
KEPIMPINAN MENERUSI TAULADAN, MANIFESTASI KEPIMPINAN BEBAS RASUAH
Pemimpin dan Politik Rasuah
Politik dunia merupakan isu sejagat yang tidak pernah berkesudahan lebih-lebih lagi apabila melibatkan rasuah dalam kalangan pucuk pimpinannya. Di Malaysia bermula Oktober lalu isu politik rasuah bertiup kencang dalam kalangan masyarakat ditambah pula dengan pengisytiharan pembubaran parlimen. Serentak dengan itu, selain pilihan raya, Malaysia kembali berdepan dengan perubahan pucuk pimpinan negara. Pertukaran pemimpin silih berganti namun masalah berkaitan rasuah, pecah amanah melibatkan golongan pemimpin tidak pernah bernoktah. Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 memperlihatkan Malaysia berada di kedudukan ke-62 berbanding ke-57 pada tahun 2020. Suatu situasi yang tidak seharusnya berlaku bagi negara Islam seperti Malaysia.
Dalam konteks semasa, kajian persepsi keberkesanan tindakan pencegahan rasuah oleh SPRM tahun 2020 yang menunjukkan tanggapan masyarakat terhadap rasuah di sektor politik paling tinggi dengan catatan 79.3%. Kajian yang dilakukan SPRM dilihat selari dengan kajian Transparency International, tentang persepsi rakyat terhadap pemimpin negara. Sememangnya masyarakat bersetuju bahawa pemimpin politik paling ramai terlibat dengan rasuah. Sukar untuk menolak akan hakikat tersebut kerana mutakhir ini masyarakat sering sahaja dihidangkan dengan isu rasuah lebih-lebih lagi melibatkan golongan pemimpin negara. Pada September 2021 Malaysia telah dikejutkan dengan kes rasuah pemimpin dalam organisasi kerajaan iaitu pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri.
Berikutnya, tahun 2022 isu politik rasuah terus menerus menjadi bualan masyarakat apabila timbul pula kes rasuah melibatkan beberapa orang pemimpin parti politik negara termasuk parti politik yang berteraskan Islam. Dalam pada itu, terdapat juga kes rasuah berprofil tinggi melibatkan mantan Perdana Menteri Malaysia sehingga dihukum penjara selama 12 tahun. Amat menyedihkan, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dalam kalangan mereka yang bergelar pemimpin negara Islam. Lebih memeranjatkan kesemua mereka yang terlibat terdiri dalam kalangan pemimpin negara dan organisasi. Dalam Islam perbuatan rasuah dan seumpamanya adalah dilarang sama sekali ke atas umatnya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 yang bermaksud,
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.
Ayat tersebut jelas bahawa Allah SWT melarang perbuatan rasuah. Hal ini kerana perbuatan rasuah sama ada memberi atau mengambilnya adalah haram dan dicela oleh Allah SWT. Meskipun al-Qur’an menjelaskan pengharaman kepada pemberi dan penerima rasuah namun, mengapa isu ini terus menerus membelenggu golongan yang bergelar pemimpin berbanding golongan lain? Adakah disebabkan kurangnya sifat kepimpinan atau kerana lebih dikuasai oleh sifat tamak dalam diri seseorang individu yang terbabit? Dan apakah pula impak terhadap golongan ini apabila dikesan terbabit dengan kes rasuah?
Kesan dan Sejarah Kejatuhan Pemimpin Dunia
Pada dasarnya, amalan rasuah bukan sahaja menatijahkan impak yang besar terhadap pertumbuhan negara malah organisasi dan individu sendiri. Tanpa disedari, kesan kepimpinan berteraskan amalan rasuah telah membuktikan kejatuhan ramai pemimpin negara dunia seperti Nawaz Sharif, Suharto dan Najib Razak. Tambahan pula, kisah kejatuhan mereka akibat perbuatan rasuah telah menjadi bualan dan sebutan seluruh masyarakat dunia.
- Nawaz Sharif
Nawaz Sharif merupakan mantan Perdana Menteri Pakistan yang dianggap terlibat dengan kes rasuah berprofil tinggi dalam kepimpinan beliau. Hal ini kerana kes rasuah terbabit tidak hanya melibatkan beliau seorang tetapi juga ahli keluarga yang lain termasuk anak perempuannya sendiri. Sekitar Julai 2017, beliau dilucutkan jawatan sebagai Perdana Menteri dengan arahan prosiding terhadap beliau dan ahli keluarga oleh Mahkamah Agung. Kemudian, 24 Disember 2018, beliau dijatuhi hukuman penjara 7 tahun oleh Mahkamah Akauntabiliti berkaitan kes rasuah melibatkan kilang keluli di Arab Saudi dan dihantar ke Penjara Kot Lakhpat di Lahore untuk menjalani hukuman. Perkembangan tersebut turut mempengaruhi kepimpinan beliau dalam Parti Pemerintah Liga Muslim Pakistan (PML-N) sebagai ketua pimpinan.
- Mohamed Suharto
Mohamed Suharto merupakan mantan Presiden Indonesia yang terbabit dengan skandal rasuah selama 31 tahun pemerintahannya sejak tahun 1967 sehingga tahun 1998. Dalam kepimpinan beliau, Suharto tersenarai sebagai pemimpin korup tertinggi oleh Transparency International dengan anggaran jumlah penyelewengan sekitar AS 15 bilion hingga AS 35 bilion. Pada mulanya, Suharto gagal didakwa atas jenayah yang dilakukan berikutan komplikasi kesihatan. Walau bagaimanapun, mahkamah Jakarta Selatan negeri menegaskan untuk melanjutkan dakwaan terhadap beliau dengan menolak alasan faktor kecergasan fizikal dan mental sebagai tidak munasabah untuk menangguhkan pendakwaan. Namun, kematian Suharto pada Januari 2008 secara tidak langsung menghentikan proses pendakwaan terhadapnya. Selepas kematian beliau kes rasuah Suharto tidak tamat begitu sahaja, enam orang anak beliau diarah menggantikannya sebagai defendan. Pada Julai 2015 Mahkamah Agong Indonesia mengarahkan anak Suharto dan Yayasan Beasiswa Supersemar membayar balik wang yang diseleweng beliau berjumlah AS 450 million.
- Najib Razak
Najib Razak mencipta sejarah tersendiri dalam penyelewengan dana negara semasa era kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau menjadi mantan Perdana Menteri pertama negara yang dipenjarakan kerana jenayah penyelewengan dana seperti SRC International Sdn Bhd, 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM 42 juta. Setelah empat tahun kes tersebut dibicarakan, beliau akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun beserta denda RM 210 juta. Rentetan daripada itu, beliau kini sedang menjalani hukumannya di penjara Kajang. Meskipun sedang menjalani hukuman, beliau bakal berdepan dengan beberapa lagi perbicaraan berhubung kes lain. Najib Razak tidak berseorangan didakwa atas tuduhan kes rasuah, turut sama dibicarakan adalah isteri beliau iaitu Rosmah Mansor yang didakwa atas tuduhan kes yang berbeza. Disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan membabitkan projek hibrid solar, Rosmah Mansor dijatuhi hukuman penjara 10 tahun untuk setiap pertuduhan dan denda RM 970 juta, atau penjara 10 tahun.
Ternyata, sejarah telah memperlihatkan kesan buruk perbuatan rasuah terhadap pemimpin yang terjebak dengan jenayah tersebut. Kesannya bukan sahaja ke atas diri sendiri tetapi juga negara, organisasi dan keluarga. Kegagalan membela diri menyebabkan mereka perlu melalui kehidupan di penjara selama tempoh bertahun-tahun. Tambahan pula, konflik yang berlaku semasa pilihan raya baru-baru ini jelas membuktikan calon pemimpin yang terlibat dengan isu rasuah ditolak oleh masyarakat sehingga gagal mendapat tempat di bahagian yang dipertandingkan. Pemimpin yang berjaya pula diminta mengundurkan diri kerana kemenangan tersebut memberi kesan ke atas kegagalan parti secara menyeluruh. Ironinya, isu ketirisan integriti dalam kalangan pucuk pimpinan perlu kepada penyelesaian secara akar umbi agar tidak terus menerus membarah dalam kalangan masyarakat sejagat.
Teladani Sifat Kepimpinan Rasulullah dan Sahabat
Umumnya, kepimpinan merupakan aspek penting yang perlu diberi tumpuan bagi melahirkan pemimpin yang berintegriti, jujur dan amanah di sesebuah negara. Rasulullah SAW meninggalkan dua sumber rujukan utama al-Qur’an dan hadis sebagai panduan hidup orang Muslim. Kedua-duanya bukan sahaja penting untuk tujuan ibadah tetapi untuk keseluruhan aspek dalam kehidupan termasuk aspek kepimpinan. Rasulullah SAW sendiri merupakan ikon pemimpin yang terkenal dalam era kepimpinan Islam. Umum mengetahui sifat kepimpinan Rasulullah SAW yang bukan sahaja masyhur dalam aspek keagamaan tetapi juga aspek lain seperti politik dan ekonomi.
Dalam kepimpinan, terdapat pelbagai sifat Rasulullah SAW yang boleh diteladani termasuk sifat integriti yang tinggi dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin. Sifat amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) yang dimiliki Rasulullah juga menjadikan Baginda pemimpin yang wajar dicontohi. Sehinggakan Baginda juga diberi gelaran al-amin atas sifat amanah dan jujur dalam memimpin negara. Dalam pada itu, semasa era kepimpinannya Rasulullah SAW sendiri pernah ditawarkan harta, pangkat, wanita dan kuasa oleh kaum Quraisy. Namun, Baginda tidak pernah sama sekali menerima perkara-perkara yang ditawarkan. Dalam hal ini, pastinya Baginda menentang sekeras-kerasnya amalan rasuah. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibn Majah bahawa Sayidina Abdullah ibn ‘Amr R.A meriwayatkan:
“ Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”.
Demikian, sama ada seseorang itu bergelar pemimpin negara mahupun sesebuah organisasi, masyarakat perlu jelas bahawa memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan yang dilarang sama sekali. Justeru, untuk menghindari kedua-dua bentuk amalan rasuah tersebut seseorang pemimpin perlu kembali kepada sumber utama yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW iaitu al-Qur’an dan hadis.
Berbincang lanjut mengenai isu ini, Abdullah bin Rawahah merupakan salah seorang sahabat Nabi yang turut memiliki keperibadian mirip Baginda. Ringkasnya, Abdullah bin Rawahah tidak hanya dikenali sebagai seorang penyair kesukaan nabi tetapi juga terkenal sebagai sahabat yang tegas dan jujur. Sifat jujur yang dimiliki beliau menjadi masyhur kerana begitu tegas menolak amalan rasuah. Peristiwa ini berlaku ketika beliau diarahkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk mengira jumlah kurma sebagai menetapkan jizyah penduduk Yahudi di Wilayah Khaibar. Ketika itu, Abdullah bin Rawahah telah ditawarkan dengan pelbagai perhiasan supaya beliau mengurangkan jumlah jizyah ke atas mereka. Namun, beliau dengan tegas menolak tawaran penduduk Khaibar di samping lantang menyatakan bahawa amalan rasuah adalah haram. Demikian, ketegasan sebegini harus ada dalam diri setiap pemimpin. Bukan sewenang-wenangnya menerima suapan asal sahaja memberi keuntungan kepada diri sendiri.
Secara teoretikalnya, terdapat banyak lagi sirah yang mengisahkan kepimpinan Rasulullah dan para sahabat. Sememangnya mereka merupakan model kepimpinan yang lebih pragmatik untuk diteladani. Kepimpinan yang berpaksikan syariat, tauhid dan akhlak sebagai asas utama perjuangan memanifestasikan kepimpinan bebas daripada rasuah. Meskipun, mereka hidup pada zaman yang tidak moden sebagaimana hari ini, tetapi harta dan kedudukan tidak berjaya menggelapkan mata mereka untuk terlibat dengan rasuah. Sebaliknya pula yang berlaku pada era kepimpinan masa ini, dipenuhi dengan gaya hidup serba moden dan selesa menjadikan ramai pemimpin bersikap lebih tamak tanpa menghiraukan halal dan haram.
Idealnya, pemimpin merupakan tunjang dalam sesebuah kepimpinan. Setiap perbuatan yang dilakukan bukan sahaja penentu keampuhan sesebuah kepimpinan tetapi juga cerminan kepada para pengikutnya. Jika seseorang pemimpin itu berada di jalan yang salah, pecah amanah dan rasuah menjadi makanan kehidupan, maka tidak seharusnya masyarakat menjadikannya sebagai figura yang perlu diteladani. Pepatah ‘jika baik jadi teladan, jika jahat jadi sempadan’ amat bersesuaian dalam isu kepimpinan dan kepengikutan semasa. Dalam pada itu, usaha melicinkan isu politik rasuah selain pemimpin, pengikut juga perlu mendalami peribahasa ‘jangan bercermin di air keruh’.