
Kemelut Ketagihan Pornografi di Usia Kanak-Kanak
Oleh: Noratirah Rambli
Kanak-Kanak dan Pornografi
Isu pornografi dalam kalangan orang dewasa mungkin bukan sesuatu perkara yang janggal di dengari, walaupun ternyata sebagai perlakuan yang tidak bermoral. Namun, isu pornografi dalam kalangan kanak-kanak merupakan sesuatu perkara yang amat memeranjatkan. Manakan tidak, figura seawal usia yang masih bergelar kanak-kanak sudah mempunyai pengetahuan dan ketagihan terhadap perlakuan yang tidak bermoral sebegitu. Apakah yang di maksudkan dengan pornografi? Apakah pula definisi kanak-kanak? dan bagaimana pornografi dan kanak-kanak dikaitkan menjadi isu yang serius? Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pornografi adalah sesuatu yang eksplisit dan mempunyai imej-imej yang mempunyai alat kemaluan yang terdedah atau tingkah laku seksual yang secara sengaja tidak di selindung untuk tujuan meransangkan seksual menerusi filem, bahan bacaan dan foto. Selain itu, menerusi Dasar Kanak-Kanak Negara yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001.
Definisi sahaja sudah jelas menggambarkan bahawa terlibat dengan pornografi bukan suatu perbuatan yang wajar dilakukan lebih-lebih lagi bagi mereka di bawah umur 18 tahun. Menurut beberapa kajian, apabila kanak-kanak membuat tanggapan mengenai seks dan seksualiti daripada pornografi, mereka akan mempunyai sifat yang kuat mengenai seksual yang permisif seperti seks sebelum kahwin dan seks kasual. Atas dasar itu, dari tahun 2014 hingga 2018, seramai 18,465 kes remaja hamil luar nikah didaftarkan di Klinik Kesihatan Malaysia. Sehubungan dengan itu, pada setiap tahun dianggarkan lebih 4,000 bayi yang lahir di luar nikah.
Hakikatnya, ketagihan pornografi berupaya menyumbang kepada perbuatan seksual seperti rogol dan berzina. Tidak mustahil juga membawa kepada perbuatan jenayah lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi. Lebih membimbangkan apabila perbuatan ini membabitkan kanak-kanak yang belum mencapai kematangan dalam berfikir akan baik buruk sesuatu tindakan. Terbaharu, negara kita digemparkan dengan tindakan seorang remaja berusia 15 tahun yang membunuh bayinya sendiri sebaik sahaja melahirkan. Difahamkan kehamilan remaja tersebut tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya. Ekoran kejadian tersebut juga, beliau telah disyaki dirogol. Walau bagaimanapun, hal ini menjadi tanda tanya ramai pihak berikutan masih dalam siasatan pihak berkuasa. Bagaimana mungkin ketagihan pornografi ini tidak dipandang serius? Sedangkan boleh berlarutan sehingga kepada rogol dan pembunuhan. Disember 2021, isu rogol turut menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat sebagai pelan strategik jangka masa panjang, KPWKM. Hal ini pastinya bagi menangani kemelut kes rogol bawah umur dan sumbang mahram yang berleluasa dalam negara.
Realiti Ketagihan Pornografi
Isu ketagihan pornografi yang membabitkan kanak-kanak sebagai pelakunya adalah sesuatu perkara yang amat membimbangkan. Malaysians Against Pornography (MAP) pada 2018 melaporkan, 80% kanak-kanak berusia 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja. Peratusan ini amat memeranjatkan bagi isu sebegini, lebih-lebih lagi melibatkan kanak-kanak sebagai pelaku. Ditambah pula, kajian oleh Institut Kesihatan Umum (IKU), Kementerian Kesihatan Malaysia, 2017 mendapati 7.3% remaja antara umur 13 hingga 17 tahun sudah dan pernah melakukan seks. Dalam hal ini, sebanyak 35% remaja lelaki berbanding 27% remaja perempuan mengakui pernah melakukan seks sebelum umur 14 tahun. Situasi ini tidak mustahil akibat daripada terlalu terdedah dengan bahan pornografi sehingga direalisasikan secara realiti.
Ketagihan pornografi dalam kalangan kanak-kanak bukan sekadar ditonton menerusi media sosial sahaja malah, terdapat cubaan dan telah merealisasikannya. Berita Harian, 2018 pernah melaporkan seorang pelajar perempuan seawal usia 13 tahun mengakui telah melakukan hubungan seks dengan lebih 10 lelaki. Pelajar terbabit turut mengakui sudah melakukan lebih 20 kali persetubuhan termasuk dengan lebih dari seorang lelaki dalam satu masa tanpa paksaan. Bersama-sama dengan pengakuannya, didedahkan bahawa pelajar itu mengambil rakaman video semasa melakukan hubungan seks. Akibat daripada ketagihan seks yang melampau pelajar tersebut turut melakukan hubungan seks pada bulan ramadhan di tandas tepi rumah secara bergilir-gilir. Peristiwa ini merupakan pengakuan yang memeranjatkan ramai pihak lebih-lebih lagi apabila membabitkan pelajar belasan tahun.
Selain daripada itu, timbul juga isu yang membabitkan kes rogol. Sebagaimana yang didedahkan di dada-dada akhbar saban tahun, seolah-olah menjadi satu trend, ada sahaja laporan membabitkan kes rogol pelaku bawah umur disiarkan dari semasa ke semasa. Tahun 2010, Mstar Online pernah melaporkan tentang cubaan remaja lelaki berusia 15 tahun untuk merogol seorang wanita 28 tahun di dalam tandas awam. Selain sempat menyentuh alat sulit mangsa, remaja lelaki terbabit turut mengugut dan merompak barang berharga milik mangsa. Rentetan itu, tahun 2018, Astro Awani mendedahkan kes rogol melibatkan tujuh remaja berusia 15 hingga 18 tahun. Ketujuh-tujuh remaja terbabit telah didakwa atas kesalahan merogol secara bergilir-gilir seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di rumah mangsa sendiri setelah mengenali mangsa menerusi aplikasi WeChat. Tahun berikutnya, 2019 timbul pula kes seumpanya membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun. Tanpa disangka, sebagaimana laporan Berita Harian, kanak-kanak lelaki tersebut telah melakukan perbuatan merogol mangsa sebanyak tiga kali sejak 2017.
Meneliti kes-kes yang pernah berlaku memperlihatkan situasi yang amat membimbangkan sedang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Generasi yang pastinya bakal menjadi pelapis di masa hadapan tidak seharusnya mempunyai sikap tidak bermoral sebegini. Hakikatnya, apakah faktor penyumbang berlakunya ketagihan pornografi dalam kalangan kanak-kanak ini?
Penyumbang Keterlibatan Kanak-Kanak
Pada era ini, kanak-kanak mudah terdedah dengan pornografi kerana penggunaan gajet yang berleluasa seperti telefon pintar dan komputer riba tanpa kawalan. Berita Harian, 13 Februari lalu mendedahkan penggunaan aplikasi WhatsApp dan WeChat yang digunakan untuk memerangkap kanak-kanak berinteraksi secara seksual. Laporan tersebut turut mengulas peratusan mengenai jenayah seksual yang berlaku melalui interaksi di laman sosial seperti rogol, eksploitasi, seks luar tabii adalah pada kadar yang membimbangkan. Dalam hal ini, kanak-kanak sendiri tidak menyedari bahawa mereka telah menjadi mangsa seksual. Didapati, situasi ini memperlihatkan implikasi negatif terhadap penggunaan teknologi oleh kanak-kanak yang mudah terpengaruh dengan perkara berunsur seksual sebegitu.
Sementara itu, sebuah laman sesawang Majoriti.com melaporkan ketagihan pornografi dalam kalangan kanak-kanak berpunca daripada pengaruh rakan atas talian. Hal ini bertitik tolak dengan perkenalan menerusi permainan video secara atas talian sehingga membawa kepada perbualan berunsur lucah, seterusnya beronani. Ternyata pornografi yang hanya mudah didapati secara atas talian berupaya membawa amalan seksual yang dipraktikkan sendiri oleh kanak-kanak.
Pada masa ini, kemajuan teknologi yang sepatutnya memberi kemudahan kepada kanak-kanak telah disalahgunakan. Seharusnya, teknologi dijadikan medium kanak-kanak meningkatkan dan memantapkan ilmu pengetahuan dalam pendidikan tetapi, sebaliknya yang berlaku. Dalam hal ini pemantauan dan kawalan daripada ibu bapa terhadap penggunaan teknologi penting agar kanak-kanak tidak terlibat dengan ketagihan pornografi. Jika di awal usia sebegini sudah terlibat dengan perbuatan tidak bermoral dan turut dikategorikan sebagai perbuatan jenayah sebegini, apakah yang bakal berlaku kepada mereka setelah meningkat dewasa kelak?
Inisiatif Menangani Ketagihan Pornografi
Pelbagai inisiatif sama ada dalam perspektif agama atau pandangan yang progresif, telah diambil oleh kerajaan, badan bukan kerajaan dan individu untuk menangani pornografi dalam kalangan kanak-kanak. Namun, masih timbul isu sama membabitkan kanak-kanak di bawah umur. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk personaliti individu yang sedang membesar iaitu kanak-kanak. Bagi membentuk personaliti yang sihat dan baik, ibu bapa hendaklah mengawal tingkah laku anak-anak sedari kecil. Pengawasan terhadap penggunaan teknologi dan hubungan dengan rakan media sosial sangat penting demi memastikan mereka tidak terlibat dengan perkara berunsur seksual.
Selain daripada ibu bapa, guru sekolah juga perlu memainkan peranan bagi mengatasi permasalahan ini. Guru sekolah adalah barisan pertahanan kedua untuk kanak-kanak kerana selain rumah, sekolah adalah tempat kanak-kanak meluangkan masa mereka paling lama. Guru-guru di sekolah hendaklah disediakan dengan ilmu mengenai pendidikan seksual kanak-kanak dan perkembangan kognitif mereka kerana zaman ini penting untuk tumbesaran dan pembentukan personaliti. Guru juga hendaklah peka dengan perubahan pelajar mereka kerana kemungkinan untuk mereka terjebak kepada perubahan sosial yang ketara seperti membawa gajet di sekolah, ponteng kelas dan lain-lain. Persekitaran yang sihat di sekolah perlulah dilahirkan supaya pelajar tidak merasa keperluan untuk melakukan sesuatu di luar kawalan guru dan ibu bapa.
Fungsi pihak kerajaan yang mentadbir juga penting dengan memberi hak-hak yang sepatutnya diperoleh oleh kanak-kanak seperti pendidikan yang holistik dan menyeluruh. Kerajaan juga boleh melindungi kanak-kanak dengan meningkatkan pendidikan seksual di sekolah supaya kanak-kanak lebih peka dan mendapat kesedaran awal jika mereka berhadapan dengan perkara tidak bermoral seperti ketagihan pornografi.
Keseluruhannya, pornografi dalam kalangan kanak-kanak merupakan isu yang serius dan wajar diberi perhatian khusus. Ketagihan ini, tanpa kawalan akan terus berleluasa seterusnya membawa kepada permasalahan lain yang lebih serius. Justeru, bagaimanakah dengan masa hadapan kanak-kanak ini di masa akan datang?