nescaya diberi-Nya. Jika mereka meminta ampun dan taubat nescaya diterimaNya doa mereka. Dan jika mereka meminta syafaat nescaya mereka akan diberi syafaat.” Menurut hadis ini, antara kelebihan mereka yang melaksanakan umrah adalah doa yang mustajab kerana kelebihan dan kemuliaan yang ada di Tanah suci Mekah. Oleh demikian itu, kita lihat banyak orang yang meminta mereka yang hadir ke mekah untuk dibacakan doa kerana mengambil manfaat dari mustajabnya doa ketika berada di sana. Namun demikian, doa yang dipohon hendaklah memenuhi adab dan tertibnya semasa berdoa kerana adab berdoa juga perlu ditunaikan sebagai satu syarat penerimaan doa oleh Allah. Selain itu, kelebihan menjadi tetamu Allah adalah ibadah yang dilakukan di kota Mekah dan Madinah akan memperoleh ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding dengan kawasan lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”.
(Riwayat Ahmad)
Oleh yang demikian, ganjaran besar yang disediakan Allah kepada hambaNya adalah suatu perkara yang sangat besar dan perlu direbut dengan memperbanyakkan amalan sunat ketika berada di sana.
- Membersihkan dosa-dosa
Melakukan Ibadah Haji dan umrah merupakan kesempatan yang sangat baik dan tepat untuk bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW, “Dari umrah yang pertama hingga umrah yang kedua menjadi penebus dosa yang terjadi diantara keduanya, sedangkan haji yang mabrur atau haji yang diterima itu tidak ada balasannya kecuali syurga Allah. Justeru, ibadah umrah adalah peluang untuk mendapatkan pengampunan dari Allah SWT yang telah dijanjikan melalui hadis Baginda SAW. Maka, usaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah umrah dan tinggalkan perkara yang tidak bermanfaat dan mengganggu kekhusyukan semasa melakukan ibadah di sana adalah sesuatu yang dituntut.
Kesimpulan
Mengerjakan ibadah umrah adalah suatu peluang yang jarang diperoleh oleh sesiapa kerana memerlukan komitmen dan tekad yang besar untuk ke sana kerana perlu membelanjakan harta, masa dan tenaga bagi mencapai tujuan mengerjakan ibadah umrah. Oleh demikian itu, mereka yang berpeluang mengadakan ibadah umrah hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan segala tuntutan dan amalan sunat semasa berada di sana. Sesungguhnya, sangat rugi peluang yang diberikan oleh Allah disia-siakan dengan perbuatan yang lagha dan merosakkan ibadah umrah hanya disebabkan terikut dengan trend semata-mata.