
Banjir Kilat di Malaysia, Fenomena Geologi Berantai
Oleh: Dr. Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz
Fenomena Banjir di Malaysia
Sejak kehadiran pandemik COVID-19, isu alam sekitar merupakan isu kedua terbesar dalam negara selepas isu kesihatan. Krisis kesihatan belum pun berakhir namun, Disember 2021, Malaysia telah dikejutkan dengan kejadian banjir terburuk sepanjang negara pernah berhadapan dengan krisis tersebut. Fenomena di luar kebiasaan ini tidak hanya berlaku di negeri Pantai Timur sebagaimana biasa malah, membabitkan sebelas buah negeri di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Perak, Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu. Lebih mengejutkan, banjir luar biasa ini turut menenggelamkan beberapa kawasan Lembah Klang terutamanya negeri Selangor yang jarang sekali menempuh kejadian sebegini. Kosmo pada tahun yang sama melaporkan, hujan lebat yang berlarutan selama dua hari mengakibatkan kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir besar berikutan sistem perparitan dan pengairan yang tidak berupaya menampung jumlah hujan yang berterusan. Banjir pada tahun ini dilihat luar daripada kebiasaan apabila melanda negeri-negeri yang jarang berisiko fenomena tersebut.
Kejadian banjir besar ini turut diburukkan dengan fenomena air pasang yang berlaku di persisiran pantai Selangor. Lebih membimbangkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) pada ketika itu menjangkakan air pasang setinggi empat meter bakal melanda sekitar Pelabuhan Klang. Lantaran itu, hujan berterusan turut mengakibatkan peristiwa tanah runtuh. Memetik laporan Utusan Malaysia 2021, tanah runtuh bersaiz 40,000 dan 50,000 meter padu yang turut menyekat aliran sungai menjadi punca berlakunya banjir luar biasa ini. Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan lebih 100 kejadian tanah runtuh telah direkodkan di Kuala Lumpur dan Selangor berpunca daripada curahan hujan berterusan sejak 16 hingga 19 Disember 2021. Fenomena di luar kawalan ini tidak terhenti pada penghujung tahun 2021 sahaja bahkan, berlarutan sehingga Januari 2022.
Realitinya, fenomena hujan lebat, banjir kilat, limpahan air dan tanah runtuh yang berlaku secara serentak ini telah mengakibatkan kesan buruk kepada negara. Kejadian berantai ini bukan sahaja mencatat jumlah mangsa yang kemusnahan harta benda malah, turut mencatat angka kematian yang tertinggi dalam sejarah berbanding banjir besar 2014. Menerusi laporan Metro, Januari 2022, seramai 43,392 mangsa banjir telah dicatatkan daripada 13,153 keluarga yang berada di 407 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri yang terkesan. Terbaharu, Bernama pada 5 Januari 2022 melaporkan 54 kematian turut direkodkan di seluruh negara. Ternyata, fenomena banjir pada kali ini bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan sosial manusia bahkan, memusnahkan alam sekitar. Persoalannya, apakah faktor yang mencetus kepada permasalahan ini? Adakah ia sekadar fenomena alam semula jadi atau turut terkait dengan fenomena geologi berantai?
Banjir dan Fenomena Geologi Berantai
Proses geologi berantai yang berlaku susulan daripada hujan lebat yang berpanjangan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. Satu persatu peristiwa yang mencetuskan kebimbangan menyusul lantaran hujan yang berpanjangan sejak Disember 2021 sehingga Januari 2022. Banjir kilat, tanah runtuh, hakisan tanah, fenomena air pasang besar dan limpahan air sungai menambahkan kerungsingan ramai pihak, lebih-lebih lagi mereka yang terkesan. Lebih membimbangkan, ekoran kejadian-kejadian yang berlaku turut memberi kesan kepada kehidupan manusia sama ada sebagai mangsa hidup mahupun terkorban.
Hakikatnya, banjir kilat sering sahaja dikaitkan dengan pembangunan yang tidak lestari terutama di bandar-bandar besar. Eksploitasi hutan yang berlebihan untuk tujuan pembangunan berupaya membuka peluang kepada banjir besar. Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi laporan Berita Harian, berpandangan kawasan rentan di Pahang khususnya berdepan dengan risiko banjir teruk setiap tahun, sekiranya aktiviti penebangan hutan dibiar berterusan tanpa sistem tadahan air. Tentunya, kehilangan sistem tadahan air berupaya menjadi penyebab berlaku takungan air seterusnya banjir kilat. Dalam hal ini, kerakusan manusia dengan tujuan tersendiri membawa kepada bencana yang akhirnya memakan diri.
Pakar kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar merumuskan, kejadian banjir besar yang berlaku baru-baru ini khususnya di Selangor dan Pahang disebabkan penukaran status guna tanah dan pembalakan secara haram. Ditambah pula, tsunami darat yang berlaku akibat fenomena banjir baru-baru ini amat memberi kesan kepada alam sekitar. Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA Malaysia), Prof Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil, mentaksirkan, hujan lebat yang berterusan dalam tempoh beberapa hari telah menyebabkan aliran air mangalir laju daripada kawasan tinggi. Hal ini disebabkan tiada penahan semula jadi yang meliputi hutan seterusnya, menyebabkan berlaku kemusnahan flora dan fauna semasa pasca banjir.
Eksploitasi sumber hutan secara berlebihan melalui aktiviti pembalakan boleh menganggu gugat struktur tanah sehingga menyebabkan berlaku hakisan dan tanah runtuh. Sikap tidak bertanggungjawab, kegagalan mengurus dan kurang kesedaran terhadap alam sekitar merupakan sebahagian punca fenomena berantai ini. Sebagaimana biasa, peristiwa tanah runtuh sering sahaja dikaitkan dengan hujan lebat yang berterusan. Namun, adakah punca kejadian tanah runtuh ini hanya semata-mata disebabkan oleh perkara tersebut? Sinar Harian, 2022 melaporkan pembinaan struktur tambahan yang melanggar undang-undang dan garis panduan antara punca berlakunya tanah runtuh.
Hal ini, membuktikan fenomena semula jadi seperti hujan lebat yang berterusan bukan punca utama berlakunya tanah runtuh. Sebaliknya, sikap manusia sendiri yang membawa kepada kemusnahan alam sekitar. Banjir besar, tanah runtuh bukan sekadar fenomena geologi berantai mahu pun tindak balas alam semula jadi, tetapi juga perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.
Tragedi Banjir dan Impaknya
Secara amnya, tragedi banjir yang berlaku amat memberi kesan terhadap kemusnahan alam sekitar. Peristiwa yang berlaku secara berturut-turut ini telah memusnahkan hampir keseluruhan ekosistem alam semula jadi seperti tanah, sungai, hutan dan sebagainya. Kesan kemusnahan ini dapat dilihat apabila pelbagai spesies haiwan ternakan turut terjejas teruk dan mati. Begitu juga dengan hasil tanaman pertanian yang musnah akibat runtuhan tanah dan banjir. Pencemaran sungai turut berlaku apabila kayu yang telah dipotong dan ditinggalkan dibawa bersama arus sungai sehingga menyebabkan terjadi banjir lumpur. Kawasan perumahan pula terpaksa berdepan dengan masalah timbunan sampah pasca bencana. Perkara ini jelas menunjukkan berlaku eksploitasi sumber alam secara tidak terkawal seperti penebangan hutan bagi tujuan pembalakan, aktiviti pertanian dan pembuangan sampah. Tindakan luar kawalan ini membolehkan ekosistem terganggu dan sebarang perubahan akan meninggalkan kesan negatif terhadap alam seterusnya meruncingkan tindak balas antara manusia dengan persekitaran.
Bencana banjir bukan sahaja memberi kesan terhadap alam sekitar malah, manusia di persekitarannya. Ekosistem alam semula jadi yang sentiasa melibatkan interaksi manusia dengan alam menjadikan kedua-duanya umpama “aur dengan tebing”. Situasi ini diibaratkan, jika berlaku kemusnahan atau kerosakan alam secara tidak langsung, turut menjejaskan kehidupan manusia. Kesan terhadap aspek ekonomi terutamanya sangat membimbangkan. Menurut Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latif, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), situasi banjir di Lembah Klang memberi impak negatif kepada ekonomi tempatan sekitar kawasan berkenaan. Golongan peniaga terutamanya terjejas akibat kerosakan premis kesan dinaiki air. Di samping itu, barangan tanpa mengira jenis turut mengalami kenaikan harga akibat krisis pandemik COVID-19 ditambah dengan bencana banjir. Situasi ini amat tidak mustahil kerana apabila terjadinya banjir seperti baru-baru ini, turut menjejaskan pengeluaran apabila kilang-kilang, tanaman dan penternakan musnah sehingga menyebabkan pengeluaran terhad dan berkurang. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan permintaan melebihi pengeluaran dan peningkatan harga barangan.
Realitinya, impak terhadap ekonomi negara amat besar berikutan bencana banjir yang berlaku sehingga menyebabkan kerosakan harta benda pada skala besar. Berita Harian, Januari 2022 melaporkan bencana banjir baru-baru ini telah merekodkan kerugian mencecah antara RM5.3 bilion sehingga RM6.5 bilion iaitu bersamaan dengan 0.4% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menurut Datuk Sri Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan, Selangor merekodkan jumlah kerugian terbesar iaitu RM1 bilion. Hakikatnya, banjir telah menyebabkan berlaku kerugian terhadap tempat kediaman, kenderaan, sektor perniagaan, pertanian dan sebagainya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Mustapa Mohamed, kerugian tempat kediaman dianggarkan sebanyak RM1.2 bilion, kenderaan sebanyak RM1.3 bilion, sektor pembuatan RM800 juta, premis perniagaan RM 600 juta, pertanian RM 49.9 juta dan aset awam serta infrastruktur sebanyak RM2 bilion. Tiga negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi ialah negeri Selangor dengan RM 855 juta, Pahang RM 78.2 juta dan Negeri Sembilan RM 18.2 juta. Kesemua jumlah yang dicatatkan mempamerkan angka yang begitu membimbangkan dan pastinya mampu menjejaskan sektor ekonomi negara.
Selain memberi kebimbangan terhadap aspek ekonomi, bencana banjir turut memberi impak terhadap aspek sosial. Dalam hal ini, tragedi yang melumpuhkan negara, harta benda serta meragut nyawa tersebut membuatkan mangsa yang terkesan mengalami trauma dan gangguan emosi biarpun tragedi tersebut telah berakhir. Antara mangsa yang terkandas mengalami trauma kerana kehilangan harta benda, terputus bekalan makanan, terkandas dan kehilangan ahli keluarga. Pakar Psikologi Khidmat Kaunseling Access, Dr. Meriam Omar Din menerusi Kosmo 2022 melaporkan seseorang yang mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi atau mudah berasa murung akan mengalami tekanan yang lebih berbanding individu yang bersikap positif. Dalam pada itu, Berita Harian, Januari 2022 melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan terdapat seramai 48 orang awam terkorban akibat banjir Disember lalu. Ternyata, kesan bencana seperti banjir bukan sahaja memberi kesan terhadap kemusnaham alam sekitar semata-mata malah, turut membabitkan manusia sebagai penghuni alam.
Inisiatif Menangani Musibah Banjir
Berdasarkan impak negatif dikemukakan, terdapat pelbagai langkah yang perlu tindakan segera bagi membendung permasalahan yang berlaku. Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar terutamanya amat penting untuk diberi perhatian. Hal ini berikutan fenomena berantai yang berlaku secara berturutan kesan daripada hujan yang berpanjangan. Banjir kilat, tanah runtuh dan limpahan air antara perkara yang perlu dikawal selia dengan baik. Langkah drastik perlu diambil pihak berwajib sama ada pihak pemaju mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan melaksanakan konsep pembangunan lestari iaitu dengan mengambil kira tiga faktor utama iaitu alam sekitar, sosial dan ekonomi.
Dari sudut ekonomi, kerajaan telah berusaha menyediakan peruntukan kewangan kepada mangsa. Setakat ini golongan terjejas dengan banjir telah diberikan peruntukan oleh kerajaan lebih RM1.4 bilion yang disalurkan menerusi pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia. Selain itu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa bantuan banjir akan dipastikan sampai kepada semua mangsa berikutan sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi memantau dan membuat laporan terus kepada menteri berkaitan dan dibentangkan di Kabinet. Inisiatif ini pastinya demi memastikan mereka yang terkesan dengan bencana banjir dapat meneruskan hidup seperti sedia kala.
Di samping bantuan kewangan, sokongan emosi merupakan perkara paling penting bagi mangsa banjir yang mengalami trauma. Pada peringkat awal keluarga atau rakan terdekat memainkan peranan bagi mendengar keluhan serta bersifat prihatin apabila mangsa banjir menyuarakan hasrat untuk meminta bantuan. Bantuan yang berbentuk praktikal seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya boleh dihulurkan. Bebanan mangsa banjir juga dapat dikurangkan dengan meningkatkan koordinasi bantuan seperti pembersihan rumah, makanan dan kewangan daripada pihak kerajaan mahupun masyarakat secara keseluruhannya. Bernama pada 23 Disember lalu melaporkan seramai 872 sukarelawan kaunselor yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah ditempatkan di tujuh negeri yang terlibat dengan banjir. Petempatan sukarelawan ini bertujuan membantu memulihkan emosi dan masalah dihadapi mangsa banjir yang trauma dengan musibah menimpa mereka. Langkah ini merupakan inisiatif yang wajar dilakukan sekiranya ia dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh.
Keseluruhannya, kolaborasi melibatkan pihak berwajib, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil merupakan gabungan sinergi yang mampu menangani trajedi banjir dengan lebih efektif. Antara tindakan yang boleh diambil dengan melakukan kesiapsiagaan sebelum banjir, memberi bantuan kepada mangsa banjir dan memelihara alam sekitar. Namun, adakah tindakan-tindakan yang telah dilakukan akan memberi kesan jangka panjang atau sekadar jangka waktu ini sahaja? Inisiatif jangka panjang adalah kaedah yang baik bagi menangani isu sebegini. Hal ini demi memastikan masyarakat lebih bersedia jika sekiranya fenomena alam seumpama ini berlaku di masa akan datang.
Keutamaan harus diberikan kepada tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana yang masih berada pada tahap rendah. Hal ini dapat dilahat apabila masyarakat memandang ringan terhadap keadaan cuaca yang tidak menentu serta tidak mengambil peduli maklumat berkaitan banjir seperti peningkatan paras laut, pemanasan global dan gelombang ribut. Pemerkasaan terhadap penyebaran maklumat tentang info banjir perlu sentiasa di hebahkan. Masyarakat juga perlu peka dengan permasalahan persekitaran agar dapat membina keupayaan kendiri dengan pengetahuan serta kesedaran yang boleh diperoleh daripada sosial media. Inisiatif sedia ada ini boleh ditambah baik dengan menguatkuasakan undang-undang yang tegas terhadap pembalakan haram dan pembuangan sampah secara berleluasa sehingga menyebabkan kemusnahan alam.